PERBUALAN DENGAN PENGHUNI RUMAH
Bilakah Kerajaan Tuhan Mula Memerintah? (Bahagian 2)
Berikut merupakan perbualan yang mungkin diadakan oleh seorang Saksi-Saksi Yehuwa dengan penghuni rumah. Bayangkan Saksi itu bernama Sam dan dia sedang mengunjungi seorang lelaki yang bernama Jon.
ULANG KAJI TENTANG MIMPI NEBUKADNEZAR
Sam: Hi, Jon. Saya gembira kamu dapat belajar Bible hari ini. * Kamu apa khabar?
Jon: Saya OK.
Sam: Bagus. Hari itu, kita telah bincang tentang mengapa Saksi-Saksi Yehuwa percaya Kerajaan Tuhan mula memerintah pada tahun 1914. * Satu bukti penting terdapat di nubuat dalam bab 4 buku Daniel. Kamu masih ingat nubuat ini tentang apa?
Jon: Tentang pokok besar dalam mimpi Raja Nebukadnezar.
Sam: Tepat sekali. Dalam mimpinya, Nebukadnezar melihat pokok yang besar sehingga puncaknya sampai ke langit. Kemudian dia mendengar arahan daripada malaikat Tuhan bahawa pokok itu harus ditebang. Tapi, Tuhan mengarahkan supaya tunggul pokok itu dibiarkan sahaja. Selepas “tujuh tahun” [atau, “tujuh waktu”], pokok itu akan tumbuh semula. * Kita juga bincang tentang bagaimana nubuat ini menjadi kenyataan sebanyak dua kali. Apakah yang berlaku semasa nubuat ini menjadi kenyataan buat kali pertama?
Jon: Raja Nebukadnezar telah menjadi tidak waras selama tujuh tahun, kan?
Sam: Ya. Pada masa itu, dia tidak dapat memerintah sebagai raja. Maka, pemerintahannya tergendala selama tujuh tahun. Tetapi nubuat ini menjadi kenyataan buat kali kedua, iaitu apabila pemerintahan Tuhan tergendala selama jangka masa “tujuh waktu.” Jangka masa ini bermula pada tahun 607 SM apabila Yerusalem dimusnahkan. Sepanjang jangka masa ini, pemerintahan Tuhan seolah-olah tergendala kerana tiada raja di bumi yang mewakili Tuhan untuk memerintah umat-Nya. Tapi, pada akhir jangka masa “tujuh waktu” ini, Tuhan akan memilih raja baharu untuk mewakili-Nya. Kali ini, Dia akan memilih seorang pemerintah di syurga. Jadi, akhir jangka masa “tujuh waktu” ini menandakan permulaan pemerintahan Kerajaan Tuhan di syurga. Sebelum ini, kita sudah bincang tentang bila “tujuh waktu” ini bermula. Sekarang, mari kita mengira jangka masa “tujuh waktu” untuk mengetahui bila Kerajaan Tuhan mula memerintah. Kamu dah sedia?
Jon: Ya.
Sam: Baiklah, mari kita ketahui jawapannya. Saya sendiri pun perlu baca dan kaji lebih tentang topik ini. Jadi saya harap saya dapat menjelaskannya dengan baik supaya kamu senang faham.
Jon: OK.
TUJUH WAKTU TAMAT—BERMULANYA HARI-HARI TERAKHIR
Sam: Bagi kejadian pertama yang melibatkan Raja Nebukadnezar, “tujuh waktu” ini ialah tujuh tahun. Tetapi bagi kejadian kedua yang melibatkan Kerajaan Tuhan, “tujuh waktu” pasti merujuk kepada jangka masa yang lebih lama daripada tujuh tahun.
Jon: Kenapa pula?
Sam: Sebab kita mesti ingat bahawa “tujuh waktu” ini bermula semasa Yerusalem dimusnahkan pada 607 SM. Jika kita kira tujuh tahun dari masa itu, kita akan sampai tahun 600 SM. Tetapi, tiada apa-apa yang menonjol tentang tahun itu. Selain itu, ratusan tahun kemudian semasa Yesus di bumi, dia menyatakan bahawa jangka masa “tujuh waktu” belum berakhir.
