Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Orang yang Bijak Mencari Bimbingan

Orang yang Bijak Mencari Bimbingan

Orang yang Bijak Mencari Bimbingan

Kehidupan ibarat pelayaran di laut. Namun, kebijaksanaan manusia tidak cukup untuk membantu kita melayari hidup dengan jayanya. Ramai yang terkandas semasa mengharungi samudera kehidupan yang sarat dengan ombak dan ribut. (Mzm. 107:23, 27) Mengapakah perumpamaan ini sesuai digunakan?

Pelayaran pada zaman kuno sangat mencabar. Orang yang mahu belayar perlu belajar daripada jurumudi atau pelaut yang berpengalaman. (Kis. 27:9-11) Dalam banyak lukisan pada zaman kuno jurumudi digambarkan lebih besar daripada orang lain untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan mereka. Untuk belayar di lautan yang luas, pelaut perlu belajar tentang bintang, arah mata angin, dan tanda-tanda lain. Bible menggambarkan sesetengah pelaut dengan istilah “cekap.” Dalam bahasa asal, istilah ini juga bermaksud “bijaksana.”​—Yeh. 27:8.

Cabaran hidup hari ini bagaikan cabaran belayar di laut. Apakah yang boleh membantu kita?

BAGAIMANAKAH KITA BOLEH MENJADI BIJAK?

Oleh sebab kehidupan ibarat pelayaran di laut, fikirkanlah kebenaran Bible ini, “Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar.” (Ams. 1:5, 6, ABB) Perkataan “membimbing” dalam bahasa Ibrani boleh menggambarkan bagaimana seorang kapten kapal memberikan arahan dan bimbingan dengan mahir dan cekap.

Ya, kita harus mencurahkan usaha untuk mendapatkan bimbingan yang cekap semasa melayari samudera kehidupan. Seperti yang tercatat di Amsal, kita perlu memiliki kebijaksanaan, pengertian, dan pemahaman. (Ams. 1:2-6; 2:1-9) Selain itu, jangan lupa minta bimbingan Tuhan, kerana orang jahat pun tahu menggunakan “tipu muslihat” untuk mengemudi jalan hidup mereka.​—Ams. 12:5.

Jadi adalah sangat penting untuk mempelajari Bible dengan serius. Jika kita berbuat demikian, kita dapat belajar tentang Yehuwa dan individu yang mencerminkan-Nya dengan sempurna, iaitu Yesus Kristus. (Yoh. 14:9) Kita juga boleh mendapat nasihat yang bijak daripada perjumpaan dan pengalaman orang lain, seperti ibu bapa.​—Ams. 23:22.

FIKIR DAN RANCANG

Apabila menempuh gelora hidup, kita sangat memerlukan bimbingan. Contohnya, jika kita terlalu bingung dan hilang akal semasa menghadapi situasi yang susah, keadaannya akan bertambah rumit dan membawa padah.​—Yak. 1:5, 6.

Satu lagi ayat menggunakan bandingan yang berbeza. Amsal 24:6 (ABB) menyatakan, “Kamu harus membuat rancangan dengan baik-baik sebelum kamu berperang. Semakin banyak nasihat yang kamu terima, semakin besar pula harapan kamu untuk menang.”​—Ams. 20:18.

Seperti seorang pakar strategi yang merancang sebelum berperang, kita juga harus menjangka bahaya rohani yang boleh timbul. (Ams. 22:3) Misalnya, anda mungkin ditawarkan pekerjaan atau jawatan yang baru. Tentu anda akan memikirkan gaji, masa yang diambil untuk pergi dan balik dari tempat kerja, dan faktor lain. Namun adakah anda memikirkan soalan-soalan seperti: Adakah pekerjaan ini selaras dengan prinsip Bible? Jika saya perlu bekerja syif, adakah waktu kerja akan mengganggu kegiatan Kristian saya?​—Luk. 14:28-30.

Seorang Saksi yang bernama Loretta bekerja di sebuah syarikat yang menyediakan makanan. Apabila syarikat itu berpindah, dia ditawarkan jawatan yang penting di situ. “Inilah peluang keemasan!” kata bosnya. “Kami tahu bahawa terdapat sebuah Dewan Perjumpaan di situ.” Tetapi Loretta ingin menyederhanakan hidupnya supaya dia dapat mengutamakan khidmat kepada Yehuwa. Jawatan baru itu mengehadkan masa yang boleh digunakannya dalam aktiviti-aktiviti Kristian. Maka, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja, meskipun bosnya tidak ingin kehilangan pekerja yang baik seperti dia. Kini, Loretta sudah pun berkhidmat sebagai perintis biasa selama 20 tahun. Dia yakin bahawa hasil baik yang diperoleh adalah kerana dia mengikut nasihat yang bijak dalam Bible. Hubungannya dengan Yehuwa bertambah erat dan dia berpeluang membantu beberapa orang untuk memeluk kebenaran.

Keluarga Kristian juga memerlukan bimbingan. Tugas membesarkan anak mengambil masa yang panjang. Keputusan kita tentang hal rohani dan kebendaan akan mempengaruhi masa hadapan setiap anggota keluarga. (Ams. 22:6) Ibu bapa boleh menanya diri: Adakah kami mahu anak-anak menjadi orang dewasa yang bijak? Jika ya, adakah tingkah laku dan tutur kata kami mengajar anak-anak untuk bergantung pada Yehuwa? Adakah gaya hidup kami menunjukkan bahawa mereka patut hidup sederhana dan mengutamakan kerja penyebaran?​—1 Tim. 6:6-10, 18, 19.

Kejayaan kita tidak bergantung pada kekayaan atau kemasyhuran. Raja Salomo tahu benar hal ini. Di bawah ilham Tuhan dia menulis, ‘Orang yang taat kepada Tuhan akan hidup senang.’ (Pkh. 8:12) Jelaslah, seseorang yang bijak akan sentiasa mencari bimbingan dalam Firman Tuhan dan bertindak selaras dengannya.​—2 Tim. 3:16, 17.

[Gambar pada muka surat 30]

Para jurumudi digambarkan lebih besar daripada pelaut lain untuk menunjukkan kepentingan peranan mereka

[Sumber]

Su concessione del Ministero per i Beni e le Attività Culturali. It is forbidden to reproduce or duplicate this image in any way or by any means.