Yehuwa —Pemberi dan Pelindung Kita
‘Orang yang mengasihi Aku akan Kuselamatkan, orang yang mengakui Aku sebagai Yehuwa akan Kupeliharakan.’ —MZM. 91:14.
1, 2. Bagaimanakah kita berbeza dari segi latar belakang keluarga, dan latar belakang rohani?
YEHUWA ialah pengasas keluarga. (Ef. 3:14, 15) Walaupun kita berasal daripada keluarga yang sama, sifat dan keadaan kita berbeza. Anda mungkin dibesarkan oleh ibu bapa hingga dewasa. Yang lain pula mungkin kehilangan ibu bapa kerana penyakit, kemalangan, atau tragedi lain. Ada juga yang tidak tahu siapa ibu bapa mereka sebenarnya.
2 Latar belakang rohani ahli keluarga Yehuwa juga berbeza-beza. Contohnya anda mungkin dibesarkan oleh ibu bapa yang mengajar prinsip-prinsip Bible kepada anda. (Ul. 6:6, 7) Atau anda mungkin seperti ribuan orang yang menerima kebenaran melalui aktiviti penyebaran Saksi-Saksi Yehuwa.—Rm. 10:13-15; 1 Tim. 2:3, 4.
3. Apakah persamaan yang kita semua miliki?
3 Walaupun latar belakang kita berbeza, kita semua mempunyai persamaan. Kita menderita kerana tidak sempurna, berdosa, dan mati akibat daripada pemberontakan Adam. (Rm. 5:12) Namun, sebagai penyembah sejati kita boleh merujuk kepada Yehuwa sebagai “Bapa” kita. Umat Yehuwa pada zaman kuno berkata dalam Yesaya 64:8, ‘Engkaulah Bapa kami, ya Yehuwa.’ Selain itu, Yesus memulakan doanya dengan berkata, “Ya Bapa kami yang di syurga.”—Mat. 6:9.
4, 5. Untuk meningkatkan penghargaan kita terhadap Bapa kita, Yehuwa, apakah yang akan kita bincangkan?
4 Bapa kita yang di syurga menjaga dan melindungi orang yang beriman kepada-Nya. Melalui pemazmur Yehuwa berkata, ‘Orang yang mengasihi Aku akan Kuselamatkan, orang yang mengakui Aku sebagai Yehuwa akan Kupeliharakan.’ (Mzm. 91:14) Ya, Yehuwa yang pengasih menyelamatkan umat-Nya daripada musuh dan melindungi mereka supaya tidak lenyap.
5 Untuk meningkatkan penghargaan kita terhadap Bapa kita, marilah kita bincang bagaimana Yehuwa ialah (1) Pemberi, (2) Pelindung, dan (3) Sahabat karib kita. Semasa membincangkan tiga perkara ini, adalah baik untuk mempertimbangkan hubungan kita dengan Tuhan dan mencari peluang untuk menunjukkan hormat kepada-Nya sebagai Bapa kita. Adalah baik juga untuk berfikir tentang berkat-berkat yang akan diterima oleh mereka yang menghampiri-Nya.—Yak. 4:8.
YEHUWA, PEMBERI YANG AGUNG
6. Apakah salah satu cara Yehuwa menjadi sumber “setiap pemberian yang baik”?
6 ‘Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Tuhan, Pencipta semua cahaya di langit,’ tulis rasul Yakobus. (Yak. 1:17) Kehidupan kita merupakan pemberian yang baik sekali daripada Yehuwa. (Mzm. 36:10) Dengan menggunakan kehidupan kita untuk melakukan kehendak Tuhan, kita meraih berkat yang melimpah-limpah sekarang dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di dunia baru. (Ams. 10:22; 2 Ptr. 3:13) Memandangkan kita mewarisi dosa daripada Adam, bagaimanakah semua ini boleh terjadi?
7. Bagaimanakah Yehuwa membuka peluang kepada kita untuk menikmati hubungan yang erat dengan-Nya?
7 Sememangnya, Yehuwa ialah Pemberi Yang Agung dalam pelbagai cara. Misalnya, Dia menunjukkan kebaikan hati kepada kita. Ya, kita semua berdosa dan mewarisi ketidaksempurnaan daripada Adam. (Rm. 3:23) Meskipun demikian, Yehuwa mengasihi kita lalu membuka peluang kepada kita untuk menikmati hubungan yang erat dengan-Nya. ‘Inilah cara Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita,’ tulis rasul Yohanes, ‘Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal. Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Tuhan, tetapi Tuhan mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui dia dosa kita diampunkan.’—1 Yoh. 4:9, 10, ABB.
8, 9. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan diri sebagai Pemberi Yang Agung pada zaman Abraham dan Ishak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
8 Pada abad ke-19 SM, nubuat telah membuktikan bahawa kehidupan kekal merupakan pemberian yang pengasih daripada Yehuwa kepada umat-Nya yang setia. Ibrani 11:17-19 (ABB) menjelaskan, ‘Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Tuhan menguji Abraham. Tuhan memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban. Tuhan sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.” Abraham yakin bahawa Tuhan berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian.’ Sepertimana Abraham rela mengorbankan anaknya, Yehuwa juga rela mengorbankan Yesus Kristus bagi umat manusia.—Baca Yohanes 3:16, 36.
