Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 38

Eratkan Hubungan Anda dengan Keluarga Rohani Anda

Eratkan Hubungan Anda dengan Keluarga Rohani Anda

“Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu.”​—YOH. 20:17.

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

PENGENALAN *

1. Kita boleh menganggap Yehuwa sebagai apa?

KELUARGA Yehuwa merangkumi Yesus, iaitu “anak sulung antara semua ciptaan,” dan jutaan malaikat. (Kol. 1:15; Mzm. 103:20) Semasa Yesus di bumi, dia menyatakan bahawa manusia yang setia juga boleh menganggap Yehuwa sebagai Bapa mereka. Dia memberitahu murid-muridnya bahawa Yehuwa ialah “Bapaku yang juga Bapa kamu.” (Yoh. 20:17) Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, kita menjadi sebahagian daripada sebuah keluarga rohani yang terdiri daripada saudara saudari kita.​—Mrk. 10:29, 30.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Sesetengah orang berasa susah untuk menganggap Yehuwa sebagai Bapa yang pengasih. Yang lain pula mungkin tidak mengetahui cara untuk menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yesus membantu kita untuk memandang Yehuwa sebagai Bapa yang pengasih, yang dapat kita hampiri. Kita juga akan membincangkan cara-cara untuk meniru kasih Yehuwa semasa melayan saudara saudari kita.

YEHUWA INGIN ANDA MENGHAMPIRI-NYA

3. Bagaimanakah doa yang diajarkan oleh Yesus membantu kita menghampiri Yehuwa?

3 Dalam pandangan Yesus, Yehuwa ialah Bapa yang mesra dan penyayang, bukannya pemerintah yang susah dihampiri. Yesus mahu kita mempunyai pandangan yang sama terhadap Yehuwa. Oleh itu, semasa mengajar murid-muridnya cara berdoa, Yesus memulakan doanya dengan berkata, “Bapa kami.” (Mat. 6:9) Sebenarnya, Yesus boleh mengajar kita untuk memanggil Yehuwa sebagai “Tuhan Yang Maha Kuasa,” “Pencipta,” atau “Raja yang kekal.” (Kej. 49:25; Yes. 40:28; 1 Tim. 1:17) Semua gelaran itu memang sesuai untuk Yehuwa dan terdapat dalam Bible. Namun, Yesus mengajar kita untuk memanggil Yehuwa sebagai “Bapa.”

4. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa ingin kita menghampiri-Nya?

4 Adakah anda berasa susah untuk memandang Yehuwa sebagai Bapa yang pengasih? Ada antara kita mungkin berasa begitu kerana tidak pernah merasai kasih sayang daripada seorang bapa semasa membesar. Namun, Yehuwa faham sepenuhnya perasaan kita, dan Dia ingin menghampiri kita. Bible menggalakkan kita, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yak. 4:8) Yehuwa amat mengasihi kita, dan Dia berjanji untuk menjadi Bapa yang terbaik untuk kita. Tidakkah hal ini melegakan kita?

5. Menurut Lukas 10:22, bagaimanakah Yesus membantu kita menghampiri Yehuwa?

5 Yesus dapat membantu kita menghampiri Yehuwa. Dia mengenali Yehuwa dengan begitu baik dan mencerminkan sifat-sifat-Nya dengan begitu sempurna, sehingga dia boleh berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yoh. 14:9) Jadi, Yesus adalah seperti abang sulung kita, yang mengajar kita cara untuk menghormati dan mentaati Bapa kita. Dia juga mengajar kita apa yang harus kita lakukan untuk menggembirakan Bapa kita dan tidak membuat-Nya sedih. Selain itu, kehidupan Yesus di bumi menonjolkan betapa besarnya kasih dan kebaikan hati Yehuwa. (Baca Lukas 10:22.) Mari kita perhatikan beberapa contoh.

Yehuwa mengasihi Anak-Nya dan mengutus satu malaikat untuk menguatkannya (Lihat perenggan 6) *

6. Bilakah Yehuwa mendengar doa Yesus? Berikan contoh.

6 Yehuwa mendengar doa anak-anak-Nya. Semasa Anak sulung-Nya Yesus berada di bumi, dia mengucapkan banyak doa, dan Yehuwa mendengar doanya. (Luk. 5:16) Yehuwa mendengar doa Yesus semasa Yesus perlu membuat keputusan penting, contohnya semasa memilih 12 orang rasulnya. (Luk. 6:12, 13) Yehuwa juga mendengar doa Yesus semasa Yesus sangat tertekan. Contohnya, sebelum Yesus dikhianati, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Bapanya tentang cubaan besar yang bakal dihadapinya. Yehuwa bukan sahaja mendengar doa Yesus, tetapi juga mengutus satu malaikat untuk menguatkan Anak kesayangan-Nya.​—Luk. 22:41-44.

7. Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa Yehuwa mendengar doa umat-Nya?

7 Dewasa ini, Yehuwa terus mendengar doa hamba-hamba-Nya, dan Dia menjawab doa mereka pada masa yang tepat dan dengan cara yang paling sesuai. (Mzm. 116:1, 2) Seorang saudari di India telah merasai sendiri bagaimana Yehuwa menjawab doanya. Dia menghadapi masalah emosi yang teruk, jadi dia berdoa dengan bersungguh-sungguh tentang masalahnya. Dia menulis, “Program Siaran JW bulan Mei 2019 telah menyebut cara untuk menangani kerisauan dan kekhuatiran. Itulah bantuan yang saya perlukan! Yehuwa telah menjawab doa saya.”

8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya terhadap Yesus?

8 Yehuwa mengasihi dan menjaga kita, sebagaimana Dia mengasihi dan menjaga Yesus sepanjang masa Yesus hidup di bumi. (Yoh. 5:20) Walaupun Yesus menghadapi pelbagai cabaran, Yehuwa sentiasa menjaga keperluan rohani, emosi, dan fizikalnya. Yehuwa juga tidak teragak-agak untuk memberitahu Yesus bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya. (Mat. 3:16, 17) Oleh sebab Yesus tahu bahawa Bapanya yang pengasih sentiasa di sisinya, dia tidak pernah berasa keseorangan.​—Yoh. 8:16.

9. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi kita?

9 Seperti Yesus, kita semua pernah merasai kasih Yehuwa dalam pelbagai cara. Misalnya, Yehuwa telah memimpin kita kepada-Nya dan memberi kita sebuah keluarga rohani yang penyayang dan bersatu. Keluarga rohani itu membuat kita bahagia dan menggalakkan kita semasa kita susah hati. (Yoh. 6:44) Yehuwa juga sentiasa memberi kita makanan rohani, dan Dia memastikan agar keperluan fizikal kita dijaga setiap hari. (Mat. 6:31, 32) Apabila kita memikirkan cara-cara Yehuwa menunjukkan kasih kepada kita, kita akan semakin mengasihi-Nya.

TIRULAH YEHUWA SEMASA MELAYAN KELUARGA ROHANI ANDA

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa melayan saudara saudari kita?

10 Yehuwa mengasihi saudara saudari kita. Namun, tidak selalunya mudah bagi kita untuk mengasihi mereka dan menunjukkan kasih itu, kerana kita berasal daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Tambahan lagi, kita semua akan berbuat silap dan membuat orang lain berasa geram dan kecewa. Meskipun begitu, kita masih dapat menguatkan ikatan kasih dalam keluarga rohani kita. Bagaimana? Kita perlu meniru kasih Bapa kita semasa melayan saudara saudari kita. (Ef. 5:1, 2; 1 Yoh. 4:19) Mari kita lihat beberapa cara untuk berbuat demikian.

11. Bagaimanakah Yesus meniru belas kasihan Yehuwa?

11 Yehuwa “berbelas kasihan.” (Luk. 1:78) Seseorang yang berbelas kasihan akan berasa susah hati semasa melihat orang lain menderita, dan dia akan mencari jalan untuk membantu dan melegakan mereka. Cara Yesus melayan orang menunjukkan bahawa dia meniru belas kasihan Yehuwa. (Yoh. 5:19) Pernah sekali, semasa dia melihat orang ramai, Yesus “berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Namun, belas kasihan Yesus bukan sekadar perasaan, tetapi juga melibatkan tindakan. Contohnya, dia menyembuhkan orang yang sakit dan menyegarkan orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.”​—Mat. 11:28-30; 14:14.

Tirulah teladan Yehuwa dengan menunjukkan belas kasihan dan kemurahan hati kepada saudara saudari anda (Lihat perenggan 12-14) *

12. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan? Berikan contoh.

