Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bernaunglah di Lembah Perlindungan Yehuwa

Bernaunglah di Lembah Perlindungan Yehuwa

‘Yehuwa akan memerangi bangsa-bangsa itu seperti pada masa dahulu.’—ZA. 14:3.

1, 2. Apakah peperangan yang bakal berlaku? Apakah yang tidak perlu dilakukan oleh hamba Tuhan semasa peperangan ini?

PADA 30 Oktober 1938, jutaan orang di Amerika Syarikat mendengar rancangan radio yang terkenal. Rancangan yang berbentuk drama itu diambil daripada sebuah novel sains yang bertajuk The War of the Worlds. Pelakon yang memainkan watak wartawan menggambarkan kedatangan makhluk asing dari planet Marikh yang mahu memusnahkan Bumi. Walaupun rancangan radio ini berdasarkan sebuah novel, banyak pendengar menyangka kejadian ini benar-benar berlaku. Mereka bertindak untuk melindungi diri daripada makhluk asing yang kononnya sedang menyerang.

2 Tidak lama lagi sebuah peperangan bakal berlaku. Tetapi, banyak orang belum bersedia untuk menghadapinya. Peperangan ini bukanlah sekadar cerita yang ditulis dalam novel sains, tetapi merupakan sebuah nubuat dalam Firman Tuhan. Peperangan ini dikenali sebagai Armagedon—perang antara Tuhan dan sistem jahat ini. (Why. 16:14-16) Dalam peperangan ini, hamba Tuhan di bumi tidak perlu mempertahankan diri mereka daripada serangan makhluk asing. Yehuwa akan menggunakan kuasa-Nya untuk menyelamatkan mereka dalam cara yang mengagumkan.

3. Apakah nubuat yang akan dibincangkan, dan mengapakah nubuat ini menarik perhatian kita?

3 Sebuah nubuat yang dicatatkan dalam buku Zakharia bab 14 menerangkan dengan lanjut tentang perang Armagedon. Walaupun ditulis kira-kira 2,500 tahun dahulu, nubuat ini penting bagi kita. (Rm. 15:4) Nubuat ini mempengaruhi umat Tuhan bukan sahaja sejak penubuhan Kerajaan Mesias di syurga pada tahun 1914, bahkan untuk peristiwa yang bakal berlaku tidak lama lagi. Ciri-ciri nubuat itu termasuklah pembentukan “lembah yang luas” dan “air yang memberikan hidup.” (Za. 14:4, 8) Lembah ini memainkan peranan dalam melindungi penyembah Yehuwa. Apabila kita memahami maksud air yang memberikan hidup, kita akan melihat mengapa penting untuk meminumnya. Maka, untuk meraih manfaat, tumpukanlah sepenuh perhatian pada nubuat ini.—2 Ptr. 1:19, 20.

‘TIBA MASANYA YEHUWA BERTINDAK’

4. (a) Bilakah ‘masanya Yehuwa bertindak’? (b) Puluhan tahun sebelum 1914, apakah yang diumumkan oleh penyembah Yehuwa? Apakah reaksi para pemimpin dunia?

4 Buku Zakharia bab 14 bermula dengan kata-kata, ‘Hampir tiba masanya Yehuwa bertindak sebagai hakim.’ (Baca Zakharia 14:1, 2.) Apakah maksudnya? Masa itu merujuk kepada ‘hari Tuan,’ yang bermula pada tahun 1914 apabila Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan di syurga. (Why. 1:10; 11:15) Selama puluhan tahun sebelum 1914, umat terurap Yehuwa telah mengumumkan bahawa penghujung “masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka [bangsa-bangsa yang tidak mengenal Tuhan]” akan tiba pada tahun itu. (Luk. 21:24) Apakah reaksi bangsa-bangsa itu? Tanpa mengendahkan amaran, ahli-ahli politik serta guru agama mencemuh dan menganiaya golongan kaum terurap. Dengan berbuat demikian, para pemimpin dunia turut mencemuh Tuhan Yang Maha Kuasa, kerana golongan terurap itu mewakili Kerajaan Tuhan.—Ibr. 12:22, 28.

