Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

ELFRIEDE URBAN | KISAH HIDUP

Khidmat Mubaligh yang Memuaskan

Khidmat Mubaligh yang Memuaskan

Ada banyak cabaran timbul pada tahun saya dilahirkan. Saya dilahirkan di Czechoslovakia pada 11 Disember 1939, iaitu tiga bulan selepas Perang Dunia Kedua bermula. Ibu saya mengalami komplikasi semasa melahirkan saya, akibatnya dia meninggal dua minggu kemudian. Sebelum itu, bapa saya telah berpindah ke Jerman untuk bekerja. Syukurlah orang tua ibu saya sudi menjaga saya. Pada masa itu, mereka masih membesarkan tiga mak cik saya, iaitu adik-adik perempuan ibu saya.

Bersama dengan datuk nenek saya

 Perang berakhir pada 1945, tetapi kehidupan selepas perang masih mencabar. Kami orang Jerman, jadi kami telah diusir dari ke Czechoslovakia dan dihantar ke Jerman. Di sana, bandar-bandar telah dimusnahkan dan banyak orang sangat miskin. Ada kalanya, mak cik saya akan berbaris sepanjang malam hanya untuk mendapatkan sedikit makanan. Pada masa lain, kami akan pergi ke hutan untuk memetik buah beri hitam dan cendawan, dan kami dapat menukarnya dengan roti. Pencatuan makanan sangat teruk. Orang bahkan mencuri binatang peliharaan untuk memakannya. Biasanya, kami akan tidur dengan perut kosong.

Kali Pertama Keluarga Saya Mendengar Kebenaran Bible

 Datuk nenek saya merupakan penganut Katolik, tetapi kami tidak mempunyai Bible. Paderi tempatan enggan menjual Bible kepada datuk saya kerana dia kata ahli gereja hanya perlu mendengar Misa Katolik. Jadi, datuk saya ada banyak soalan yang tidak terjawab tentang Tuhan.

 Saya berumur tujuh tahun semasa dua orang Saksi Yehuwa datang ke rumah kami. Mereka menggunakan Bible untuk menjawab soalan datuk saya mengenai topik seperti Tritunggal, api neraka, dan keadaan orang mati. Datuk saya mendapati bahawa jawapan Bible sangat jelas dan memuaskan. Dia yakin bahawa dia telah menjumpai kebenaran. Selepas itu, keluarga kami setuju untuk belajar Bible secara tetap dengan sepasang Saksi.

Menetapkan Matlamat dalam Hidup

 Saya mengasihi Yehuwa bahkan sejak kecil lagi. Saya suka membaca rencana tentang mubaligh yang berkhidmat di kawasan yang jauh. Saya tertanya-tanya, “Macam mana kehidupan mereka? Apa rasanya menginjil kepada orang yang belum pernah mendengar nama Yehuwa?”

Tidak lama sebelum saya menetapkan khidmat mubaligh sebagai matlamat saya

 Semasa berumur 12 tahun, saya memutuskan bahawa saya mahu menjadi seorang mubaligh, jadi saya mula berusaha mencapai matlamat itu. Mula-mula, saya mencurahkan usaha untuk menjadi penginjil berita baik yang bersemangat. Kemudian, saya dibaptis pada 12 Disember 1954, dan belakangan saya menjadi seorang perintis. Matlamat saya hampir tercapai!

 Saya tahu saya perlu pandai cakap bahasa Inggeris untuk menghadiri Sekolah Gilead bagi mubaligh, jadi saya berusaha untuk belajar bahasa itu. Saya fikir saya boleh berlatih dengan askar Amerika yang berada di Jerman pada masa itu. Suatu hari saya menghampiri seorang askar dan berkata kepadanya, “Saya Kristus.” Dia memandang saya dan berkata dengan lembut, “Saya rasa maksud kamu, ‘Saya Kristian.’” Tidak seperti yang saya fikirkan, bahasa Inggeris saya belum lagi lancar!

 Semasa saya berumur awal 20-an, saya berpindah ke England. Di sana, pada waktu pagi saya bekerja sebagai penjaga budak untuk sebuah keluarga Saksi. Pada waktu petang, saya akan menginjil dari rumah ke rumah dan itu merupakan peluang yang sangat baik untuk berlatih bahasa Inggeris. Selepas setahun di England, bahasa Inggeris saya telah bertambah baik.

 Saya kembali ke Jerman, dan pada Oktober 1966, saya dijemput untuk berkhidmat sebagai perintis khas di Mechernich. Namun, seperti cuaca yang dingin di sana, sambutan orang terhadap mesej kami juga sangat dingin. Mereka tidak pernah menjemput kami masuk ke rumah walaupun suhu berada di bawah takat beku. Saya selalu merayu kepada Yehuwa, “Jika suatu hari nanti Engkau mengizinkan saya berkhidmat sebagai mubaligh, tolonglah hantar saya ke kawasan yang hangat.”

