Lompat ke kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Guyana

Mereka Rela Berkhidmat—Di Guyana

 “Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan!” Itulah perasaan Joshua dari Amerika Syarikat. Dia pernah berkhidmat di Guyana, sebuah negara yang terletak di Amerika Selatan. Banyak Saksi yang pernah berkhidmat di sana juga merasai sukacita, kerana ramai orang di sana ingin belajar tentang Yehuwa. a Apakah yang kita dapat belajar daripada saudara saudari yang telah berpindah ke negara asing untuk membantu dalam kerja penyebaran? Jika anda ingin berkhidmat di negara asing, bagaimanakah pengalaman mereka dapat membantu anda?

Apakah yang Mendorong Mereka?

Linel

 Linel berasal dari Amerika Syarikat. Dia pernah menginjil di kawasan yang jarang dikunjungi di negaranya sendiri sebelum berpindah ke Guyana. Dia berkata, “Sebanyak 20 saudara saudari ditugaskan untuk menginjil di kawasan terpencil di Virginia Barat. Pengalaman itu telah mengubah hidup saya! Saya sangat menikmati kerja penyebaran dan pergaulan sepanjang dua minggu di sana, dan saya lebih bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya saya.”

Erica dan Garth

 Sepasang suami isteri yang bernama Garth dan Erica merancang untuk berkhidmat di negara asing, dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk berpindah ke Guyana. Mengapa? Erica menjelaskan, “Saya dan suami mengenali sepasang suami isteri yang telah berpindah ke sana. Semangat dan kasih yang ditunjukkan oleh mereka telah mendorong kami untuk turut berpindah ke sana.” Erica dan Garth berkhidmat di sana selama tiga tahun, dan mereka amat menyukai tugasan tersebut. Garth berkata, “Kami telah merasai betapa baiknya berkhidmat di negara asing.” Mereka kemudiannya menyertai Sekolah Gilead dan kini berkhidmat di Bolivia.

Mereka yang berkhidmat di negara asing mempunyai banyak peluang untuk menikmati perbualan yang bermakna tentang Bible

Bagaimanakah Mereka Membuat Persediaan?

 Prinsip Bible menggalakkan kita untuk hidup sederhana. (Ibrani 13:5) Kita juga digalakkan untuk berfikir dengan masak-masak dan mengenal pasti apa yang terlibat sebelum membuat keputusan yang besar dalam kehidupan. (Lukas 14:26-33) Sudah tentu keputusan untuk berpindah ke negara asing ialah keputusan yang besar! Garth menulis, “Erica dan saya menyederhanakan hidup kami sebelum berpindah ke Guyana. Kami menjual perniagaan, rumah, dan semua barang yang tidak diperlukan. Proses ini mengambil masa beberapa tahun, tetapi kami selalu ingat matlamat kami untuk berkhidmat di Guyana sambil membuat lawatan ke negara itu setiap tahun.”

Sinead dan Paul

 Suatu hal lagi yang perlu dipertimbangkan ialah sumber pendapatan. Di sesetengah negara, saudara saudari yang berasal dari negara asing dibenarkan untuk bekerja di sana. Ada juga saudara saudari yang meneruskan kerja asal mereka melalui komputer. Yang lain pula pulang ke negara asal mereka buat sementara waktu untuk bekerja. Sepasang suami isteri yang bernama Paul dan Sinead pulang ke Ireland sekali setahun untuk bekerja. Melalui aturan ini, mereka dapat berkhidmat di Guyana selama 18 tahun, sehingga anak perempuan mereka mencecah tujuh tahun.

Christopher dan Lorissa

 Mazmur 37:5 menyatakan, “Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa; bergantunglah pada-Nya, dan Dia akan bertindak bagi pihakmu.” Christopher dan Lorissa dari Amerika Syarikat selalu berdoa tentang matlamat mereka untuk berkhidmat di negara asing. Selain itu, mereka juga berbincang tentang apa yang perlu dilakukan untuk berpindah, dan menyenaraikan kebaikan dan keburukan keputusan itu semasa penyembahan keluarga. Mereka memilih untuk berpindah ke Guyana, kerana bahasa rasmi negara itu ialah bahasa Inggeris, dan mereka mahir menggunakan bahasa itu.

 Kemudian, mereka mengambil tindakan yang selaras dengan prinsip di Amsal 15:22, “Rancangan gagal jika tiada perbincangan, tetapi rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.” Mereka menulis surat kepada pejabat cawangan yang menyelia kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Guyana. b Mereka memberitahu pejabat cawangan tentang latar belakang mereka dan juga keinginan mereka untuk berkhidmat. Pada masa yang sama, mereka juga mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan perubatan, iklim, dan adat tempatan. Pejabat cawangan membalas surat mereka dan memberi mereka maklumat perhubungan badan penatua di kawasan yang bakal mereka pindah.

