Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Bergerak Maju dengan Organisasi Yehuwa?

Adakah Anda Bergerak Maju dengan Organisasi Yehuwa?

“Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya.”1 PTR. 3:12.

1. Apakah organisasi yang menggantikan bangsa Israel sebagai umat pilihan Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

HARI ini, umat Yehuwa menyembah-Nya dalam cara yang diperkenankan-Nya. Pada zaman dahulu, umat pilihan Yehuwa ialah bangsa Israel. Namun, mereka menjadi murtad. Kemudian Yehuwa membentuk sebuah organisasi yang terdiri daripada pengikut-pengikut Yesus. Tuhan sangat berkenan kepada organisasi baru ini, dan organisasi ini terselamat apabila Yerusalem dimusnahkan pada 70 M. (Luk. 21:20, 21) Pada hari-hari terakhir, sebuah lagi organisasi baru didirikan untuk mewakili Yehuwa. Apabila dunia Syaitan dimusnahkan, organisasi ini tidak akan turut musnah. (2 Tim. 3:1) Bagaimanakah kita mengetahui hal ini?

2. Apakah yang dikatakan Yesus tentang kesengsaraan besar, dan bagaimanakah peristiwa ini akan bermula?

2 Yesus menubuatkan apa yang akan berlaku pada hari-hari terakhir, “Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi.” (Mat. 24:3, 21, ABB) Kesengsaraan besar akan bermula apabila Yehuwa menggunakan kerajaan manusia untuk memusnahkan “Babel yang besar,” iaitu empayar agama palsu sedunia. (Why. 17:3-5, 16) Apakah yang akan terjadi seterusnya?

SERANGAN SYAITAN MENYEBABKAN ARMAGEDON

3. Selepas kemusnahan agama palsu, apakah yang berlaku kepada umat Tuhan?

3 Selepas kemusnahan semua agama palsu, Saksi-Saksi Yehuwa akan menjadi satu-satunya organisasi agama di bumi. Kemudian, Syaitan dan dunianya akan melancarkan serangan ke atas umat Tuhan. Oleh sebab umat Tuhan tidak mempunyai angkatan tentera dan bersifat damai, mereka merupakan sasaran yang mudah diserang. Bible menyatakan bahawa ‘Gog dari tanah Magog’ akan ‘menyerang seperti badai dan meliputi seluruh negeri seperti awan.’ Tetapi serangan itu merupakan tindakan yang sia-sia!Yeh. 38:1, 2, 9-12.

4, 5. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa apabila umat-Nya diserang?

4 Apakah yang akan dilakukan oleh Tuhan apabila Syaitan dan konco-konconya menyerang umat Tuhan? Selaku Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, Yehuwa akan bertindak. Yehuwa menganggap tindakan Syaitan ini seperti menyerang sesuatu yang sangat bernilai kepada-Nya. (Baca Zakharia 2:8.) Maka, Yehuwa akan segera menyelamatkan kita. Pada waktu itulah, Yehuwa akan memulakan Armagedon, ‘perang Tuhan Yang Maha Kuasa’ dan memusnahkan dunia Syaitan.Why. 16:14, 16.

5 Mengenai Armagedon, nubuat Bible menyatakan, ‘“‘Yehuwa mengajukan perkara terhadap bangsa-bangsa. Dia akan mengadili semua orang dan membinasakan orang jahat. Yehuwa telah berfirman.’” Yehuwa Yang Maha Kuasa berfirman bahawa bencana akan menimpa bangsa demi bangsa, dan badai sedang berkecamuk di hujung-hujung bumi. Pada hari itu mayat orang yang dibinasakan oleh Yehuwa akan bergelimpangan di seluruh muka bumi. Mereka tidak akan diratapi, tidak pula diangkat untuk dikuburkan, melainkan dibiarkan sahaja di tanah seperti timbunan baja.’ (Yer. 25:31-33, ABB) Armagedon akan mengakhiri dunia yang jahat ini. Dunia Syaitan akan dimusnahkan, tetapi organisasi Yehuwa akan tetap selamat.

MENGAPA ORGANISASI YEHUWA BERKEMBANG MAJU

6, 7. (a) “Lautan manusia yang luar biasa banyaknya” terdiri daripada siapa? (b) Apakah peningkatan yang berlaku kebelakangan ini?

6 Hari ini, organisasi Yehuwa terus berkembang maju kerana ahli-ahlinya mendapat perkenan Tuhan. Bible menyatakan, “Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka.” (1 Ptr. 3:12) Orang yang melakukan kehendak Tuhan terdiri daripada “lautan manusia yang luar biasa banyaknya.” Mereka akan mengharungi kesengsaraan besar. (Why. 7:9, 14) Bayangkan perasaan anda sebagai sebahagian daripada kumpulan besar yang berjaya mengharungi kesengsaraan besar.

