Berusahalah untuk Menerima Kemuliaan Tuhan!
“Seseorang yang rendah hati akan dihormati.”—AMS. 29:23.
1, 2. (a) Apakah yang digambarkan oleh perkataan “kemuliaan” dan “penghormatan” dalam bahasa Ibrani? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
APAKAH yang anda fikirkan apabila perkataan “kemuliaan” disebut? Adakah anda membayangkan keindahan ciptaan Tuhan? (Mzm. 19:2) Ataupun memikirkan pujian dan penghormatan yang diberikan kepada golongan yang kaya, bijak, dan berjaya? Dalam bahasa Ibrani, perkataan yang diterjemahkan sebagai “kemuliaan” dan “penghormatan” dikaitkan dengan berat. Pada zaman kuno, duit syiling diperbuat daripada logam seperti emas ataupun perak. Lebih berat duit syiling itu, lebih tinggi nilainya. Maka perkataan “kemuliaan” dan “penghormatan” menggambarkan sesuatu yang bernilai dan mengagumkan.
2 Manusia sering menghormati orang yang berkuasa ataupun terkenal. Bagaimana pula dengan Tuhan? Jika Dia ingin memberi penghormatan kepada seseorang, apakah sifat yang akan dicari-Nya? Amsal 22:4 (ABB) menyatakan, ‘Orang yang hormat dan takut kepada Yehuwa, serta merendahkan diri akan mendapat kekayaan, kehormatan, dan usia panjang.’ Dan Yakobus menulis, ‘Hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Yehuwa, maka Dia akan meninggikan kamu.’ (Yak. 4:10, ABB) Apakah kemuliaan ataupun penghormatan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita? Apakah yang mungkin menghalang kita daripada menerima kemuliaan ini? Dan bagaimanakah kita dapat membantu orang lain untuk menerima kemuliaan ini?
3-5. Bagaimanakah Yehuwa memberi kita kemuliaan atau penghormatan?
3 Pemazmur yakin bahawa Yehuwa akan memegang tangan kanannya dan memberinya penghormatan. (Baca Mazmur 73:23, 24.) Bagaimanakah Yehuwa berbuat demikian? Yehuwa memberi penghormatan kepada hamba-Nya yang rendah hati dalam pelbagai cara. Dia memberi mereka pengetahuan tentang kehendak-Nya. (1 Kor. 2:7) Dia mengurniai mereka peluang untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya.—Yak. 4:8.
4 Yehuwa turut memberi kita penghormatan untuk menjalankan aktiviti penyebaran. (2 Kor. 4:1, 7) Apabila kita memuji Yehuwa semasa menginjil, kita mendapat kemuliaan daripada-Nya dan membawa manfaat kepada orang lain. Yehuwa berjanji, “Mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati.” (1 Sam. 2:30) Ya, hamba-hamba sebegini memiliki nama baik di hadapan Yehuwa dan dipuji oleh rakan seiman.—Ams. 11:16; 22:1.
5 Apakah harapan bagi orang yang ‘berharap kepada Yehuwa dan mentaati perintah-Nya’? Bible menyatakan, “Dia [Yehuwa] akan memberi kamu negeri ini untuk menghormatimu, dan kamu akan melihat orang jahat dihalau.” (Mzm. 37:34, ABB) Ya, hamba Tuhan sedang menantikan kemuliaan yang tiada tolok bandingannya, iaitu harapan untuk hidup selama-lamanya.—Mzm. 37:29.
“AKU TIDAK MENGHARAPKAN PUJIAN DARIPADA MANUSIA”
6, 7. Mengapakah banyak orang enggan beriman kepada Yesus?
6 Apakah yang mungkin menghalang kita daripada menerima kemuliaan daripada Yehuwa? Salah satu faktor adalah jika kita terlalu mementingkan pendapat orang yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Yehuwa. Hal ini telah berlaku kepada beberapa orang penguasa pada zaman Yesus. Rasul Yohanes menyatakan, ‘Banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Tuhan.’ (Yoh. 12:42, 43, ABB) Bukankah lebih baik jika para penguasa itu tidak terlalu mementingkan pendapat orang Farisi?
