Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Mexico

Mereka Rela Berkhidmat—Di Mexico

KITA berasa gembira apabila melihat ramai kaum muda menyederhanakan hidup agar dapat meluaskan kerja penyebaran. (Mat. 6:22) Apakah perubahan yang telah dilakukan dan halangan yang dihadapi oleh mereka? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, marilah kita kenali beberapa penyiar yang kini berkhidmat di Mexico.

KAMI HARUS MEMBUAT PERUBAHAN”

Dustin dan Jassa

Dustin dan Jassa yang berasal dari Amerika Syarikat berkahwin pada Januari 2007. Selepas itu, impian mereka menjadi kenyataan—mereka memiliki sebuah kapal layar dan tinggal di kapal itu sepanjang tahun. Kapal layar mereka berlabuh berdekatan Astoria, Oregon, A.S., yang tidak jauh dari Lautan Pasifik. Astoria merupakan sebuah bandar yang cantik, dikelilingi oleh hutan bukit dan gunung-ganang yang diliputi salji. Dustin berkata, “Di mana sahaja anda lihat, pemandangannya amat menakjubkan!” Pasangan ini menyangka bahawa mereka bergantung kepada Yehuwa dan sedang hidup sederhana. “Kami tinggal di kapal yang panjangnya 26 kaki (7.9 m), bekerja separuh masa, menyertai sidang bahasa asing, dan menjadi perintis sokongan sekali-sekala.” Tetapi, tidak lama kemudian, mereka menyedari bahawa mereka hanyalah menipu diri sendiri. “Kami menghabiskan banyak masa untuk membaiki kapal layar dan bukannya untuk membantu sidang. Kami sedar jika kami ingin mengutamakan Yehuwa, kami harus membuat perubahan,” kata Dustin.

Jassa menambah, “Saya menyertai sidang Inggeris di Mexico sebelum berkahwin. Saya gembira berkhidmat di sana dan ingin kembali ke sana.” Sewaktu penyembahan keluarga, mereka mula membaca kisah hidup saudara saudari yang berpindah ke negara lain di mana ‘ladangnya sudah menguning dan siap untuk dituai.’ Kisah mereka menguatkan hasrat Dustin dan Jassa. (Yoh. 4:35) “Kami ingin meraih sukacita yang sama,” kata Dustin. Apabila Dustin dan Jassa diberitahu oleh rakan mereka bahawa sebuah sidang baru di Mexico memerlukan bantuan, mereka memutuskan untuk berhenti kerja, menjual kapal layar, dan berpindah ke sana.

“PERKARA TERBAIK YANG PERNAH BERLAKU KEPADA KAMI”

Dustin dan Jassa menetap di Tecomán—tidak jauh dari Lautan Pasifik tetapi 4,345 km dari selatan Astoria. “Tiada lagi cuaca dingin dan pemandangan gunung. Sebaliknya, kami merasai bahang matahari yang terik dan melihat pokok lemon di mana-mana sahaja,” kata Dustin. Pada mulanya, mereka tidak dapat mencari kerja. Oleh sebab wang simpanan semakin berkurang, selama berminggu-minggu, mereka hanya makan nasi dan kacang dua kali sehari. Jassa berkata, “Apabila kami tidak tahan lagi dengan makanan itu, pelajar Bible kami mula memberi kami buah mangga, pisang, betik, dan sudah tentunya beg yang penuh dengan lemon.” Tidak lama kemudian, pasangan ini mendapat kerja mengajar melalui Internet bagi sebuah sekolah bahasa yang berpusat di Taiwan. Pendapatan yang diterima cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka.

Apakah perasaan Dustin dan Jassa mengenai kehidupan baru mereka? Mereka berkata, “Perubahan ini merupakan perkara terbaik yang pernah berlaku kepada kami. Hubungan kami dengan Yehuwa dan antara kami berdua menjadi sangat erat. Setiap hari kami melakukan banyak perkara bersama—menginjil, berbincang bagaimana hendak membantu pelajar Bible, dan persediaan untuk perjumpaan. Kami juga bebas daripada tekanan yang kami rasakan dahulu. Kini kami menghargai kebenaran yang dijanjikan di Mazmur 34:9, ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa!’”

