Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 13

LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”

Tangan Yehuwa Tidak Terlalu Pendek

Tangan Yehuwa Tidak Terlalu Pendek

“Adakah kuasa-Ku terbatas?”BIL. 11:23.

FOKUS

Menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa pasti sentiasa menjaga keperluan hidup kita.

1. Bagaimanakah Musa menunjukkan bahawa dia percaya kepada Yehuwa semasa memimpin orang Israel keluar dari Mesir?

 BUKU Ibrani menyebut tentang banyak orang yang beriman kepada Yehuwa dan salah seorang yang menonjol ialah Musa. (Ibr. 3:​2-5; 11:​23-25) Dia menunjukkan bahawa dia percaya kepada Yehuwa semasa memimpin orang Israel keluar dari Mesir. Bagaimana? Dia tidak takut akan Firaun dan angkatan tenteranya, dan dia bergantung pada Yehuwa untuk memimpin orang Israel menyeberangi Laut Merah. (Ibr. 11:​27-29) Semasa di padang belantara yang gersang, kebanyakan orang Israel mula meragui kebolehan Yehuwa untuk menjaga mereka, tetapi Musa tidak dipengaruhi oleh mereka. Adakah iman Musa sia-sia? Tidak. Yehuwa telah membekalkan umat-Nya dengan makanan dan air semasa di padang belantara. a​—Kel. 15:​22-25; Mzm. 78:​23-25.

2. Mengapakah Tuhan menanya Musa, “Adakah kuasa-Ku terbatas”? (Bilangan 11:​21-23)

2 Meskipun Musa sangat beriman, kira-kira setahun selepas orang Israel meninggalkan Mesir, dia mula tertanya-tanya jika Yehuwa mampu menyediakan daging bagi umat-Nya. Pada masa itu, terdapat jutaan orang Israel yang berkhemah di padang belantara, jadi Musa tidak dapat membayangkan bagaimana Yehuwa dapat menyediakan daging bagi mereka semua. Maka Yehuwa berfirman kepadanya, “Adakah kuasa-Ku terbatas?” (Baca Bilangan 11:​21-23.) Dalam bahasa asal, kata-kata Yehuwa berbunyi, “Adakah tangan-Ku terlalu pendek?” “Tangan” Yehuwa merujuk kepada kuasa suci-Nya, yang digunakan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Jadi Yehuwa seolah-olah sedang menanya Musa, “Adakah kamu fikir kuasa Aku tidak cukup untuk menunaikan janji-Ku?”

3. Mengapakah kita patut mengkaji sebabnya Musa dan orang Israel meragui kebolehan Yehuwa?

3 Pernahkah anda tertanya-tanya jika Yehuwa akan menjaga keperluan anda atau keluarga anda? Tidak kira apa jawapannya, kita akan meraih manfaat dengan mengkaji sebabnya Musa dan orang Israel meragui kebolehan Yehuwa untuk menjaga mereka. Ayat-ayat Bible yang akan kita kaji dapat meyakinkan kita bahawa tangan Yehuwa tidak terlalu pendek.

BELAJAR DARIPADA MUSA DAN ORANG ISRAEL

4. Mengapakah banyak orang Israel mula meragui kebolehan Yehuwa untuk menjaga keperluan mereka?

4 Semasa orang Israel meninggalkan Mesir, mereka disertai “sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain.” (Kel. 12:38; Ul. 8:15) Selepas berada di padang belantara untuk suatu jangka masa, orang daripada bangsa-bangsa lain mula merungut kerana berasa muak dengan manna, dan hal itu telah mempengaruhi banyak orang Israel. (Bil. 11:​4-6) Mereka mula merindui makanan di Mesir lalu merungut terhadap Musa. Akibatnya, Musa berasa tertekan kerana tidak tahu cara untuk memenuhi keinginan mereka.​—Bil. 11:​13, 14.

5-6. Apakah yang dapat kita belajar daripada sikap orang Israel?