7 Kumpulan besar manusia merangkumi orang dari pelbagai bangsa dan bahasa. Kumpulan ini ialah hasil daripada kerja penyebaran. Hal ini selaras dengan nubuat Yesus, ‘Berita Baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.’ (Mat. 24:14, ABB) Pada hari-hari terakhir, kerja penyebaran ialah kerja utama organisasi Yehuwa. Kerja ini telah membantu jutaan orang untuk menyembah Yehuwa “dalam roh dan kebenaran.” (Yoh. 4:23, 24, nota kaki) Contohnya, antara tahun 2003 hingga 2012, lebih daripada 2,707,000 individu telah dibaptis. Sekarang, terdapat lebih daripada 7,900,000 Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. Setiap tahun, semakin ramai orang menghadiri hari Peringatan bersama kita. Semua ini bukanlah atas usaha kita sendiri, melainkan Yehuwalah yang menyebabkan peningkatan ini.1 Kor. 3:5-7.

8. Mengapakah organisasi Yehuwa mengalami peningkatan yang pesat hari ini?

8 Saksi-Saksi Yehuwa mengalami peningkatan yang pesat kerana disokong oleh Yehuwa. (Baca Yesaya 43:10-12.) Peningkatan ini menggenapi nubuat Bible, ‘Keluargamu yang terkecil dan terhina akan menjadi bangsa yang kuat. Pada masa yang tepat kelak, Aku, Yehuwa, akan melakukannya dengan segera.’ (Yes. 60:22) Pada suatu masa, bilangan orang Kristian terurap bagaikan ‘keluarga yang kecil.’ Namun, bilangan mereka meningkat kerana Yehuwa memberkati kerja penyebaran. (Gal. 6:16) Bilangan mereka yang mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi turut bertambah.

APA YANG DIKEHENDAKI YEHUWA DARIPADA KITA

9. Bagaimanakah kita boleh menikmati masa depan yang cerah seperti yang dijanjikan Tuhan?

9 Sama ada kita adalah sebahagian daripada kaum terurap atau daripada kumpulan besar, Yehuwa telah memberikan harapan yang cerah bagi kita semua. Namun, untuk menerima manfaat ini, kita perlu mematuhi perintah-Nya. (Yes. 48:17, 18) Cuba fikirkan contoh orang Israel yang berada di bawah Hukum Musa. Tujuan Hukum tersebut adalah untuk melindungi dan mengajar mereka cara untuk hidup bahagia bersama keluarga dan sahabat, cara untuk berurusan dengan jujur, serta cara untuk memperlakukan orang lain dengan baik hati. (Kel. 20:14; Im. 19:18, 35-37; Ul. 6:6-9) Dengan mematuhi perintah Tuhan, kita juga meraih manfaat yang sama dan perintah-Nya bukanlah satu beban. (Baca 1 Yohanes 5:3.) Sebagaimana Hukum melindungi bangsa Israel, perintah Tuhan dan prinsip-Nya bukan hanya melindungi kita, tetapi juga membantu kita agar “tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar.”Tit. 1:13.

10. Mengapakah kita perlu mengekhaskan masa untuk mempelajari Bible dan mengadakan Penyembahan Keluarga?

10 Organisasi Yehuwa di bumi bergerak maju dalam pelbagai cara. Misalnya, pemahaman Bible kita menjadi semakin jelas. Hal ini tepat seperti apa yang dikatakan Bible, “Kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang.” (Ams. 4:18, ABB) Namun, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, “Adakah saya memahami ajaran Bible yang telah dikemaskinikan? Adakah saya membaca Bible setiap hari? Adakah saya suka membaca bahan bacaan daripada organisasi Tuhan? Adakah saya mengadakan Penyembahan Keluarga setiap minggu?” Kebanyakan daripada kita pasti setuju bahawa perkara ini tidaklah terlalu susah untuk dilakukan. Walaupun demikian, kita perlu mengekhaskan masa untuk melakukannya. Adalah penting untuk terus mempelajari Firman Tuhan, menerapkannya, dan membuat kemajuan rohani sekarang, kerana kesengsaraan besar semakin mendekat!

11. Mengapakah umat Yehuwa menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen?

11 Organisasi Yehuwa menggalakkan kita untuk menerapkan nasihat Paulus, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain” kerana kita tahu bahawa hari Tuhan semakin mendekat. (Ibr. 10:24, 25, ABB) Orang Israel kuno selalu berkumpul bersama untuk beribadat kepada Yehuwa dan mendengarkan perintah-Nya. Antara peristiwa yang menggembirakan ini ialah Perayaan Pondok Daun yang diadakan pada zaman Nehemia. (Kel. 23:15, 16; Neh. 8:9-18) Hari ini, kita juga berkumpul bersama di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Dengan menghadiri semua acara ini, hubungan kita dengan Yehuwa semakin erat dan kita gembira untuk menyembah-Nya.Tit. 2:2.

12. Bagaimanakah seharusnya perasaan kita terhadap kerja penyebaran?

12 Sebagai ahli organisasi Yehuwa, kita perlu ‘mengkhabarkan Berita Baik daripada Tuhan.’ (Rm. 15:16) Dengan menjalankan tugas ini, kita menjadi rakan sekerja Yehuwa, ‘Tuhan yang suci.’ (1 Kor. 3:9; 1 Ptr. 1:15) Semasa menginjil, kita menunjukkan bahawa kita menghormati nama Yehuwa yang suci. Sudah tentu kerja ini adalah suatu penghormatan dan kita bersukacita kerana berpeluang menyebarkan “Berita Baik yang mulia.”1 Tim. 1:11.

