Lompat ke kandungan

Jangan Dikuasai Alkohol!

Jangan Dikuasai Alkohol!

Jangan Dikuasai Alkohol!

SEBENARNYA, Tony yang disebut dalam rencana sebelum ini mungkin dapat mengelakkan nahas jalan raya jika dia mengambil langkah untuk menangani masalah ketagihan alkohol. Sedihnya, dia enggan mengakui bahawa dia mempunyai masalah peminuman kerana dia dapat minum banyak tanpa gejala yang teruk. Maka, dia fikir bahawa dia langsung tiada masalah itu. Mengapakah pandangannya begitu jauh daripada kenyataan?

Hal ini kerana daya penilaiannya terjejas akibat tabiat peminumannya. Tanpa disedari, otaknya yang mengawal keadaan fizikal, mental, dan emosi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana kesan sampingan alkohol. Semakin banyak dia minum, semakin lemah daya pemikirannya.

Selain itu, Tony tidak mahu berpisah dengan tabiatnya. Seperti Allen yang disebutkan dalam rencana sebelum ini, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa mereka ada masalah yang serius. Allen menjelaskan, “Saya akan menyembunyikan tabiat minum saya daripada orang lain. Saya akan bagi banyak alasan dan meyakinkan diri bahawa semuanya OK. Saya takut saya terpaksa berhenti minum.” Biarpun orang lain dapat melihat dengan jelas bahawa Tony dan Allen ketagihan alkohol, mereka berdua enggan berdepan dengan kenyataan. Mereka sepatutnya mengambil langkah untuk menangani masalah itu. Apakah langkah yang perlu diambil?

Bertindaklah dengan Segera!

Ramai orang berjaya mengatasi masalah peminuman dengan menerapkan nasihat Yesus ini: “Jika mata kanan kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh kamu daripada seluruh tubuh kamu dibuang dalam Gehena.”​—Matius 5:29.

Apakah maksud kata-kata Yesus? Adakah dia mahu kita mencederakan diri sendiri? Sudah pasti tidak. Kata-katanya membawa maksud kiasan. Kita harus sanggup mengambil tindakan yang tegas dan menyingkirkan hal-hal yang dapat membahayakan kita secara rohani. Memang hal itu tidak senang dan mungkin menyakitkan, tetapi tindakan itu dapat menyelamatkan nyawa anda. Jadi, jika kawan atau keluarga anda rasa bahawa anda minum terlalu banyak, dengarlah nasihat mereka dan ambillah langkah yang diperlukan. * Jika anda tidak dapat mengawal peminuman anda, adalah lebih baik untuk langsung tidak minum. Bak kata pepatah, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.” Maka, janganlah berlengah-lengah untuk bertindak.

Biarpun anda tidak ketagihan alkohol, adakah anda sering minum terlalu banyak? Jika ya, apakah beberapa tips yang dapat membantu anda?

Dapatkanlah Bantuan

1. Berdoalah secara tetap dan dengan bersungguh-sungguh kerana doa sangat berkuasa. Bible memberikan nasihat ini kepada semua orang yang ingin menyenangkan hati Yehuwa: “Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.” (Filipi 4:6, 7) Bagaimanakah anda boleh memperoleh ketenangan daripada Tuhan?

Mula-mula, anda harus jujur dengan diri sendiri. Terimalah kenyataan bahawa anda mempunyai masalah peminuman dan beritahulah Tuhan secara spesifik tentang hal ini. Dia akan memberkati usaha anda dan membantu anda mengelakkan masalah yang lebih teruk. Firman Tuhan kata, “Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya, tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.” (Amsal 28:13) Yesus juga menggalakkan kita untuk berdoa, “Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan.” (Matius 6:13) Tetapi bagaimanakah kita dapat bertindak selaras dengan doa kita, dan bagaimanakah Tuhan menjawab doa kita?