RIBUAN PEKERJA YANG RELA—APAKAH YANG MENDORONG MEREKA?

Lebih daripada 2,900 saudara saudari sama ada berkahwin ataupun bujang, dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an telah berpindah ke Mexico untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan penyiar. Mengapakah mereka melakukan pekerjaan yang mencabar ini? Apabila mereka ditanya, mereka memberikan tiga alasan.

Leticia dan Hermilo

Menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan orang lain. Leticia dibaptis pada umur 18 tahun. Dia berkata, “Apabila saya membaktikan diri kepada Yehuwa, saya sedar bahawa saya perlu berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan jiwa. Jadi untuk menunjukkan kasih kepada Yehuwa, saya ingin memberikan lebih banyak masa dan tenaga dalam khidmat-Nya.” (Mrk. 12:30) Hermilo, suami Leticia, telah berpindah ke tempat yang memerlukan penyiar semasa berumur awal 20-an. Dia berkata, “Saya sedar bahawa cara terbaik untuk menunjukkan kasih kepada orang lain adalah dengan membantu mereka memenuhi keperluan rohani.” (Mrk. 12:31) Jadi dia meninggalkan kehidupan selesa di bandar Monterrey sebagai pekerja bank dan berpindah ke sebuah pekan kecil.

Essly

Menikmati sukacita yang sejati dan berkekalan. Tidak lama selepas dibaptis, Leticia menemani seorang perintis yang berpengalaman ke pekan terpencil selama sebulan. Leticia berkata, “Saya kagum dan gembira melihat mesej kebenaran disambut baik oleh orang di sana. Pada akhir bulan itu, saya berkata kepada diri sendiri, ‘Inilah yang ingin saya lakukan!’” Begitu juga dengan Essly, seorang saudari berumur awal 20-an, yang tertarik kepada sukacita yang dialami. Semasa sekolah menengah, dia bergaul dengan beberapa Saksi yang berkhidmat di tempat yang memerlukan penyiar. Katanya, “Melihat wajah saudara saudari yang penuh sukacita membuat saya ingin hidup seperti mereka.” Ramai saudari memiliki perasaan yang sama dengan Essly. Lebih daripada 680 saudari bujang telah berpindah ke Mexico. Mereka menjadi teladan baik bagi penyiar yang tua mahupun yang muda!

Menikmati hidup yang puas dan bermakna. Selepas tamat sekolah, Essly ditawarkan biasiswa. Rakannya menggalakkan dia untuk menerima biasiswa itu dan menikmati “kehidupan yang normal,” iaitu mendapat ijazah, kerjaya yang baik, membeli kereta, dan pergi melancong. Namun, dia menolak nasihat mereka. Essly berkata, “Beberapa rakan Kristian saya telah mengejar perkara-perkara tersebut dan saya memperhatikan bahawa mereka tidak lagi mengutamakan matlamat rohani. Saya juga melihat bahawa semakin mereka terlibat dalam hal-hal dunia semakin mereka kecewa dengan masalah yang dihadapi. Saya ingin menggunakan masa muda saya untuk menyembah Yehuwa sepenuhnya.”

Racquel dan Phillip

Essly mengambil kursus sampingan di sekolah yang membantunya untuk menyara diri semasa merintis. Kemudian dia berpindah ke tempat yang mempunyai keperluan mendesak. Bahkan dia mula belajar bahasa tempatan yang digunakan oleh puak Otomi dan Tlapaneco. Selepas berkhidmat di tempat terpencil selama tiga tahun, dia berkata, “Berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan membuat saya menikmati kehidupan yang puas dan bermakna. Yang penting sekali, hubungan saya dengan Yehuwa menjadi lebih erat.” Phillip dan Racquel, pasangan yang berumur awal 30-an dari Amerika Syarikat pun setuju, “Semakin hari semakin banyak perubahan dalam dunia ini, dan ramai yang rasa kehidupan mereka tidak stabil lagi. Tetapi berkhidmat di tempat di mana banyak orang berminat mendengar mesej Bible memberi makna dalam hidup kami. Kami berasa sangat puas hati!”

