Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Mengekalkan Pandangan yang Positif

Cara Mengekalkan Pandangan yang Positif

“Bersyukurlah untuk setiap tahun kamu hidup.”PKH. 11:8

1. Apakah berkat Yehuwa yang dapat membuat kita gembira?

YEHUWA ingin kita gembira, dan Dia telah mengurniai banyak berkat yang membawa sukacita. Salah satunya ialah Dia memberi kita kehidupan. Oleh itu, kita boleh memuji-Nya dan Dia telah memimpin kita kepada ibadat sejati. (Mzm. 144:15; Yoh. 6:44) Kita boleh yakin bahawa Yehuwa mengasihi kita dan membantu kita untuk bertabah semasa berkhidmat kepada-Nya. (Yer. 31:3; 2 Kor. 4:16) Kita juga menikmati firdaus rohani dengan mendapat makanan rohani yang berlimpah dan persaudaraan Kristian yang pengasih. Lebih-lebih lagi, kita memiliki masa depan yang cerah.

2. Apakah perasaan yang dihadapi oleh sesetengah umat Tuhan yang setia?

2 Walaupun semua berkat ini membuat kita gembira, sesetengah umat Tuhan yang setia bergelut dengan perasaan negatif tentang diri sendiri. Mereka mungkin berasa bahawa diri mereka atau khidmat mereka tidak bernilai bagi Yehuwa. Bagi mereka yang selalu berfikiran negatif, bersukacita sepanjang hayat hanyalah suatu mimpi sahaja. Kehidupan mereka seperti diselubungi kegelapan.Pkh. 11:8.

3. Apakah yang boleh menyebabkan perasaan negatif?

3 Bagi saudara saudari ini, perasaan negatif mungkin disebabkan oleh kekecewaan, penyakit, atau usia tua. (Mzm. 71:9; Ams. 13:12; Pkh. 7:7) Selain itu, hati kita licik dan dapat menyalahkan kita walaupun Yehuwa berkenan dengan kita. (Yer. 17:9; 1 Yoh. 3:20) Iblis sengaja menuduh umat Tuhan. Seperti Elifas yang tidak beriman, sesetengah orang berfikiran seperti Syaitan dan mempengaruhi kita untuk percaya bahawa kita tidak bernilai di mata Tuhan. Itulah dusta pada zaman Ayub dan dewasa ini kita menghadapi dusta yang sama.Ayb. 4:18, 19.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Ayat Bible menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa menyertai orang yang “melalui tempat yang gelap gelita.” (Mzm. 23:4) Satu cara ialah melalui Firman-Nya. Bible ialah ‘senjata yang diberikan Tuhan’ untuk membetulkan tanggapan yang salah dan pemikiran yang negatif. (2 Kor. 10:4, 5) Mari kita bincangkan bagaimana kita dapat menggunakan Bible untuk memupuk dan mengekalkan pandangan yang positif. Anda boleh meraih manfaat dan menggalakkan orang lain dengan apa yang dipelajari.

GUNAKAN BIBLE UNTUK MEMUPUK PANDANGAN YANG POSITIF

5. Apakah ujian yang boleh membantu kita berpandangan positif?

5 Rasul Paulus menjelaskan cara untuk memupuk pandangan yang positif. Dia menggesa sidang di Korintus, “Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan.” (2 Kor. 13:5) “Kepercayaan” itu merujuk kepada semua ajaran Kristian dalam Bible. Jika kata-kata dan perbuatan kita selaras dengan ajaran Bible, barulah kita lulus dalam ujian tersebut dan menunjukkan bahawa kita “hidup berdasarkan kepercayaan.” Sudah tentu kita tidak boleh memilih dan mengikut beberapa ajaran Bible sahaja. Sebaliknya, kita harus mematuhi semua ajaran di dalam Bible.Yak. 2:10, 11.

