Mereka Menjumpai Mesias!
Mereka Menjumpai Mesias!
“Kami sudah berjumpa dengan Mesias!”—YOH. 1:41.
1. Apakah yang telah berlaku sebelum Andreas mengumumkan, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!”?
YOHANES PEMBAPTIS sedang berdiri bersama dua orang muridnya yang bernama Andreas dan Yohanes. Semasa Yesus menghampiri mereka, Yohanes berkata, ‘Lihatlah Anak Bebiri Tuhan!’ Dengan serta-merta, kedua-dua murid itu mengikut Yesus dan meluangkan masa dengannya. Kemudian, Andreas pergi mencari Simon Petrus dan mengumumkan, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” Selepas itu, Andreas membawa Petrus untuk berjumpa dengan Yesus.—Yoh. 1:35-41.
2. Bagaimanakah pembelajaran tentang nubuat Mesias dapat membantu kita?
2 Dengan berlalunya masa, Andreas, Petrus, dan orang lain berpeluang mengkaji nubuat Bible dan berasa yakin bahawa Yesus ialah Mesias. Sekarang kita akan meneliti beberapa nubuat lain tentang Mesias yang dijanjikan Tuhan. Dengan berbuat demikian, iman kita dalam nubuat Bible dan Mesias akan diperkukuh.
“Lihatlah, Raja Kamu Datang!”
3. Apakah nubuat-nubuat yang digenapi semasa Yesus memasuki kota Yerusalem sebagai raja?
3 Mesias akan memasuki kota Yerusalem sebagai raja. Nubuat Zakharia menyatakan, “Bersukacitalah, hai penduduk Sion! Bersoraklah, hai penduduk Yerusalem! Lihatlah, raja kamu datang! Dia datang dengan kemegahan dan kemenangan, tetapi dengan kerendahan hati, dia datang dengan menunggang keldai, dengan mengenderai anak keldai yang muda.” (Za. 9:9, ABB) Penulis mazmur menulis, ‘Semoga Tuhan memberkati dia yang datang demi nama Yehuwa!’ (Mzm. 118:26) Yesus tidak dapat mengawal reaksi orang ramai. Walau bagaimanapun, kegembiraan yang diperlihatkan oleh mereka adalah tepat seperti yang dinubuatkan di dalam Bible. Semasa membaca bahagian Bible yang menceritakan hal ini, cuba bayangkan bahawa anda berada di sana dan dapat mendengar sorakan mereka yang gembira.—Baca Matius 21:4-9.
4. Jelaskan bagaimana Mazmur 118:22, 23 digenapi.
4 Walaupun ramai orang tidak menerima Yesus sebagai Mesias, dia sangat bernilai di mata Tuhan. Seperti yang dinubuatkan, Yesus ‘dihina dan ditolak’ oleh mereka yang enggan menerima bukti bahawa dia ialah Mesias. (Yes. 53:3; Mrk. 9:12) Walau bagaimanapun, Tuhan telah mengilhami penulis mazmur untuk menulis, “Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan.” (Mzm. 118:22, 23, ABB) Pernah sekali, Yesus menghalakan perhatian pemimpin agama terhadap nubuat ini. Dan Petrus sendiri berkata bahawa nubuat ini digenapi oleh Yesus. (Mrk. 12:10, 11; Kis. 4:8-11) Ya, Yesus telah menjadi “batu asas” sidang Kristian. Meskipun orang ramai tidak menerima dia, dia ‘dipilih oleh Tuhan’ dan dianggap berharga.—1 Ptr. 2:4-6.
Dikhianati dan Ditinggalkan
5, 6. Apakah yang dinubuatkan tentang pengkhianatan Mesias dan bagaimanakah hal ini digenapi?
5 Mesias akan dikhianati oleh “rakannya.” Daud bernubuat, “Sahabat karibku yang paling aku percayai, orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku.” (Mzm. 41:10, ABB) Pada zaman Bible, orang yang makan bersama-sama selalunya dianggap sebagai kawan. (Kej. 31:54) Jadi nubuat Daud bermaksud bahawa seorang kawan Mesias akan mengkhianatinya! Nubuat ini menjadi kenyataan apabila Yudas Iskariot mengkhianati Yesus. Yesus berkata kepada para rasulnya, ‘Apa yang aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, “Orang yang makan dengan aku akan melawan aku.”’—Yoh. 13:18, ABB.
