Lompat ke kandungan

Majlis Lulusan Sekolah Bible Gilead Kelas Ke-133

Sabtu, 8 September 2012

Majlis Lulusan Sekolah Bible Gilead Kelas Ke-133

Setelah menjalani kursus yang intensif selama lima bulan, 48 orang pelajar menyelesaikan latihan mereka di Sekolah Bible Gilead yang dijalankan di pusat pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa yang terletak di Patterson, New York. Majlis lulusan itu dihadiri oleh 9,694 orang, termasuk ahli keluarga, sahabat, dan orang lain yang turut bergembira untuk para pelajar.

Sejak tahun 1943, lebih daripada 8,000 penginjil yang berpengalaman telah dilatih untuk kerja mubaligh. Sekolah ini menggunakan Bible sebagai buku teks utama. Dengan demikian, para pelajar dibantu untuk mengukuhkan iman mereka, dan memupuk sifat-sifat baik yang diperlukan untuk mengatasi pelbagai cabaran dalam khidmat mubaligh.

“Teruslah Memikirkan Semua Perkara yang Patut Dikasihi.” Anthony Morris, seorang anggota Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa dan pengerusi acara, telah memilih Filipi 4:8 sebagai dasar ceramah pembukaannya. Ayat itu menyatakan, “Teruslah memikirkan . . . semua perkara yang patut dikasihi.”

Saudara Morris menunjukkan bahawa dengan memikirkan perkara-perkara yang patut dikasihi, kita dapat mengekalkan pandangan yang positif meskipun kita hidup dalam dunia yang tidak mementingkan kasih. Dia berkata, “Teruslah mencari perkara-perkara yang patut dikasihi untuk difikirkan, dan berusahalah untuk menjadi orang yang pengasih.”

Sebagai contoh, Bapa kita di syurga menetapkan teladan yang baik bagi kita. Dia tidak asyik berfokus kepada dosa-dosa kita. (Mazmur 130:3) Saudara Morris memberikan galakan ini: “Janganlah asyik bertumpu kepada kesalahan saudara saudari kita, sebaliknya berusahalah untuk menunjukkan kasih.”

“Timbalah Pengetahuan—Namun Jangan Menjadi Terlalu Bijaksana.” Harold Corkern, seorang anggota Ahli Jawatankuasa Pejabat Cawangan di Amerika Syarikat, telah mengembangkan tema yang berdasarkan Pengkhutbah 7:16. Tuhan ingin kita menggunakan pengetahuan kita dalam cara yang betul, dan tidak membiarkan pengetahuan itu membuat kita berlagak pandai.

Saudara Corkern juga menekankan bahawa kita perlu bersikap pengasih semasa memberikan nasihat atau teguran. Kita harus memandang orang lain seperti Tuhan memandang mereka, dan tidak mengharapkan terlalu banyak daripada mereka. Saudara Corkern berkata, “Gunakanlah kebijaksanaan, pengetahuan, dan pengertian kamu dengan baik. Dengan itu, saudara saudari pasti berasa gembira semasa bersama kamu.”

“Janganlah Melupakan Perbuatan Tuhan.” (Mazmur 78:7) Guy Pierce, seorang anggota Badan Pimpinan, memulakan ceramahnya dengan menjelaskan bahawa tingkah laku seorang anak, sama ada yang baik atau yang buruk, akan mempengaruhi nama ibu bapanya. (Amsal 20:11) Begitu juga, tingkah laku kita mempengaruhi nama Bapa kita yang di syurga. “Anak-anak Tuhan dan anak-anak Iblis dapat diketahui dengan jelas melalui fakta ini: Sesiapa yang tidak mengamalkan apa yang betul tidak berasal daripada Tuhan.”—1 Yohanes 3:10.

Saudara Pierce berkata bahawa para pelajar telah dijemput untuk menyertai Sekolah Gilead kerana mereka mempunyai sifat-sifat Kristian yang baik, termasuk kerendahan hati. Dia mengingatkan mereka untuk terus bersikap rendah hati. Pendidikan yang diterima tidak menjadikan mereka lebih baik daripada orang lain. Sebaliknya, kini mereka lebih dilengkapi untuk menyumbang kepada perpaduan Kristian dan untuk menjadi teladan yang baik dari segi kerendahan hati. (Mazmur 133:1) Saudara Pierce juga berkata, “Kamu sudah mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang Bible, dan kamu dapat menggunakan pengetahuan itu untuk memupuk hubungan yang lebih akrab dengan Tuhan Yehuwa.”

“Apa yang Kami Lakukan Hanyalah Kewajipan Kami.” William Samuelson, penyelia Bahagian Sekolah Teokratik, bertanya, “Apakah yang akan kita lakukan jika tugas yang kita terima tidak selaras dengan keinginan, kehendak, dan perasaan kita?” Kita boleh belajar daripada apa yang dinyatakan di Lukas 17:7-10, “Selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’” Jika dibandingkan dengan Tuan kita, Yehuwa, kita sememangnya hamba “yang tidak layak dipuji.”

Selama berminggu-minggu, para pelajar perlu belajar dalam kelas. Hal itu mungkin susah bagi sesetengah orang. “Namun, setelah melakukan kewajipan kamu, kamu merasakan manfaatnya. Iman kamu sudah bertambah kuat,” kata Saudara Samuelson. Akhir sekali, Saudara Samuelson berkata, “Sebagai hamba yang dipercayai, semoga kamu selalu menghargai peluang istimewa untuk berkhidmat kepada Tuan kamu, Penguasa ke atas seluruh alam semesta.”

“Ingatlah akan Jaminan Yehuwa Semasa Menghadapi Cabaran.” Sam Roberson, pembantu penyelia Bahagian Sekolah Teokratik, mengingatkan para pelajar bahawa ada kalanya mereka akan berasa tawar hati. Maka dia menggalakkan mereka untuk berfikir tentang tokoh-tokoh Bible yang pernah dikuatkan oleh Tuhan. Sebagai contoh, Musa meyakinkan Yosua dengan berkata, ‘Yehuwa . . . tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.’ (Ulangan 31:8) Menjelang akhir kehidupannya, Yosua dapat berkata, ‘Kamu masing-masing tahu betul bahawa Yehuwa, Tuhan kamu telah memberi kamu segala yang baik, yang dijanjikan-Nya. Setiap janji-Nya telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya.’—Yosua 23:14.

Tuhan Yehuwa berjanji kepada umat-Nya: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibrani 13:5) Dia meyakinkan kita bahawa Dia akan melakukan segala sesuatu selaras dengan erti nama-Nya, Yehuwa (“Dia Menyebabkan Menjadi”), dan Dia akan menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga para hamba-Nya. Saudara Roberson menggesa hadirin, “Jangan putus asa. Jangan menyerah. Jangan mengalah. Ingatlah, Tuhan sama sekali tidak akan mengecewakan kamu.”

‘Orang di Seluruh Bumi Telah Mendengar Perkhabaran Itu.’ (Roma 10:18) Dengan bantuan pengajar Sekolah Gilead, Saudara Mark Noumair, para pelajar dari pelbagai negara telah menceritakan atau melakonkan semula pengalaman mereka semasa menginjil di kawasan Patterson. Contohnya, sepasang suami isteri berasa gembira semasa bertemu dengan tiga orang wanita yang juga datang dari negara asal mereka, lalu mereka menginjil kepada wanita-wanita itu dalam bahasa Zulu dan Xhosa. Pasangan dari Sri Lanka berjumpa dengan seorang lelaki India. Isteri dan anak perempuan lelaki itu tinggal di Sri Lanka. Lelaki itu tidak pernah melihat Bible, maka pasangan itu telah memberinya Bible mereka.

‘Dilengkapi untuk Melakukan Setiap Perbuatan yang Baik.’ Gene Smalley, pembantu kepada Bahagian Penulisan, telah menemu ramah dua pasangan daripada kelas tersebut yang berasal dari Sierra Leone. Mereka menceritakan bahawa setiap hari, mereka perlu mengangkut air dari luar, kerana mereka tidak mempunyai bekalan air di rumah. Namun cabaran sedemikian sangat berbaloi, kerana mereka meraih banyak sukacita daripada pembelajaran Bible yang diadakan bersama 50 orang pelajar. Mereka berempat menyatakan penghargaan mereka kerana melalui latihan sekolah ini, mereka dilengkapi untuk melakukan setiap perbuatan baik dalam apa jua tugasan pada masa depan.—2 Timotius 3:16, 17.

“Bertahanlah Sampai Akhir—dan Bahkan Selepas Itu.” Gerrit Lösch, seorang anggota Badan Pimpinan, memulakan ceramah utama ini dengan menjelaskan bahawa pelari jarak jauh perlu memastikan agar mereka mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menghabiskan suatu perlumbaan. Dalam acara sukan, hanya terdapat seorang pemenang. Namun dalam perlumbaan Kristian, semua orang yang bertahan sampai akhir merupakan pemenang.

Seseorang yang bertahan sampai akhir ialah seorang yang akan terus menyembah Tuhan. Dia tidak akan hilang harapan meskipun menghadapi tentangan, penganiayaan, cubaan, atau kekecewaan. Yesus berkata, “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Matius 24:13) Yehuwa dan Yesus menghargai ketabahan kita, dan hal itu menguatkan kita! Saudara Lösch kemudiannya mengutarakan beberapa isi yang dapat membantu kita bertahan meskipun menghadapi kesusahan. Antara isi-isi itu ialah:

  • Berdoalah kepada Tuhan, ‘yang memberikan ketabahan’ dan yang “menanggung beban kita.”—Roma 15:5; Mazmur 68:19.

  • Bertekadlah untuk tetap setia, dan yakinlah bahawa “Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.”—1 Korintus 10:13.

  • Teruslah ingat akan harapan kita. “Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia [Yesus] tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan.”—Ibrani 12:2.

Saudara Lösch menekankan bahawa kita sudah sangat dekat dengan garisan penamat, maka sekarang bukanlah masanya untuk berputus asa. “Marilah kita berlari dengan tabah dalam perlumbaan yang ditetapkan di hadapan kita.”—Ibrani 12:1.

Pada akhir acara itu, salah seorang pelajar telah mewakili rakan sekelasnya untuk membacakan surat yang menyatakan penghargaan mereka atas segala latihan yang diterima. Dalam surat itu, para pelajar berkata bahawa pembelajaran Bible yang mendalam, dan pembelajaran tentang kronologi Bible bukan sahaja memperdalam pemahaman mereka tentang kehendak Tuhan, malah telah menggandakan keteguhan iman mereka. Surat itu juga menyatakan, “Kami semua bertekad untuk menerapkan segala perkara baik yang telah kami pelajari.”