13. Kesihatan rohani yang baik dan hidup kita bergantung pada apa?

13 Tuhan ingin kita menjaga kesihatan rohani dengan tetap setia kepada-Nya dan menyokong organisasi-Nya. Musa memberitahu orang Israel, ‘Sekarang kamu boleh memilih antara hidup dan maut, antara berkat Tuhan dan kutuk-Nya. Aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap keputusan kamu. Pilihlah hidup. Kasihilah Yehuwa, Tuhan kamu, taatlah dan setialah kepada-Nya, maka kamu dan keturunan kamu akan panjang umur di tanah yang dijanjikan Yehuwa kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.’ (Ul. 30:19, 20, ABB) Jika kita memilih untuk hidup, kita akan melakukan kehendak Yehuwa, mengasihi dan mematuhi-Nya, serta tetap setia kepada-Nya.

14. Apakah perasaan seorang saudara terhadap organisasi Yehuwa?

14 Saudara Pryce Hughes yang mempelajari kebenaran sebelum tahun 1914, tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya sepanjang hayat. Menurutnya, “Perkara yang paling penting bagi saya adalah untuk berpaut erat pada organisasi Tuhan. Pengalaman saya sebelum ini menunjukkan bahawa adalah tidak bijak untuk bergantung pada pengertian manusia.” Hal ini membantunya untuk mengharungi ujian iman sepanjang hidupnya. Saudara Pryce menyatakan bahawa tiada cara lain lagi untuk menerima berkat Yehuwa selain daripada mengikuti arahan daripada organisasi-Nya.

TERUS BERGERAK MAJU DENGAN ORGANISASI TUHAN

15. Berikan contoh Bible yang menunjukkan cara kita harus bertindak sewaktu terdapat penyesuaian tentang ajaran Bible.

15 Jika kita ingin mendapat perkenan Yehuwa dan berkat-Nya, kita harus menyokong organisasi-Nya dan menerima ajaran Bible yang terkini. Fikirkan hal ini: Selepas kematian Yesus, terdapat ribuan orang Kristian Yahudi yang masih berpegang pada Hukum Musa. (Kis. 21:17-20) Tetapi Paulus membetulkan pemahaman mereka dan membantu mereka sedar bahawa hanya korban tebusan Yesus dapat membawa pengampunan dosa untuk selama-lamanya, dan bukannya korban binatang. (Ibr. 10:5-10) Ramai orang Kristian Ibrani menerima nasihat Paulus dan menyesuaikan pemahaman mereka. Kita juga perlu rajin mempelajari Bible dan bahan bacaan kita. Jika organisasi Yehuwa melakukan penyesuaian, kita harus menerimanya dengan rendah hati.

16. (a) Mengapakah kita akan menikmati kehidupan di bumi Firdaus? (b) Apakah yang anda nanti-nantikan di Firdaus?

16 Semua orang yang tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya akan menerima berkat yang berlimpah-limpah. Orang Kristian terurap akan menikmati peluang istimewa untuk memerintah bersama Kristus di syurga. (Rm. 8:16, 17) Penyembah Yehuwa yang lain akan menikmati kehidupan kekal di Firdaus. Sebagai sebahagian daripada organisasi Yehuwa, kita berpeluang untuk mengongsi harapan ini kepada orang lain. (2 Ptr. 3:13) Mazmur 37:11 menyatakan, “Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri [“bumi,” NW] ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.” Manusia akan ‘membina rumah dan mendiaminya’ dan “mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.” (Yes. 65:21, 22) Pada masa itu, tiada lagi penindasan, kemiskinan, dan kelaparan. (Mzm. 72:13-16) Babilon Besar tidak akan memperdaya sesiapa lagi kerana dia sudah dimusnahkan. (Why. 18:8, 21) Orang yang telah meninggal akan dibangkitkan dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (Yes. 25:8; Kis. 24:15) Bayangkan betapa menakjubkan harapan ini bagi jutaan orang yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa! Untuk mencapai harapan ini, kita harus membuat kemajuan rohani dan bergerak maju dengan organisasi Yehuwa.

Bolehkah anda bayangkan diri anda di Firdaus? (Lihat perenggan 16)

17. Apakah sepatutnya sikap kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya?

17 Kemusnahan dunia Syaitan sudah berada di ambang pintu. Maka, marilah kita tetap beriman dan setia menyembah Yehuwa bersama organisasi-Nya. Itulah perasaan Daud yang bernyanyi, ‘Aku telah memohon satu perkara kepada Yehuwa; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah Yehuwa sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.’ (Mzm. 27:4, ABB) Semoga setiap orang di antara kita bergerak maju tanpa mengenal lelah bersama umat-Nya dan organisasi-Nya.