Kej. 22:10-13) Tidak hairanlah tempat itu dipanggil ‘Yehuwa Menyediakan Apa Yang Diperlukan.’—Kej. 22:14.
9 Sudah pasti, Ishak berasa lega apabila sedar bahawa dia tidak perlu mati sebagai korban! Dia tentu bersyukur kerana Yehuwa menyediakan seekor domba jantan yang tersangkut pada belukar sebagai penggantinya. (PELUANG MENJADI SAHABAT TUHAN
10, 11. Siapakah yang menerima tugas untuk ‘menjadikan orang lain sahabat Tuhan’? Bagaimanakah mereka melakukannya?
10 Semasa merenungkan perbuatan Yehuwa sebagai Pemberi Yang Agung, kita sedar peranan penting yang dimainkan Yesus. Paulus menulis, ‘Kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka.’—2 Kor. 5:14, 15, ABB.
11 Orang Kristian masa awal sangat mengasihi Yehuwa dan menghargai peluang untuk menyembah-Nya. Oleh itu, mereka menerima tugas untuk ‘menjadikan orang lain sahabat Tuhan.’ Kerja penyebaran mereka membuka peluang kepada orang yang tulus untuk berdamai dengan Tuhan, menikmati persahabatan dengan-Nya, serta menjadi anak rohani Tuhan. Hari ini, kaum terurap melakukan kerja yang sama. Mereka mewakili Tuhan dan Kristus sebagai duta. Mereka membantu orang lain menghampiri Tuhan dan menjadi penyembah-Nya.—Baca 2 Korintus 5:18-20; Yoh. 6:44; Kis. 13:48.
12, 13. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita menghargai semua pemberian Yehuwa?
12 Orang Kristian yang berpeluang untuk hidup kekal di bumi juga menghargai Yehuwa sebagai Pemberi Yang Agung. Mereka menyertai kaum terurap untuk menyebarkan berita baik. Untuk melakukan kerja ini, Yehuwa mengurniakan suatu pemberian yang istimewa, iaitu Bible. (2 Tim. 3:16, 17) Menggunakan Bible dengan mahir membuka peluang kepada ramai orang untuk meraih kehidupan kekal. Satu lagi pemberian Yehuwa yang membantu kita semasa menginjil ialah daya aktif-Nya. (Za. 4:6; Luk. 11:13) Seperti yang dinyatakan dalam Buku Tahunan kita, hasilnya memang menakjubkan. Adalah suatu penghormatan besar bagi kita untuk memuji Bapa dan Pemberi Agung kita melalui kerja penyebaran!
13 Memandangkan kita menerima semua pemberian ini daripada Yehuwa, tanyalah soalan-soalan berikut, “Adakah saya menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dengan berusaha sedaya upaya dalam khidmat-Nya? Bagaimanakah saya dapat meningkatkan kemahiran untuk menginjil dengan lebih berkesan?” Kita boleh menunjukkan penghargaan dengan mengutamakan Kerajaan Tuhan. Dengan demikian, Yehuwa akan memastikan keperluan kita dipenuhi. (Mat. 6:25-33) Oleh sebab Yehuwa mengasihi kita, sudah tentu kita ingin melakukan segala-galanya untuk menyenangkan hati-Nya.—Ams. 27:11.
14. Bagaimanakah Yehuwa menjadi Penyelamat umat-Nya?
14 Daud bernyanyi, ‘Aku lemah dan tidak berdaya; tetapi Engkau, ya Yehuwa, mengingati aku. Engkaulah penolong dan penyelamatku.’ (Mzm. 40:18) Yehuwa berulang kali melindungi umat-Nya sebagai satu kumpulan, terutamanya semasa mereka diburu dan ditindas dengan kejam oleh musuh. Pada masa sebegini, kita amat bersyukur atas perlindungan Yehuwa serta semua pemberian rohani yang diterima secara tetap.
YEHUWA PELINDUNG KITA
15. Ceritakan bagaimana seorang bapa menyelamatkan anaknya yang dikasahi.
15 Seorang bapa yang pengasih bukan sahaja menyediakan keperluan anak, tetapi juga melindungi mereka. Jika anak menghadapi bahaya, bapa akan segera menyelamatkannya. Contohnya, seorang saudara teringat pengalamannya sewaktu kecil. Dia dan bapanya ingin kembali ke rumah selepas aktiviti penyebaran. Mereka harus melalui anak sungai. Tetapi hujan lebat pada pagi itu menyebabkan anak sungai itu banjir. Jadi mereka terpaksa menyeberangi sungai dengan melompat dari satu batu besar ke batu besar yang lain. Anak kecil itu mendahului bapanya lalu dia tergelincir dan tenggelam sebanyak dua kali ke dalam air sungai. Dengan serta merta bapanya mencapai dan memegang bahunya dengan erat. Anak kecil itu bersyukur kerana bapanya menyelamatkannya daripada lemas. Bapa kita di syurga juga menyelamatkan kita daripada arus deras dunia Syaitan yang jahat ini. Pastinya, Yehuwa ialah Pelindung kita yang tiada tolok bandingnya!—Mat. 6:13; 1 Yoh. 5:19.
