Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bila Hal-hal Ini akan Berlaku?”

Bila Hal-hal Ini akan Berlaku?”

“Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?”—MAT. 24:3, NW.

1. Seperti pengikut Yesus, kita berminat untuk mengetahui apa?

MASA Yesus di bumi hampir tamat. Pengikut-pengikutnya ingin mengetahui perkara yang berlaku pada masa depan. Beberapa hari sebelum kematian Yesus, empat orang pengikutnya bertanya, “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Mat. 24:3, NW; Mrk. 13:3) Yesus menjawab menerusi nubuat terperinci yang tercatat di Matius bab 24 dan 25. Nubuat ini mengandungi banyak peristiwa penting. Hal ini mempunyai maksud yang mendalam bagi kita kerana kita juga berminat untuk mengetahui apa yang terbentang di masa depan.

2. (a) Selama bertahun-tahun, kita mencari pemahaman yang lebih jelas tentang apa? (b) Apakah tiga soalan yang akan dibincangkan?

2 Selama bertahun-tahun, hamba Yehuwa mengkaji dan berdoa untuk memahami nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir. Mereka sentiasa mencari pemahaman yang lebih jelas mengenai penggenapan nubuat ini. Maka, sekarang kita akan membincangkan tiga soalan: Bilakah kesengsaraan besar bermula? Bilakah Yesus menghakimi domba dan kambing? Dan bilakah kedatangan Yesus?—Mat. 24:21; 25:31-33.

BILAKAH KESENGSARAAN BESAR BERMULA?

3. Dahulunya, apakah pemahaman kita tentang masa kesengsaraan besar?

3 Selama bertahun-tahun, kita berfikir bahawa kesengsaraan besar bermula pada Perang Dunia Pertama, iaitu pada tahun 1914. Pada tahun 1918, Yehuwa “memendekkan masa” dengan menghentikan perang itu supaya kaum terurap di bumi berpeluang menyebarkan berita baik ke seluruh dunia. (Mat. 24:21, 22) Selepas kerja penyebaran tamat, barulah sistem Syaitan dimusnahkan. Maka, dahulunya kita berfikir bahawa kesengsaraan besar terdiri daripada tiga peringkat. Peringkat awal yang bermula dari 1914 hingga 1918, kemudian kesengsaraan besar ini terhenti seketika sejak 1918, dan berakhir dengan Armagedon.

4. Apakah maklumat yang membantu kita untuk lebih memahami nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir?

4 Selepas kajian lanjutan, kita sedar bahawa sebahagian daripada nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir mempunyai dua penggenapan. (Mat. 24:4-22) Penggenapan pertama berlaku di Yudea pada 33 hingga 70 M dan penggenapan kedua akan berlaku di seluruh bumi pada zaman sekarang. Maklumat ini menjelaskan beberapa perkara. *

5. (a) Apakah penderitaan yang bermula pada tahun 1914? (b) Bilakah penderitaan yang serupa berlaku?

5 Kita juga sedar bahawa kesengsaraan besar tidak bermula pada tahun 1914. Mengapa? Nubuat Bible menunjukkan bahawa kesengsaraan besar bermula dengan serangan ke atas agama palsu, bukannya dengan peperangan antara negara. Maka, peristiwa pada tahun 1914 bukanlah permulaan kesengsaraan besar, tetapi adalah permulaan penderitaan seperti “sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin.” (Mat. 24:8) Penderitaan ini serupa dengan apa yang berlaku di Yudea dan Yerusalem pada 33 M hingga 66 M.

6. Apakah tanda permulaan kesengsaraan besar?

6 Apakah tanda permulaan kesengsaraan besar? Yesus bernubuat, “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.” (Mat. 24:15, 16, ABB) Penggenapan pertama berlaku pada 66 M apabila tentera Roma (‘Bencana yang Dahsyat’) menyerang Yerusalem dan Rumah Tuhan (tempat suci di mata orang Yahudi). Pada zaman kita, penggenapan ini akan terjadi apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘Bencana yang Dahsyat’ pada zaman sekarang) menyerang semua agama yang bergelar Kristian (tempat suci di mata golongan Kristian) dan agama palsu yang lain. Serangan ini sama dengan apa yang tercatat di Wahyu 17:16-18. Peristiwa ini menandakan permulaan kesengsaraan besar.