6 Mesias akan dikhianati dengan upah 30 keping wang perak, iaitu harga seorang hamba! Matius menyatakan bahawa Yesus dikhianati oleh Yudas dengan harga 30 keping wang perak dan hal ini telah menggenapi nubuat di Zakharia 11:12, 13. Tetapi mengapakah Matius mengatakan bahawa hal ini dinubuatkan oleh Yeremia? Pada zaman Matius, buku Yeremia mungkin disenaraikan sebagai buku pertama dalam kitab-kitab yang merangkumi buku Zakharia. (Bandingkan Lukas 24:44.) Yudas tidak menggunakan 30 keping wang perak itu. Dia membuang wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu “menggantung diri.”—Mat. 26:14-16; 27:3-10.
7. Bagaimanakah Zakharia 13:7 digenapi?
7 Murid-murid Yesus akan meninggalkan dia. “Seranglah gembala,” tulis Zakharia, ‘supaya kawanan bebirinya tercerai-cerai.’ (Za. 13:7) Pada 14 Nisan 33 M, Yesus memberitahu murid-muridnya, ‘Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Tuhan akan membunuh gembala itu, lalu kawanan bebirinya akan tercerai-berai.”’ Tepat seperti yang dinubuatkan, Matius menyatakan bahawa ‘semua pengikut Yesus lari meninggalkan dia.’—Mat. 26:31, 56.
Dituduh dan Dipukul
8. Bagaimanakah nubuat di Yesaya 53:8 digenapi?
8 Mesias akan ditahan, dihakimi, dan dibunuh. (Baca Yesaya 53:8.) Semasa fajar menyingsing pada 14 Nisan, seluruh Majlis Agama berkumpul, mengikat Yesus, dan menyerahkannya kepada Gabenor Roma yang bernama Pontius Pilatus. Dia menyoal siasat Yesus dan mendapati bahawa Yesus tidak bersalah. Apabila Pilatus bertanya kepada orang ramai sama ada mereka mahu Yesus dibebaskan, mereka berteriak supaya Yesus dibunuh. Sebaliknya mereka meminta Pilatus membebaskan seorang penjahat yang bernama Barabas. Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas, menyuruh orang mencambuk Yesus, dan menyerahkan dia untuk dipakukan pada tiang seksaan.—Mrk. 15:1-15.
9. Bagaimanakah nubuat di Mazmur 35:11 menjadi kenyataan pada zaman Yesus?
9 Orang memberikan kesaksian palsu terhadap Mesias. Daud menulis, “Saksi-saksi jahat menuduh aku, kerana perkara yang tidak aku ketahui.” (Mzm. 35:11, ABB) Seperti yang dinubuatkan, ‘ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepadanya.’ (Mat. 26:59, ABB) Sebenarnya, “banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan.” (Mrk. 14:56, ABB) Musuh Yesus tidak peduli bahawa saksi-saksi itu sedang menipu. Mereka hanya mahu Yesus dibunuh.
10. Jelaskan bagaimana Yesaya 53:7 digenapi.
10 Mesias akan berdiam diri apabila dituduh. Yesaya bernubuat, ‘Dia diperlakukan dengan kasar, tetapi dia menanggungnya dengan sabar; dia tidak membuka mulutnya seperti anak biri-biri yang dibawa ke pembantaian, atau induk biri-biri yang dicukur bulunya.’ (Yes. 53:7, ABB) Semasa ‘para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, dia diam sahaja.’ Pilatus bertanya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus “tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan.” (Mat. 27:12-14) Ya, Yesus tidak mencaci musuh-musuhnya.—Rm. 12:17-21; 1 Ptr. 2:23.