5, 6. (a) Apakah yang dilakukan oleh musuh Tuhan terhadap “kota itu” dan ‘warganegaranya’? (b) Siapakah ‘penduduk yang selebihnya’ itu?

5 Zakharia bernubuat, “Kota itu [Yerusalem] akan direbut,” atau ditawan. “Kota itu” melambangkan Kerajaan Mesias. ‘Warganegaranya’ merupakan golongan kaum terurap yang masih di bumi. (Flp. 3:20) Semasa Perang Dunia Pertama, para saudara yang memikul tanggungjawab dalam organisasi Yehuwa telah ditawan atau ditangkap dan dipenjarakan di Atlanta, Georgia, A.S. “Rumah-rumahnya dijarah” bermaksud kaum terurap ini dilayan dengan tidak adil dan kejam. Para penentang turut mengharamkan bahan bacaan mereka serta mencuba menghentikan aktiviti penyebaran mereka.

6 Walaupun bilangan umat Tuhan tidak banyak, dan mereka dianiaya dan dicaci oleh musuh, ibadat sejati tidak dapat dilenyapkan. Terdapat golongan terurap yang tetap setia. Seperti yang dinyatakan oleh Zakharia, merekalah ‘penduduk yang selebihnya yang tidak akan dipindahkan dari kota itu.’

7. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada teladan golongan terurap?

7 Adakah nubuat ini digenapi sepenuhnya pada penghujung Perang Dunia Pertama? Tidak. Serangan yang dinubuatkan Zakharia berterusan. (Why. 12:17) Hal itu terbukti benar semasa Perang Dunia Kedua. Teladan kaum terurap yang tetap setia membantu hamba Tuhan yang lain untuk terus bertahan apabila menghadapi penganiayaan yang mungkin datang daripada saudara mara, rakan sekerja, mahupun rakan sekolah yang tidak seiman. (1 Ptr. 1:6, 7) Tanpa mengira di mana kita berada, semua harus bertekad agar ‘berdiri teguh dengan satu tujuan’ dan tidak ‘takut akan orang yang menganiaya kita.’ (Flp. 1:27, 28) Namun, bagaimanakah kita dapat mencari perlindungan di dunia yang membenci umat Yehuwa?—Yoh. 15:17-19.

YEHUWA MEMBENTUK SEBUAH “LEMBAH YANG LUAS”

8. (a) Apakah yang diwakili oleh bukit dalam Bible? (b) Apakah yang dilambangkan oleh “Bukit Zaitun”?

8 Kita sudah mempelajari bahawa Yerusalem—“kota itu”—melambangkan Kerajaan Mesias. Maka, apakah yang dilambangkan oleh “Bukit Zaitun di sebelah timur Yerusalem”? Bagaimanakah bukit itu akan “terbelah dua”? Dalam bahasa asal Bible, Yehuwa merujuk kepada kedua-dua belah bukit itu sebagai “bukit-bukit-Ku.” Mengapa? (Baca Zakharia 14:3-5.) Dalam Bible, bukit boleh mewakili kerajaan atau pemerintahan. Selain itu, berkat dan perlindungan juga dikaitkan dengan bukit Tuhan. (Yes. 11:9; 25:6, 7) Jadi, Bukit Zaitun melambangkan pemerintahan Yehuwa yang merupakan Pemerintah Berdaulat alam semesta.

9. Apakah yang dimaksudkan dengan “Bukit Zaitun akan terbelah dua”?

9 Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan, “Bukit Zaitun akan terbelah dua”? Hal ini bermaksud bahawa Yehuwa mendirikan pemerintahan yang kedua, iaitu Kerajaan Mesias dengan Yesus Kristus sebagai Raja. Oleh sebab kedua-dua pemerintahan ini milik Yehuwa, Dia merujuk kepada kedua-dua bukit ini sebagai “bukit-bukit-Ku.”—Za. 14:4, 5, NW.

