Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN

Jaga Kesihatan dan Kuatkan Semangat

Jaga Kesihatan dan Kuatkan Semangat

MASALAH KESIHATAN ATAU KECACATAN DAPAT MENJEJASKAN KEHIDUPAN SESEORANG. Ulf dahulunya sihat dan cergas, tetapi setelah menjadi lumpuh, dia berkata, “Saya sangat murung. Saya tiada tenaga, keberanian, atau kekuatan . . . Saya rasa seperti hidup saya dihancurkan.”

Pengalaman Ulf mengingatkan kita bahawa meskipun kita berusaha untuk mencegah penyakit, kesihatan kita tidak terjamin sepenuhnya. Maka, jika kesihatan kita semakin merosot, adakah hal itu bermaksud kita tidak mungkin bahagia? Tidak. Sebelum membincangkan hal itu, mari kita lihat nasihat-nasihat yang menyumbang kepada kesihatan yang baik.

“BERSIKAP SEDERHANA.” (1 Timotius 3:2, 11) Jika kita selalu makan dan minum secara berlebihan, kesihatan kita akan merosot dan dompet kita akan menipis. “Janganlah tergolong sebagai orang yang minum terlalu banyak wain, atau orang yang makan daging dengan gelojoh, kerana orang mabuk dan orang gelojoh akan jatuh miskin.”​—Amsal 23:20, 21.

JANGAN CEMARI TUBUH. “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.” (2 Korintus 7:1) Orang yang mengunyah tembakau, merokok, menyalahgunakan alkohol, atau mengambil dadah, akan mencemari tubuh. Contohnya, merokok “membawa penyakit dan merosakkan hampir setiap organ dalam badan,” kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S.

MENGHARGAI TUBUH DAN NYAWA. “Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana [Tuhan].” (Kisah 17:28) Oleh itu, kita tidak akan sengaja membahayakan diri semasa bekerja, memandu, atau berhibur. Tidak berbaloi menjadi cacat seumur hidup demi sesaat keseronokan!

KAWAL EMOSI YANG NEGATIF. Fikiran akan mempengaruhi tubuh badan. Maka elakkan daripada terlampau khuatir, marah, atau cemburu, dan jauhilah emosi negatif yang lain. Mazmur 37:8 menyatakan, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.” Matius 6:34 menasihati kita, “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.”

BERFOKUS KEPADA HAL YANG POSITIF. Amsal 14:30 menyatakan, “Hati yang tenang menyihatkan badan.” Bible juga kata, “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab.” (Amsal 17:22) Nasihat itu terbukti benar dalam bidang sains. Seorang doktor di Scotland berkata, “Jika kamu gembira, badan kamu akan lebih sihat berbanding orang yang tidak gembira.”

KUATKAN SEMANGAT. Seperti Ulf, kita mungkin terpaksa berdepan dengan kesusahan yang berlanjutan. Namun kita masih dapat mengawal sikap kita. Ada yang hilang semangat kerana terlalu tawar hati, dan reaksi itu mungkin memburukkan lagi keadaan. Amsal 24:10 menyatakan, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.”

Sesetengah orang pula bangkit semula walaupun berasa kecewa pada mulanya. Mereka mencari jalan untuk menangani masalah dan menyesuaikan diri. Itulah yang dilakukan Ulf. Dia kerap berdoa dan memikirkan mesej Bible yang positif, maka dia “mula melihat peluang dan bukannya halangan.” Seperti ramai orang yang pernah menanggung cubaan yang berat, Ulf telah belajar menunjukkan belas kasihan dan empati. Hal itu mendorongnya untuk memberitahu orang lain tentang mesej Bible yang melegakan hati.

Steve juga pernah hidup sengsara. Semasa berumur 15 tahun, sebuah kemalangan menyebabkannya lumpuh dari leher ke kaki. Kedua-dua lengannya beransur-ansur pulih sehingga dapat digunakan lagi semasa dia berusia 18 tahun. Setelah pergi ke universiti, dia mula mengambil dadah, menjadi kaki botol, dan hidup tidak bermoral. Dia tidak memiliki harapan, tetapi selepas belajar Bible, dia mula berpandangan positif dan dapat membuang tabiat buruknya. “Kekosongan yang telah saya rasai untuk begitu lama sudah tiada,” katanya. “Sekarang, hidup saya aman, bahagia, dan puas.”

Kata-kata Steve dan Ulf mengingatkan kita akan Mazmur 19:7, 8, “Hukum Yehuwa itu sempurna dan menyegarkan jiwa. . . . Peraturan Yehuwa itu adil dan menggembirakan hati; perintah Yehuwa itu murni dan memberikan pengertian.”