Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Taiwan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Taiwan

LIMA tahun yang lalu Choong Keon dan Julie, yang berumur 30-an, merintis di Sydney, Australia. “Kami bekerja separuh masa dan hidup selesa,” kata Choong Keon. “Tempat di mana kami tinggal bercuaca baik dan kami dekat dengan kawan dan keluarga.” Namun, hati Choong Keon dan Julie tidak tenang kerana mereka tahu bahawa mereka masih boleh meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Tetapi mereka teragak-agak untuk melakukannya.

Pada konvensyen tahun 2009, sebuah ceramah tentang cara untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa telah menyentuh hati mereka. Penceramah berkata, “Fikirkanlah hal ini: Seorang pemandu dapat belok ke kiri atau kanan hanya jika keretanya sedang bergerak. Begitu juga, Yesus dapat membimbing kita hanya jika kita sedang bergerak, iaitu mencurahkan usaha untuk mencapai matlamat kita.” Sepasang suami isteri yang berkhidmat di Taiwan juga ditemu ramah. Pasangan ini berkongsi sukacita yang diraih dan menekankan bahawa bantuan masih diperlukan di sana. Choong Keon dan Julie berasa bahawa ceramah dan pengalaman itu seolah-olah ditujukan kepada mereka.

“Selepas konvensyen itu, kami berdoa kepada Yehuwa memohon keberanian supaya dapat berpindah ke Taiwan. Namun kami berasa takut,” kata Julie. Tetapi ayat di Pengkhutbah 11:4 membantu mereka: “Sesiapa yang menunggu hingga angin dan cuaca baik, tidak akan menabur ataupun menuai apa-apa.” Choong Keon berkata, “Kami memutuskan untuk tidak ‘menunggu’ lagi, tetapi untuk mula ‘menabur dan menuai.’” Mereka kerap berdoa, membaca pengalaman mubaligh, menghantar e-mel kepada saudara saudari yang sudah berpindah ke Taiwan, dan menjual kereta serta perabot mereka. Tiga bulan kemudian mereka tiba di Taiwan.

MULA MENYUKAI KERJA PENYEBARAN

Lebih daripada 100 saudara saudari sedang berkhidmat di Taiwan. Mereka datang dari Australia, Britain, Kanada, Perancis, Jepun, Korea, Sepanyol, dan Amerika Syarikat. Mereka dalam lingkungan umur 21 hingga 73 tahun. Di antara mereka ada lebih daripada 50 saudari bujang. Apakah yang membantu mereka untuk berkhidmat di sana? Mari kita ketahuinya.

Laura

Laura, seorang saudari bujang dari Kanada berkhidmat sebagai perintis di bahagian barat Taiwan. Sepuluh tahun lalu, dia langsung tidak suka menginjil. Dia berasa begitu kerana tidak meluangkan masa yang secukupnya untuk menjadi mahir dalam kerja penyebaran. Namun, rakan-rakan Laura di Kanada mengajaknya untuk menginjil di Mexico selama sebulan. “Itulah kali pertama saya meluangkan banyak masa untuk menginjil dan saya berasa sangat gembira!”

Pengalaman itu menggerakkan Laura untuk berpindah ke sidang bahasa asing di Kanada. Dia mengikuti kursus bahasa Cina, berkhidmat dalam kumpulan bahasa Cina, dan menetapkan matlamat untuk berpindah ke Taiwan. Pada bulan September 2008, dia berpindah ke Taiwan. “Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk menyesuaikan diri. Sekarang, saya tidak terfikir pun untuk kembali ke Kanada.” Apakah perasaannya tentang menginjil? Dia berkata, “Saya sangat menyukainya. Tiada apa-apa yang lebih memuaskan daripada melihat pelajar Bible mengubah hidup mereka setelah mengenal Yehuwa. Saya berpeluang menikmati sukacita ini berkali-kali di Taiwan.”