11. Bagaimanakah nubuat di Yesaya 50:6 dan Mikha 4:14 digenapi?
11 Yesaya menubuatkan bahawa Mesias akan dipukul. Yesaya menulis, “Aku memberikan belakangku kepada mereka yang memukul aku, dan pipiku kepada orang yang mencabut janggutku. Aku tidak memalingkan mukaku ketika aku dihina dan diludahi.” (Yes. 50:6, ABB) Mikha bernubuat, “Mereka sedang menyerang pemimpin Israel!” (Mi. 4:14) Markus menunjukkan bahawa nubuat-nubuat ini telah digenapi. Dia menyatakan, ‘Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi matanya dan memukul dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar dia.’ Markus juga menyatakan bahawa askar-askar akan ‘memukul kepalanya dengan kayu, meludahinya serta sujud [secara mengejek] di hadapannya.’ (Mrk. 14:65; 15:19, ABB) Sudah tentu, Yesus tidak melakukan apa-apa untuk membangkitkan kemarahan mereka.
Setia kepada Tuhan sampai Mati
12. Bagaimanakah Mazmur 22:17 dan Yesaya 53:12 digenapi?
12 Mesias akan dipakukan pada tiang seksaan. “Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku,” kata Daud. “Mereka menyiat tangan serta kakiku.” (Mzm. 22:17) Ramai pembaca Bible tahu bahawa nubuat ini telah menjadi kenyataan. Markus menyatakan bahawa tangan dan kaki Yesus telah dipakukan pada tiang seksaan kira-kira “pukul sembilan pagi.” (Mrk. 15:25) Satu lagi nubuat menyatakan bahawa Mesias akan mati bersama-sama penjahat. “Dia rela mengorbankan nyawanya,” kata Yesaya, “dan dia dianggap sebagai orang jahat.” (Yes. 53:12) Tepat seperti yang dinubuatkan, Yesus dipakukan pada tiang seksaan bersama-sama dua orang penjahat, ‘seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kirinya.’—Mat. 27:38.
13. Bagaimanakah Mazmur 22:8, 9 digenapi?
13 Daud menubuatkan bahawa orang akan mencaci Mesias. (Baca Mazmur 22:8, 9.) Semasa Yesus menderita atas tiang seksaan, Matius menyatakan bahawa “orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus.” Mereka berkata, ‘Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Tuhan, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari [tiang seksaan]!’ Dalam cara yang sama, para ketua imam, guru Taurat, dan orang tua-tua mencemuh dia dan berkata, ‘Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari [tiang seksaan] sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Tuhan dan berkata bahawa dia Anak Tuhan. Mari kita lihat, adakah Tuhan akan menyelamatkan dia sekarang?’ (Mat. 27:39-43, ABB) Walaupun Yesus menderita, dia tetap bertenang dan tidak mengucapkan apa-apa yang salah! Dia menetapkan contoh yang baik bagi kita.
14, 15. Bagaimanakah nubuat tentang pakaian Mesias dan cuka yang diberikan kepadanya terbukti benar?
14 Mereka akan membuang undi untuk pakaian Mesias. Daud menulis, “Mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku.” (Mzm. 22:19, ABB) Hal ini telah berlaku tepat seperti yang dinubuatkan. Bible memberitahu kita bahawa selepas Yesus dipakukan pada tiang seksaan, askar-askar Roma ‘membahagi-bahagikan pakaiannya dengan membuang undi.’—Mat. 27:35; baca Yohanes 19:24.
15 Mereka akan memberi Mesias cuka untuk diminum. Penulis mazmur berkata, “Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan; ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman.” (Mzm. 69:22, ABB) Matius menyatakan, ‘Mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, dia tidak mahu meminumnya.’ Kemudian, ‘seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah [atau, masam]. Bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus.’—Mat. 27:34, 48, ABB.
16. Jelaskan bagaimana nubuat di Mazmur 22:2 digenapi.
16 Mesias seolah-olah ditinggalkan oleh Tuhan. (Baca Mazmur 22:2.) Markus menyatakan bahawa kira-kira ‘pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Tuhanku, ya Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku?”’ (Mrk. 15:34, ABB) Yesus bukannya telah hilang keyakinan kepada Bapanya di syurga. Dia tahu bahawa Tuhan tidak akan melindunginya daripada musuh-musuhnya semasa dia dibunuh. Hal ini membuka peluang kepada Yesus untuk membuktikan integritinya. Seruan Yesus telah menggenapi nubuat di Mazmur 22:2.