2. Dapatkan kekuatan daripada Firman Tuhan. Banyak orang yang dahulunya ketagihan alkohol berjaya mengatasi tabiat buruk mereka dengan membaca dan merenungkan ayat Bible setiap hari. Bible kata, “Firman Tuhan itu hidup, berkuasa, . . . dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.” (Ibrani 4:12) Selain itu, penulis buku Mazmur juga menyatakan, ‘Berbahagialah orang yang tidak mengikut nasihat orang jahat. Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam. Dia akan berjaya dalam segala usahanya.’​—Mazmur 1:1-3.

Setelah Allen mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dia mendapat kekuatan yang diperlukan untuk mengatasi masalahnya. Dia kata, “Kalau bukan kerana Bible dan nasihatnya, saya tidak akan berjaya berhenti minum. Mungkin sekarang saya tidak lagi hidup untuk menceritakan kisah saya.”

3. Belajarlah untuk mengawal diri. Bible menyatakan bahawa sesetengah orang Kristian yang dahulunya pemabuk telah disucikan “melalui kuasa suci Tuhan.” (1 Korintus 6:9-11) Kuasa suci Tuhan telah membantu mereka memupuk kawalan diri. Maka, mereka dapat berhenti mengamalkan hal-hal yang dibenci Tuhan seperti pemabukan dan berpesta liar. Bible menasihati kita, “Janganlah kamu menjadi mabuk kerana wain, kerana hal itu akan membawa kepada kehidupan yang tidak bermoral. Sebaliknya, hendaklah kamu sentiasa dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan.” (Efesus 5:18; Galatia 5:21-23) Ingatlah, Yesus juga berjanji bahawa ‘Bapa yang di syurga pasti memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.’ Maka, “teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.”​—Lukas 11:9, 13.

Selain bantuan kuasa suci Tuhan, kita dapat memupuk kawalan diri dengan membaca dan mengkaji Firman Tuhan serta berdoa dari hati. Janganlah putus asa. Tuhan berjanji dalam Firman-Nya, “Orang yang menanam menurut bimbingan kuasa suci Tuhan akan menuai kehidupan kekal daripada kuasa suci Tuhan. Oleh itu, teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.”​—Galatia 6:8, 9.

4. Pilihlah pergaulan yang baik. Bible kata, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20) Anda boleh beritahu kawan-kawan bahawa anda sedang bertekad untuk mengurangkan pengambilan alkohol. Tetapi, Bible juga kata bahawa apabila anda tidak mahu “minum berlebihan, berpesta liar, [dan] berpesta minum” seperti dahulu, sesetengah kawan anda akan ‘hairan dan menghina anda.’ (1 Petrus 4:3, 4) Maka, anda perlu bersedia memutuskan persahabatan dengan orang yang melemahkan azam anda.

5. Tetapkan batas. Bible kata, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” (Roma 12:2) Maka, kita tidak mahu biarkan kawan-kawan mahupun “dunia ini” menentukan kadar peminuman yang munasabah bagi kita. Sebaliknya, gunakanlah prinsip Bible agar anda dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan. Namun, bagaimanakah anda tahu apa kadar peminuman yang sesuai bagi anda?

Jika daya pemikiran dan daya penilaian anda terjejas, itu bermaksud anda sudah minum terlalu banyak. Jadi, pastikan anda berhenti jauh sebelum mencapai tahap itu. Jika anda memilih untuk minum, tetapkanlah awal-awal lagi jumlahnya. Jangan menipu diri sendiri dan memberikan banyak alasan semasa membuat keputusan.

6. Katakanlah “Tidak.” Bible mengingatkan kita, “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.” (Matius 5:37) Ada kalanya, orang lain mungkin tidak sedar anda sedang bergelut dengan masalah peminuman. Maka, belajarlah cara yang sopan untuk menolak tawaran mereka. Bible kata, “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam. Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.”​—Kolose 4:6.