16, 17. Bagaimanakah Yehuwa membantu dan melindungi orang Israel semasa mereka berperang dengan orang Amalek?
16 Yehuwa telah melindungi umat-Nya pada 1513 SM. Dia membebaskan bangsa Israel dari Mesir dan membantu mereka merentasi Laut Merah. Selepas menjelajahi padang belantara menuju ke Gunung Sinai, mereka tiba di Rafidim.
17 Berdasarkan nubuat di Kejadian 3:15, Syaitan mungkin terdesak untuk menyerang bangsa Israel yang nampaknya lemah. Dia menggunakan orang Amalek untuk menyerang bangsa Israel. (Bil. 24:20) Perhatikan apa yang Yehuwa lakukan melalui Yosua, Musa, Harun, dan Hur. Pada masa itu, Yosua berperang melawan orang Amalek. Sementara itu, Musa, Harun, dan Hur berdiri di atas bukit yang berdekatan. Apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel mula menang. Apabila tangan Musa berasa letih, Harun dan Hur menunjang tangannya. Maka, dengan bantuan dan perlindungan Yehuwa, “Yosua mengalahkan orang Amalek.” (Kel. 17:8-13) Di situ Musa mendirikan mazbah dan menamakannya ‘Yehuwa Panjiku.’—Baca Keluaran 17:14, 15.
DILINDUNGI DARIPADA CENGKAMAN SYAITAN
18, 19. Bagaimanakah Tuhan melindungi hamba-Nya hari ini?
18 Yehuwa melindungi mereka yang mengasihi dan mematuhi-Nya. Seperti orang Israel di Rafidim, kita mencari perlindungan daripada Tuhan semasa berhadapan dengan musuh. Yehuwa selalu melindungi kita sebagai satu kumpulan dan menyelamatkan kita daripada cengkaman Syaitan. Fikirkan cara Tuhan melindungi saudara saudari kita yang mempertahankan pendirian neutral mereka. Inilah yang terjadi semasa pemerintahan Nazi di Jerman dan negara-negara lain pada tahun 1930-an dan awal 1940-an. Membaca dan merenungkan kisah hidup mereka daripada Buku Tahunan menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa, Pelindung kita.—Mzm. 91:2.
19 Melalui organisasi Yehuwa dan bahan bacaan, kita menerima banyak nasihat baik untuk melindungi kita. Fikirkan bagaimana hal ini terbukti bermanfaat dewasa ini. Seraya dunia ini terus terjerumus ke dalam kegiatan yang tidak bermoral dan bahan lucah, Yehuwa telah menyediakan peringatan yang penting dan berguna. Misalnya, kita diingatkan supaya menjauhi pergaulan buruk yang terdapat di rangkaian sosial. *—1 Kor. 15:33.
20. Apakah perlindungan dan bimbingan yang boleh kita terima daripada sidang Kristian?
20 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita benar-benar diajar oleh Yehuwa? Dengan mentaati semua perintah-Nya. (Yes. 54:13) Kita dibimbing dan dilindungi di sidang. Saudara-saudara matang yang berkhidmat sebagai penatua memberikan bantuan dan nasihat melalui ayat-ayat Bible. (Gal. 6:1) Sebahagian besar kasih Yehuwa terhadap kita diperlihatkan melalui para penatua. Mereka ialah “kurnia kepada manusia.” (Ef. 4:7, 8) Maka, apakah yang harus kita lakukan apabila menerima nasihat daripada penatua? Kita harus rela mematuhinya. Dengan demikian, Yehuwa akan memberkati kita.—Ibr. 13:17.
21. (a) Apakah tekad anda? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
21 Semoga kita dibimbing oleh Yehuwa dan daya aktif-Nya. Kita juga perlu merenungkan contoh anak-Nya, Yesus Kristus, dan bertekad untuk meniru teladannya. Yesus taat kepada Tuhan sehingga akhir hayatnya di bumi. Oleh itu, dia menerima ganjaran yang bernilai tinggi. (Flp. 2:5-11) Kita juga akan diberkati jika kita percaya kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. (Ams. 3:5, 6) Kita ingin sentiasa berharap kepada Yehuwa sebagai Pemberi dan Pelindung Yang Agung. Sudah pasti kita berbesar hati untuk menyembah-Nya. Kasih kita kepada-Nya akan bertumbuh seraya kita membincangkan aspek yang ketiga, iaitu persahabatan kita dengan-Nya. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana Yehuwa ialah Sahabat karib kita.
^ per. 19 Peringatan sebegini terdapat dalam majalah pembelajaran 15 Ogos 2011, muka surat 3-5, rencana “Internet—Gunakannya dengan Bijak” dan majalah pembelajaran 15 Ogos 2012, muka surat 20-29, rencana “Berwaspada Terhadap Perangkap Iblis!” dan “Elakkan Perangkap Syaitan!”