CABARAN—CARA MENGATASINYA

Verónica

Berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan juga mempunyai cabarannya. Salah satu cabaran adalah mencari wang untuk menyara hidup. Untuk berjaya, anda perlu bijak menyesuaikan diri. Verónica seorang perintis yang berpengalaman menjelaskan, “Di salah satu tempat di mana saya berkhidmat, saya menjual makanan segera yang murah. Di tempat lain pula, saya menjual pakaian dan menggunting rambut. Sekarang, saya membersihkan rumah dan mengajar ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak-anak.”

Menyesuaikan diri kepada budaya baru terutamanya di tempat terpencil antara orang tempatan merupakan sesuatu yang mencabar. Itulah yang dihadapi oleh Phillip dan Racquel. “Perbezaan budaya memang besar,” kata Phillip. Apakah yang membantu mereka menyesuaikan diri? “Kami menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara yang positif di kalangan orang Nahuatl—betapa rapatnya keluarga mereka, keikhlasan mereka, serta kemurahan hati yang ditunjukkan.” Racquel menambah, “Banyak yang telah kami pelajari semasa berkhidmat di sana bersama saudara saudari tempatan.”

CARA MENYIAPKAN DIRI

Jika anda ingin berkhidmat di tempat terpencil yang memerlukan bantuan, bagaimanakah anda boleh menyiapkan diri? Saudara saudari yang menikmati khidmat sebegini berkata, “Sebelum berpindah, cubalah hidup sederhana dan belajar menjadi puas hati dengan apa yang ada.” (Flp. 4:11, 12) Apakah lagi yang boleh dilakukan? Leticia menceritakan pengalamannya, “Saya mengelak pekerjaan yang memerlukan komitmen jangka masa panjang supaya dapat berpindah bila-bila saja.” Hermilo berkata, “Saya belajar memasak, mencuci, dan menyeterika baju.” Verónica pula berkata, “Semasa tinggal bersama keluarga, saya membantu dalam pembersihan dan belajar cara menyediakan makanan yang murah tetapi berkhasiat. Saya juga belajar menabung.”

Amelia dan Levi

Levi dan Amelia yang berasal dari Amerika Syarikat sudah berkahwin selama lapan tahun. Levi menjelaskan bagaimana doa yang spesifik membantu mereka, “Kami mengira perbelanjaan yang diperlukan untuk berkhidmat di luar negara selama setahun, kemudian kami berdoa agar Yehuwa membantu kami untuk mendapatkan jumlah tersebut.” Dalam beberapa bulan, mereka dapat mengumpulkan wang itu. Mereka berpindah ke Mexico tanpa berlengah. “Yehuwa telah mengabulkan doa kami, jadi sekarang masanya untuk kami bertindak,” kata Levi. Amelia menambah, “Kami berfikir kami hanya dapat tinggal di sini selama setahun, tetapi kami sudah di sini selama tujuh tahun! Kami tidak terfikir untuk pindah balik. Setiap hari, kami dapat merasai bantuan dan kebaikan Yehuwa.”

Adam dan Jennifer

Adam dan Jennifer, pasangan dari Amerika Syarikat yang berkhidmat di Mexico dalam sidang bahasa Inggeris, juga menekankan pentingnya untuk berdoa. Mereka berkata, “Janganlah bertangguh. Berdoalah mengenai keinginan untuk berkhidmat di negara lain, dan bertindaklah selaras dengan doa itu. Sederhanakanlah hidup anda, tuliskan surat ke cawangan di negara yang anda ingin berkhidmat, dan selepas mengira perbelanjaannya, pindahlah!” * Dengan berbuat demikian, anda akan berasa seronok dan menikmati kehidupan yang kaya secara rohani.

^ per. 21 Untuk maklumat lanjut, sila lihat rencana “Bolehkah Anda ‘Datang ke Makedonia’?” dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Ogos 2011.