CABARAN BELAJAR BAHASA BARU

Brian dan Michelle

Brian dan Michelle, pasangan berumur 30-an dari Amerika Syarikat, telah berpindah ke Taiwan hampir lapan tahun dahulu. Pada mulanya, mereka berasa seolah-olah tidak mencapai apa-apa dalam kerja penyebaran. Tetapi, seorang mubaligh yang berpengalaman berkata, “Walaupun kamu hanya dapat memberikan risalah kepada seseorang, ingatlah bahawa dia mungkin mendengar mesej tentang Yehuwa buat kali pertama. Jadi, kamu memang sudah mencapai sesuatu yang penting!” Komen yang menggalakkan itu membantu mereka untuk tidak putus asa. Seorang saudara lain menasihati mereka, “Semasa belajar bahasa Cina, janganlah menilai kemajuan kamu setiap hari, tetapi ukurlah kemajuan kamu setiap kali kamu menghadiri perhimpunan. Dengan itu, kamu tidak akan berasa tawar hati.” Setelah berbuat begitu, mereka dapat merintis dengan lebih berkesan.

Bagaimanakah anda boleh memupuk minat untuk mempelajari bahasa baru? Jika anda ingin berkhidmat di negara lain, lawatlah negara itu dahulu. Pergilah ke perjumpaan di sana, bergaullah dengan saudara saudari tempatan, dan ikutlah mereka dalam kerja penyebaran. Brian berkata, “Setelah anda melihat sambutan baik terhadap mesej Bible dan merasai kasih sayang saudara saudari, anda akan ingin berkhidmat di luar negara walaupun terdapat cabaran.”

BAGAIMANA PULA DENGAN PEKERJAAN?

Kristin dan Michelle

Sesetengah saudara saudari yang merintis di Taiwan bekerja sebagai guru bahasa Inggeris. Kristin dan Michelle pula menjual makanan laut. Kristin menjelaskan, “Saya tidak pernah menjual makanan laut. Tetapi kerja ini membolehkan saya untuk menetap di negara ini.” Tidak lama kemudian, Kristin mendapat beberapa pelanggan tetap. Pekerjaan ini membantu Kristin dan isterinya untuk menyara hidup sambil bergiat dalam aktiviti utama mereka, iaitu merintis dan mencari orang yang berminat dalam kebenaran.

“NIKMATILAH SELURUH PERJALANAN”

William dan Jennifer, pasangan suami isteri dari Amerika Syarikat, tiba di Taiwan kira-kira tujuh tahun yang lalu. William berkata, “Mempelajari bahasa baru, berkhidmat sebagai perintis, menjaga sidang, dan menguruskan perbelanjaan kadangkala memang memenatkan.” Apakah yang membantu mereka untuk berjaya dan tetap gembira? Mereka menetapkan matlamat yang munasabah. Misalnya, mereka tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi semasa belajar bahasa Cina. Walaupun kemajuan mereka tidak begitu cepat, mereka tidak berasa kecewa.

William dan Jennifer

William ingat kata-kata seorang penyelia lawatan kepadanya, “Nikmatilah seluruh perjalanan, bukan hanya destinasinya.” Maksudnya, selepas menetapkan matlamat rohani, kita harus menikmati setiap langkah yang diambil untuk mencapainya. Menurut William, kata-kata itu membantu mereka untuk menyesuaikan diri, menerapkan nasihat daripada saudara tempatan yang bertanggungjawab, dan membuat perubahan supaya mereka berjaya dalam khidmat perintis di sana. Dia menambah, “Kami juga tidak lupa untuk menikmati keindahan alam di pulau ini.”