Mencapai Matlamat Saya

 Selepas berkhidmat sebagai perintis khas selama beberapa bulan, Yehuwa mengabulkan keinginan saya! Saya menerima jemputan untuk menghadiri kelas ke-44 Sekolah Gilead bagi mubaligh, yang tamat pada 10 September 1967. Ke manakah saya ditugaskan? Ke Nicaragua, sebuah negara tropika di Amerika Tengah! Para mubaligh yang sudah berada di sana menyambut saya dan tiga rakan saya dengan tangan terbuka. Saya berasa seperti Rasul Paulus yang “mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah” apabila para saudara datang menemuinya.—Kisah 28:15.

Di Sekolah Gilead (saya di sebelah kiri), bersama dengan pelajar lain iaitu Francis dan Margaret Shipley

 Saya ditugaskan ke León sebuah bandar yang aman. Di sana, saya bertekad untuk belajar bahasa Sepanyol secepat yang mungkin. Namun, saya rasa susah belajar bahasa itu walaupun saya mempelajarinya selama 11 jam setiap hari untuk dua bulan!

 Saya ingat bahawa pada suatu hari, seorang penghuni rumah menawarkan saya jus buah, iaitu fresco dalam bahasa Nicaragua. Saya sangka saya jawab dia saya hanya boleh minum “air tapis.” Tapi, wanita itu kelihatan bingung. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu bahawa dengan bahasa Sepanyol saya yang terhad, saya telah menjawab dia yang saya hanya boleh minum “air suci”! Syukurlah, seraya masa berlalu, bahasa Sepanyol saya semakin lancar.

Bersama Marguerite, rakan mubaligh saya selama 17 tahun

 Biasanya, saya akan belajar Bible dengan seluruh keluarga. Oleh sebab saya berasa selamat di León, saya suka mengadakan pembelajaran Bible pada waktu malam, ada kalanya sampai pukul 10 malam. Saya tahu nama hampir semua orang di bandar itu. Dalam perjalanan pulang, saya akan menyapa dan berbual dengan jiran-jiran yang ramah yang sedang duduk di kerusi goyang mereka di luar rumah untuk menikmati udara yang nyaman pada waktu malam.

 Saya telah membantu beberapa orang untuk belajar kebenaran di León. Salah satunya ialah Nubia, iaitu ibu kepada lapan anak lelaki yang masih kecil. Kami belajar Bible sehinggalah saya ditugaskan ke Managua pada tahun 1976. Saya tidak berhubung dengan Nubia dan anak-anaknya selama 18 tahun sehinggalah saya kembali ke León untuk menghadiri sebuah konvensyen. Pada waktu rehat, saya dikelilingi dengan sekumpulan anak muda. Mereka ialah anak-anak Nubia! Saya rasa teruja melihat bahawa Nubia telah berjaya membesarkan anak-anaknya dalam kebenaran.

Khidmat Mubaligh pada Masa Susah

 Pada lewat tahun 1970-an, Nicaragua mula mengalami perubahan sosial dan politik. Kami terus menginjil sedaya upaya kami. Saya ditugaskan ke Masaya yang terletak di selatan ibu kota Nicaragua. Di situ, kami sering berhadapan dengan pembantah dan perusuh yang bersenjata. Pada suatu malam, semasa kami di perjumpaan, pejuang Sandinista dan pengawal kerajaan mula menembak satu sama lain. Jadi, kami harus berbaring di lantai Dewan Perjumpaan untuk mengelakkan daripada terkena tembakan. a

 Pada masa lain, semasa saya menginjil, seorang pejuang Sandinista yang bertopeng sedang menembak seorang pengawal. Saya cuba melarikan diri, tetapi lebih banyak orang yang bertopeng muncul. Saya berlari untuk mencari tempat yang selamat, tetapi tidak berjaya. Helikopter kerajaan mula menembak secara bertubi-tubi. Tiba-tiba, seorang lelaki membuka pintu rumahnya dan menarik saya ke dalam. Saya merasakan Yehuwa telah menyelamatkan saya!

Diusir!

 Saya berkhidmat di Masaya sehingga 20 Mac 1982. Itu hari yang tidak akan saya lupakan. Pada awal pagi, saya dan lima rakan mubaligh mahu bersarapan. Tiba-tiba, kami nampak sekumpulan askar Sandinista yang membawa mesingan masuk ke halaman belakang rumah mubaligh kami. Mereka menyerbu masuk ke bilik makan dan salah seorang daripada mereka dengan tegas memberikan perintah ini: “Setiap seorang daripada kamu ada satu jam untuk kemas satu beg. Kemudian kamu harus ikut kami.”

