Bagaimanakah Anda Memberikan Nasihat?
Bagaimanakah Anda Memberikan Nasihat?
Pernahkah orang meminta nasihat anda? Contohnya, pernahkah anda ditanya: “Apakah yang harus saya buat? Patutkah saya pergi ke jamuan itu? Patutkah saya memilih kerjaya ini? Adakah orang ini teman hidup yang sesuai bagi saya?”
Orang mungkin meminta bantuan anda semasa membuat keputusan. Antaranya keputusan yang boleh mempengaruhi hubungan mereka dengan kawan, keluarga, atau Yehuwa. Biasanya bagaimanakah anda membantu mereka? Apakah dasar bagi nasihat anda? Tidak kira soalan mereka penting atau tidak, Amsal 15:28 berkata, “Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab.” Mari kita bincangkan lima prinsip Bible yang boleh membantu kita memberikan nasihat yang baik.
1 Ketahui Situasi yang Sebenar.
“Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.”—AMS. 18:13, ABB.
Untuk memberi seseorang nasihat yang baik, kita perlu memahami situasi dan pandangannya. Bayangkan, jika seseorang menanyakan jalan ke rumah anda, apakah yang perlu anda tahu terlebih dahulu? Tentu anda perlu tahu di mana dia berada. Kalau tidak, anda tidak dapat membantu dia. Begitu juga, jika anda ingin memberikan nasihat yang sesuai, anda perlu tahu situasi dan pandangan orang yang meminta nasihat itu. Adakah anda benar-benar memahami situasinya? Jika tidak, anda mungkin memberikan nasihat yang akan mengelirukannya.—Luk. 6:39.
Sudahkah Dia Membuat Penyelidikan? Selain itu jika seseorang meminta nasihat anda, tanyalah dia soalan seperti, “Apakah prinsip Bible yang boleh diterapkan? Apakah baik buruknya pilihan yang ada? Apakah hasil penyelidikan anda? Apakah bantuan yang sudah diberikan oleh penatua, ibu bapa, guru Bible, atau orang lain kepada anda?”
Daripada jawapannya, kita dapat tahu setakat mana dia telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Selain itu, kita boleh mengambil kira nasihat yang diberikan orang lain kepadanya. Kita juga boleh mengetahui sama ada dia sekadar mencari jawapan yang ‘ingin didengarnya.’—2 Tim. 4:3.
2 Jangan Cepat Menjawab.
“Setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”—YAK. 1:19.
Kita mungkin ingin menjawab dengan segera untuk membantunya. Tetapi adakah tindakan itu bijak, terutamanya jika kita belum membuat penyelidikan yang secukupnya? Amsal 29:20 (ABB) berkata, “Lebih besar harapan bagi orang bodoh daripada orang yang bercakap tanpa berfikir.”
Pastikan nasihat yang anda berikan selaras dengan Firman Tuhan. Tanyalah diri, “Adakah pemikiran saya dipengaruhi oleh pemikiran dan semangat dunia?” (1 Kor. 2:12, 13) Apabila rasul Petrus mengetahui bahawa Yesus akan menderita dan mati, dia berkata, ‘Semoga Tuhan menjauhkan perkara itu daripada Tuan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuan!’ Apakah pengajarannya? Biarpun kita berniat baik, jika kita tidak berhati-hati kita mungkin menggalakkan ‘fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.’ (Mat. 16:21-23) Maka berfikirlah sebelum bercakap! Lagipun, bukankah pengalaman kita terhad jika dibandingkan dengan kebijaksanaan Tuhan?—Ayb. 38:1-4; Ams. 11:2.
3 Terapkan Firman Tuhan dengan Rendah Hati.
‘Tiada sesuatu pun yang aku lakukan menurut kehendakku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepadaku.’—YOH. 8:28.
Mungkinkah anda menjawab, “Kalau saya dalam situasi kamu, saya akan . . .”? Walaupun anda mungkin tahu jawapannya, anda boleh meneladani kerendahan hati Yesus. Dia jauh lebih bijak dan berpengalaman daripada mana-mana manusia. Namun dia berkata, ‘Aku tidak berkata-kata menurut kemahuanku sendiri, kerana Bapa memerintahkan aku mengatakan apa yang harus disampaikan.’ (Yoh. 12:49, 50) Nasihat dan ajaran Yesus selalu berdasarkan kehendak Bapanya.