Jon: Oh, betul. Saya baru ingat.
Sam: Jadi nampaknya jangka masa itu lebih panjang daripada tujuh tahun.
Jon: Bagaimana kita tahu berapa lama “tujuh waktu”?
Sam: Nubuat buku Daniel berkait rapat dengan buku Wahyu. Buku Wahyu ada sebut bahawa tiga waktu setengah bersamaan dengan 1,260 hari. * Maka “tujuh waktu” (1,260 hari x 2) adalah bersamaan dengan 2,520 hari. Setakat ini OK?
Jon: Ya, masih OK. Tapi saya masih tidak faham bagaimana kita boleh sampai tahun 1914.
Sam: Dalam nubuat Bible, satu hari juga boleh digunakan untuk melambangkan satu tahun. * Maksudnya, 2,520 hari sebenarnya bersamaan dengan 2,520 tahun. Sekarang, mari kita kira 2,520 tahun dari tahun 607 SM. Kita akan mendapat tahun 1914. Itulah masanya “tujuh waktu” berakhir dan Yesus mula memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Yang menarik juga, seperti yang dinubuatkan oleh Bible tentang hari-hari terakhir, beberapa peristiwa penting telah berlaku pada tahun itu.
Jon: Peristiwa apa?
Sam: Mari kita baca kata-kata Yesus di Matius 24:7. Yesus sendiri jelaskan apa yang akan berlaku apabila dia mula memerintah di syurga. Yesus kata, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” Adakah kamu setuju, semua kejadian ini sering berlaku pada zaman kita?
Jon: Ya.
Sam: Dalam ayat ini, Yesus juga menubuatkan bahawa peperangan akan berlaku. Buku Wahyu menubuatkan bahawa peperangan yang berlaku pada masa itu akan melibatkan seluruh bumi. * Kamu tahukah bila Perang Dunia Pertama bermula?
Jon: Tahun 1914! Oh, itu tahun yang sama Yesus mula memerintah! Baru sekarang saya sedar dua peristiwa ini ada kaitan.
Sam: Ya, apabila kita faham kaitan antara nubuat “tujuh waktu” dengan nubuat tentang hari-hari terakhir, semuanya lebih masuk akal. Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa yakin bahawa Yesus mula memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan pada 1914, dan itulah tahun hari-hari terakhir bermula.
Jon: Saya rasa saya perlukan masa untuk faham maklumat ini.
Sam: Jangan risau, Jon. Bagi saya pun begitu. Tetapi saya harap dari perbincangan ini, kamu boleh lihat bukti bahawa biarpun tahun 1914 tidak disebut secara spesifik dalam Bible, kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa tentang tahun itu adalah berdasarkan Bible.
Jon: Ya, memang saya setuju ajaran yang kamu kongsi dengan saya selalu berdasarkan Bible. Tapi, saya susah faham kenapa Tuhan tidak terus beritahu kita dalam Bible bahawa Yesus akan mula memerintah pada 1914.
Sam: Soalan yang bagus, Jon. Apa yang kamu kata memang betul. Bukan semuanya dicatatkan secara spesifik dalam Bible. Mengapakah Tuhan mahu kita mencurahkan usaha untuk memahami Bible? Kamu OK untuk bincang ini lain kali?
Jon: Ya.
Adakah anda mempunyai soalan mengenai topik Bible? Adakah anda ingin tahu lebih banyak tentang kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa? Jika ya, tanyalah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia akan sudi menjawab pertanyaan anda.
^ per. 5 Melalui pembelajaran Bible percuma, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perbincangan Bible dengan orang lain secara teratur.
^ per. 7 Lihat rencana “Perbualan dengan Penghuni Rumah—Bilakah Kerajaan Tuhan Mula Memerintah?—Bahagian 1” dalam terbitan 1 Oktober 2014 majalah ini.
^ per. 9 Lihat Daniel 4:23-25.
^ per. 22 Lihat Wahyu 12:6, 14; nota kaki.