7. (a) Bagaimanakah orang Kristian terurap diselamatkan pada abad pertama? (b) Apakah yang akan berlaku pada masa depan?

7 Yesus juga bernubuat bahawa masa itu akan ‘dipendekkan.’ Penggenapan pertama berlaku pada 66 M, apabila tentera Roma “memendekkan masa” serangan. Hal ini membolehkan orang Kristian terurap di Yerusalem dan Yudea melarikan diri dan terselamat. (Baca Matius 24:22; Mal. 3:17) Jadi, apakah yang akan berlaku pada kesengsaraan besar? Yehuwa akan “memendekkan masa” serangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas agama palsu. Dengan ini, agama benar tidak turut dibinasakan dan umat Yehuwa pasti diselamatkan.

8. (a) Apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas peringkat awal kesengsaraan besar? (b) Bilakah kaum terurap yang terakhir akan naik ke syurga? (Lihat nota kaki.)

 8 Apakah yang akan berlaku selepas peringkat awal kesengsaraan besar? Yesus menubuatkan bahawa akan ada satu tempoh masa sebelum permulaan Armagedon. Apakah yang akan berlaku pada tempoh tersebut? Jawapannya terdapat di Yehezkiel 38:14-16 dan Matius 24:29-31. (Baca.) * Selepas itu, kita akan menyaksikan kemuncak kesengsaraan besar, iaitu Armagedon. Peristiwa ini serupa dengan pembinasaan Yerusalem pada 70 M. (Mal. 4:1) Dengan adanya Armegedon sebagai kemuncaknya, kesengsaraan besar yang bakal datang sememangnya peristiwa yang “lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang.” (Mat. 24:21) Kemudian Pemerintahan Seribu Tahun Kristus akan bermula.

9. Sebagai umat Yehuwa, apakah perasaan kita mengenai kesengsaraan besar?

9 Nubuat kesengsaraan besar menguatkan kita. Mengapa? Nubuat ini meyakinkan kita bahawa tidak kira apa sahaja kesusahan yang melanda, umat Yehuwa akan diselamatkan pada kesengsaraan besar. (Why. 7:9, 14) Kita bersukacita kerana semasa Armagedon, Yehuwa akan menyucikan nama-Nya dan membuktikan bahawa Dia layak menjadi Pemerintah Yang Berdaulat.—Mzm. 83:19; Yeh. 38:23.

BILAKAH YESUS MENGHAKIMI DOMBA DAN KAMBING?

10. Apakah pemahaman kita yang dahulu tentang masa penghakiman domba dan kambing?

10 Sekarang kita akan membincangkan bila nubuat Yesus mengenai penghakiman domba dan kambing akan digenapi. (Mat. 25:31-46) Dahulu, kita berfikir bahawa penghakiman ini berlaku selama hari-hari terakhir yang bermula sejak 1914. Kita menyimpulkan bahawa orang yang menolak berita baik dan yang meninggal sebelum kesengsaraan besar akan mati sebagai “kambing.” Maksudnya, mereka tiada harapan untuk dibangkitkan.

11. Mengapakah penghakiman domba dan kambing tidak bermula pada tahun 1914?

11 Pada pertengahan tahun 1990-an, The Watchtower mengkaji semula catatan di Matius 25:31 (ABB), yang menyatakan, ‘Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Tuhan, dia akan duduk di atas takhtanya yang mulia.’ Perhatikan bahawa semasa Yesus menjadi Raja pada tahun 1914, dia belum menghakimi “umat manusia di bumi.” (Mat. 25:32; bandingkan Daniel 7:13.) Namun, cerita ibarat tentang domba dan kambing menggambarkan Yesus sebagai Hakim. (Baca Matius 25:31-34, 41, 46.) Memandangkan Yesus belum menjadi Hakim pada tahun 1914, kita dapat menyimpulkan bahawa penghakiman domba dan kambing tidak bermula pada tahun itu. * Jadi, bilakah penghakiman itu bermula?

12. (a) Bilakah Yesus mula menghakimi umat manusia di bumi? (b) Apakah peristiwa yang digambarkan di Matius 24:30, 31 dan Matius 25:31-33, 46?

