Adakah Dunia Ini Akan Kiamat atau Berakhir? Apakah Itu Apocalypse?
Apakah yang anda terfikir semasa mendengar ungkapan “hari kiamat”? Anda mungkin terfikir tentang bencana dahsyat yang membunuh semua kehidupan di bumi. Ada yang percaya hal itu akan berlaku tidak lama lagi kerana mereka telah membaca berita-berita seperti:
“Perang nuklear boleh tercetus mungkin kerana sengaja, tidak sengaja, atau kerana salah faham.”—Bulletin of the Atomic Scientists.
“Sepanjang 10 tahun yang lalu, kita mengalami paling banyak ribut, kebakaran hutan, kemarau, pemutihan karang, gelombang haba, dan banjir di seluas dunia.”—National Geographic.
“Belakangan ini, jumlah belalang juta di Afrika bertambah dan menyebabkan kemusnahan yang sangat teruk.”—The Associated Press.
Adakah bumi ini akan musnah kerana bencana yang dahsyat? Apakah pandangan Bible?
Adakah planet kita akan dimusnahkan?
Tidak. Firman Tuhan, iaitu Bible, memberikan jaminan bahawa bumi akan kekal buat selama-lamanya. (Pengkhutbah 1:4) Tuhan tidak akan memusnahkan bumi yang telah diciptakan-Nya. Sebaliknya, Dia akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.”—Wahyu 11:18.
Adakah dunia ini akan kiamat atau berakhir?
Menurut Bible, “dunia” yang akan berakhir atau dimusnahkan merujuk kepada manusia yang mengingkari Tuhan dan bertindak sesuka hati. Seperti pada zaman Nuh, Tuhan akan membinasakan “orang jahat.”—2 Petrus 2:5; 3:7.
Tambahan lagi, 1 Yohanes 2:17 menyatakan, “dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu.” Maka ayat ini menjelaskan bahawa Tuhan tidak akan memusnahkan planet kita, tetapi akan memusnahkan orang yang mempunyai keinginan yang jahat.
Bilakah akhir akan datang?
Bible tidak memberitahu kita bila hal itu akan berlaku. (Matius 24:36) Tetapi Bible menunjukkan bahawa akhir sudah dekat. Perhatikan nubuat-nubuat berikut:
Hal-hal seperti peperangan, kebuluran, wabak, dan gempa bumi yang dahsyat akan “terjadi secara berturut-turut di merata tempat.”—Matius 24:3, 7, 14; Lukas 21:10, 11; Wahyu 6:1-8.
Sebahagian besar manusia akan mementingkan diri. Contohnya, mereka akan “mencintai wang,” “tidak tahu berterima kasih,” dan “tidak tahu mengawal diri.”—2 Timotius 3:1-5.
Banyak orang bersetuju bahawa sejak tahun 1914, keadaan dunia tepat seperti yang dinubuatkan Bible dan akhir sudah dekat. Untuk maklumat lanjut, sila lihat rencana “Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Tahun 1914?” dan “Apakah Tanda ‘Hari-Hari Terakhir,’ atau ‘Akhir Zaman’?”
Apakah maksud perkataan “apocalypse”?
Ramai orang mengaitkan apocalypse dengan hari kiamat. Namun dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan apocalypse bermaksud “mendedahkan” atau “menyingkapkan.” Perkataan itu sering menggambarkan maklumat rahsia yang disingkapkan. Bible juga menyebut tentang masanya “Yesus Kristus disingkapkan [atau, apocalypse].” Hal ini berlaku semasa Yesus disingkapkan sebagai individu yang diberikan kuasa untuk menyingkirkan kejahatan dari bumi dan memberikan ganjaran kepada mereka yang menyembah Tuhan.—2 Tesalonika 1:6, 7; 1 Petrus 1:7, 13.
Buku terakhir dalam Bible dinamakan A·po·kaʹly·psis, atau Wahyu, kerana buku itu menyingkapkan peristiwa pada masa depan. (Wahyu 1:1) Buku itu mengandungi berita baik dan mesej yang membawa harapan. (Wahyu 1:3) Buku itu menunjukkan bahawa Tuhan akan menyingkirkan semua ketidakadilan dan mengubah bumi menjadi firdaus. Pada masa itu, manusia tidak akan lagi mengalami kesakitan, penderitaan, dan bahkan kematian.—Wahyu 21:3, 4.
Adakah anda ingin belajar lebih banyak tentang janji-janji Bible yang menakjubkan? Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan program pembelajaran Bible yang percuma untuk membantu anda. Sila hubungi mereka.