Adakah Kegiatan Pengganas Akan Berhenti?
Selepas serangan pengganas berlaku, anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah Tuhan peduli? Mengapakah kejadian sebegini berlaku? Adakah kegiatan pengganas a akan berhenti? Bagaimanakah saya boleh menangani perasaan takut saya?” Bible memberikan jawapan kepada soalan-soalan ini.
Apakah pandangan Tuhan tentang kegiatan pengganas?
Tuhan membenci keganasan dan terorisme. (Mazmur 11:5; Amsal 6:16, 17) Yesus, selaku wakil Tuhan, telah menegur pengikutnya apabila mereka menggunakan keganasan. (Matius 26:50-52) Meskipun sesetengah orang mendakwa mereka melakukan hal yang ganas atas nama Tuhan, Dia tidak memperkenankan perbuatan mereka. Dia bahkan tidak mendengar doa mereka.—Yesaya 1:15.
Tuhan prihatin terhadap semua orang yang menderita, termasuk mereka yang menderita akibat serangan pengganas. (Mazmur 31:7; 1 Petrus 5:7) Bible juga menyatakan bahawa Tuhan akan bertindak untuk mengakhiri keganasan.—Yesaya 60:18.
Punca utama kegiatan pengganas
Bible menjelaskan punca sebenar keganasan, iaitu “manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Sepanjang sejarah manusia, orang yang berkuasa menggunakan keganasan untuk menindas orang lain. Akibatnya mereka yang ditindas juga membalas dengan keganasan.—Pengkhutbah 7:7.
Keganasan akan berakhir
Tuhan berjanji untuk melenyapkan perasaan takut dan keganasan serta menjadikan bumi sebuah tempat yang aman damai. (Yesaya 32:18; Mikha 4:3, 4) Dia akan:
Melenyapkan punca utama keganasan. Tuhan akan menggantikan kerajaan manusia dengan kerajaan-Nya yang akan memerintah seluruh bumi. Raja kerajaan itu, iaitu Yesus Kristus, akan memperlakukan semua orang dengan adil, dan dia akan melenyapkan penindasan dan keganasan. (Mazmur 72:2, 14) Pada masa itu, tiada sesiapa pun yang akan bertindak ganas. Manusia “akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”—Mazmur 37:10, 11.
Melenyapkan semua kesan buruk kegiatan pengganas. Tuhan akan memulihkan orang yang mengalami kecederaan fizikal atau trauma emosi akibat kegiatan pengganas. (Yesaya 65:17; Wahyu 21:3, 4) Dia juga berjanji untuk membangkitkan orang mati supaya mereka dapat hidup semula di bumi yang aman.—Yohanes 5:28, 29.
Ayat-ayat Bible meyakinkan kita bahawa Tuhan akan bertindak tidak lama lagi. Namun anda mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah Tuhan belum menghentikan kegiatan pengganas?” Untuk mengetahui jawapannya, sila tonton video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan?
a Secara umum, “kegiatan pengganas” atau “terorisme” merujuk kepada tindakan atau ancaman, terutamanya terhadap orang ramai. Kegiatan ini bertujuan untuk menimbulkan rasa takut dan untuk mencapai suatu matlamat politik, agama, atau sosial. Namun orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang sama ada kejadian tertentu dianggap sebagai terorisme atau tidak.