7 Pada permulaan aktiviti penyebarannya, Yesus menjelaskan mengapa banyak orang tidak akan menerima dan beriman kepadanya. (Baca Yohanes 5:39-44.) Bangsa Israel menunggu kedatangan Mesias selama ratusan tahun. Semasa Yesus mula menginjil, sesetengah orang mungkin sedar bahawa masa kedatangan Mesias yang dinubuatkan oleh Daniel sudah tiba. Beberapa bulan sebelum itu, semasa Yohanes Pembaptis menginjil, banyak yang ‘tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Tuhan.’ (Luk. 3:15) Tetapi, apabila Mesias tiba, guru-guru agama tidak menerimanya. Mengapa? Yesus memberitahu mereka, ‘Bagaimanakah kamu boleh percaya kepadaku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Tuhan yang Esa.’
8, 9. Bagaimanakah penghormatan manusia mungkin menjadi lebih penting berbanding penghormatan Yehuwa? Gunakan perumpamaan cahaya.
8 Kita mungkin lebih mementingkan penghormatan manusia berbanding penghormatan Tuhan. Kita boleh mengambil contoh cahaya. Alam semesta kita penuh dengan cahaya. Adakah anda mengingati masanya apabila anda memandang ke langit yang dipenuhi dengan ribuan bintang? “Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya.” (1 Kor. 15:40, 41) Tetapi, kita sukar untuk melihat bintang-bintang itu sekiranya kita berada di kota atau bandar raya. Mengapa? Adakah hal ini disebabkan cahaya lampu di jalan, stadium, atau bangunan lain lebih kuat dan cantik daripada cahaya bintang? Tidak! Hal ini berlaku kerana cahaya di kota itu lebih dekat dengan kita dan mengganggu penglihatan kita. Jadi, untuk melihat keindahan bintang-bintang, kita harus berada jauh daripada cahaya buatan itu.
9 Begitu juga, penghormatan manusia dapat menyebabkan penghormatan Yehuwa menjadi kurang penting bagi kita. Banyak orang tidak menerima kebenaran kerana mereka khuatir tentang pendapat rakan atau ahli keluarga. Mungkinkah hal ini berlaku kepada hamba Yehuwa juga? Katakan seorang pemuda harus menginjil di sebuah tempat, dan ramai penghuni rumah di situ mengenalinya. Namun mereka tidak tahu bahawa dia ialah seorang Saksi. Adakah pemuda ini akan berasa takut? Atau bagaimana pula jika seseorang diejek kerana mengejar matlamat rohani? Adakah dia akan membenarkan mereka yang tidak mempunyai matlamat rohani untuk mempengaruhi pilihannya? Mungkin seorang Kristian telah melakukan dosa. Adakah dia akan menyembunyikan dosanya kerana takut kehilangan tanggungjawab di sidang, atau kerana tidak mahu menyakiti orang kesayangannya? Sekiranya dia mementingkan hubungannya dengan Yehuwa, dia akan meminta bantuan daripada para penatua.—Baca Yakobus 5:14-16.
10. (a) Apakah yang akan berlaku sekiranya kita terlalu khuatir mengenai pendapat orang lain terhadap kita? (b) Apakah manfaatnya jika kita rendah hati?
10 Mungkin anda sedang berusaha untuk menjadi seorang Kristian yang matang tetapi rakan seiman sering menegur anda. Anda boleh memilih untuk menerima nasihatnya dan meraih manfaat. Atau anda menolak nasihatnya kerana keangkuhan, takut jatuh air muka, dan mencari dalih atas perbuatan sendiri. Bayangkan juga anda sedang mengusahakan sebuah projek dengan saudara saudari yang lain. Adakah anda khuatir bahawa orang lain akan menerima pujian bagi idea bernas dan kerja keras anda? Sekiranya anda sedang mengalami situasi sedemikian, ingatlah bahawa “seseorang yang rendah hati akan dihormati.”—Ams. 29:23.
