Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 42

LAGU 103 Gembala—Kurniaan Tuhan

Tunjukkanlah Penghargaan untuk “Kurnia Berupa Manusia”

Tunjukkanlah Penghargaan untuk “Kurnia Berupa Manusia”

“Ketika dia naik ke tempat yang tinggi, dia . . . memberikan kurnia berupa manusia.”​—EF. 4:8.

FOKUS

Bagaimana pembantu sidang, para penatua, dan penyelia litar membantu kita, dan bagaimana kita dapat menunjukkan penghargaan atas kerja keras mereka.

1. Apakah sesetengah kurniaan yang diberikan oleh Yesus kepada kita?

 TIADA manusia yang lebih murah hati daripada Yesus. Semasa di bumi, dia sering melakukan mukjizat untuk membantu orang lain. (Luk. 9:​12-17) Namun, kurniaan Yesus yang terbesar ialah nyawa yang dikorbankannya bagi kita. (Yoh. 15:13) Selepas dibangkitkan, Yesus terus bersikap murah hati. Seperti yang dijanjikannya, dia telah meminta Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya untuk mengajar dan melegakan hati kita. (Yoh. 14:​16, 17, nota kaki; 16:13) Selain itu, Yesus melengkapi kita melalui perjumpaan untuk membantu orang di serata dunia menjadi muridnya.​—Mat. 28:​18-20.

2. Siapakah “kurnia berupa manusia” yang disebut di Efesus 4:​7, 8?

2 Perhatikan satu lagi kurniaan Yesus. Rasul Paulus menulis bahawa selepas Yesus naik ke syurga, “dia [Yesus] memberikan kurnia berupa manusia” kepada kita. (Baca Efesus 4:​7, 8.) Paulus menjelaskan bahawa Yesus memberikan kurniaan ini supaya dapat membantu sidang dalam pelbagai cara. (Ef. 1:​22, 23; 4:​11-13) Hari ini, “kurnia berupa manusia” yang diberikan oleh Yesus merangkumi pembantu sidang, para penatua, dan penyelia litar. a Memandangkan mereka semua tidak sempurna, mereka akan berbuat silap. (Yak. 3:2) Namun, mereka merupakan kurniaan daripada Tuan Yesus Kristus, yang diberikan untuk membantu kita.

3. Bagaimanakah kita dapat menyokong kerja yang dilakukan oleh “kurnia berupa manusia?” Berikan contoh.

3 Yesus memberi “kurnia berupa manusia” tanggungjawab untuk menguatkan sidang. (Ef. 4:12) Namun, kita semua dapat menyokong mereka yang memikul tanggungjawab ini. Fikirkan contoh ini: Semasa membina Dewan Perjumpaan, hanya sebilangan saudara saudari yang terlibat dalam kerja pembinaan. Saudara saudari lain pula menyokong mereka dengan menyediakan makanan, pengangkutan, dan perkhidmatan lain. Begitu juga, kita semua dapat menyokong kerja yang dilakukan oleh pembantu sidang, para penatua, dan penyelia litar melalui apa yang kita katakan dan lakukan. Sekarang, mari kita lihat manfaat yang kita raih daripada kerja keras mereka dan bagaimana kita dapat menunjukkan penghargaan kepada mereka dan Yesus.

PEMBANTU SIDANG “BERKHIDMAT KEPADA ORANG LAIN”

4. Bagaimanakah pembantu sidang “berkhidmat kepada orang lain” pada abad pertama?

4 Pada abad pertama, sesetengah saudara dilantik sebagai pembantu sidang. (1 Tim. 3:8) Merekalah yang mungkin disebut oleh Paulus sebagai saudara-saudara yang “berkhidmat kepada orang lain.” (1 Kor. 12:28) Nampaknya, pembantu sidang melakukan banyak kerja yang penting dan praktikal agar para penatua dapat bertumpu kepada kerja mengajar dan menggembala sidang. Sebagai contoh, pembantu sidang mungkin membantu menyalin Ayat-Ayat Suci atau membeli bahan yang diperlukan untuk membuat salinan Ayat-Ayat Suci.