6. Mengapakah kita patut menguji ‘sama ada kita betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan’? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Anda mungkin teragak-agak untuk mengambil ujian ini, terutamanya jika anda berasa bahawa anda akan gagal. Namun, pandangan Yehuwa lebih penting daripada pandangan kita, dan pemikiran-Nya lebih tinggi daripada pemikiran kita. (Yes. 55:8, 9) Yehuwa memeriksa semua penyembah-Nya bukan untuk mengutuk mereka, tetapi untuk mencari sifat-sifat baik dan membantu mereka. Semasa menggunakan Firman Tuhan untuk menguji ‘sama ada anda betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan,’ anda akan mula memahami perasaan Tuhan terhadap anda. Hasilnya, anda akan sedar bahawa anda bernilai di mata Yehuwa. Jika kita ingat akan hal ini, kita seperti membuka tirai agar cahaya dapat menyinari bilik yang gelap.

7. Bagaimanakah contoh-contoh orang setia di dalam Bible dapat membantu kita?

7 Cara yang berkesan untuk menguji diri adalah dengan merenungkan contoh-contoh orang setia dalam Bible. Bandingkan keadaan atau perasaan mereka, dan fikirkan bagaimana anda akan bertindak jika anda menghadapi situasi yang sama. Mari kita bincangkan tiga contoh Bible yang dapat membantu kita menentukan ‘sama ada kita betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan.’ Hal ini akan membantu kita memupuk pandangan positif tentang diri sendiri.

BALU YANG MISKIN

8, 9. (a) Apakah keadaan balu yang miskin? (b) Apakah perasaan negatif yang mungkin dia hadapi?

8 Dalam Rumah Tuhan di Yerusalem, Yesus telah memerhatikan seorang balu yang miskin. Teladannya boleh membantu kita berpandangan positif walaupun ­menghadapi keterbatasan. (Baca Lukas 21:1-4.) Fikirkanlah keadaan balu itu. Dia berasa pilu kerana kematian suaminya. Tambahan pula, para pemimpin agama pada masa itu tamak dan lebih rela “merampas rumah” balu daripada membantu mereka. (Luk. 20:47) Dia sangat miskin sehingga sumbangannya di Rumah Tuhan sama dengan gaji yang dibayar kepada seorang pekerja yang hanya bekerja selama beberapa minit.

9 Cuba bayangkan perasaan balu itu apabila dia membawa dua keping wang kecil memasuki Rumah Tuhan. Mungkinkah dia terkenang sumbangan yang dia dapat berikan dahulu semasa suaminya masih hidup? Adakah dia berasa malu kerana orang lain memberikan sumbangan yang lebih banyak? Dia mungkin tertanya-tanya jika sumbangannya benar-benar bernilai. Walaupun begitu, dia telah melakukan apa yang dia mampu lakukan untuk Yehuwa.

10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa balu itu bernilai di mata Tuhan?

10 Yesus menyatakan bahawa balu itu serta sumbangannya adalah bernilai di mata Yehuwa. Dia berkata bahawa balu itu “memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang [kaya] lain.” Walaupun ramai orang memberikan sumbangan, Yesus bertumpu pada balu tersebut dan memujinya. Bendahari yang kemudiannya mengumpulkan wang sumbangan tidak sedar betapa bernilainya dua keping wang kecil itu serta balu tersebut di mata Yehuwa. Ya, yang terpenting adalah pandangan Yehuwa, bukannya pandangan manusia lain atau pandangan balu itu sendiri. Dapatkah anda menggunakan kisah ini untuk menguji sama ada anda sedang hidup berdasarkan kepercayaan?

Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada contoh balu yang miskin? (Lihat perenggan 8-10)

11. Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah balu yang miskin?

11 Keadaan anda mungkin mempengaruhi khidmat anda kepada Yehuwa. Usia tua atau penyakit yang dihadapi oleh sesetengah orang boleh mengehadkan masa kerja penyebaran mereka. Mungkinkah mereka berfikir bahawa laporan aktiviti penyebaran mereka tidak begitu bernilai? Walaupun anda masih muda atau sihat, anda mungkin berasa bahawa anda menyumbang sedikit sahaja kepada jumlah masa yang diluangkan oleh umat Tuhan di serata dunia. Namun, seperti kisah balu tadi, Yehuwa menghargai apa yang anda lakukan untuk-Nya, terutama sekali dalam keadaan yang susah. Fikirkan khidmat anda kepada Yehuwa selama setahun yang lalu. Pernahkah anda membuat pengorbanan semata-mata untuk meluangkan satu jam bagi Yehuwa? Jika ya, anda boleh pasti bahawa Dia menghargai apa yang anda lakukan untuk-Nya. Sekiranya anda berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh seperti balu tersebut, anda boleh yakin bahawa anda sedang “hidup berdasarkan kepercayaan.”