12 Untuk menunjukkan belas kasihan kepada saudara saudari kita, pertama-tamanya kita perlu mengetahui cabaran yang dihadapi mereka. Sebagai contoh, seorang saudari mungkin mempunyai masalah kesihatan yang serius dan berasa susah untuk menjaga keperluan fizikal keluarganya. Walaupun dia tidak pernah mengadu tentang cabarannya, dia mungkin berasa gembira jika ada orang menghulurkan bantuan kepadanya. Jadi, kita boleh memberinya bantuan praktikal seperti membantunya memasak atau membersihkan rumah. Atau, katakan seorang saudara kehilangan kerja, kita boleh memberinya bantuan kewangan tanpa memberitahunya bahawa wang itu adalah daripada kita. Dengan itu, dia masih dapat menampung keperluan hidupnya sehingga dia mendapat pekerjaan baharu.

13-14. Bagaimanakah kita dapat meniru kemurahan hati Yehuwa?

13 Yehuwa murah hati. (Mat. 5:45) Oleh itu, kita pun ingin bermurah hati kepada saudara saudari kita. Namun, kita tidak ingin menunggu sehingga saudara saudari meminta bantuan, barulah kita bermurah hati kepada mereka. Sebaliknya, kita ingin meniru teladan Yehuwa, yang mengambil inisiatif untuk menunjukkan kemurahan hati. Dia membuat matahari terbit untuk kita setiap hari biarpun kita tidak meminta-Nya untuk berbuat demikian. Selain itu, sinaran matahari menampung kehidupan semua orang dan bukan sahaja untuk orang yang bersyukur kepada Tuhan. Ya, Yehuwa sentiasa menjaga keperluan kita, dan hal ini menunjukkan bahawa Dia mengasihi kita. Tidakkah kita mengasihi Yehuwa kerana Dia begitu baik hati dan murah hati?

14 Ramai saudara saudari kita meniru teladan Bapa kita yang di syurga dengan mengambil inisiatif untuk menunjukkan kemurahan hati. Contohnya, pada tahun 2013, Taufan Haiyan telah menyebabkan kerosakan yang besar di Filipina. Sebilangan saudara saudari telah kehilangan rumah dan harta mereka. Namun, keluarga rohani mereka di serata dunia telah menghulurkan bantuan. Ramai yang menderma wang atau membantu membaiki dan membina semula rumah yang terjejas akibat taufan. Hasilnya, dalam masa kurang daripada setahun, hampir 750 buah rumah telah dibaiki atau dibina semula! Sepanjang pandemik COVID-19 ini, para Saksi juga bekerja keras untuk membantu rakan seiman mereka. Ya, apabila kita menolong keluarga rohani kita tanpa berlengah-lengah, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka.

15-16. Menurut Kolose 3:13, apakah satu cara penting untuk meniru teladan Bapa kita?

15 Yehuwa sedia mengampuni. (Baca Kolose 3:13.) Dia mengampuni kita setiap hari. (Mzm. 103:10-14) Yesus juga rela mengampuni para pengikutnya yang tidak sempurna. Dia bahkan sanggup mengorbankan nyawanya supaya dosa kita dapat diampunkan. (1 Yoh. 2:1, 2) Memandangkan Yehuwa dan Yesus begitu sudi mengampuni kita, tidakkah hal ini membuat kita ingin menghampiri mereka?

16 Kita menguatkan ikatan kasih dalam keluarga rohani kita jika kita ‘mengampuni dengan rela hati.’ (Ef. 4:32) Ada kalanya, hal ini sangat mencabar, jadi kita perlu berusaha untuk melakukannya. Seorang saudari menyatakan bahawa rencana Menara Pengawal yang bertajuk “Hendaklah Kamu Saling Mengampuni” telah membantunya agar lebih sudi memaafkan orang lain. * Dia menulis, “Rencana ini membantu saya faham manfaat yang saya raih apabila saya memaafkan orang lain. Saya belajar bahawa sudi mengampuni tidak bermaksud saya setuju dengan perbuatan salah orang lain atau tutup sebelah mata terhadap masalah yang timbul. Sebaliknya, sudi mengampuni bermaksud tidak menyimpan dendam dan memelihara hati yang tenang.” Apabila kita mengampuni rakan seiman kita dengan rela hati, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka dan meniru teladan Bapa kita, Yehuwa.