10. Apakah yang dilambangkan oleh “lembah yang luas” antara dua buah bukit itu?

10 Apabila Bukit Zaitun terbelah dua, separuh ke arah utara dan separuh lagi ke arah selatan, Yehuwa digambarkan berdiri di atas kedua-dua belah bukit itu. Sebuah “lembah yang luas” terbentuk di bawah kaki Yehuwa. Lembah ini menggambarkan perlindungan Tuhan. Seperti orang yang berlindung di lembah antara dua buah bukit, hamba Tuhan turut berasa selamat apabila berlindung di bawah kedaulatan Tuhan dan Kerajaan Mesias Anak-Nya. Yehuwa akan memastikan bahawa ibadat sejati tidak lenyap. Bilakah Bukit Zaitun ini terbelah dua? Hal ini berlaku semasa Kerajaan Mesias didirikan pada tahun 1914. Maka, bilakah penyembah ibadat sejati mula melarikan diri ke lembah itu?

UMAT TUHAN MELARIKAN DIRI KE LEMBAH!

11, 12. (a) Bilakah umat Tuhan mula melarikan diri ke lembah yang luas? (b) Apakah bukti bahawa Yehuwa melindungi umat-Nya?

11 Yesus memberi amaran kepada pengikutnya, ‘Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikutku.’ (Mat. 24:9) Bahang kebencian semakin terasa sejak tahun 1914, apabila hari-hari terakhir bermula. Walaupun golongan terurap dianiaya dengan kejam sewaktu Perang Dunia Pertama, pihak musuh tetap gagal memusnahkan ibadat sejati. Pada tahun 1919, umat Tuhan dibebaskan daripada pengaruh Babilon Besar—empayar agama palsu sedunia. (Why. 11:11, 12) * Maka, itulah masanya umat Tuhan mula melarikan diri ke lembah yang luas.

12 Sejak tahun 1919, lembah yang luas itu memberi perlindungan kepada penyembah sejati di seluruh dunia. Selama puluhan tahun, terdapat banyak larangan dan sekatan ke atas bahan bacaan dan kerja penyebaran kita. Malahan hal ini masih berlaku di sesetengah negara. Walaupun pihak musuh mencuba sedaya upaya untuk memusnahkan ibadat sejati, mereka tidak akan berjaya! Yehuwa akan menggunakan kuasa-Nya untuk melindungi umat-Nya.—Ul. 11:2.

13. Bagaimanakah kita dapat bernaung di lembah perlindungan Yehuwa, dan mengapakah amat penting untuk berbuat demikian sekarang?

13 Jika kita tetap setia pada Yehuwa dan berdiri teguh dalam kebenaran, Yehuwa dan Anak-Nya tentu membantu kita. Tuhan akan memastikan bahawa tiada sesiapa atau apa-apa yang ‘merampas kita dari tangan-Nya.’ (Yoh. 10:28, 29) Yehuwa bersedia memberi kita bantuan yang diperlukan agar kita tetap setia kepada Kerajaan Tuhan dan Kerajaan Mesias. Kini, kesengsaraan besar semakin mendekat. Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk bernaung di lembah perlindungan Yehuwa.

HARI ‘YEHUWA MEMERANGI’ MUSUHNYA TIBA

14, 15. Pada hari ‘Yehuwa memerangi’ musuh-musuh-Nya, apakah yang akan terjadi kepada orang yang berada di luar “lembah yang luas”?

14 Akhir sistem dunia ini semakin dekat, dan serangan Syaitan terhadap hamba Yehuwa kian bertambah. Tidak lama lagi, ‘Yehuwa akan memerangi’ atau berperang melawan musuh-musuh-Nya. Syaitan akan melancarkan serangannya yang terakhir. Tetapi, Yehuwa pasti mematahkan serangan Syaitan. Pada hari itu, Pemerintah Agung kita akan membuktikan diri-Nya sebagai Pahlawan, dan kemenangan-Nya akan jauh lebih hebat daripada “masa dahulu.”—Za. 14:3.