11. Apakah seharusnya perasaan kita apabila dipuji, dan mengapa?
11 Penatua dan saudara yang ingin memikul lebih banyak tanggungjawab di sidang haruslah berwaspada supaya tidak terlalu mementingkan pujian daripada orang lain. (1 Tes. 2:6; 1 Tim. 3:1) Apakah seharusnya reaksi seorang saudara apabila dipuji atas tugasan tertentu? Sudah tentu, dia tidak mendirikan tugu peringatan bagi diri sendiri seperti yang dilakukan Raja Saul. (1 Sam. 15:12) Namun, adakah dia sedar bahawa kejayaannya bergantung pada Yehuwa, dan untuk terus berjaya dia perlu terus memohon bantuan dan berkat Yehuwa? (1 Ptr. 4:11) Perasaan yang tersirat dalam hati semasa orang memuji kita menunjukkan sama ada kita mementingkan kemuliaan manusia atau kemuliaan Tuhan.—Ams. 27:21.
“KAMU LEBIH SUKA MENURUT KEHENDAK BAPA KAMU”
12. Mengapakah sesetengah orang Yahudi enggan mendengar mesej Yesus?
12 Satu lagi faktor yang dapat menghalang kita daripada menerima kemuliaan Yehuwa ialah keinginan yang salah. Keinginan itu mungkin menghalang kita daripada mendengar kebenaran. (Baca Yohanes 8:43-47.) Yesus memberitahu sesetengah orang Yahudi bahawa mereka enggan mendengar mesejnya kerana mereka “lebih suka menurut kehendak bapa” mereka, iaitu Iblis.
13, 14. (a) Apakah yang dikatakan oleh para penyelidik mengenai otak kita dan suara manusia? (b) Apakah yang menentukan kepada siapa yang akan kita dengar?
13 Kadangkala kita hanya mendengar apa yang kita inginkan. (2 Ptr. 3:5) Yehuwa mencipta kita dengan keupayaan untuk memilih apa yang ingin kita dengar. Sekarang, berhentilah sejenak dan tumpukan perhatian anda pada semua bunyi yang dapat didengari. Mungkin anda tidak sedar akan bunyi-bunyi itu sebentar tadi. Mengapa? Otak anda sedang membantu anda untuk menumpukan perhatian pada satu perkara sahaja. Walaupun anda mempunyai keupayaan untuk mendengar pelbagai jenis bunyi dengan serentak, para penyelidik mendapati bahawa hal ini sukar dilakukan apabila kita sedang mendengar perbualan. Maksudnya, apabila dua orang bercakap pada masa yang sama, anda perlu memilih untuk mendengar suara seorang sahaja. Pilihan anda bergantung pada siapa yang anda ingin dengarkan. Orang Yahudi yang ingin melakukan kehendak bapa mereka, Si Iblis, memilih untuk tidak mendengar Yesus.
14 Bible menyatakan bahawa “hikmat” dan “kebodohan” sering menarik perhatian kita. (Ams. 9:1-5, 13-17) Maka, kita perlu membuat pilihan. Suara siapakah yang akan kita dengar? Hal itu bergantung pada perkenan siapa yang kita inginkan. Jika kita adalah domba-domba Yesus, kita akan mendengar suaranya dan mengikutinya. (Yoh. 10:16, 27) Domba Yesus “menerima apa yang benar.” (Yoh. 18:37) Mereka “tidak akan mengikuti” suara orang yang tidak dikenali. (Yoh. 10:5) Orang rendah hati yang mengikuti Yesus akan menerima kemuliaan Tuhan.—Ams. 3:13, 16; 8:1, 18.