5 Sikap orang daripada bangsa-bangsa lain telah mempengaruhi orang Israel. Begitu juga, sikap orang lain yang tidak tahu berterima kasih mungkin menjangkiti kita sehingga kita berasa tidak puas dengan pemberian Yehuwa. Kita juga mungkin mula bersungut-sungut jika kita cemburu terhadap orang lain atau asyik memikirkan apa yang pernah kita miliki. Sebaliknya, jika kita belajar untuk berpuas hati dalam apa jua keadaan, kita akan lebih bahagia.

6 Selain itu, orang Israel sepatutnya ingat bahawa semua berkat yang dijanjikan oleh Yehuwa akan menjadi kenyataan semasa mereka tiba di Tanah yang Dijanjikan, bukan semasa mereka di padang belantara. Begitu juga, daripada bertumpu kepada apa yang tidak kita miliki di dunia lama ini, kita patut merenungkan berkat yang dijanjikan oleh Yehuwa di dunia baharu. Kita juga perlu merenungkan ayat-ayat Bible yang dapat menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa.

7. Mengapakah kita yakin bahawa tangan Yehuwa tidak terlalu pendek?

7 Namun anda mungkin berfikir, “Mengapakah Tuhan menanya Musa, ‘Adakah tangan-Ku terlalu pendek?’” Yehuwa mungkin mahu membantu Musa sedar bahawa kuasa-Nya bukan sahaja tidak terbatas, malah dapat membantu orang tidak kira di mana mereka berada. Ya, Yehuwa mampu “menghulurkan tangan-Nya yang kuat dan perkasa.” (Ul. 7:19) Jadi walaupun orang Israel berada di padang belantara, Dia masih dapat mengenyangkan mereka dengan daging. Semasa kita menghadapi cabaran, kita harus yakin bahawa Yehuwa dapat membantu setiap seorang daripada kita tidak kira di mana kita berada.​—Mzm. 138:​6, 7.

8. Apakah yang dapat membantu kita mengelakkan kesilapan yang dibuat oleh ramai orang Israel di padang belantara? (Lihat juga gambar.)

8 Seperti yang Yehuwa janjikan, Dia memberi orang Israel banyak daging puyuh. Tetapi mereka tidak mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas pemberian-Nya. Sebaliknya, ramai antara mereka menjadi tamak. Selama satu hari setengah, mereka mengumpulkan banyak burung puyuh. Namun, Yehuwa marah dengan mereka kerana mereka “tamak dan rakus,” lalu Dia menghukum mereka. (Bil. 11:​31-34) Apakah yang dapat kita belajar daripada mereka? Kita harus berhati-hati agar tidak menjadi tamak. Tidak kira kita miskin atau kaya, kita mahu berusaha menyimpan “harta di syurga” dengan mengutamakan hubungan kita dengan Yehuwa dan Yesus. (Mat. 6:​19, 20; Luk. 16:9) Jika demikian, Yehuwa pasti akan menjaga keperluan kita.

Di padang belantara, apakah sikap yang ditunjukkan oleh kebanyakan orang? Apakah yang dapat kita belajar daripada mereka? (Lihat perenggan 8)


9. Kita dapat yakin akan hal apa?

9 Hari ini, Yehuwa masih menghulurkan tangan-Nya untuk membantu kita. Hal ini tidak bermaksud kita tidak akan pernah kekurangan wang atau makanan. b Namun kita yakin bahawa Yehuwa sama sekali tidak akan meninggalkan kita dan akan sentiasa menyokong kita dalam apa jua cabaran. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita yakin terhadap-Nya? Kita akan membincangkan dua situasi berikut: (1) Semasa kita menghadapi masalah kewangan, dan (2) semasa kita risau wang simpanan kita tidak cukup untuk masa depan.

