BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Lagu-Lagu yang Membantu Kita Menghampiri Tuhan
1 NOVEMBER 2021
Muzik ialah kurniaan yang indah daripada Yehuwa. Muzik dapat mempengaruhi hati dan minda kita serta memberi kita inspirasi. Begitu juga dengan lagu-lagu asal kita. Selain daripada manfaat yang disebutkan tadi, lagu-lagu asal kita juga dapat membantu kita lebih mendekati Yehuwa.
Sejak tahun 2014, lebih daripada 70 buah lagu asal telah dihasilkan dan kini sekurang-kurangnya satu daripada lagu itu boleh didapati dalam lebih daripada 500 bahasa. Tetapi anda mungkin tertanya-tanya, “Siapakah yang menggubah lagu-lagu itu dan bagaimanakah lagu-lagu itu dihasilkan?”
Di Sebalik Tabir
Lagu-lagu asal dihasilkan oleh pasukan muzik di Bahagian Khidmat Audio/Video yang bekerja di bawah bimbingan Jawatankuasa Mengajar Badan Pimpinan. Pasukan muzik terdiri daripada 13 orang saudara saudari yang membantu dalam kerja menggubah, kejuruteraan muzik, penjadualan, dan kerja-kerja sokongan yang lain. Tambahan lagi, Jawatankuasa Mengajar telah meluluskan sukarelawan luar Bethel dari serata dunia untuk membantu dalam kerja ini. Mereka melakukan kerja seperti menggubah lagu, memainkan muzik, dan menyanyi. Mereka menggunakan bakat mereka untuk memuliakan Yehuwa dan bukannya untuk mencari kemasyhuran sendiri.
Bagaimanakah sebuah lagu asal dihasilkan? Mula-mula, Jawatankuasa Mengajar menentukan prinsip Bible dan emosi yang ingin ditonjolkan. Kemudian, pasukan muzik menerima tugasan untuk menggubah muzik dan menulis liriknya. Mereka akan menyediakan sebuah sampel rakaman. Jawatankuasa Mengajar akan mendengar sampel lagu itu dan memberikan arahan selanjutnya. Kemudian, pasukan muzik akan membuat penyesuaian dan lagu itu akan dirakam semula. Kerja rakaman dijalankan di pelbagai lokasi termasuk pejabat cawangan dan studio di rumah.
Untuk menggubah dan merakam lagu-lagu asal, saudara saudari kita menggunakan perisian audio, program mencatatkan nota-nota muzik, perpustakaan audio, dan sebagainya. Untuk melakukan kerja-kerja ini, mereka menggunakan peralatan seperti alat muzik, audio mixer, amplifier, pembesar suara, dan mikrofon. Kos sebuah mikrofon adalah di antara 100 dolar Amerika (sekitar RM 400) hingga lebih daripada 1,000 dolar Amerika (sekitar RM 4,000). Pada tahun 2020, kami telah membelanjakan 116,000 dolar Amerika (sekitar RM 480,000) untuk membeli peralatan merakam muzik.
Bagaimanakah duit sumbangan digunakan dengan bijak? Daripada mempunyai pasukan muzik yang besar di Bethel, kami menggunakan ramai sukarelawan di luar Bethel. Selain itu, daripada membentuk sebuah orkestra yang besar dan membuat rakaman, saudara saudari kita sering kali menggubah dan menghasilkan muzik secara digital.
“Lagu-Lagu Ini Menguatkan Iman Saya”
Saudara saudari suka mendengar lagu-lagu asal. Tara yang tinggal di Jerman berkata, “Lagu-lagu ini membantu saya menenangkan perasaan sewaktu saya resah. Apabila saya dapat mendengar lagu-lagu ini dalam bahasa saya, saya berasa seperti dipeluk oleh Yehuwa.” Seorang saudara di Kazakhstan yang bernama Dimitri berkata, “Saya suka mendengar lagu-lagu ini kerana saya tidak perlu risau sama ada liriknya selaras dengan prinsip-prinsip Bible. Selain itu, lagu-lagu ini bantu saya untuk terus bertumpu kepada hal-hal rohani.”
Delia di Afrika Selatan menggambarkan perasaannya semasa mendengar lagu-lagu asal: “Lagu-lagu ini menguatkan iman saya. Sewaktu saya sedih atau menghadapi cabaran, saya selalu dapat cari lagu yang membantu saya. Sering kali, irama lagu itu sudah pun dapat menaikkan semangat saya!”
Sesetengah lagu asal telah menjadi lagu kegemaran saudara saudari kita. Lerato yang juga berasal daripada Afrika Selatan berkata, “Lagu ‘Tidak Lama Tiba’ dan ‘Di Dunia yang Baru’ membantu saya menggambarkan diri di dunia baharu apabila saya dapat berjumpa semula dengan ibu saya yang tersayang. Setiap kali saya mendengar lagu-lagu itu, saya membayangkan dia berlari ke arah saya untuk memeluk saya.”
Seorang remaja di Sri Lanka mendapati bahawa sebuah lagu asal banyak membantunya. Dia berkata, “Saya telah dimarahi oleh guru sains saya di kelas kerana saya ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Saya berasa takut dan tidak tahu macam mana untuk menjawab. Semasa saya pulang ke rumah, ibu saya menggalakkan saya untuk mendengar lagu ‘Mari Belajar.’ Lagu itu membantu saya untuk sedar bahawa saya perlu membuat penyelidikan dan menyediakan sebuah jawapan. Keesokan harinya, saya bercakap dengan guru itu. Dia mendengar penjelasan saya dan berkata bahawa kini dia lebih memahami kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya bersyukur kerana organisasi Yehuwa menyediakan lagu-lagu yang begitu menggalakkan.”
Bagaimanakah kos untuk menghasilkan lagu-lagu ini dibiayai? Melalui sumbangan untuk kerja sedunia. Sebahagian besar sumbangan dibuat melalui donate.jw.org. Terima kasih atas kemurahan hati anda.