17. Bagaimanakah Zakharia 12:10 dan Mazmur 34:21 digenapi?
Za. 12:10) Mazmur 34:21 (ABB) menyatakan, ‘Yehuwa memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah.’ Rasul Yohanes telah melihat kejadian ini dan memberikan kesaksiannya dengan mengatakan, ‘Salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air. Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Tidak satu pun daripada tulangnya akan dipatahkan.” Di dalam Alkitab juga tertulis, “Orang akan memandang dia yang telah ditikam oleh mereka.”’—Yoh. 19:33-37, ABB.
17 Mesias akan ditikam, tetapi tulangnya tidak akan dipatahkan. Penduduk Yerusalem akan “memandang orang yang ditikam oleh mereka.” (18. Bagaimanakah nubuat bahawa Yesus akan dikebumikan bersama-sama orang kaya menjadi kenyataan?
18 Mesias akan dikebumikan bersama orang kaya. (Baca Yesaya 53:5, 8, 9.) Lewat petang 14 Nisan, “seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf,” meminta mayat Yesus daripada Pilatus. Kemudian Matius menyatakan, “Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi.”—Mat. 27:57-60, ABB.
Pujilah Mesias, Raja Kita!
19. Bagaimanakah nubuat di Mazmur 16:10 digenapi?
19 Mesias akan dibangkitkan. Daud menulis, “Orang yang Engkau [Yehuwa] kasihi tidak Kaubiarkan binasa.” (Mzm. 16:10) Bayangkan perasaan wanita-wanita yang telah pergi ke kubur Yesus dan nampak malaikat yang sedang duduk di situ! Malaikat itu memberitahu mereka, ‘Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah [dipakukan pada tiang seksaan]. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan dia.’ (Mrk. 16:6) Rasul Petrus telah mengumumkan kepada orang ramai di Yerusalem pada Pentakosta 33 M, ‘Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Tuhan. Oleh itu Daud bernubuat tentang pembangkitan Penyelamat yang diutus oleh Tuhan. Daud berkata, “Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuhnya tidak akan hancur di kubur.”’ (Kis. 2:29-31, ABB) Tuhan tidak mengizinkan mayat Anak-Nya yang dikasihi untuk reput. Dia melakukan suatu mukjizat dengan membangkitkan Yesus ke syurga!—1 Ptr. 3:18.
20. Apakah yang dinubuatkan tentang pemerintahan Mesias?
20 Seperti yang dinubuatkan, Tuhan telah mengumumkan bahawa Yesus ialah Anak-Nya. (Baca Mazmur 2:7; Matius 3:17.) Selain itu, semasa Yesus memasuki Yerusalem, orang ramai memujinya dan Kerajaannya. Hari ini, kita juga berasa gembira untuk berbuat demikian. (Mrk. 11:7-10) Tidak lama lagi, Kristus akan memusnahkan musuh-musuhnya semasa dia “membela kebenaran dan keadilan.” (Mzm. 2:8, 9; 45:2-7) Kemudian, dia akan memerintah bumi dan semua orang akan menikmati kedamaian dan kemakmuran. (Mzm. 72:1, 3, 12, 16; Yes. 9:5, 6) Kini, Yesus Kristus sedang memerintah sebagai Raja di syurga. Tidakkah anda setuju bahawa kita diberikan penghormatan yang besar sebagai Saksi-Saksi Yehuwa kerana dapat memberitahu orang lain tentang kebenaran-kebenaran ini?
Apakah Jawapan Anda?
• Bagaimanakah Yesus dikhianati dan ditinggalkan?
• Bagaimanakah nubuat berhubung kematian Yesus digenapi?
• Mengapakah anda berasa yakin bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar pada muka surat 13]
Apakah nubuat-nubuat yang digenapi semasa Yesus memasuki Yerusalem sebagai raja?
[Gambar pada muka surat 15]
Yesus mati untuk dosa kita, tetapi dia kini memerintah sebagai Raja Kerajaan Mesias