Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah yang Bible Katakan tentang Perang Nuklear?

Apakah yang Bible Katakan tentang Perang Nuklear?

 Hari ini, ancaman perang nuklear semakin meningkat. Hal ini kerana kuasa-kuasa dunia memiliki dan menggandakan senjata nuklear mereka. Menurut Bulletin of the Atomic Scientists, “kita terus dibelenggu ancaman perang nuklear.” Orang ramai risau bahawa semakin banyak senjata nuklear di dunia ini, kemungkinan perang nuklear tercetus juga menjadi semakin tinggi. Ada juga yang takut bahawa hanya satu bom nuklear yang kecil pun dapat memulakan perang nuklear yang berskala besar.

 Benarkah perang nuklear mungkin akan tercetus? Jika ya, dapatkah bumi kita diselamatkan? Bagaimanakah kita dapat menangani rasa khuatir tentang perang nuklear? Apakah yang Bible katakan?

Dalam rencana ini

 Adakah Bible menyatakan bahawa perang nuklear akan berlaku?

 Walaupun Bible tidak sebut secara spesifik tentang hal ini, Bible telah menyatakan sikap-sikap dan kejadian yang menyumbang kepada ancaman perang nuklear.

 Perhatikan ayat Bible berikut dan bandingkannya dengan peristiwa dunia hari ini:

 Ayat Bible: Murid-murid Yesus tanya, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” Yesus jawab, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.”—Matius 24:3, 7.

 Peristiwa dunia: Semakin banyak konflik bersenjata berlaku, termasuk di negara yang memiliki atau mempunyai keupayaan untuk membina senjata nuklear.

 “Dalam beberapa tahun ini, semakin banyak keganasan dan konflik berlaku di seluruh dunia.”—Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata.

 Ayat Bible: “Pada akhir zaman, raja selatan dan [raja utara] akan saling berlawan.”—Daniel 11:40.

 Peristiwa dunia: Negara-negara yang bersengketa dan negara yang bersekutu dengan mereka saling berlawan untuk berebut kuasa, seperti yang dinubuatkan Bible. Hari ini, negara-negara yang ada senjata nuklear mungkin tidak bertempur secara terang-terangan, tetapi mereka terus berusaha meningkatkan keupayaan senjata nuklear mereka.

 “Dalam 10 tahun ini, kami telah lihat peningkatan jumlah konflik antara negara-negara. Ini termasuk konflik di mana negara-negara yang berkuasa masing-masing menyokong pihak yang bertentangan.”—Program Data Konflik Uppsala.

 Ayat Bible: ‘Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang.’2 Timotius 3:1-3.

 Peristiwa dunia: Seperti ramai orang hari ini yang tidak mahu bertolak ansur, para pemimpin dunia juga sering bersikap sedemikian. Apabila konflik timbul, mereka lebih cenderung menggunakan ugutan atau paksaan dan bukannya menyelesaikannya secara damai. Hal ini meningkatkan lagi ancaman perang nuklear.

 “Jika tiada usaha dicurahkan untuk mengukuhkan kerjasama sesama negara, semakin banyak konflik yang membawa kemusnahan akan berlaku.”—S. Saran dan J. Harman, Forum Ekonomi Dunia.

 Adakah Tuhan akan membenarkan perang nuklear untuk berlaku?

 Bible tidak mengatakan apa-apa tentang hal ini. Namun, Bible ada sebut bahawa “kejadian yang menakutkan” akan berlaku pada zaman kita. (Lukas 21:11) Salah satu contoh kejadian ini ialah dua bom atom yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua. Bible ada menjelaskan sebabnya Tuhan membenarkan peperangan untuk berlaku. Untuk mengetahui lebih lanjut, lihat video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan?

 Dapatkah bumi kita diselamatkan?

 Ya. Jika manusia benar-benar menggunakan senjata nuklear lagi, Tuhan tidak akan membenarkan situasi berterusan sehingga bumi dimusnahkan. Bible menjelaskan bahawa bumi bukan sahaja akan selamat mengharungi ancaman kemusnahan, tetapi akan menjadi tempat tinggal manusia untuk selama-lamanya.

 “Bumi kekal buat selama-lamanya.”—Pengkhutbah 1:4.

 ‘Tuhan menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.’—Yesaya 45:18.

 Ada orang yang membayangkan bumi yang rosak dicemari sisa perang nuklear, dan segelintir manusia yang terselamat akan bergelut untuk terus hidup. Namun, Bible menjelaskan bahawa semua kerosakan akibat perang di bumi akan dipulihkan.