7. Dapatkanlah bantuan. Mintalah bantuan daripada orang yang dapat menguatkan tekad anda untuk mengawal tabiat minum anda. Dapatkan juga bantuan kawan yang berfikiran rohani. Firman Tuhan kata, “Berdua lebih baik daripada seorang diri kerana mereka dapat bekerjasama dan menikmati hasil baiknya. Jika salah seorang jatuh, yang seorang lagi dapat membantunya.” (Pengkhutbah 4:9, 10; Yakobus 5:14, 16) Menurut Institut Kebangsaan Penyalahgunaan Alkohol dan Alkoholisme Amerika Syarikat, “adalah mencabar untuk mengurangkan kadar peminuman anda. Jadi, mintalah bantuan daripada kawan dan keluarga agar anda dapat mencapai matlamat anda.”

8. Bertekadlah untuk mencapai matlamat anda. Ikutlah nasihat Bible yang berikut: “Hendaklah kamu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Janganlah mendengar sahaja dan menipu diri sendiri dengan pemikiran yang salah. Tetapi jika seseorang meneliti hukum yang sempurna dan yang membawa kebebasan, dan terus mematuhinya, orang itu akan bahagia, kerana dia melakukan apa yang didengarinya dan tidak menjadi pendengar yang cepat lupa.”​—Yakobus 1:22, 25.

Bebaskan Diri daripada Belenggu Alkohol!

Seseorang mungkin ketagihan alkohol secara beransur-ansur. Pada mulanya, mereka mungkin minum berlebihan. Kemudian, mereka minum dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap sehingga menjadi ketagih. Oleh sebab alkohol ialah bahan yang sangat kuat, hal ini akan membawa kesan sampingan yang serius dari segi fizikal dan mental. Sekadar azam yang kuat dan bantuan rohani tidak mencukupi bagi sesetengah orang. Allen berkata, “Semasa saya berhenti minum alkohol, badan saya rasa sangat sakit dan gejala-gejala yang saya alami sangat teruk. Biarpun saya ada bantuan dari segi rohani, saya sedar saya juga memerlukan bantuan perubatan.”

Seperti Allen, banyak orang yang ketagihan juga perlukan rawatan perubatan. * Ada yang bahkan mengalami gejala yang sangat teruk sehingga perlu dibawa ke hospital. Di sana, mereka diberikan ubat yang dapat mengawal ketagihan mereka. Yesus sendiri juga menasihati kita, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”​—Markus 2:17.

Manfaat Dinikmati kerana Menerapkan Prinsip Bible

Nasihat Bible tentang alkohol datang daripada Tuhan yang benar, dan Dia mahu kita menikmati hidup buat selama-lamanya tanpa rasa sesal. Sekitar 24 tahun selepas mengatasi masalah ketagihannya, Allen berkata, “Saya bersyukur dan rasa sangat gembira apabila saya sedar saya dapat berubah dengan bantuan Yehuwa.” Sambil menahan air matanya, Allen menyambung, “Yehuwa benar-benar memahami dan mengambil berat terhadap saya. Dia memberi saya bantuan yang saya perlukan.”

Jika anda sedang bergelut dengan masalah ketagihan alkohol atau minum berlebihan, janganlah rasa anda tiada harapan. Yakinlah bahawa anda juga dapat menanganinya dengan berjaya, seperti Allen dan ramai orang yang lain. Kini, mereka hidup puas tanpa rasa kesal.

Tidak kira sama ada anda buat keputusan untuk langsung tidak minum atau untuk minum secara sederhana, ingatlah nasihat Tuhan ini: “Alangkah baiknya jika kamu memperhatikan perintah-Ku! Jika demikian, kedamaian kamu akan menjadi seperti sungai, dan perbuatan baik kamu akan menjadi seperti ombak laut.”​—Yesaya 48:18.

[Nota kaki]

^ per. 7 Lihat kotak  “Adakah Alkohol Mengawal Hidup Anda?” pada muka surat 8.

^ per. 24 Terdapat pusat rawatan, hospital, dan program pemulihan yang menyediakan bantuan untuk orang yang ketagihan alkohol. Majalah Menara Pengawal tidak mengesyorkan rawatan tertentu. Setiap orang harus mempertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan peribadi yang selaras dengan prinsip Bible.