 Linel, yang disebut tadi, kini berkhidmat sebagai seorang penyelia lawatan di Guyana. Dia juga menerapkan prinsip di Amsal 15:22 sebelum berpindah ke sana. Dia berkata, “Selain daripada menyimpan wang untuk perjalanan, saya juga berbual dengan orang lain yang pernah berkhidmat di negara asing. Saya membincangkan rancangan saya dengan ahli keluarga, para penatua di sidang saya, dan juga penyelia litar. Dan saya membaca semua maklumat yang terdapat dalam bahan terbitan kita mengenai berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan.”

Joseph dan Christina

 Kebanyakan saudara saudari yang ingin berkhidmat di sebuah negara asing membuat aturan untuk melawat negara itu terlebih dahulu. Hal itu memang bijak. Sepasang suami isteri yang bernama Joseph dan Christina berkata, “Kali pertama kami pergi ke Guyana, kami tinggal di sana selama tiga bulan. Pengalaman itu membantu kami untuk mengetahui keadaan hidup di sana. Selepas itu, kami pulang ke negara asal, dan membuat aturan untuk berpindah ke Guyana.”

Bagaimanakah Mereka Menyesuaikan Diri?

Joshua

 Saudara saudari yang berkhidmat kepada Yehuwa di negara asing perlu mempunyai semangat rela berkorban dan sudi menyesuaikan diri dengan keadaan dan adat tempatan. Contohnya, mereka yang berpindah dari negara yang bercuaca sejuk kepada negara yang bercuaca panas selalu terjumpa dengan banyak jenis serangga di rumah mereka. Joshua, yang disebut tadi, berkata, “Saya tidak biasa melihat begitu banyak serangga, dan serangga di Guyana nampak macam sangat besar! Tetapi seraya masa berlalu, saya pun menjadi biasa dengan semua serangga ini. Saya mendapati bahawa jika saya pastikan rumah saya bersih, serangga pun kurang datang. Jadi saya kerap mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, dan membersihkan rumah.”

 Menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara asing juga termasuk mencuba makanan yang baharu dan belajar cara untuk menyediakan makanan tersebut. Joshua mengimbas kembali, “Saya dan seorang saudara yang tinggal serumah dengan saya meminta bantuan daripada saudara saudari untuk mengajar kami cara memasak menggunakan bahan tempatan. Setelah kami belajar cara memasak makanan yang baharu, kami pun menjemput beberapa saudara saudari dari sidang untuk makan bersama-sama. Cara ini memberi kami peluang untuk mengenali satu sama lain dan menguatkan persahabatan.”

Paul dan Kathleen

 Mengenai adat resam tempatan, Paul dan Kathleen mengimbas kembali, “Kami perlu menyesuaikan diri dengan konsep tatasusila yang baharu dan cara pemakaian yang sesuai di kawasan yang bercuaca panas. Semua hal ini merupakan pengalaman baharu bagi kami, jadi kami perlu rendah hati dan sudi membuat perubahan, asalkan hal itu tidak melanggar prinsip Bible. Apabila kami menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, hubungan kami dengan sidang menjadi lebih rapat, dan kerja penyebaran kami juga lebih berkesan.”

Apakah Manfaat yang Diraih Mereka?

 Joseph dan Christina berkata, “Berkat yang kami terima jauh lebih besar daripada cabaran dan kesusahan yang kami hadapi. Pengalaman baharu ini membantu kami untuk mengenal pasti apakah yang sepatutnya diutamakan. Perkara-perkara yang dahulunya kami anggap penting, kini tidak begitu penting lagi. Kami terdorong untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. Kami sangat berpuas hati dengan kehidupan kami.” Sudah tentu banyak saudara saudari juga berasa sedemikian.

 Erica, yang disebut tadi, berkata, “Kami telah belajar dengan lebih mendalam maksudnya percaya kepada Yehuwa semasa berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Kami telah melihat Yehuwa membantu kami dalam cara yang kami tidak pernah alami. Melalui pengalaman-pengalaman baharu ini, perkahwinan kami pun menjadi semakin kukuh.”

a Lihat Buku Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa 2005 (dalam bahasa Indonesia) untuk mengetahui sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Guyana.

b Cawangan Trinidad dan Tobago menyelia kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di sana.