“AMBILLAH NYAWAKU”

12-14. (a) Bagaimanakah perasaan negatif mempengaruhi Elia? (b) Mengapakah Elia putus harapan?

12 Nabi Elia setia dan percaya kepada Yehuwa. Namun, pada suatu ketika, dia putus harapan dan berkata kepada Yehuwa, ‘Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya Yehuwa. Ambillah nyawaku.’ (1 Raj. 19:4) Orang yang tidak pernah mengalami perasaan sebegini mungkin menyimpulkan bahawa Elia meluahkan ‘kata-kata yang melulu.’ (Ayb. 6:3) Walaupun begitu, itulah perasaan Elia. Perhatikan bahawa Yehuwa tidak memarahi Elia atas permintaannya untuk mati, tetapi Dia membantu Elia.

13 Mengapakah Elia berasa begitu? Sebelum hal ini terjadi, dia telah melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar. Hasilnya, 450 nabi Baal terbunuh. (1 Raj. 18:37-40) Elia mungkin berharap bahawa umat Tuhan akan kembali kepada ibadat sejati. Tetapi hal itu tidak terjadi. Sebaliknya, Ratu Izebel mengirim berita kepada Elia bahawa dia akan membunuhnya. Dalam ketakutan, Elia melarikan diri ke arah selatan merentasi Yudea ke padang gurun yang tandus dan berbahaya.1 Raj. 19:2-4.

14 Apabila dia bersendirian, dia memikirkan betapa sia-sia kerjanya sebagai seorang nabi. Dia memberitahu Yehuwa, “Lebih baik aku mati!” Maksudnya ialah dia berasa sangat tidak berguna. Dia sebenarnya menguji diri berdasarkan pandangan sendiri. Dia menganggap dirinya sudah gagal dan tidak bernilai di mata Yehuwa mahupun orang lain.

15. Bagaimanakah Tuhan meyakinkan Elia bahawa dia masih bernilai?

15 Namun, pandangan Tuhan Yang Maha Tinggi adalah berbeza. Elia tetap bernilai di mata Tuhan. Oleh itu, Yehuwa menghantar satu malaikat untuk menguatkannya. Yehuwa juga membekalkan makanan dan minuman kepada Elia untuk perjalanannya selama 40 hari ke Gunung Horeb. Elia berfikir bahawa tiada orang Israel yang setia kepada Tuhan. Tetapi, Yehuwa dengan baik hati membetulkan pandangannya yang salah itu. Akhirnya Yehuwa memberi tugasan baru kepada Elia. Dia menerima tugasan itu dan meraih manfaat daripada bantuan Yehuwa. Dengan penuh semangat dia kembali bertugas sebagai seorang nabi.1 Raj. 19:5-8, 15-19.

16. Bagaimanakah Yehuwa telah menjaga anda?

16 Contoh Elia dapat membantu kita untuk menguji sama ada kita hidup berdasarkan kepercayaan dan mendorong kita untuk berpandangan positif. Pertama, fikirkan bagaimana Yehuwa telah menjaga anda. Pernahkah salah seorang umat Tuhan, mungkin seorang penatua atau orang Kristian yang matang membantu anda ketika anda amat memerlukan bantuan? (Gal. 6:2) Pernahkah anda mendapat bantuan daripada Bible, bahan bacaan, dan perjumpaan Kristian? Jika ya, fikirlah tentang Sumber bantuan tersebut dan ucaplah syukur kepada-Nya.Mzm. 121:1, 2.