HARGAI PERANAN ANDA DALAM KELUARGA YEHUWA

Tidak kira tua atau muda, para Saksi menunjukkan kasih dan keprihatinan kepada rakan seiman mereka (Lihat perenggan 17) *

17. Menurut Matius 5:16, bagaimanakah kita dapat membawa kemuliaan kepada Bapa kita yang di syurga?

17 Kita amat bersyukur kerana dapat menyertai keluarga antarabangsa yang pengasih ini. Kita juga ingin seberapa banyak orang yang mungkin untuk menyembah Tuhan bersama kita. Oleh itu, kita tidak ingin melakukan apa-apa yang mungkin membuat orang lain ada tanggapan buruk tentang Yehuwa atau umat-Nya. Sebaliknya, kita berusaha untuk berkelakuan baik supaya orang lain ingin belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya.​—Baca Matius 5:16.

18. Apakah yang dapat membantu kita memberikan kesaksian dengan berani?

18 Kadang-kadang, orang lain mungkin mengejek atau menganiaya kita kerana kita mentaati Bapa kita yang di syurga. Kita juga mungkin berasa gementar semasa memberitahu orang lain tentang kepercayaan kita. Apakah yang dapat kita lakukan ketika itu? Kita perlu bergantung pada bantuan Yehuwa dan Anak-Nya. Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa mereka tidak perlu risau tentang apa yang perlu dikatakan. Mengapa? Yesus menjelaskan, “Pada masa itu, kamu akan tahu apa yang harus kamu katakan, kerana yang berkata-kata itu bukan kamu, tetapi kuasa suci Bapa kamu yang berucap melalui kamu.”​—Mat. 10:19, 20.

19. Berikan contoh tentang seseorang yang memberikan kesaksian dengan berani.

19 Perhatikan pengalaman Robert. Semasa dia baru belajar Bible dan hanya mempunyai sedikit pengetahuan Bible, dia dihadapkan ke mahkamah tentera di Afrika Selatan. Dengan berani, dia menjelaskan kepada hakim bahawa dia ingin tetap neutral kerana dia mengasihi keluarga Kristiannya. Kata-kata Robert menunjukkan bahawa dia menghargai peranannya dalam keluarga rohani kita! Namun, hakim tiba-tiba bertanya, “Siapa keluarga Kristian kamu?” Robert tidak sangka hakim akan tanya soalan itu, tetapi dia segera teringat ayat harian untuk hari itu, yang diambil dari Matius 12:50: “Sesiapa yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.” Biarpun Robert baru mula belajar Bible, kuasa suci Yehuwa telah membantunya menjawab soalan itu dan beberapa soalan lain yang tidak dijangkakan. Yehuwa tentu sangat bangga dengan Robert! Apabila kita bergantung pada Yehuwa untuk memberikan kesaksian di bawah situasi yang mencabar, Yehuwa pasti berasa bangga dengan kita juga.

20. Apakah seharusnya tekad kita? (Yohanes 17:11, 15)

20 Semoga kita terus menghargai penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga rohani yang penyayang ini. Kita mempunyai Bapa yang terbaik dan saudara saudari yang pengasih. Oleh itu, kita sama sekali tidak ingin memandang remeh berkat-berkat ini. Syaitan dan konco-konconya cuba membuat kita meragui kasih Yehuwa dan merosakkan perpaduan kita. Namun, Yesus sudah berdoa agar Bapa kita menjaga kita dan memastikan keluarga kita tetap bersatu. (Baca Yohanes 17:11, 15.) Yehuwa sudah menjawab doa Yesus. Maka, seperti Yesus, semoga kita yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa mengasihi kita dan pasti membantu kita. Marilah kita bertekad untuk mengeratkan hubungan kita dengan keluarga rohani kita!

LAGU 99 Berjuta-juta Saudara

^ per. 5 Kita amat berbesar hati kerana dapat menganggotai sebuah keluarga rohani yang penyayang. Bagaimanakah kita dapat menguatkan ikatan kasih antara kita dengan saudara saudari kita? Kita perlu meniru cara Yehuwa menunjukkan kasih dan belajar daripada teladan Yesus dan teladan saudara saudari lain.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Yehuwa mengutus satu malaikat untuk menguatkan Yesus di Taman Getsemani.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Semasa pandemik COVID-19, ramai saudara saudari bekerja keras untuk mengumpulkan dan membahagikan makanan.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Seorang ibu membantu anak perempuannya yang ingin mengirim surat untuk menggalakkan seorang saudara di penjara.