Hukum Tuhan mengenai Kebersihan Mendahului Masanya
Pada sekitar 3,500 tahun dahulu, sebelum bangsa Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Tuhan telah berkata bahawa Dia akan melindungi mereka daripada “penyakit-penyakit teruk” yang terdapat di Mesir. (Ulangan 7:15) Satu cara yang digunakan oleh Tuhan ialah dengan memberi mereka arahan yang terperinci mengenai kawalan wabak penyakit dan penjagaan kebersihan. Contohnya:
Hukum bagi orang Israel mewajibkan mereka mandi dan mencuci pakaian.—Imamat 15:4-27.
Mengenai najis manusia, Tuhan menyatakan, “Kamu mesti menyediakan suatu tempat di luar perkhemahan untuk membuang air besar. Semasa kamu pergi membuang air besar, kamu mesti membawa penyodok bersama perlengkapan kamu yang lain. Kamu mesti menggunakan penyodok itu untuk menggali lubang dan untuk menutupi najis kamu.”—Ulangan 23:12, 13.
Orang yang disyaki menghidap penyakit berjangkit perlu dikuarantin atau diasingkan daripada orang lain buat suatu jangka waktu. Mereka boleh kembali semula setelah sembuh, tetapi mereka haruslah mencuci pakaian dan mandi dengan air terlebih dahulu supaya dianggap “tahir.”—Imamat 14:8, 9.
Sesiapa yang menyentuh mayat perlu dikuarantin.—Imamat 5:2, 3; Bilangan 19:16.
Konsep perubatan dan pandangan terhadap kebersihan yang disebut dalam hukum-hukum bangsa Israel jauh mendahului pengetahuan umum pada zaman itu.
Di tempat lain, ramai orang masih ikut standard kebersihan yang lapuk seperti:
Bahan buangan dibiarkan di jalan raya. Air dan makanan yang dicemari, serta persekitaran yang kotor telah menyebabkan semakin ramai orang dijangkiti penyakit dan banyak bayi yang mati.
Doktor pada zaman kuno tidak banyak tahu atau bahkan langsung tidak tahu mengenai kuman dan patogen seperti bakteria dan virus. Orang Mesir menggunakan ramuan seperti darah cicak, tahi burung undan, tikus mati, air kencing, dan roti berkulat sebagai “ubat.” Mereka juga selalu menggunakan najis manusia dan binatang dalam kaedah perubatan.
Orang Mesir kuno dijangkiti pelbagai jenis parasit daripada saluran pengairan Sungai Nil yang tercemar. Begitu juga, banyak bayi yang mati akibat cirit-birit dan penyakit lain yang disebabkan oleh makanan tercemar.
Sebaliknya, bangsa Israel telah meraih manfaat dan tetap hidup sihat kerana mereka mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan.