Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Mereka Guna Bible untuk Menjawab Setiap Soalan!

Mereka Guna Bible untuk Menjawab Setiap Soalan!
  • TAHUN LAHIR: 1950

  • NEGARA ASAL: SEPANYOL

  • SEJARAH: BIARAWATI KATOLIK

MASA LALU SAYA:

Sejak lahir, ibu bapa saya memiliki sebuah ladang kecil di kawasan pedalaman Galicia, timur Sepanyol. Saya anak keempat daripada lapan adik-beradik. Keluarga kami bahagia. Pada masa itu, seorang anak dalam keluarga di Sepanyol biasanya akan menjadi biarawati. Dalam keluarga kami, saya bersama dua adik-beradik lain menjadi biarawati.

Semasa berumur 13 tahun, saya mengikut kakak menjadi biarawati di Madrid. Suasana di situ tidak mesra, yang ada hanya peraturan, doa dan suasana suram. Pada awal pagi, kami berkumpul di gereja kecil dan membuat perenungan, tetapi biasanya fikiran saya kosong. Kemudian, kami menyanyikan lagu agama dan merayakan Misa dalam bahasa Latin. Saya tidak faham apa pun dan berasa tidak akrab dengan Tuhan. Hidup saya sunyi. Sewaktu berjumpa dengan kakak, kami hanya berkata, “Salam Maria penuh rahmat.” Selepas makan, kami hanya diizinkan bercakap 30 minit. Hal ini amat berbeza dengan keluarga saya yang bahagia! Saya berasa terasing dan selalu menangis.

Walaupun tidak pernah berasa akrab dengan Tuhan, saya tetap menjadi biarawati pada umur 17 tahun. Sebenarnya, saya hanya melakukan apa yang disuruh. Tetapi, saya mula meragukan sama ada saya dipilih oleh Tuhan untuk menjadi biarawati. Para biarawati selalu kata bahawa orang sebegini akan masuk neraka! Namun, saya tetap memiliki keraguan. Saya tahu bahawa Yesus tidak mengasingkan diri; sebaliknya, dia tetap sibuk mengajar dan membantu orang lain. (Matius 4:23-25) Semasa berumur 20 tahun, saya tidak lagi berminat untuk menjadi biarawati sehingga ketua biarawati menyuruh saya berhenti. Barangkali dia risau saya akan mempengaruhi orang lain. Jadi saya meninggalkan biara.

Ibu bapa memahami perasaan saya apabila saya pulang ke rumah. Tetapi, kerana tiada pekerjaan di kampung, saya berpindah ke Jerman. Seorang adik lelaki saya tinggal di sana. Dia menyertai kumpulan Komunis orang Sepanyol yang aktif. Saya selesa bersama dengan orang yang berjuang untuk hak pekerja dan hak wanita. Jadi, saya menyertai kumpulan itu dan akhirnya berkahwin dengan seorang ahli Komunis. Saya berasa puas kerana mengedarkan bahan bacaan Komunis dan menyertai perarakan tunjuk perasaan.

Namun, saya sekali lagi berasa tawar hati kerana ahli Komunis selalu gagal bertindak selaras dengan ajaran mereka. Pada 1971, perasaan itu semakin kuat apabila beberapa ahli kumpulan kami membakar Kedutaan Sepanyol di Frankfurt. Tindakan mereka adalah untuk membantah pemerintahan diktator Sepanyol yang tidak adil. Tetapi, saya tidak setuju dengan tindakan mereka.

Selepas anak pertama dilahirkan, saya memberitahu suami bahawa saya mahu berhenti menghadiri perjumpaan Komunis. Saya kesunyian kerana tiada orang mengunjungi saya dan bayi saya. Saya memikirkan tentang tujuan hidup. Adakah usaha memperbaiki kehidupan masyarakat berbaloi?

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada 1976, dua Saksi berbangsa Sepanyol mengetuk pintu rumah kami dan saya menerima bahan bacaan Bible mereka. Pada kunjungan kedua, saya tanya banyak soalan tentang penderitaan, perbezaan sosial, dan ketidakadilan. Saya kagum apabila mereka guna Bible untuk menjawab setiap soalan! Saya menerima pembelajaran Bible.

Mulanya, saya cuma inginkan pengetahuan. Tetapi semuanya berubah apabila saya dan suami menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Masa itu, kami ada dua orang anak. Saksi-Saksi membawa kami dan membantu menjaga anak-anak kami semasa perjumpaan. Saya mula mengasihi mereka.

Namun, saya masih memiliki keraguan terhadap agama. Saya memutuskan untuk melawat keluarga saya di Sepanyol. Pak cik saya ialah paderi dan dia cuba menghalang saya belajar Bible. Tetapi, Saksi-Saksi di sana banyak membantu saya. Mereka guna Bible untuk menjawab soalan-soalan saya, sama seperti Saksi-Saksi di Jerman. Saya bertekad untuk belajar Bible semula selepas kembali ke Jerman. Biarpun suami berhenti mempelajari Bible, saya tetap dengan tekad saya. Pada 1978, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Pengetahuan Bible yang tepat telah memberi saya tujuan dan haluan hidup yang jelas. Contohnya, 1 Petrus 3:1-4 menggalakkan isteri untuk “taat kepada suami” dengan “penuh hormat” dan memupuk ‘budi pekerti yang lembut . . . yang sangat berharga di sisi Tuhan.’ Prinsip ini telah membantu saya memainkan peranan sebagai isteri dan ibu.

Kini, 35 tahun sudah berlalu sejak saya menjadi seorang Saksi. Saya gembira berkhidmat kepada Tuhan dan menjadi sebahagian daripada keluarga rohani yang sejati. Saya bersukacita kerana empat daripada lima anak saya juga berbuat demikian.