5. Bagaimanakah pembantu sidang “berkhidmat kepada orang lain” hari ini?

5 Perhatikan sesetengah kerja baik yang dilakukan oleh pembantu sidang hari ini. (1 Ptr. 4:10) Mereka mungkin menjaga akaun atau kawasan penyebaran sidang, memesan bahan bacaan dan mengedarkannya kepada para penyiar, mengendalikan peralatan audio video, menjadi atendan, atau membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Semua kerja ini penting agar aturan sidang dapat berjalan dengan baik. (1 Kor. 14:40) Selain itu, sesetengah pembantu sidang mengendalikan bahagian semasa Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan memberikan ceramah umum. Pembantu sidang juga boleh dilantik untuk membantu penyelia kumpulan. Kadangkala, pembantu sidang yang layak akan dijemput untuk menemani penatua semasa kunjungan penggembalaan.

6. Apakah manfaat yang diraih oleh sidang kerana kerja keras pembantu sidang?

6 Apakah manfaat yang diraih oleh sidang kerana kerja keras pembantu sidang? Beberly, b seorang saudari dari Bolivia, berkata, “Oleh sebab pembantu sidang bekerja keras, saya dapat menikmati perjumpaan dengan sepenuhnya. Saya dapat bernyanyi, memberikan komen, mendengar ceramah, dan belajar daripada video dan gambar. Mereka juga menjaga keselamatan sidang dan orang yang mengikut perjumpaan melalui persidangan video. Selepas perjumpaan, mereka mengaturkan kerja pembersihan, menjaga akaun, dan memastikan kita ada bahan bacaan yang diperlukan. Saya sangat berterima kasih kepada mereka!” Leslie, seorang saudari dari Colombia yang suaminya seorang penatua, berkata, “Suami saya sangat memerlukan bantuan pembantu sidang. Tanpa mereka, suami saya akan jauh lebih sibuk. Jadi saya sangat bersyukur kerana mereka rajin dan sudi membantu.” Anda tentu mempunyai perasaan yang sama, bukan?​—1 Tim. 3:13.

7. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada pembantu sidang? (Lihat juga gambar.)

7 Kita bukan sahaja mahu berasa syukur atas kerja pembantu sidang, tetapi juga mahu ‘menunjukkan kesyukuran kita.’ (Kol. 3:15) Perhatikan cara Krzysztof, seorang penatua di Finland, menunjukkan penghargaannya. Dia berkata, “Saya menghantar poskad atau mesej yang mengandungi ayat Bible. Saya juga menyebut secara spesifik bagaimana mereka telah menggalakkan saya atau mengapa saya menghargai kerja keras mereka.” Pascal dan Jael, yang tinggal di New Caledonia, berdoa secara spesifik bagi pembantu sidang. Pascal menjelaskan, “Belakangan ini, kami sering berdoa bagi pembantu sidang. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana mengurniakan mereka kepada sidang. Kami juga memohon agar Yehuwa sentiasa menyertai mereka.” Yehuwa mendengar doa sedemikian dan seluruh sidang meraih manfaat.​—2 Kor. 1:11.

PENATUA “BEKERJA KERAS DALAM KALANGAN KAMU”

8. Mengapakah Paulus dapat berkata bahawa para penatua pada abad pertama “bekerja keras”? (1 Tesalonika 5:​12, 13)

8 Para penatua pada abad pertama bekerja keras dalam sidang. (Baca 1 Tesalonika 5:​12, 13; 1 Tim. 5:17) Mereka “mengambil pimpinan” dengan mengendalikan perjumpaan dan membuat keputusan yang penting dalam sidang. Mereka juga “menasihati” saudara saudari mereka dalam cara yang pengasih agar sidang tetap teguh. (1 Tes. 2:​11, 12; 2 Tim. 4:2) Selain itu, mereka bekerja keras untuk menjaga keperluan keluarga mereka dan memastikan kerohanian diri sendiri tetap kuat.​—1 Tim. 3:​2, 4; Tit. 1:​6-9.

9. Apakah sesetengah tanggungjawab yang dipikul oleh para penatua hari ini?

9 Para penatua hari ini memikul banyak tanggungjawab. Sebagai penginjil, mereka memberikan kesaksian dengan bersemangat, mengaturkan kerja penyebaran bagi sidang, dan melatih kita untuk menginjil dan mengajar dengan mahir. (2 Tim. 4:5) Apabila seseorang melakukan dosa yang serius, mereka juga menjadi hakim yang adil dan berbelas kasihan. Selain membantu pendosa berbaik semula dengan Tuhan, mereka memastikan sidang tetap bersih secara moral. (1 Kor. 5:​12, 13; Gal. 6:1) Namun, semua penatua ialah gembala. (1 Ptr. 5:​1-3) Itulah tanggungjawab utama mereka. Mereka menyediakan dan menyampaikan ceramah Bible, berusaha mengenali semua orang dalam sidang, dan membuat kunjungan penggembalaan. Sesetengah penatua juga membantu membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan, mengaturkan konvensyen, melakukan kerja dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital dan Kumpulan Melawat Pesakit, dan banyak lagi. Sememangnya, para penatua bekerja keras bagi kita!

10. Mengapakah kita menghargai para penatua?

10 Yehuwa menubuatkan bahawa akan ada gembala yang menjaga kita dengan baik sehingga kita “tidak akan takut atau gentar lagi.” (Yer. 23:4) Perhatikan pengalaman Johanna, seorang saudari di Finland, semasa ibunya sakit tenat. Johanna berkata, “Walaupun saya berasa susah untuk meluahkan perasaan saya kepada orang lain, seorang penatua yang tidak saya berapa kenal mendengar keluhan saya dengan sabar, berdoa bersama saya, dan meyakinkan saya bahawa Yehuwa mengasihi saya. Saya tidak begitu ingat apa yang dikatakannya, tapi saya ingat masa itu saya rasa selamat. Saya percaya Yehuwa telah mengutusnya pada masa yang tepat.” Pernahkah anda menerima bantuan daripada penatua di sidang anda?

11. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada para penatua? (Lihat juga gambar.)

11 Yehuwa mahu kita menunjukkan penghargaan kepada para penatua “kerana kerja yang dilakukan oleh mereka.” (1 Tes. 5:​12, 13) Henrietta, yang juga tinggal di Finland, berkata, “Penatua memang rela membantu orang lain. Namun ini tidak bermaksud mereka ada banyak masa dan tenaga atau tiada masalah dalam hidup. Jadi ada kalanya, saya berkata kepada mereka, ‘Saya mahu beritahu kamu, kamu penatua yang sangat baik.’” Sera, seorang saudari dari Türkiye, c berkata, “Para penatua pun perlu ‘isi minyak’ supaya dapat terus berkhidmat. Jadi kita boleh tulis kad untuk mereka, jemput mereka makan, atau keluar menginjil bersama mereka.” Adakah anda sangat menghargai kerja keras penatua tertentu? Fikirkanlah bagaimana anda dapat menunjukkan penghargaan kepadanya.​—1 Kor. 16:18.

Anda dapat tolong “isi minyak” para penatua supaya mereka dapat terus berkhidmat (Lihat perenggan 7, 11, 15)


PENYELIA LITAR MENGUATKAN KITA

12. Selain memberikan pembantu sidang dan penatua, siapa lagi yang Yesus berikan untuk menguatkan sidang? (1 Tesalonika 2:​7, 8)

12 Selain memberikan pembantu sidang dan penatua sebagai “kurnia berupa manusia,” Yesus juga memberikan para penyelia lawatan untuk menguatkan sidang. (Kis. 15:​40, 41) Pada abad pertama, di bawah arahannya, para penatua di Yerusalem mengutus Paulus, Barnabas, dan saudara-saudara lain untuk melakukan kerja lawatan. (Kis. 11:22) Para penyelia lawatan ini membuat banyak pengorbanan dan bahkan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk mengajar dan menggalakkan orang lain.​—Baca 1 Tesalonika 2:​7, 8.

13. Apakah sesetengah tanggungjawab penyelia litar?

13 Penyelia litar perlu mengunjungi banyak sidang. Ada antara mereka yang perlu membuat perjalanan jauh ke sidang seterusnya. Setiap minggu, penyelia litar perlu memberikan beberapa ceramah, membuat beberapa kunjungan penggembalaan, mengadakan perjumpaan perintis di sidang, mengadakan mesyuarat penatua, dan mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Mereka juga perlu mengaturkan perhimpunan dan konvensyen, serta menyediakan ceramah untuk acara-acara ini. Selain itu, mereka perlu mengajar di sekolah perintis dan mengaturkan perjumpaan perintis semasa perhimpunan litar. Ada kalanya, mereka diberi tugasan tambahan daripada pejabat cawangan, dan sesetengah tugasan itu perlu ditangani dengan segera.

