KHAZANAH ROHANI KITA
Kasih Menyebabkan Kafeteria Itu Berjalan Lancar
UMAT Tuhan selalu menikmati masanya mereka berkumpul bersama untuk menyantap makanan rohani di meja Yehuwa. Selain itu, mereka juga menikmati makanan jasmani bersama.
Pada bulan September 1919, konvensyen selama lapan hari diadakan di Cedar Point, Ohio, A.S. Hotel dan makanan disediakan untuk para hadirin. Tetapi lebih ramai orang datang daripada yang dijangkakan. Apabila melihat beribu-ribu orang datang, para pelayan tidak mahu bekerja lagi. Pengurus kafeteria di hotel itu terdesak dan bertanya jika sesiapa sudi membantu. Ramai hadirin merelakan diri, termasuk Sadie Green. Dia berkata, “Inilah pengalaman pertama saya sebagai pelayan, tetapi kami sangat menikmatinya.”
Sejak itu, ramai saudara saudari berpeluang berkhidmat di kafeteria konvensyen. Dengan bekerja bersama rakan seiman, kaum muda didorong untuk menetapkan matlamat rohani. Gladys Bolton yang berkhidmat di kafeteria semasa konvensyen 1937 berkata, “Saya berjumpa dengan orang dari pelbagai tempat, dan mendengar cara mereka mengatasi masalah. Itulah yang membangkitkan keinginan saya untuk menjadi seorang perintis.”
Saudari Beulah Covey berkata, “Ketekunan para sukarela menyebabkan semuanya berjalan dengan lancar.” Namun, tugas ini ada cabarannya. Apabila Angelo Manera tiba di tapak konvensyen di California pada tahun 1969, dia diberitahu bahawa dia dilantik untuk mengurus kafeteria konvensyen. Dia berkata, “Saya sangat terkejut!” Antara kerja yang harus dilakukan ialah menggali parit sejauh 400 m untuk memasang paip gas yang digunakan untuk memasak!
Di Sierra Leone pada tahun 1982, para sukarela harus membersihkan tapak pembinaan sebelum mendirikan kafeteria. Di Frankfurt, Jerman, pada tahun 1951, para saudara menyewa bahagian kereta api yang berenjin untuk menghasilkan stim yang digunakan di dapur. Sebanyak 30,000 bungkusan
makanan disediakan setiap jam. Untuk mengurangkan beban sebanyak 576 sukarela yang bekerja di bahagian mencuci pinggan mangkuk, para hadirin membawa pisau dan garpu sendiri. Di Myanmar, penggunaan cili dikurangkan agar makanan sesuai dengan cita rasa hadirin antarabangsa.“MEREKA MAKAN SAMBIL BERDIRI”
Walaupun Annie Poggensee terpaksa beratur di bawah matahari terik untuk mendapatkan makanan semasa konvensyen di Amerika Syarikat pada tahun 1950, dia mendapat manfaat. Dia berkata, “Saya begitu khusyuk mendengar perbualan yang hangat antara dua saudari yang datang dari Eropah menggunakan kapal laut.” Mereka menceritakan bagaimana Yehuwa membantu mereka menghadiri konvensyen itu. “Dua saudari itu sangat gembira,” kata Annie. “Mereka tidak kisah walaupun harus berbaris di bawah matahari yang terik.”
Di banyak konvensyen yang besar, meja yang tinggi disediakan supaya orang dapat makan sambil berdiri. Dengan demikian, mereka makan dengan cepat agar lebih ramai orang dapat makan di sana. Jika tidak, bagaimana mungkin beribu-ribu orang dapat makan pada masa yang sama? Seorang lelaki bukan Saksi memerhatikan keadaan itu dan berkata, “Mereka mempunyai agama yang pelik. Mereka makan sambil berdiri!”
Pihak berkuasa kagum dengan kecekapan di kafeteria konvensyen. Selepas memeriksa kafeteria konvensyen di Bandar Raya New York, seorang pegawai tentera Amerika memberitahu Mejer Faulkner, yang berkhidmat untuk tentera British, untuk membuat pemeriksaan yang serupa. Maka Mejer Faulkner dan isterinya pergi ke konvensyen yang diadakan di Twickenham, England, pada tahun 1955. Dia berkata bahawa kasih menyebabkan kafeteria itu berjalan dengan lancar.
Selama bertahun-tahun, para sukarela menyediakan makanan yang berkhasiat dan murah bagi para hadirin. Namun para sukarela harus bekerja untuk tempoh yang lama dan tidak dapat mendengar program konvensyen. Maka sejak lewat tahun 1970-an, aturan ini diubah di banyak tempat. Bermula tahun 1995, para hadirin konvensyen diminta untuk membawa makanan sendiri. Hal ini membolehkan para sukarela untuk menikmati program konvensyen dan pergaulan Kristian. *
Yehuwa sangat menghargai para sukarela yang berkhidmat bagi rakan seiman mereka! Ada yang merindui masanya mereka berkhidmat dengan gembira di kafeteria. Walaupun aturan kafeteria sudah tiada, kasih masih merupakan ramuan utama dalam konvensyen kita.—Yoh. 13:34, 35.
^ per. 12 Sudah tentu, masih terdapat banyak lagi peluang bagi para sukarela untuk membantu di konvensyen.