Megan, seorang saudari bujang dari Amerika Syarikat, juga menikmati khidmatnya sementara belajar untuk bercakap bahasa Cina dengan fasih. Setiap hujung minggu dia menyertai sekumpulan penyiar untuk menginjil di pelabuhan Kaohsiung, pelabuhan yang terbesar di Taiwan. Megan menginjil dari kapal ke kapal. Dia bercakap kepada nelayan dari Bangladesh, India, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Vanuatu. “Oleh sebab para nelayan singgah sekejap sahaja, kami serta merta mengadakan pembelajaran Bible dengan mereka. Saya selalu mengadakan pembelajaran Bible bersama empat atau lima orang sekali gus.” Bagaimanakah kemajuan Megan dalam bahasa Cina? Dia berkata, “Saya berharap untuk cepat belajar, tetapi saya ingat nasihat seorang saudara, ‘Cubalah sedaya upaya, Yehuwa akan bantu kamu berjaya.’”

Megan

HIDUP DENGAN SELAMAT, SEDERHANA DAN SERONOK

Sebelum Cathy berpindah dari Britain, dia mengkaji dahulu tempat mana yang selamat bagi saudari bujang. Dia berdoa kepada Yehuwa tentang perkara ini. Dia juga menulis surat kepada beberapa pejabat cawangan untuk bertanya tentang cabaran yang dihadapi oleh saudari bujang yang berkhidmat di sana. Setelah meneliti jawapan kepada surat-suratnya, dia memilih Taiwan sebagai tempat yang sesuai untuk berkhidmat.

Pada 2004, Cathy yang berumur 31 tahun berpindah ke Taiwan. Dia hidup dengan sederhana. “Saya tanya saudara saudari di mana untuk membeli sayur dan buah-buahan yang murah. Nasihat mereka membantu saya untuk lebih berjimat.” Apakah yang membantu Cathy untuk hidup sederhana? Dia berkata, “Saya selalu berdoa kepada Yehuwa agar saya berpuas hati dengan makanan dan pakaian yang sederhana. Yehuwa mengabulkan doa saya. Dia membantu saya menyedari apa yang saya benar-benar perlukan. Maka, saya berpuas hati walaupun tidak memiliki segala yang diinginkan.” Dia berkata lagi, “Cara hidup sederhana membantu saya berfokus kepada hal rohani.”

Cathy

Kehidupan Cathy juga menyeronokkan. Dia menerangkan, “Saya menginjil di tempat di mana ramai orang suka menerima kebenaran. Itulah sukacita yang sejati!” Sewaktu Cathy tiba di Taiwan, hanya ada dua sidang di tempat dia berkhidmat. Tetapi, sekarang terdapat tujuh sidang di sana. Cathy berkata, “Saya dapat melihat dan menyumbang kepada perkembangan yang pesat ini. Hal ini membuat kehidupan seharian saya sangat menyeronokkan!”

GEMBIRA KERANA DAPAT MEMBANTU

Apakah yang terjadi kepada Choong Keon dan Julie yang disebut tadi? Pada mulanya, Choong Keon yang merupakan seorang pembantu sidang, berasa tidak berapa berguna dalam sidangnya kerana kurang fasih dalam bahasa Cina. Tetapi, saudara tempatan tidak berasa begitu. “Apabila sidang kami dipisahkan kepada dua, saya diberikan lebih banyak tanggungjawab,” kata Choong Keon. “Pada saat itu, saya berasa bahawa saya memang dapat membantu di tempat ini. Saya sangat gembira kerana mereka menghargai usaha saya.” Hari ini, dia berkhidmat sebagai seorang penatua. Julie berkata, “Kami menikmati pencapaian, kepuasan, dan kebahagiaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Kami datang ke sini untuk membantu, tetapi rasanya kamilah yang telah dibantu. Kami bersyukur kepada Yehuwa atas peluang ini.”

Banyak negara masih memerlukan bantuan dalam kerja penyebaran. Adakah anda hampir tamat persekolahan dan berfikir tentang haluan hidup anda? Adakah anda masih bujang dan ingin meluaskan khidmat kepada Yehuwa? Adakah anda ingin keluarga anda mempunyai kenangan manis dalam khidmat kepada Yehuwa? Jika anda sudah bersara, bolehkah anda mengongsi pengalaman anda yang bernilai dengan orang lain? Sudah pasti berkat yang melimpah menantikan anda jika anda berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan.