Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Para Penatua—‘Rakan Sekerja bagi Sukacita Kita’

Para Penatua—‘Rakan Sekerja bagi Sukacita Kita’

“Kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagimu.”2 KOR. 1:24, NW.

1. Mengapakah Paulus berasa gembira semasa mendengar berita tentang orang Kristian di Korintus?

PADA tahun 55 M, rasul Paulus yang berada di bandar pelabuhan Troas sedang memikirkan sidang di Korintus. Sebelum itu, dia mendapat tahu bahawa mereka bertengkar sesama sendiri. Paulus mengasihi mereka, jadi dia menghantar sepucuk surat untuk membetulkan mereka. (1 Kor. 1:11; 4:15) Dia turut menghantar rakan sekerjanya, Titus untuk melawat mereka dan kemudian berjumpa dengannya di Troas untuk melaporkan apa yang telah terjadi. Sekarang, Paulus sedang menunggu Titus di Troas kerana ingin mendengar perkembangan di Korintus. Tetapi, Titus tidak datang. Apakah yang dapat dilakukan oleh Paulus? Dia berlayar ke Makedonia dan di sana, dia berjumpa dengan Titus. Alangkah gembiranya Paulus! Titus melaporkan bahawa saudara di Korintus telah mengikut nasihat Paulus dan mereka ingin berjumpa dengannya. Apabila Paulus mendengar laporan baik itu, dia “lebih bersukacita.”—2 Kor. 2:12, 13; 7:5-9.

2. (a) Apakah yang ditulis oleh Paulus kepada sidang di Korintus? (b) Apakah soalan yang akan kita bincangkan?

2 Tidak lama kemudian, Paulus menulis surat yang kedua kepada sidang di Korintus. Dia memberitahu mereka, “Kami bukanlah penguasa imanmu, sebaliknya kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagimu, kamu dapat berdiri teguh kerana imanmu.” (2 Kor. 1:24, NW) Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus? Bagaimanakah kata-kata itu patut mempengaruhi para penatua Kristian hari ini?

IMAN DAN SUKACITA KITA

3. (a) Apakah maksud Paulus apabila dia menulis “Kami bukanlah penguasa imanmu, . . . kamu dapat berdiri teguh kerana imanmu”? (b) Bagaimanakah para penatua hari ini mencontohi Paulus?

3 Paulus menyebut tentang dua aspek penting dalam penyembahan kita iaitu iman dan sukacita. Mengenai iman, dia menulis, “Kami bukanlah penguasa imanmu, . . . kamu dapat berdiri teguh kerana imanmu.” Paulus tahu bahawa sidang di Korintus menyembah Tuhan bukan kerana Paulus ataupun orang lain, tetapi kerana mereka beriman kepada Tuhan. Dia yakin bahawa mereka ialah orang Kristian yang setia dan ingin melakukan perkara yang betul. Jadi, Paulus tidak perlu dan tidak ingin mengawal iman mereka. (2 Kor. 2:3) Hari ini, para penatua percaya bahawa saudara saudari mereka beriman dan mempunyai motif yang baik semasa berkhidmat kepada Tuhan. (2 Tes. 3:4) Para penatua bukanlah penguasa yang membuat peraturan yang tegas untuk ahli sidang. Sebaliknya, mereka bergantung pada prinsip Bible dan mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa.1 Ptr. 5:2, 3.

4. (a) Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus apabila dia menulis, “Kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagimu”? (b) Bagaimanakah para penatua hari ini mencontohi Paulus?

4 Paulus juga menulis, “Kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagimu.” Siapakah rakan sekerja Paulus yang turut membantu sidang Korintus? Paulus menulis, “Yesus . . . diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri.” (2 Kor. 1:19) Di samping itu, Paulus juga menyebut tentang “rakan sekerja” yang lain seperti Apolos, Akwila, Priskila, Timotius, dan Titus. (Rm. 16:3, 21; 1 Kor. 3:6-9; 2 Kor. 8:23) Maka, dengan menulis, “Kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagimu,” Paulus sedang memberitahu sidang Korintus bahawa dia dan rakan-rakannya mahu membuat apa-apa sahaja untuk menggalakkan perasaan sukacita dalam sidang. Para penatua hari ini mempunyai keinginan yang sama. Mereka ingin membuat apa-apa sahaja agar rakan seiman dapat ‘menyembah Yehuwa dengan sukacita.’Mzm. 100:2; Flp. 1:25.

5. Apakah soalan yang ditanya kepada sekumpulan saudara saudari? Apakah yang perlu kita renungkan?

5 Baru-baru ini, saudara saudari yang bersemangat dari serata dunia ditanya soalan ini, “Apakah kata-kata atau perbuatan seorang penatua yang telah menambah sukacita anda?” Semasa kita membincangkan jawapan mereka, fikirkanlah kata-kata atau perbuatan penatua yang telah membuat anda lebih bersukacita. Renungkan juga bagaimana kita dapat meningkatkan rasa sukacita dalam sidang masing-masing. *

‘SAMPAIKAN SALAMKU KEPADA PERSIS’

6, 7. (a) Bagaimanakah para penatua dapat mencontohi Yesus, Paulus, dan hamba Tuhan yang lain? (b) Mengapakah mengingati nama rakan seiman dapat menambah rasa sukacita mereka?

6 Ramai daripada saudara dan saudari kita mengatakan bahawa sukacita mereka bertambah apabila penatua mengambil berat tentang mereka. Satu cara penatua dapat berbuat demikian adalah dengan mencontohi Daud, Elihu, dan Yesus. (Baca 2 Samuel 9:6; Ayub 33:1; Lukas 19:5.) Ketiga-tiga hamba Yehuwa ini menunjukkan bahawa mereka prihatin akan orang lain dengan menggunakan nama orang itu. Paulus turut menunjukkan pentingnya mengingati dan menggunakan nama rakan seiman. Dia mengakhiri salah satu suratnya dengan memberi salam kepada lebih daripada 25 orang saudara saudari termasuklah Persis, seorang saudari Kristian. Paulus berkata, “Sampaikan salamku kepada . . . Persis sahabat yang aku kasihi.”—Rm. 16:3-15.

7 Sesetengah penatua berasa susah untuk mengingati nama. Tetapi, apabila penatua berusaha untuk berbuat demikian, mereka sedang memberitahu rakan seiman, “Kamu penting bagi saya.” (Kel. 33:17) Penatua dapat menambah rasa sukacita dalam sidang jika mereka mengingati dan menggunakan nama rakan seiman semasa pembelajaran majalah atau perjumpaan lain.—Bandingkan Yohanes 10:3.

“DIA SUDAH BEKERJA KERAS UNTUK TUHAN”

8. Bagaimanakah Paulus mencontohi Yehuwa dan Yesus?

8 Pujian ikhlas juga dapat menambah sukacita rakan seiman. Paulus telah menunjukkan keprihatinan sedemikian. Dalam suratnya kepada sidang Korintus, Paulus menulis, “Aku bangga sekali dengan kamu.” (2 Kor. 7:4) Kata-kata pujian ini tentu menyentuh hati saudara di Korintus. Paulus turut memuji sidang lain. (Rm. 1:8; Flp. 1:3-5; 1 Tes. 1:8) Setelah menyebutkan Persis dalam suratnya kepada sidang Roma, Paulus menambah, “Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan.” (Rm. 16:12) Bayangkan perasaan saudari yang setia itu! Apabila memberi pujian kepada orang lain, Paulus sedang mencontohi Yehuwa dan Yesus.Baca Markus 1:9-11; Yohanes 1:47; Why. 2:2, 13, 19.

9. Mengapakah memberi dan menerima pujian dapat menambah rasa sukacita dalam sidang?

9 Hari ini, penatua sedar pentingnya melafazkan penghargaan untuk rakan seiman. (Ams. 3:27; 15:23) Setiap kali seorang penatua berbuat demikian, dia sedang memberitahu mereka, “Saya memperhatikan usaha kamu dan mengambil berat akan kamu.” Ya, mereka dalam sidang memerlukan galakan para penatua. Seorang saudari yang berusia 50-an berkata, “Di tempat kerja, saya jarang dipuji. Di sana, suasananya dingin dan orang kuat bersaing. Jadi, apabila seorang penatua memuji saya atas apa yang saya lakukan untuk sidang, saya berasa begitu tersentuh. Saya dapat merasai kasih Bapa saya yang di syurga.” Begitulah perasaan seorang bapa tunggal yang sedang membesarkan dua orang anak. Setelah menerima pujian ikhlas daripada penatua, saudara itu berkata, “Kata-kata penatua itu menyuntik semangat saya!” Sudah tentu, pujian ikhlas daripada para penatua dapat menaikkan semangat dan menambah sukacita rakan seiman supaya mereka terus menyembah Tuhan dan “tidak menjadi lemah.”—Yes. 40:31.

‘JAGALAH JEMAAH TUHAN’

10, 11. (a) Bagaimanakah para penatua dapat mencontohi Nehemia? (b) Apakah yang boleh dilakukan oleh penatua supaya kunjungan penggembalaan menguatkan iman saudara saudari?

10 Apakah cara penting lain para penatua menunjukkan kasih dan menambah sukacita rakan seiman? Dengan segera membantu mereka yang memerlukan galakan. (Baca Kisah 20:28.) Dengan ini, penatua mencontohi gembala rohani pada zaman dahulu. Sebagai contoh, ketika Nehemia melihat sesetengah saudara Yahudinya menjadi lemah secara rohani, dia segera menggalakkan mereka. (Neh. 4:14) Hari ini, para penatua juga perlu menggalakkan saudara saudari yang tawar hati. Mereka cuba melawat saudara saudari di rumah dan “berkongsi berkat” rohani, iaitu kata-kata yang menguatkan iman. (Rm. 1:11) Bagaimanakah para penatua berbuat demikian?

11 Sebelum membuat kunjungan penggembalaan, seorang penatua perlu memikirkan keperluan orang yang akan dikunjunginya. Dia dapat memikirkan soalan-soalan seperti: Apakah cabaran atau masalahnya? Apakah kata-kata yang dapat membinanya? Apakah ayat atau contoh Bible yang sesuai dengan keadaannya? Jika penatua berfikir tentang soalan-soalan ini sebelum melawat saudara saudari, dia dapat mengatakan sesuatu yang bermakna, bukan hanya bercakap tentang perkara remeh-temeh. Semasa kunjungan penggembalaan, penatua haruslah memasang telinga ketika saudara atau saudari meluahkan perasaannya. (Yak. 1:19) Seorang saudari berkata, “Saya berasa sangat lega apabila seorang penatua mendengar dengan penuh perhatian.”—Luk. 8:18.

Penatua yang membuat persediaan dapat “berkongsi berkat” rohani semasa kunjungan penggembalaan

12. Siapakah yang memerlukan galakan dalam sidang? Mengapa?

12 Siapakah yang memerlukan galakan daripada para penatua? Paulus memberitahu para penatua agar menunjukkan keprihatinan kepada semua anggota jemaah. Ya, semua anggota sidang memerlukan galakan, termasuk mereka yang sudah lama menjadi penyiar dan perintis. Mengapakah mereka memerlukan galakan? Walaupun iman mereka kuat, kadangkala mereka tidak dapat menghadapi tekanan daripada dunia jahat ini seorang diri. Mari kita lihat bagaimana Raja Daud mendapat bantuan daripada sahabatnya.

‘ABISAI DATANG MENOLONG’

13. (a) Bilakah Yisbi-Benob menyerang Daud? (b) Bagaimanakah Abisai menyelamatkan Daud tepat pada waktunya?