 Para askar itu membawa kami ke sebuah ladang. Di sana, kami ditahan selama beberapa jam. Kemudian, empat daripada kami dibawa menaiki sebuah bas kecil ke sempadan Costa Rica. Kami diusir dari negara itu. Pada kemudian hari, 21 mubaligh juga telah diusir.

 Para saudara dari Costa Rica memberi kami tempat tinggal, dan keesokan harinya kami tiba di pejabat cawangan di San José. Kami tidak tinggal lama di sana. Kira-kira sepuluh hari kemudian, lapan daripada kami menuju ke tugasan mubaligh yang baharu di Honduras.

Berkhidmat di Honduras

 Di Honduras, saya ditugaskan ke Tegucigalpa. Sepanjang 33 tahun saya berkhidmat di bandar itu, satu sidang berkembang menjadi lapan sidang. Sedihnya, seraya masa berlalu, jenayah ganas semakin menular di Tegucigalpa. Ada banyak pencuri dan saya pernah dirompak beberapa kali. Ada juga ahli geng yang meminta wang daripada saya. Wang itu mereka panggil sebagai “cukai perang.” Tetapi saya memberitahu mereka, “Saya mempunyai sesuatu yang jauh lebih berharga daripada wang.” Kemudian, saya akan memberi mereka sebuah risalah atau majalah. Biasanya, mereka akan melepaskan saya!

 Kebanyakan orang di Tegucigalpa suka damai dan baik hati, dan saya membantu beberapa daripada mereka mempelajari kebenaran. Contohnya, saya ingat pelajar Bible saya bernama Betty. Dia nampaknya membuat kemajuan, tetapi satu hari dia memberitahu saya bahawa dia akan menyertai gereja evangelis. Saya kecewa, tetapi perasaan itu berubah dua tahun kemudian semasa Betty meninggalkan gereja itu dan belajar Bible semula dengan saya. Mengapa dia kembali? Betty merindui kasih sejati yang dia rasai dalam sidang. (Yohanes 13:34, 35) Dia memberitahu saya, “Kamu mengalu-ngalukan semua orang dengan ramah di perjumpaan, tidak kira mereka miskin atau kaya. Kamu memang berbeza.” Pada kemudian hari, Betty telah dibaptis.

 Rumah mubaligh di Tegucigalpa ditutup pada tahun 2014. Selepas itu, saya ditugaskan ke Panama. Sekarang saya tinggal bersama empat orang mubaligh yang telah lama berkhidmat.

Mencapai Matlamat Rohani Membawa Sukacita Sejati

 Kini, saya telah menghabiskan kira-kira 55 tahun dalam khidmat mubaligh. Baru-baru ini, masalah kesihatan telah menyebabkan saya tidak dapat buat banyak seperti dahulu. Namun, Yehuwa telah membantu saya untuk terus giat mengajar orang lain tentang-Nya.

 Bolehkah saya bertumpu untuk mengejar hal lain dalam hidup? Ya, memang boleh. Tapi, saya tidak akan terima begitu banyak berkat! Saya telah membantu lebih daripada 50 orang untuk belajar kebenaran Bible dan mereka telah menjadi anak-anak rohani saya. Saya juga ada banyak kawan. Selain daripada keluarga rohani yang besar ini, saya juga menerima kasih sayang dan sokongan daripada mak cik saya, iaitu Steffi, yang tinggal di Jerman.

 Walaupun saya tidak pernah berkahwin, saya tidak pernah rasa keseorangan. Yehuwa sentiasa menyertai saya. Saya juga mempunyai kawan-kawan yang sangat baik seperti Marguerite Foster, yang telah menjadi rakan mubaligh saya selama 17 tahun. Kami menikmati banyak pengalaman bersama dan kami telah menjadi kawan baik bahkan sampai hari ini.—Amsal 18:24.

 Saya mendapat kepuasan terbesar kerana mengetahui bahawa saya telah menggunakan kehidupan saya dalam cara yang terbaik, iaitu menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya. Matlamat saya sejak kecil telah tercapai dan hasilnya saya menikmati banyak pengalaman yang menarik. Saya rasa sangat gembira dan saya menantikan saatnya saya dapat menyembah Yehuwa buat selama-lamanya.

a Barisan Pembebasan Kebangsaan Sandinista menjadi terkenal di Nicaragua pada lewat tahun 1970-an dan akhirnya menggulingkan dinasti yang telah memerintah selama lebih daripada 40 tahun.