“SEMUANYA UNTUK KEBAIKAN KAMU”
15. Bagaimanakah penderitaan Paulus membawa “kebaikan” kepada orang Kristian di Efesus?
15 Jika kita gigih melakukan kehendak Yehuwa, kita akan membantu orang lain untuk menerima kemuliaan Tuhan. Paulus menulis kepada sidang di Efesus, “Janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu.” (Ef. 3:13) Bagaimanakah penderitaan Paulus membawa “kebaikan” atau kemuliaan kepada orang Kristian di Efesus? Walaupun dia menghadapi pelbagai cabaran, Paulus tetap berkhidmat untuk rakan seimannya. Teladannya menunjukkan bahawa menyembah Tuhan ialah perkara yang paling penting bagi seorang Kristian. Sekiranya Paulus berputus asa semasa menghadapi cubaan, rakan seimannya mungkin berfikir bahawa hubungan dengan Yehuwa, aktiviti penyebaran, dan harapan mereka tidaklah penting. Menerusi teladannya, Paulus menunjukkan bahawa semua pengorbanan yang dilakukan oleh pengikut Kristus adalah berbaloi.
16. Apakah yang berlaku kepada Paulus di Listra?
16 Semangat Paulus yang membara dan ketabahannya pasti mempengaruhi rakan seimannya. Kisah 14:19, 20 (ABB) melaporkan, “Beberapa orang Yahudi yang datang dari Antiokhia di Pisidia dan juga dari Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, lalu menyeret dia ke luar bandar [Listra]. Mereka menyangka Paulus sudah mati. Tetapi apabila pengikut Yesus di situ berkumpul di sekeliling Paulus, dia bangun lalu masuk kembali ke bandar. Keesokan harinya dia dan Barnabas berangkat ke Derbe.” Bayangkan betapa susahnya untuk Paulus berjalan kaki sejauh 100 km, hanya sehari selepas dia direjam dan hampir mati!
17, 18. (a) Bagaimanakah Timotius mungkin tahu akan penderitaan Paulus di Listra? (b) Bagaimanakah teladan Paulus membantu Timotius?
17 Adakah Timotius berada di Listra apabila Paulus direjam? Buku Kisah tidak memberitahu kita, tetapi Timotius tahu apa yang berlaku kepada Paulus. Dalam surat kedua yang ditulis oleh Paulus kepada Timotius, dia berkata, ‘Engkau telah mengikut ajaranku, tujuan hidupku, dan tahu akan segala yang berlaku kepadaku di Antiokhia [dihalau dari kota], Ikonium [hampir direjam], dan Listra [direjam]. Aku telah dianiaya dengan kejam, tetapi aku diselamatkan oleh Tuan daripada semuanya.’—2 Tim. 3:10, 11; Kis. 13:50; 14:5, 19.
18 Timotius tahu bahawa Paulus tabah menanggung semua penderitaannya. Sudah tentu, pemuda ini telah banyak belajar daripada teladan Paulus. Apabila Paulus melawat Listra, dia mendapati bahawa “semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius.” (Kis. 16:1, 2, ABB) Tidak lama kemudian, Timotius layak untuk memikul lebih banyak tanggungjawab.—Flp. 2:19, 20; 1 Tim. 1:3.
19. Bagaimanakah ketabahan kita membantu orang lain?
19 Teladan kita yang tabah melakukan kehendak Tuhan dapat mempengaruhi orang lain, terutamanya kaum muda-mudi yang bakal menjadi hamba Tuhan. Orang muda bukan sahaja memperhatikan dan mempelajari cara kita menginjil, tetapi mereka turut melihat cara kita menghadapi cabaran hidup. Paulus “bertabah hati menanggung semuanya” supaya orang yang setia ‘mendapat penyelamatan dan kemuliaan yang kekal.’—2 Tim. 2:10.
20. Mengapakah kita patut terus berusaha mencari pujian daripada Tuhan?
20 Tidakkah kita patut terus ‘berusaha untuk mencari pujian daripada Tuhan’? (Yoh. 5:44; 7:18) Sudah tentu! (Baca Roma 2:6, 7.) Yehuwa “memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik.” Tambahan lagi, ketabahan kita mendorong orang lain untuk tetap setia, lalu menerima hidup kekal. Maka, janganlah membiarkan apa-apa untuk menghindari anda daripada menerima kemuliaan Tuhan.