13 Tidak lama selepas Daud yang muda diurapi sebagai raja, dia berdepan dengan Goliat, gergasi dari keturunan Refaim. Daud dengan berani membunuh gergasi ini. (1 Sam. 17:4, 48-51; 1 Taw. 20:5, 8) Bertahun-tahun kemudian, semasa berperang dengan orang Filistin, dia sekali lagi berdepan dengan seorang gergasi, namanya Yisbi-Benob yang juga dari keturunan Refaim. (2 Sam. 21:16) Namun, gergasi ini hampir membunuh Daud. Mengapa? Daud masih berani, tetapi kali ini, dia kehilangan kekuatannya. Bible menyatakan, “Raja Daud menjadi letih.” Sebaik sahaja Yisbi-Benob melihat kelemahan fizikal Daud, dia “menyangka bahawa dia dapat membunuh Raja Daud.” Tetapi sejurus sebelum gergasi itu menyerang Daud, “Abisai anak Zeruya, datang menolong Raja Daud. Abisai menyerang raksasa itu dan membunuh dia.” (2 Sam. 21:15-17) Ya, Daud nyaris dibunuh! Betapa bersyukurnya Daud kerana Abisai memperhatikannya dan segera datang saat nyawanya dalam bahaya. Jadi apakah pengajarannya kepada kita?

14. (a) Bagaimanakah kita dapat mengatasi cabaran yang bagaikan gergasi? (b) Bagaimanakah penatua dapat memulihkan sukacita dan kekuatan kepada rakan seiman?

14 Di serata dunia, umat Yehuwa terus menjalankan kerja penyebaran walaupun mengalami banyak cabaran daripada Syaitan dan roh-roh jahat. Ada di antara kita yang berjaya mengatasi cabaran yang bagaikan gergasi kerana kita bergantung sepenuhnya pada Yehuwa. Namun, ada kalanya, perjuangan menentang tekanan dunia ini membuat kita penat dan tawar hati. Dalam keadaan lemah itu, kita mudah ditumpaskan bahkan oleh tekanan yang biasanya kita berjaya hadapi. Pada saat-saat itulah galakan daripada penatua dapat memulihkan sukacita dan kekuatan kita. Seorang perintis yang berumur pertengahan 60-an berkata, “Tidak lama sebelum ini, saya kurang sihat dan kerja penyebaran sangat memenatkan saya. Seorang penatua memerhatikan bahawa saya kekurangan tenaga lalu mendekati saya. Kami berbincang tentang ayat Bible dan saya sangat digalakkan. Saya menerapkan nasihatnya dan meraih manfaat.” Dia menambah, “Penatua itu sangat pengasih. Dia tahu saya berasa lemah dan rela membantu saya.” Alangkah baiknya untuk mengetahui bahawa para penatua mengambil berat tentang kita dan sentiasa bersedia untuk membantu kita, sepertimana Abisai membantu Daud.

‘SEDARLAH BAHAWA AKU SANGAT MENGASIHI KAMU’

15, 16. (a) Mengapakah rakan seiman Paulus sangat mengasihinya? (b) Mengapakah kita mengasihi para penatua yang prihatin?

15 Para penatua memikul tanggungjawab yang berat. Kadangkala mereka berdoa dengan ikhlas kepada Yehuwa demi rakan seiman atau membantu rakan seiman sehingga tidak dapat tidur. (2 Kor. 11:27, 28) Tetapi, seperti Paulus, para penatua masih bersukacita untuk menjalankan tugas mereka dengan sepenuhnya. Paulus telah menulis kepada sidang di Korintus, “Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu.” (2 Kor. 12:15) Ya, kerana Paulus mengasihi rakan seimannya, dia membuat banyak pengorbanan untuk menguatkan mereka. (Baca 2 Korintus 2:4; Flp. 2:17; 1 Tes. 2:8) Itulah sebabnya saudara saudari sangat mengasihi Paulus!Kis. 20:31-38.

16 Hari ini, kita pun mengasihi para penatua yang prihatin dan mengucap doa syukur kepada Yehuwa kerana mengurniakan mereka. Penatua meningkatkan sukacita kita kerana mengambil berat terhadap kita. Kita memperoleh banyak manfaat daripada kunjungan penggembalaan. Tambahan lagi, kita bersyukur kerana mereka sentiasa bersedia untuk membantu kita pada saat kita berasa hampir lemas oleh tekanan dunia ini. Ya, para penatua memang bekerja keras ‘bagi sukacita kita.’

^ per. 5 Saudara dan saudari yang sama juga ditanya soalan ini, “Apakah sikap yang paling anda hargai dalam seorang penatua?” Kebanyakan daripada mereka menjawab, “Sikap mudah dihampiri.” Sikap penting itu akan dibincangkan dalam majalah yang akan datang.