 “Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”—Yesaya 35:1.

Tuhan ingin kita hidup bahagia di bumi yang indah

 Pencipta kita telah mencipta bumi dengan keupayaan untuk pulih. Selain itu, Tuhan akan menggunakan kuasa-Nya untuk menjadikan bumi indah semula agar bumi dapat didiami oleh manusia selama-lamanya.—Mazmur 37:11, 29; Wahyu 21:5.

 Bagaimanakah anda dapat menangani kerisauan kerana ancaman nuklear?

 Sesetengah orang mungkin mengalami kerisauan yang melampau kerana ancaman nuklear dan kesan yang mungkin disebabkannya. Janji dan nasihat dalam Bible dapat membantu mereka yang mengalami gejala ini untuk menanganinya dan mengurangkan rasa takut.

 Contohnya, Bible menggambarkan masa depan yang indah bagi bumi dan penduduknya. Harapan ini “bagaikan sauh bagi kehidupan kita.” (Ibrani 6:19, nota kaki) Apabila kita belajar tentang masa depan ini, kita dapat mengurangkan rasa khuatir. Selain itu, kita juga boleh bertumpu kepada kegiatan seharian, dan bukannya asyik membayangkan hal-hal buruk yang mungkin berlaku pada masa depan. Seperti yang dikatakan Yesus, “cukuplah masalah untuk hari ini.”—Matius 6:34.

 Menjaga kesihatan mental dan emosi juga penting agar kita dapat berfikir dengan jelas dan mempunyai ketenangan hati. Kita dapat melakukannya dengan mengehadkan pendedahan kita kepada maklumat yang buat kita rasa khuatir seperti perbincangan, ramalan, dan pendapat orang tentang perkembangan senjata nuklear. Hal ini tidak bermaksud kita menafikan realiti. Sebaliknya, kita sedang melapangkan fikiran kita dengan tidak merisaukan perkara yang di luar kawalan kita dan yang mungkin tidak akan berlaku.

 “Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.”—Amsal 12:25.

 Bebaskan diri daripada berita yang negatif untuk seketika waktu dan luangkan masa untuk berfokus kepada hal-hal yang positif dalam hidup anda.

 “Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya.”—Roma 15:13.

Bible memberi kita keyakinan bahawa masa depan kita akan jadi lebih baik

 Dengan menimba pengetahuan tentang janji Tuhan, anda akan mendapat harapan, sukacita, serta kedamaian minda dan hati.

 Adakah Armagedon yang dinyatakan dalam Bible suatu perang nuklear?

 Ada orang fikir bahawa Armagedon ialah satu perang nuklear global. Mereka juga bayangkan bahawa Armagedon akan membawa kemusnahan yang sama dengan perang nuklear.

 Namun, Bible menggunakan perkataan “Armagedon” untuk merujuk kepada perang yang akan berlaku antara “raja-raja di seluruh bumi,” atau kerajaan manusia, dengan Tuhan. a (Wahyu 16:14, 16) Armagedon bukan seperti perang nuklear yang menyebabkan kemusnahan secara rambang. Sebaliknya, Tuhan hanya akan memusnahkan orang jahat semasa Armagedon, dan hal ini akan membawa keamanan dan keselamatan yang sejati.—Mazmur 37:9, 10; Yesaya 32:17, 18; Matius 6:10.

 Apakah yang Bible katakan tentang cara untuk mengakhiri peperangan?

 “Tuhan menghentikan peperangan di seluruh dunia. Dia mematahkan busur dan menghancurkan tombak; Dia menghanguskan semua kereta kuda.”—Mazmur 46:9.

 Tuhan Yehuwa b akan menunjukkan kuasa-Nya dengan menghentikan konflik antara negara-negara dan memusnahkan senjata perang mereka. Dia akan melaksanakan hal ini melalui Kerajaan-Nya di syurga. Kerajaan ini akan mengambil alih pemerintahan manusia lalu memerintah bumi.—Daniel 2:44.

 Kerajaan Tuhan akan mendidik manusia untuk hidup dengan damai dan harmoni. Oleh kerana hanya ada satu kerajaan yang memerintah di seluruh bumi, konflik antarabangsa akan lenyap. Orang ramai juga tidak akan belajar untuk berperang lagi! (Mikha 4:1-3) Apakah hasilnya? “Semua orang akan hidup aman di ladang anggur dan kebun ara mereka; tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.”—Mikha 4:4, Alkitab Berita Baik.

a Lihat rencana “Apakah Itu Perang Armagedon?

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?