14. Mengapakah kita menghargai kerja keras penyelia litar?

14 Apakah berkat yang diraih sidang kerana kerja keras penyelia litar? Seorang saudara di Türkiye berkata, “Setiap kali mereka datang, saya terdorong untuk meluangkan lebih banyak masa untuk membantu saudara saudari. Saya kenal banyak penyelia litar, tapi tiada seorang pun daripada mereka yang membuat saya rasa mereka terlalu sibuk atau susah didekati.” Pernah sekali, Johanna, yang disebut tadi, menginjil bersama seorang penyelia litar tetapi tiada orang di rumah. Namun dia berkata, “Apa yang berlaku pada hari itu terpahat di hati saya. Dua orang kakak saya baru berpindah ke tempat lain, dan saya sangat rindu mereka. Penyelia litar itu menggalakkan saya dan membantu saya faham bahawa biarpun sekarang kita terpaksa berjauhan dengan sahabat dan keluarga, di dunia baru nanti, kita dapat bersama mereka buat selama-lamanya.” Ramai antara kita juga pernah ada pengalaman manis bersama penyelia litar.​—Kis. 20:37–21:1.

15. (a) Menurut 3 Yohanes 5-8, bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan kepada penyelia litar? (Lihat juga gambar.) (b) Mengapakah kita patut bertimbang rasa terhadap isteri saudara-saudara terlantik, dan bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? (Lihat kotak “ Ingatlah Isteri Mereka.”)

15 Rasul Yohanes menggalakkan Gayus untuk bermurah hati kepada penyelia lawatan dan ‘membantu mereka dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan semasa mereka beredar.’ (Baca 3 Yohanes 5-8.) Satu cara kita dapat berbuat demikian adalah dengan menjemput penyelia litar makan bersama. Kita juga boleh menyokong aturan kerja penyebaran semasa kunjungan mereka. Perhatikan cara lain kita dapat menunjukkan penghargaan. Leslie, yang disebut tadi, berkata, “Saya berdoa agar Yehuwa menjaga keperluan mereka. Saya dan suami saya juga menulis surat untuk memberitahu mereka bagaimana kunjungan mereka telah membantu kami.” Ingatlah, penyelia litar pun manusia biasa, jadi mereka ada kalanya akan jatuh sakit, berasa khuatir, dan bahkan menjadi tawar hati. Jadi janganlah teragak-agak untuk mengucapkan kata-kata galakan atau bermurah hati kepada penyelia litar anda. Barangkali, apa yang anda lakukan akan menjadi jawapan kepada doanya!​—Ams. 12:25.

KITA MEMERLUKAN “KURNIA BERUPA MANUSIA”

16. Menurut Amsal 3:​27, apakah soalan-soalan yang dapat difikirkan oleh para saudara terbaptis?

16 Kita memerlukan lebih banyak saudara di serata dunia untuk menjadi “kurnia berupa manusia.” Jika anda seorang saudara terbaptis, adakah anda berupaya memberikan bantuan? (Baca Amsal 3:27.) Sudikah anda memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang? Dapatkah anda berusaha menjadi penatua supaya dapat menjaga saudara saudari anda? d Adakah anda dapat membuat perubahan dalam hidup supaya layak memohon untuk menyertai Sekolah Latihan Penginjil? Sekolah itu akan melengkapi anda untuk melakukan lebih banyak kerja bagi Yesus. Jika anda rasa anda tidak mampu melakukan hal-hal ini, berdoalah dan mintalah bantuan kuasa suci Yehuwa supaya anda dapat menjayakan apa sahaja tugasan yang diberikan kepada anda.​—Luk. 11:13; Kis. 20:28.

17. “Kurnia berupa manusia” membuktikan apa tentang Raja kita, Yesus Kristus?

17 Saudara-saudara yang Yesus lantik sebagai “kurnia berupa manusia” merupakan bukti bahawa dia sedang memimpin kita sepanjang hari-hari terakhir. (Mat. 28:20) Kita sangat bersyukur kerana ada Raja yang sangat pengasih, murah hati, prihatin, dan yang melantik saudara-saudara untuk menjaga keperluan kita. Maka carilah peluang untuk menunjukkan penghargaan terhadap para saudara ini. Selain itu, janganlah lupa untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa, kerana Dia ialah Sumber “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.”​—Yak. 1:17.

LAGU 99 Berjuta-juta Saudara

a Para penatua yang berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan, pembantu kepada Badan Pimpinan, ahli Jawatankuasa Cawangan, dan yang menjalankan tugas-tugas lain, juga merupakan “kurnia berupa manusia.”

b Sesetengah nama telah diubah.

c Dahulunya dipanggil Turki.

d Untuk maklumat lanjut tentang cara melayakkan diri sebagai pembantu sidang atau penatua, lihat rencana “Para Saudara—Adakah Anda Berusaha untuk Menjadi Pembantu Sidang?” dan “Para Saudara—Adakah Anda Berusaha untuk Menjadi Penatua?” dalam Menara Pengawal terbitan November 2024.