15 Pada hari Tuhan memerangi musuh-Nya, apakah yang akan terjadi kepada orang yang berada di luar “lembah yang luas”? Mereka tidak akan mendapat “terang” atau perkenan Tuhan. Nubuat itu menambah, “Kuda, baghal, unta, dan keldai, serta semua binatang” yang lain—lambang bagi peralatan tentera—tidak akan berfungsi lagi. (Za. 14:6, 7, NW) Yehuwa turut menggunakan “penyakit yang mengerikan” untuk menghukum musuh-Nya. Pada hari itu, ‘mata dan lidah mereka akan membusuk.’ Hal ini bermaksud, mereka tidak dapat mencederakan kita ataupun mencemuh Tuhan. (Za. 14:12, 15) Semua “raja-raja di bumi dengan tentera mereka” akan berpihak kepada Syaitan. Tetapi, mereka tidak dapat melepaskan diri. (Why. 19:19-21) ‘Pada hari itu mayat orang yang dibinasakan oleh Yehuwa akan bergelimpangan di seluruh muka bumi.’—Yer. 25:32, 33.

16. Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya diri? Apakah yang harus kita lakukan semasa kesengsaraan besar?

16 Peperangan selalunya membawa kesengsaraan, bahkan kepada mereka yang bakal menang. Biasanya, kekurangan makanan, kehilangan harta benda, taraf hidup yang merosot, dan kebebasan yang terbatas akan dialami. Jika hal-hal ini berlaku, apakah reaksi kita? Adakah kita akan berasa cemas? Adakah kita akan mengabaikan iman kita kerana terdesak? Adakah kita akan kecewa dan berputus asa? Betapa pentingnya untuk mengekalkan iman kita terhadap kuasa penyelamatan Yehuwa dan bernaung di lembah perlindungan-Nya semasa kesengsaraan besar.—Baca Habakuk 3:17, 18.

“AIR YANG MEMBERIKAN HIDUP AKAN MENGALIR”

17, 18. (a) Apakah yang dilambangkan oleh “air yang memberikan hidup”? (b) Apakah yang dilambangkan oleh “Laut Mati” dan “Laut Tengah”? (c) Apakah tekad anda untuk masa depan?

17 Selepas Armagedon, “air yang memberikan hidup akan mengalir” dari Kerajaan Mesias. “Air yang memberikan hidup” melambangkan semua pemberian Tuhan kepada manusia supaya mereka dapat hidup kekal. “Air itu akan mengalir ke Laut Mati, dan separuh lagi ke Laut Tengah.” Laut Mati merujuk kepada orang yang sudah meninggal dan akan dibangkitkan. Manakala, Laut Tengah, atau dikenali sebagai Laut Mediterranean merujuk kepada “lautan manusia yang luar biasa banyaknya,” iaitu orang yang berjaya mengharungi Armagedon. (Baca Zakharia 14:8, 9; Why. 7:9-15) Kedua-dua kumpulan ini meminum air dari ‘sungai yang memberikan hidup.’ Hasilnya, mereka akan menjadi sempurna dan hidup selama-lamanya.—Why. 22:1, 2.

Bertekadlah untuk bernaung di lembah perlindungan Yehuwa

18 Di bawah perlindungan Yehuwa, kita akan selamat mengharungi akhir sistem dunia ini dan menikmati dunia baru Tuhan. Walaupun dibenci oleh dunia, marilah kita bertekad untuk tetap setia kepada Kerajaan Tuhan, dan bernaung di lembah perlindungan-Nya.

^ per. 11 Lihat buku “Wahyu—Kemuncaknya” (Revelation—Its Grand Climax at Hand!) muka 169-170.