[Kotak/​Gambar]

 Adakah Alkohol Mengawal Hidup Anda?

Tanyalah diri:

• Adakah saya minum lebih banyak daripada dulu?

• Adakah saya minum lebih kerap daripada dulu?

• Adakah alkohol yang saya minum lebih kuat?

• Adakah saya minum untuk menangani stres atau melupakan masalah?

• Adakah kawan atau keluarga risau tentang tabiat peminuman saya?

• Adakah peminuman saya menyebabkan masalah di rumah, tempat kerja, atau semasa melancong?

• Adakah mustahil bagi saya untuk tidak minum alkohol selama seminggu?

• Adakah saya rasa terganggu apabila orang lain tidak mahu minum alkohol?

• Adakah saya cuba menyembunyikan jumlah alkohol yang saya minum?

Jika jawapan anda ialah “Ya” bagi salah satu soalan di atas, anda mungkin perlu bertindak untuk mengawal peminuman anda.

[Kotak/​Gambar]

Buatlah Keputusan yang Bijak mengenai Peminuman Alkohol

Sebelum memutuskan untuk minum, fikirlah:

Patutkah saya minum alkohol atau tidak?

Nasihat: Jika anda tidak dapat mengawal peminuman anda, adalah lebih baik untuk tidak minum.

Berapakah jumlah alkohol yang akan saya minum?

Nasihat: Tentukan batas anda sebelum fikiran anda terjejas oleh alkohol.

Adakah ini masa yang sesuai untuk minum?

Nasihat: Elakkan minum sebelum memandu, melakukan aktiviti yang memerlukan daya tumpuan, atau menjalankan aktiviti rohani. Jangan minum jika anda hamil atau mengambil ubat tertentu.

Di manakah patut saya minum?

Nasihat: Minum di tempat yang sesuai. Jangan minum secara sembunyi kerana ingin merahsiakan masalah peminuman. Elakkan daripada minum depan orang yang mungkin tersinggung oleh perbuatan anda.

Saya akan minum dengan siapa?

Nasihat: Dengan keluarga atau kawan-kawan yang merupakan pergaulan baik. Jangan minum dengan pemabuk atau orang yang mempunyai masalah peminuman.

[Kotak/​Gambar]

Firman Tuhan Membantu Seorang Kaki Botol

Ini ialah kisah Supot dari Thailand. Dulu, dia ialah seorang pemabuk dan kaki botol. Mula-mula, dia hanya minum pada waktu petang. Lama-kelamaan, dia minum pada waktu pagi dan tengah hari juga. Selalunya, dia akan minum sampai mabuk. Selepas dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dia sedar bahawa Yehuwa membenci perbuatan minum sampai mabuk. Walaupun dia berjaya berhenti buat seketika waktu, akhirnya dia terjebak lagi dengan tabiat buruknya. Hal ini membuat keluarganya sangat sedih.

Namun, Supot masih mengasihi Yehuwa dan ingin menyembah-Nya dalam cara yang betul. Maka, kawan-kawan Supot terus membantunya dan menggalakkan keluarganya untuk meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Mereka juga mengingatkan ahli keluarganya agar tidak hilang harapan terhadapnya. Pada masa itu, kata-kata di 1 Korintus 6:10 telah membantu Supot sedar bahawa masalahnya sangat serius. Ayat itu kata bahawa ‘orang yang mabuk tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.’ Supot tahu bahawa dia perlu melipatgandakan usahanya untuk mengatasi masalah peminumannya.

Sejak itu, Supot bertekad untuk langsung tidak minum alkohol lagi. Dengan bantuan kuasa suci Yehuwa, bimbingan Bible, dan sokongan ahli keluarga dan sidang, akhirnya Supot telah membebaskan diri daripada masalah ketagihannya. Betapa gembiranya keluarga Supot apabila melihat dia membaktikan diri dan dibaptis! Sekarang, Supot dapat menikmati hubungan yang akrab dengan Tuhan dan membantu orang lain yang mendahagakan kebenaran.