 12 Nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir menunjukkan bahawa dia akan mula menghakimi umat manusia di bumi selepas agama palsu dibinasakan. Seperti yang disebutkan di  perenggan 8, peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa itu juga tercatat di Matius 24:30, 31. Apabila anda mengkaji catatan ini, perhatikan bahawa Yesus telah menubuatkan peristiwa yang serupa dengan apa yang terjadi semasa penghakiman domba dan kambing. Contohnya, Anak Manusia akan datang dengan kemuliaannya bersama malaikat-malaikat untuk menghakimi “umat manusia di bumi.” Pada masa itu, orang yang seperti domba akan ‘mendongak ke langit’ kerana mereka akan meraih “hidup sejati dan kekal.” * Manakala orang yang seperti kambing “akan menangis” kerana mereka akan dibinasakan selama-lamanya.—Mat. 25:31-33, 46.

13. (a) Bilakah Yesus menghakimi umat manusia? (b) Bagaimanakah pemahaman ini mempengaruhi kerja penyebaran kita?

13 Jadi, apakah yang boleh kita simpulkan? Yesus akan menghakimi umat manusia semasa kesengsaraan besar. Kemudian, semasa Armagedon, orang yang bersifat kambing akan dibinasakan buat selama-lamanya. Bagaimanakah pemahaman ini mempengaruhi kerja penyebaran kita? Kita sedar bahawa kerja penyebaran amat penting. Sebelum kesengsaraan besar bermula, semua orang masih berpeluang untuk mengubah fikiran dan memilih jalan sempit yang “menghala ke hidup sejati.” (Mat. 7:13, 14) Hari ini, semua orang boleh menunjukkan sama ada mereka bersifat domba atau kambing. Namun, kita harus ingat bahawa penghakiman domba dan kambing hanya berlaku semasa kesengsaraan besar. Oleh itu, kita perlu menggunakan setiap kesempatan untuk menyebarkan berita baik agar orang dapat mendengar dan menerima berita Kerajaan Tuhan.

Sebelum kesengsaraan besar bermula, semua orang masih berpeluang untuk mengubah fikiran (Lihat perenggan 13)

BILAKAH KEDATANGAN YESUS?

14, 15. Nyatakan empat ayat Bible yang merujuk kepada kedatangan Yesus sebagai Hakim pada masa depan.

14 Selepas mengkaji nubuat Yesus ini, adakah kita perlu menyesuaikan pemahaman kita tentang nubuat-nubuat Yesus yang lain? Nubuat ini dapat memberikan jawapannya. Marilah kita bincangkan.

15 Dalam nubuat di Matius 24:29–25:46, Yesus bertumpu pada apa yang akan terjadi semasa hari-hari terakhir dan semasa kesengsaraan besar. Di situ Yesus merujuk kepada ‘kedatangannya’ sebanyak lapan kali. Yesus berkata bahawa semasa kesengsaraan besar, orang akan “melihat Anak Manusia datang di awan.” ‘Kamu tidak mengetahui waktunya Tuan kamu akan datang.’ “Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” Dalam cerita ibarat mengenai domba dan kambing pula, Yesus telah berkata, “Anak Manusia datang” dengan kemuliaannya. (Mat. 24:30, 42, 44; 25:31) Keempat-empat ayat ini merujuk kepada kedatangan Yesus pada masa depan sebagai Hakim. Di manakah empat ayat yang selebihnya?

16. Nyatakan empat ayat Bible yang lain tentang kedatangan Yesus.

16 Mengenai hamba yang setia dan bijaksana, Yesus berkata, “Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali.” Dalam cerita ibarat tentang gadis, Yesus berkata, “Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba.” Tentang cerita ibarat wang emas pula, Yesus berkata, “Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang.” Dalam cerita ibarat yang sama, Tuan berkata, “Apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali.” * (Mat. 24:46; 25:10, 19, 27) Empat ayat Bible ini merujuk kepada kedatangan Yesus. Bilakah semua ini terjadi?