SEMASA MENGHADAPI MASALAH KEWANGAN

10. Apakah situasi yang mungkin menyebabkan kita menghadapi masalah kewangan?

10 Seraya akhir sistem dunia ini semakin dekat, kita boleh menjangkakan bahawa keadaan ekonomi akan semakin merosot. Kos hidup kita mungkin bertambah, atau kita mungkin kehilangan kerja akibat pergolakan politik, peperangan, bencana alam, atau wabak penyakit. Untuk menyara keluarga, kita mungkin perlu mencari kerja baharu atau berfikir jika kita perlu berpindah bersama keluarga ke tempat lain. Apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang menunjukkan bahawa kita percaya kepada Yehuwa?

11. Apakah yang dapat anda lakukan semasa menghadapi masalah kewangan? (Lukas 12:​29-31)

11 Langkah yang paling penting dan berkesan ialah berdoa kepada Yehuwa. (Ams. 16:3) Mintalah agar Dia memberi anda kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik, dan mintalah hati yang tenang supaya anda tidak “terlalu khuatir” tentang situasi anda. (Baca Lukas 12:​29-31.) Rayulah agar Dia membantu anda berpuas hati dengan keperluan asas hidup. (1 Tim. 6:​7, 8) Gunalah bahan terbitan kita untuk membuat penyelidikan tentang cara menangani masalah kewangan. Ramai orang telah meraih manfaat daripada bahan terbitan sebegini yang terdapat di jw.org.

12. Apakah soalan-soalan yang dapat difikirkan oleh orang Kristian semasa memilih kerja?

12 Sesetengah orang menerima tawaran untuk bekerja jauh dari keluarga, tetapi kemudiannya sedar bahawa keputusan itu tidak bijak. Jadi sebelum menerima kerja yang baharu, kita bukan sahaja patut memikirkan gajinya, tetapi juga kerohanian kita dan keluarga kita. (Luk. 14:28) Tanyalah diri, “Jika saya dan pasangan saya hidup berjauhan, bagaimanakah hal itu akan mempengaruhi perkahwinan kami? Adakah saya dapat menghadiri perjumpaan, menginjil, dan bergaul dengan saudara saudari secara tetap?” Jika anda mempunyai anak, anda juga perlu menanya diri, “Bagaimanakah saya dapat membesarkan anak dengan ‘disiplin dan nasihat daripada Yehuwa’ jika saya tidak bersama mereka?” (Ef. 6:4) Semasa membuat keputusan, ikutlah nasihat Tuhan, bukan nasihat ahli keluarga atau sahabat yang tidak menghormati prinsip Bible. c Tony, yang tinggal di Asia, pernah ditawarkan pekerjaan di luar negara yang gajinya lumayan. Namun, selepas berdoa tentang hal itu dan berbincang dengan isterinya, dia memutuskan untuk menolak tawaran kerja itu dan berusaha mengurangkan perbelanjaan keluarga. Apakah berkat yang diraih Tony? Dia berkata, “Saya telah membantu beberapa orang mengenali Yehuwa, dan anak-anak saya mengasihi kebenaran. Keluarga kami belajar bahawa selagi kami hidup selaras dengan Matius 6:​33, Yehuwa pasti menjaga kami.”

SEMASA RISAU TENTANG KEADAAN KEWANGAN PADA MASA DEPAN

13. Apakah yang dapat kita lakukan sekarang sebagai persiapan untuk masa depan?

13 Iman kita terhadap Yehuwa mungkin diuji semasa kita memikirkan keadaan kewangan kita semasa kita tua. Bible menggalakkan kita untuk bekerja keras supaya mempunyai wang yang mencukupi pada masa depan. (Ams. 6:​6-11) Wang dapat melindungi seseorang, maka memang masuk akal jika kita menabung untuk masa depan. (Pkh. 7:12) Namun, wang tidak patut menjadi keutamaan hidup kita.