17. Apakah yang Yehuwa hargai mengenai umat-Nya?

17 Kedua, ketahuilah bahawa pandangan negatif boleh memperdaya kita. Namun, pandangan Yehuwa terhadap kita lebih penting. (Baca Roma 14:4.) Yehuwa tidak menilai kita berdasarkan pencapaian, tetapi Dia menghargai kesetiaan dan khidmat kita kepada-Nya. Seperti Elia, anda mungkin tidak sedar apa yang telah anda lakukan bagi Yehuwa. Mungkin saudara saudari di sidang mendapat manfaat daripada teladan baik anda. Selain itu, orang di kawasan penyebaran mungkin mengenal kebenaran melalui usaha baik anda.

18. Apakah yang dibuktikan oleh tugasan yang Yehuwa berikan kepada anda?

18 Akhir sekali, fikirkan bahawa setiap tugasan yang diberikan Yehuwa adalah bukti bahawa Dia menyertai anda. (Yer. 20:11) Seperti Elia, anda mungkin kecewa kerana berasa bahawa khidmat anda sia-sia atau sesetengah matlamat rohani nampaknya tidak tercapai. Namun, anda masih memiliki penghormatan yang besar, iaitu memberitakan khabar baik dan menyandang nama Tuhan. Jadi, kekalkanlah kesetiaan anda. Seperti yang dikatakan Yesus, anda akan dapat ‘bersukacita bersama-sama tuanmu!’Mat. 25:23.

“DOA SEORANG YANG SENGSARA”

19. Apakah perasaan penulis Mazmur 102?

19 Penulis Mazmur 102 berasa terdesak. Dia berasa “sengsara” kerana menghadapi kelemahan fizikal atau emosi. Dia juga berasa tidak bertenaga untuk menghadapi masalahnya. (Mzm. 102:1) Kata-katanya menunjukkan bahawa dia dibelenggu oleh kepedihan, kesunyian, dan perasaannya sendiri. (Mzm. 102:4, 5, 7, 12) Dia percaya bahawa Yehuwa ingin membuangnya.Mzm. 102:11.

20. Bagaimanakah doa dapat membantu orang yang “sengsara” melawan pemikiran yang negatif?

20 Namun, pemazmur ini masih dapat menggunakan hidupnya untuk memuji Yehuwa. (Baca Mazmur 102:20-22.) Mazmur 102 menunjukkan bahawa orang yang beriman pun boleh merana dan berasa susah untuk memberikan tumpuan kepada hal lain. “Bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah,” pemazmur berasa sunyi dan hanya ditemani masalah. (Mzm. 102:8) Jika anda berasa demikian, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa seperti yang dilakukan oleh pemazmur. Apabila anda berasa “sengsara,” doa dapat membantu anda untuk melawan pemikiran yang negatif. Yehuwa berjanji untuk “mendengar doa umat-Nya yang papa, dan tidak menolak permohonan mereka.” (Mzm. 102:18) Maka, yakinlah akan janji ini.

21. Bagaimanakah seorang yang mempunyai perasaan negatif dapat memupuk pandangan yang positif?

21 Mazmur 102 juga menunjukkan cara anda dapat memupuk pandangan yang positif. Pemazmur berbuat demikian dengan bertumpu pada hubungannya dengan Yehuwa. (Mzm. 102:13, 28) Dia berasa lega apabila dia sedar bahawa Yehuwa sentiasa menyokong umat-Nya yang mengharungi kesusahan. Jika perasaan negatif menjejaskan khidmat anda kepada Yehuwa, berdoalah tentang hal ini. Mohonlah kepada Tuhan bukan hanya untuk mendapat kelegaan, tetapi juga agar ‘nama-Nya diisytiharkan.’Mzm. 102:21, 22.

22. Bagaimanakah kita dapat menyenangkan hati Yehuwa?

22 Ya, kita dapat menggunakan Bible untuk menunjukkan bahawa kita “hidup berdasarkan kepercayaan” dan berharga di mata Yehuwa. Hari ini, kita memang tidak kebal menghadapi perasaan negatif atau perasaan kecewa. Namun, kita semua berpeluang menyenangkan hati Yehuwa dan memperoleh penyelamatan kerana bertahan dalam khidmat kepada-Nya.Mat. 24:13.