Ibu Bapa —Latihlah Anak Anda Sejak Kecil
‘ANAK-ANAK adalah anugerah Yehuwa; mereka adalah berkat-Nya.’ (Mzm. 127:3, ABB) Maka, tidaklah menghairankan apabila ibu bapa Kristian menyambut kelahiran cahaya mata mereka dengan penuh sukacita.
Kelahiran seorang anak bukan sahaja membawa sukacita, tetapi juga tanggungjawab yang berat. Seorang anak memerlukan makanan yang berkhasiat untuk membesar dengan sihat. Begitu juga, seorang anak memerlukan makanan rohani yang berkhasiat dan bimbingan ibu bapa untuk menjadi kuat secara rohani. Ibu bapa harus berusaha mengajarkan prinsip Tuhan kepada anak. (Ams. 1:8) Bilakah didikan sedemikian harus bermula, dan bagaimana?
IBU BAPA MEMERLUKAN BIMBINGAN TUHAN
Fikirkan contoh Manoah yang berasal dari suku Dan. Dia tinggal di kota Zora pada zaman Israel kuno. Malaikat Yehuwa memberitahu Manoah bahawa isterinya yang mandul akan melahirkan seorang anak lelaki. (Hak. 13:2, 3) Manoah dan isterinya pasti sangat gembira. Namun mereka juga khuatir dan ingin mengetahui cara untuk membesarkan anak mereka. Oleh itu, Manoah berdoa, ‘Ya Yehuwa, semoga Engkau mengutus hamba-Mu itu datang lagi kepada kami, dan memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.’ (Hak. 13:8) Mereka tentunya mengajarkan hukum Tuhan kepada anak mereka, Simson. Usaha mereka membawa hasil yang baik. Bible berkata, ‘Kuasa Yehuwa mula menguatkan [Simson].’ Hasilnya, Simson dilantik menjadi salah seorang hakim Israel dan melakukan banyak mukjizat.—Hak. 13:25; 14:5, 6; 15:14, 15.
Bilakah ibu bapa harus mula mengajar anak mereka? “Sejak kecil lagi” Timotius diajar mengenai Alkitab oleh ibunya, Eunike, dan neneknya, Lois. (2 Tim. 3:15; 1:5) Timotius diajar tentang Firman Tuhan sejak bayi lagi.
Adalah bijak bagi ibu bapa Kristian untuk berdoa meminta bimbingan Tuhan dan untuk merancang supaya mereka dapat mula mengajar anak “sejak kecil lagi.” Menurut Amsal 21:5, “Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah.” Sebelum bayi dilahirkan, ibu bapa harus membuat persediaan rapi. Mereka mungkin menyenaraikan barang keperluan bayi. Mereka juga perlu merancang aktiviti rohani. Mereka patut menetapkan matlamat untuk mengajar bayi mereka seawal yang mungkin.
Sebuah buku yang menjelaskan perkembangan otak bayi menyatakan, “Masa penting bagi kematangan otak ialah beberapa bulan sejurus selepas bayi dilahirkan. Pada waktu ini, bilangan sinaps—sambungan saraf yang membolehkan proses pembelajaran—bertambah sebanyak 20 kali ganda.” (Early Childhood Counts—A Programming Guide on Early Childhood Care for Development) Jadi amatlah penting bagi ibu bapa untuk menggunakan masa yang singkat itu untuk menyemai ajaran dan prinsip Tuhan ke dalam minda anak!
Seorang ibu yang juga merupakan perintis biasa berkata, “Saya selalu membawa anak saya keluar menginjil sejak dia berumur satu bulan. Walaupun dia tidak faham apa yang sedang berlaku, saya yakin hal ini bermanfaat untuknya. Apabila dia berumur dua tahun, dia dapat menawarkan risalah dengan penuh yakin sewaktu menginjil.”
Ibu bapa yang melatih anak mereka sejak kecil akan meraih hasil yang baik. Namun mereka sedar bahawa hal ini amatlah mencabar.
“GUNAKAN SETIAP PELUANG”
Ibu bapa menghadapi cabaran kerana kanak-kanak tidak dapat menumpukan perhatian buat masa yang lama. Tumpuan anak boleh beralih dengan cepat dari satu perkara ke perkara yang lain. Lagipun, kanak-kanak biasanya bersifat ingin tahu. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka bertumpu kepada hal-hal yang diajar?
Fikirkan kata-kata Musa, “Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.” (Ul. 6:6, 7, ABB) Perkataan “ajarkanlah” membawa maksud mengajar dengan berulang kali. Anak seperti anak pokok yang perlu disiram setiap hari. Seperti orang dewasa yang dapat mengingat sesuatu selepas membacanya berulang kali, anak juga lebih senang belajar jika diajar dengan berulang kali.
Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak untuk mengajar mereka tentang kebenaran. Hal ini tidak mudah sebab ibu bapa biasanya sangat sibuk. Tetapi rasul Paulus menggesa orang Kristian untuk ‘menggunakan setiap peluang’ bagi aktiviti Kristian. (Kol. 4:5) Bagaimanakah ibu bapa dapat berbuat demikian? Contohnya, seorang penatua menghadapi cabaran untuk membahagikan masanya antara mengajar anak, melakukan kerja teokratik, dan kerja sekular. Isterinya juga sibuk berkhidmat sebagai perintis biasa. Jadi, bagaimanakah mereka dapat meluangkan masa untuk mengajar anak perempuan mereka? Saudara itu berkata, “Setiap pagi sebelum kerja, saya dan isteri membaca Buku Cerita Bible Saya atau ayat harian kepada anak kami. Kami juga berbuat demikian sebelum dia tidur setiap malam. Sewaktu kami pergi menginjil, kami juga membawa dia bersama. Kami tidak mahu terlepas peluang untuk mengajar dia pada masa mudanya.”
‘ANAK-ANAK SEPERTI ANAK PANAH’
Kita tentunya ingin anak-anak menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab. Namun, matlamat utama kita adalah untuk memupuk kasih kepada Tuhan dalam hati mereka.—Mrk. 12:28-30.
Mazmur 127:4 menyatakan bahawa anak “seperti anak panah di tangan seorang askar.” Anak diibaratkan sebagai anak panah yang patut dihalakan tepat pada sasarannya. Seorang pemanah tidak dapat menarik balik anak panah yang telah dilepaskan. Ibu bapa memiliki anak panah, iaitu anak mereka, hanya untuk jangka masa yang pendek. Inilah masanya mereka harus menyemai prinsip Tuhan ke dalam fikiran dan hati anak.
Berkenaan anak-anak rohaninya, rasul Yohanes menulis, ‘Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Tuhan.’ (3 Yoh. 4) Ibu bapa Kristian boleh merasai kegembiraan itu apabila mereka melihat anak-anak ‘hidup menurut ajaran Tuhan.’