Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Merayakan Krismas?
Beberapa sangkaan orang
Sangkaan: Saksi-Saksi Yehuwa tidak merayakan Krismas kerana mereka tidak percaya pada Yesus.
Jawapan: Kami ialah orang Kristian. Kami percaya bahawa penyelamatan hanya datang melalui Yesus Kristus.—Kisah 4:12.
Sangkaan: Kamu memecahkan keluarga dengan mengajar penganut kamu supaya tidak merayakan Krismas.
Jawapan: Kami sangat mementingkan hubungan kekeluargaan, dan menggunakan ajaran Bible untuk membina keluarga yang kukuh.
Sangkaan: Kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan “semangat Krismas” seperti sifat murah hati, berdamai, dan berbuat baik terhadap orang lain.
Jawapan: Setiap hari, kami berusaha menunjukkan sifat murah hati dan suka berdamai. (Amsal 11:25; Roma 12:18) Contohnya, kami mengadakan perjumpaan dan aktiviti menginjil berdasarkan arahan Yesus, iaitu ‘Kamu menerima dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran.’ (Matius 10:8) Tambahan pula, kami menggalakkan orang untuk berharap pada Kerajaan Tuhan yang akan membawa kedamaian di bumi.—Matius 10:7.
Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa tidak merayakan Krismas?
Yesus menyuruh kita untuk memperingati kematiannya, bukan kelahirannya.—Lukas 22:19, 20.
Pada abad pertama, rasul dan murid Yesus tidak merayakan Krismas. Menurut New Catholic Encyclopedia, “orang mula merayakan kelahiran Yesus pada 243 [Masihi],” iaitu lebih daripada satu abad setelah rasul yang terakhir mati.
Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Yesus dilahirkan pada 25 Disember; tarikh lahirnya tidak tercatat dalam Bible.
Kami percaya bahawa Krismas tidak diperkenankan Tuhan kerana perayaan ini berasal daripada adat resam dan upacara agama kafir.—2 Korintus 6:17.
Mengapakah Krismas dijadikan sebagai satu isu?
Ramai masih merayakan Krismas walaupun mereka mengetahui bahawa perayaan ini berasal daripada agama kafir dan tidak disokong oleh Bible. Mereka mungkin tertanya-tanya: Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa mengambil pendirian yang tidak digemari ramai? Mengapakah hari Krismas dijadikan satu isu?
Ajaran Bible menggalakkan kita menghargai kebenaran yang dipelajari serta membuat keputusan sendiri dalam hal merayakan Krismas. (Yohanes 4:23, 24; Roma 12:1, 2) Walaupun pandangan orang lain terhadap kepercayaan kita adalah penting, kita akan tetap berpegang pada prinsip Bible biarpun mereka akan membenci kita.
Walaupun kami memilih untuk tidak merayakan Krismas, kami tetap menghormati serta tidak masuk campur dalam keputusan peribadi orang lain yang merayakan Krismas.