17. Selama ini, apakah pemahaman kita tentang ketibaan Yesus yang dicatat di Matius 24:46?

17 Di dalam bahan bacaan kita dahulu, empat ayat Bible di perenggan 16 dikaitkan dengan kedatangan Yesus pada tahun 1918. Sebagai contoh, kita boleh melihat kata-kata Yesus tentang hamba yang setia dan bijaksana. (Baca Matius 24:45-47.) Kita pernah berfikir bahawa perkataan “kembali” yang terdapat dalam ayat 46 merujuk kepada kedatangan Yesus pada tahun 1918 apabila dia memeriksa keadaan rohani kaum terurap. Kita juga menganggap bahawa pada tahun 1919, Tuan Yesus telah melantik golongan hamba untuk mengurus hartanya. (Mal. 3:1) Namun, selepas mengkaji semula nubuat Yesus, kita perlu mengubah pemahaman tentang bila nubuat tersebut digenapi. Mengapa?

18. Setelah membincangkan nubuat-nubuat Yesus, apakah kesimpulan kita tentang kedatangannya?

18 Dalam ayat-ayat sebelum Matius 24:46, perkataan “datang” selalu merujuk kepada kedatangan Yesus untuk menghakimi umat manusia semasa kesengsaraan besar. (Mat. 24:30, 42, 44)  Perenggan 12 juga menerangkan bahawa ‘kedatangan’ Yesus yang tercatat di Matius 25:31 merujuk kepada masa penghakiman di masa depan. Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa masa Yesus melantik golongan hamba yang setia untuk mengurus hartanya akan berlaku semasa dia kembali pada masa depan. * (Mat. 24:46, 47) Setelah membincangkan nubuat Yesus, kita memahami dengan jelas bahawa lapan nubuat tentang kedatangan Yesus merujuk kepada penghakiman semasa kesengsaraan besar.

19. Apakah beberapa penyesuaian yang telah dibincangkan? Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana yang berikut?

19 Apakah yang telah kita pelajari? Pada awal rencana, kita telah mengkaji tiga soalan yang bermula dengan “Bilakah.” Pertama, kita telah membincangkan bahawa kesengsaraan besar akan bermula semasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyerang Babilon besar atau semua agama palsu, bukannya pada tahun 1914. Kedua, kita belajar bahawa penghakiman domba dan kambing tidak bermula pada 1914, tetapi akan bermula semasa kesengsaraan besar. Akhirnya, kita telah membincangkan bahawa Yesus akan datang dan melantik hamba yang setia dan bijaksana untuk mengurus hartanya semasa kesengsaraan besar, dan bukannya pada tahun 1919. Maka, ketiga-tiga peristiwa ini akan berlaku pada masa yang sama, iaitu semasa kesengsaraan besar. Bagaimanakah penyesuaian ini mempengaruhi pandangan kita terhadap perumpamaan hamba yang setia dan bijaksana? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi pemahaman kita tentang cerita ibarat, atau perumpamaan Yesus yang lain mengenai akhir zaman? Rencana berikut akan membincangkan soalan-soalan ini.

 

^ per. 4 Perenggan 4: Untuk maklumat lanjut, lihat The Watchtower, 15 Februari 1994, muka 8-21 dan 1 Mei 1999, muka 8-20.

^ per. 8 Perenggan 8: Salah satu peristiwa yang tercatat dalam ayat ini adalah tentang Yesus yang ‘mengumpulkan umat pilihan Tuhan.’ (Mat. 24:31) Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa selepas peringkat awal kesengsaraan besar, kaum terurap yang masih berada di bumi akan naik ke syurga sebelum tercetusnya Armagedon. Maklumat ini adalah penjelasan terkini kepada apa yang dibincangkan di rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam The Watchtower 15 Ogos 1990, muka 30.

^ per. 11 Perenggan 11: Lihat The Watchtower, 15 Oktober 1995, muka 18-28.

^ per. 12 Perenggan 12: Bandingkan dengan catatan di Lukas 21:28.

^ per. 16 Perenggan 16: Perkataan “kembali,” “tiba,” “pulang,” dan “balik” diterjemahkan daripada kata kerja Yunani, erʹkho·mai, membawa maksud “datang.”

^ per. 18 Perenggan 18: Perkataan “kembali” di Matius 24:46 dan perkataan “datang” di Matius 24:30, 42, 44 diterjemahkan daripada kata kerja Yunani yang sama.