Contohnya, di Lukas 22:49 kita baca bahawa semasa musuh mahu memberkas Yesus, pengikut-pengikutnya ingin melawan balik dan salah seorang pengikutnya telah menghunuskan pedang. Kisah yang sama di Matius 26:52-54 menunjukkan bahawa Yesus mengambil masa untuk membantu pengikut itu memahami kehendak Yehuwa, walaupun dia berada dalam keadaan yang genting. Yesus mengetahui prinsip yang terkandung di Kejadian 9:6 serta nubuat-nubuat di Mazmur 22 dan Yesaya 53. Oleh itu, dia memberikan nasihat yang dapat menyelamatkan nyawa dan menyenangkan hati Yehuwa.
4 Gunakan Perpustakaan Teokratik Anda.
“Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.”—MAT. 24:45, ABB.
Yesus telah melantik hamba yang setia dan bijaksana untuk memberi kita makanan rohani. Semasa anda memberikan nasihat dan arahan yang penting, adakah anda meluangkan masa untuk menyelidiki bahan bacaan Bible dengan teliti?
Kita boleh mendapat banyak maklumat daripada Indeks Bahan Bacaan Menara Pengawal dan cakera padat Watchtower Library. * Janganlah lupa untuk menggunakan sumber maklumat ini! Terdapat ribuan topik berserta banyak rencana yang dapat membantu orang yang sedang mencari nasihat. Adakah anda mahir membantu orang menggunakan perpustakaan teokratik ini untuk memperoleh prinsip Bible dan menerapkannya? Sepertimana alat GPS dapat membantu orang mencari jalan, bahan bacaan Bible dapat membimbing seseorang ke arah kehidupan sejati.
Ramai penatua telah melatih penyiar untuk mencari rencana yang sesuai dengan menggunakan Indeks atau Watchtower Library. Dengan itu para penyiar dapat membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible. Bantuan sebegini boleh bantu penyiar untuk menyelesaikan masalah, memupuk tabiat membuat penyelidikan, dan bergantung pada pemberian rohani yang disediakan Yehuwa. Maka, mereka ‘dilatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.’—Ibr. 5:14.
5 Jangan Buat Keputusan untuk Orang Lain.
“Tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”—GAL. 6:5.
Pada hakikatnya, semua orang harus membuat pilihan sendiri. Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih sama ada kita mahu mengikut prinsip-Nya atau tidak. (Ul. 30:19, 20) Sesetengah situasi merangkumi banyak prinsip Bible, dan orang yang mencari nasihat harus membuat keputusan sendiri. Semasa seseorang meminta nasihat, kita mungkin perlu tanya diri: “Adakah saya berhak menasihatinya?” Dalam sesetengah situasi adalah lebih baik jika para penatua membantunya. Dan jika dia seorang yang muda, ibu bapa yang patut membantunya.
[Nota kaki]
^ per. 20 Cakera padat Watchtower Library terdapat dalam 39 bahasa, manakala Indeks terdapat dalam 45 bahasa.
[Kotak/Gambar pada muka surat 8]
Projek Penyembahan Keluarga
Jika seseorang menanya anda suatu soalan, bolehkah anda membuat penyelidikan semasa Penyembahan Keluarga untuk mencari jawapannya? Apakah rencana dan prinsip Bible yang boleh digunakan untuk membantunya? Andai kata seorang saudara atau saudari yang ingin berkahwin bertanya sama ada dia patut berpacaran dengan seseorang yang diminatinya. Anda boleh menggunakan Indeks atau Watchtower Library untuk mencari topik seperti “Berpacaran” atau “Perkahwinan.” Kemudian lihat tajuk kecil untuk mencari rencana yang sesuai. Anda juga boleh mendapat lebih banyak maklumat daripada bahagian “Lihat juga.”
[Kotak pada muka surat 9]
Melalui organisasi Yehuwa kita boleh memberi dan menerima nasihat yang terbaik. Pengkhutbah 12:11 (ABB) berkata, ‘Ucapan orang bijak seperti tongkat tajam yang digunakan oleh gembala untuk menggiring domba, dan kumpulan peribahasa kukuh seperti paku yang terpasak dalam. Semua itu diberikan oleh Tuhan, satu-satunya Gembala kita.’ Seperti ‘tongkat tajam yang digunakan untuk menggiring domba,’ nasihat baik yang diberikan dengan kasih dapat membimbing orang ke haluan yang betul. Dan sepertimana “paku yang terpasak dalam” menghasilkan bangunan yang kukuh, nasihat yang baik juga boleh membantu orang membuat keputusan yang baik dan seimbang. Orang bijak sangat suka merenungkan “kumpulan peribahasa” yang mencerminkan kebijaksanaan Yehuwa, “Gembala kita.”
Tirulah Gembala kita semasa orang lain meminta nasihat. Dengarlah isi hati mereka dan bantulah mereka dengan rela hati. Jika kita menasihati mereka berdasarkan prinsip Bible, mereka akan dibantu untuk meraih manfaatnya dan mengecap kehidupan kekal.