BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2021—Saudara dan Saudari Kita Tidak Diabaikan
1 JANUARI 2022
Pada tahun aktiviti penyebaran 2021, a seluruh dunia terus menderita akibat pandemik COVID-19. Seperti yang dinyatakan dalam rencana “Bantuan Diberikan di Serata Dunia semasa Pandemik Global,” kita telah membelanjakan berjuta-juta dolar b untuk membantu mangsa pandemik dan telah menubuhkan lebih daripada 950 Jawatankuasa Bantuan Bencana.
Saudara saudari kita di serata dunia bukan sahaja menderita akibat pandemik ini, tetapi juga kerana bencana alam dan bencana yang disebabkan oleh manusia. Terdapat lebih daripada 200 bencana sedemikian. Jadi, selain daripada bantuan COVID-19, Jawatankuasa Koordinator bagi Badan Pimpinan telah meluluskan perbelanjaan tambahan sebanyak lapan juta dolar bagi membantu mangsa bencana. Mari kita lihat bagaimana sumbangan anda digunakan untuk membantu mangsa yang terlibat dalam dua bencana yang berlaku baru-baru ini.
Letusan Gunung Nyiragongo
Pada 22 Mei 2021, Gunung berapi Nyiragongo di Republik Demokratik Congo mula meletus. Lava yang mengalir telah memusnahkan rumah, sekolah, dan sebuah tempat yang menampung air. Namun, selain lava, terdapat juga bahaya yang lain. Selama beberapa hari selepas letusan itu, debu toksik dari gunung berapi itu jatuh di bandar Goma dan terdapat banyak gegaran yang telah berlaku. Lebih daripada separuh penduduk di bandar itu diarahkan untuk berpindah. Ratusan ribu orang melarikan diri. Terdapat juga orang yang melarikan diri ke Rwanda.
Di antara pelarian itu ialah 5,000 Saksi-Saksi Yehuwa. Ada yang kehilangan rumah akibat letusan itu, dan ada yang rumah mereka dirompak setelah mereka melarikan diri. Jawatankuasa Bantuan Bencana di Rwanda dan Demokratik Republik Congo telah bekerjasama mengatur bantuan untuk mangsa bencana. Mengenai satu Jawatankuasa Bantuan Bencana, pejabat cawangan Congo (Kinshasa) melaporkan, “Walaupun keadaan di bandar itu huru-hara, dan arahan pemindahan belum diberikan, jawatankuasa tersebut sudah pun mula mengedarkan makanan, minuman, selimut, serta pakaian.” Di satu bandar di mana lebih daripada 2000 saudara saudari kita telah berkumpul, Jawatankuasa Bantuan Bencana membantu memasang khemah, memberikan pelitup muka, dan menerangkan cara-cara untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 dan kolera.
Dalam tempoh masa kurang daripada tiga bulan dari bencana itu, saudara saudari kita telah mengedarkan lebih daripada enam tan beras, enam tan tepung jagung, tiga tan minyak masak, dan tiga tan air. Untuk menjimatkan kos perbelanjaan, pejabat cawangan telah mengaturkan pembelian makanan di kawasan tempatan, dalam kuantiti yang besar daripada membelinya dari luar negara yang mungkin lebih mahal.
Seorang saudari yang telah kehilangan rumah baharunya akibat letusan berkata, “Kami sangat sedih dan patah hati.” Namun, setelah dia dan keluarganya menerima bantuan secara fizikal dan rohani dia berkata, “Dengan bantuan Yehuwa, kami sentiasa ada apa yang kami perlukan. Kami melihat bagaimana Yehuwa memikul beban kami dan hal ini membantu kami menanggung beban itu dengan mudah.”
Kejatuhan Ekonomi Venezuela
Venezuela telah mengalami krisis ekonomi yang teruk selama bertahun-tahun. Saudara saudari kita di sana telah menghadapi keadaan hidup yang sangat mencabar, termasuk kekurangan makanan dan kadar jenayah yang semakin meningkat. Tetapi, organisasi Yehuwa tidak mengabaikan mereka.
Pada tahun aktiviti penyebaran yang lalu, lebih daripada 1.5 juta dolar telah dibelanjakan untuk pembelian dan penghantaran makanan serta sabun kepada keluarga yang memerlukannya. Pejabat cawangan Venezuela melaporkan, “Memang tidak senang untuk menghantar 130 tan makanan ke seluruh negara setiap bulan dan untuk memastikan bahawa makanan itu sampai kepada mereka yang memerlukannya.” Supaya makanan tidak cepat rosak, saudara saudari membeli dan menghantar makanan yang tahan lama. Pejabat cawangan menambah, “Kami juga membeli kebanyakan makanan mengikut musim yang sesuai dan dalam kuantiti yang besar supaya harganya lebih murah. Kemudian, kami akan menghantarnya menggunakan kaedah yang paling menjimatkan.”
Leonel, seorang ahli Jawatankuasa Bantuan Bencana di Venezuela sangat menyukai tugasannya. Dia berkata, “Kerja memberi bantuan ini sangatlah istimewa bagi saya. Tugasan ini amat menggalakkan saya sejak kematian isteri kesayangan saya akibat COVID-19. Saya tetap sibuk dan berasa berguna bagi saudara saudari yang memerlukan bantuan. Saya menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana Yehuwa menepati janji untuk tidak mengabaikan umat-Nya.”
Seorang saudara yang dahulunya berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Bantuan Bencana, yang kini menerima bantuan bencana berkata, “Sekarang giliran saya pula untuk memerlukan bantuan.” Dia menambah, “Kami bukan sahaja menerima bantuan fizikal, malahan, saudara saudari juga membantu saya dan isteri untuk bertenang. Mereka menjaga kami, menghiburkan hati kami, dan menggalakkan kami.”
Sesetengah bencana berlaku secara tiba-tiba dan tanpa amaran. Namun, organisasi Yehuwa dapat mengumpulkan dan menghantarkan bekalan bantuan bencana dengan cepat dan pantas. Hal ini dapat dilakukan kerana sumbangan anda untuk kerja sedunia. Maklumat tentang beberapa kaedah sumbangan boleh didapati di donate.jw.org. Kami menghargai kemurahan hati anda.