14. Bagaimanakah Ibrani 13:5 membantu kita agar tidak terlalu khuatir tentang masa depan?

14 Dalam cerita ibarat Yesus, dia menunjukkan bahawa orang yang mengumpulkan banyak wang tetapi “tidak kaya di mata Tuhan” ialah orang yang bodoh. (Luk. 12:​16-21) Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. (Ams. 23:​4, 5; Yak. 4:​13-15) Tambahan lagi, untuk menjadi pengikut Yesus, kita mesti bersedia “meninggalkan semua harta” kita. (Luk. 14:33) Orang Kristian abad pertama di Yudea kehilangan harta mereka, tetapi mereka tidak kehilangan sukacita. (Ibr. 10:34) Pada zaman moden, ramai saudara saudari kehilangan harta atau kerja kerana tetap neutral dalam hal politik. (Why. 13:​16, 17) Apakah yang membantu mereka berpendirian teguh? Mereka yakin sepenuhnya terhadap janji Yehuwa yang berbunyi, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Baca Ibrani 13:5.) Kita memang akan berusaha untuk menyimpan duit bagi masa depan. Tetapi jika ada kejadian yang tidak terduga berlaku, kita yakin bahawa Yehuwa pasti menyokong kita.

15. Apakah sepatutnya pandangan ibu bapa Kristian terhadap anak mereka? (Lihat juga gambar.)

15 Dalam sesetengah budaya, suami isteri membesarkan anak supaya anak mereka dapat menyara mereka semasa mereka sudah tua. Pendek kata, mereka menganggap anak mereka sebagai “pelan persaraan.” Sebenarnya, Bible kata ibu bapalah yang harus menjaga keperluan anak, bukan yang sebaliknya. (2 Kor. 12:14) Sudah tentu, apabila ibu bapa sudah tua, mereka mungkin memerlukan bantuan, dan anak-anak pasti gembira untuk membantu mereka. (1 Tim. 5:4) Namun ibu bapa Kristian sedar bahawa mereka akan jauh lebih bahagia jika mereka membesarkan anak untuk menjadi penyembah Yehuwa, dan bukan sebagai sumber pendapatan apabila mereka sudah tua.​—3 Yoh. 4.

Sepasang suami isteri mempertimbangkan prinsip Bible semasa membuat keputusan tentang masa depan mereka (Lihat perenggan 15) d


16. Bagaimanakah ibu bapa dapat mempersiapkan anak mereka untuk menyara diri semasa mereka dewasa? (Efesus 4:28)

16 Untuk mempersiapkan anak anda untuk menyara diri semasa mereka dewasa, tunjukkanlah melalui teladan anda sekarang bahawa anda mempercayai Yehuwa. Semasa mereka masih kecil, ajarlah mereka pentingnya bersikap rajin. (Ams. 29:21; baca Efesus 4:28.) Semasa mereka mula bersekolah, bantulah mereka belajar dengan bersungguh-sungguh. Matlamat ibu bapa Kristian adalah untuk membantu anak mereka menyara hidup sendiri ketika mereka sudah dewasa, dan pada masa yang sama mengutamakan Yehuwa. Oleh itu, ibu bapa harus membuat penyelidikan dan mencari prinsip Bible yang dapat membantu anak-anak membuat keputusan yang bijak dalam soal pendidikan.

17. Kita dapat yakin akan hal apa?

17 Jika kita bergantung pada Yehuwa, kita dapat yakin bahawa Yehuwa mampu dan ingin menjaga keperluan kita. Seraya akhir sistem ini semakin dekat, keyakinan kita terhadap Yehuwa akan diuji. Namun tidak kira apa yang berlaku, semoga kita sentiasa percaya bahawa Yehuwa akan menggunakan kuasa-Nya untuk menjaga keperluan kita. Sememangnya, tangan Yehuwa tidak terlalu pendek dan Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk membantu kita tidak kira di mana kita berada.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

a Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan Oktober 2023.

b Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan 15 September 2014.

c Lihat rencana “Tidak dapat Menjadi Hamba kepada Dua Tuan” dalam Menara Pengawal terbitan 15 April 2014.

d KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri menghubungi anak perempuan mereka yang membantu dalam projek pembinaan Dewan Perjumpaan bersama suaminya.