RENCANA PEMBELAJARAN 34
LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan
Para Penatua Menunjukkan Kasih dan Belas Kasihan kepada Pendosa
“Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat.”—RM. 2:4.
FOKUS
Bagaimana para penatua cuba membantu mereka yang melakukan dosa yang serius.
1. Menurut ayat tema kita, adakah orang yang melakukan dosa yang serius dapat dibantu?
DALAM rencana yang sebelumnya, kita telah membincangkan bagaimana Rasul Paulus menangani kes salah laku di Korintus. Pendosa yang enggan bertaubat itu perlu dikeluarkan daripada sidang. Namun seperti ayat tema kita, sesetengah orang yang melakukan dosa yang serius dapat dipimpin untuk bertaubat. (Rm. 2:4) Bagaimanakah para penatua dapat membantu mereka?
2-3. Apakah yang patut kita lakukan jika kita mendapat tahu bahawa seorang rakan seiman telah melakukan dosa serius? Mengapa?
2 Agar para penatua dapat memberikan bantuan, mereka perlu dimaklumkan jika ada orang di sidang melakukan dosa yang serius. Oleh itu, sekiranya kita mendapat tahu bahawa seorang rakan seiman telah melakukan dosa serius yang mungkin menyebabkannya dikeluarkan daripada sidang, kita patut menggalakkannya untuk meminta bantuan penatua.—Yes. 1:18; Kis. 20:28; 1 Ptr. 5:2.
3 Namun, bagaimana pula jika orang itu enggan meminta bantuan penatua? Kitalah yang akan memberitahu penatua apa yang dilakukannya supaya mereka dapat membantunya. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi rakan seiman kita. Jika dia tidak berubah, dia akan merosakkan nama baik sidang dan hubungannya dengan Yehuwa akan menjadi lebih teruk. Jadi kita akan bertindak dengan berani kerana kita mengasihi Yehuwa dan rakan seiman yang berdosa itu.—Mzm. 27:14.
BAGAIMANA PARA PENATUA MEMBANTU MEREKA YANG MELAKUKAN DOSA YANG SERIUS
4. Apakah matlamat para penatua semasa berjumpa dengan orang yang melakukan dosa yang serius?
4 Semasa seseorang melakukan dosa yang serius, badan penatua akan memilih tiga orang penatua untuk membentuk sebuah jawatankuasa untuk berjumpa dengannya. a Saudara-saudara ini perlu rendah hati dan tahu keterbatasan sendiri. Biarpun mereka cuba membantu orang yang berdosa untuk bertaubat, mereka sedar bahawa mereka tidak boleh memaksa seseorang untuk berubah. (Ul. 30:19) Mereka juga sedar bahawa bukan semua pendosa akan bertaubat seperti Raja Daud. (2 Sam. 12:13) Sesetengah pendosa mungkin memilih untuk tidak mendengar nasihat Yehuwa. (Kej. 4:6-8) Namun, matlamat para penatua semasa berjumpa dengan orang yang melakukan dosa yang serius adalah untuk membantunya bertaubat. Apakah prinsip Bible yang dapat membimbing para penatua?
5. Apakah nasihat Bible yang dapat membimbing para penatua? (2 Timotius 2:24-26) (Lihat juga gambar.)
5 Para penatua menganggap pendosa sebagai biri-biri yang sesat, yang berharga di mata Yehuwa. (Luk. 15:4, 6) Oleh itu, semasa mereka berjumpa dengannya, mereka tidak akan melayannya dengan buruk atau kasar. Mereka tidak akan berfikir bahawa pertemuan itu ialah sesi soal siasat untuk mendapatkan maklumat. Sebaliknya, mereka akan menunjukkan sifat-sifat yang dinyatakan di 2 Timotius 2:24-26. (Baca.) Untuk mencapai hati pendosa, para penatua akan bersikap lemah lembut dan baik hati.
6. Bagaimanakah para penatua dapat mempersiapkan hati mereka sebelum berjumpa dengan si pendosa? (Roma 2:4)
6 Para penatua mempersiapkan hati mereka. Semasa cuba membantu si pendosa, mereka akan sentiasa berusaha meniru teladan Yehuwa. Mereka akan ingat kata-kata Paulus, “Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat.” (Baca Roma 2:4.) Para penatua perlu ingat bahawa mereka ialah gembala yang berkhidmat di bawah pimpinan Kristus. (Yes. 11:3, 4; Mat. 18:18-20) Sebelum berjumpa dengan si pendosa, jawatankuasa penatua akan berdoa supaya dapat membantunya bertaubat. Mereka akan mengkaji Bible dan bahan bacaan kita untuk mengetahui fikiran Yehuwa dan berdoa meminta kebijaksanaan. Mereka juga akan mempertimbangkan faktor-faktor yang mungkin menyebabkan si pendosa memiliki fikiran, sikap, dan kelakuan yang salah.—Ams. 20:5.
7-8. Bagaimanakah para penatua dapat meniru kesabaran Yehuwa semasa berjumpa dengan pendosa?
7 Para penatua meniru kesabaran Yehuwa. Mereka akan ingat bagaimana Yehuwa bersabar terhadap pendosa pada masa lalu. Sebagai contoh, Yehuwa menasihati Kain dengan sabar. Dia memberitahu Kain apa akibatnya jika dia menyerah kepada dosa dan apa berkatnya jika dia sudi berubah. (Kej. 4:6, 7) Yehuwa juga menyuruh Nabi Natan untuk menasihati Daud, dan Natan telah memberitahu Daud sebuah cerita yang mendorongnya untuk bertaubat. (2 Sam. 12:1-7) Selain itu, Yehuwa “selalu mengutus” nabi-Nya untuk menasihati bangsa Israel yang sering memberontak, dan Dia berbuat demikian “tanpa henti.” (Yer. 7:24, 25) Perhatikan bahawa Yehuwa menghulurkan bantuan bahkan sebelum umat-Nya bertaubat. Dia mengambil inisiatif untuk menggesa mereka agar bertaubat.
8 Para penatua meniru teladan Yehuwa semasa mereka berjumpa dengan pendosa. Seperti yang disebut di 2 Timotius 4:2, mereka akan menasihatinya “dengan penuh kesabaran.” Nota pembelajaran bagi ayat itu menyatakan bahawa semasa membantu seorang pendosa, “seorang penatua akan sentiasa bertenang dan bersikap sabar supaya pendosa itu memiliki keinginan untuk melakukan apa yang benar. Jika [penatua itu] menunjukkan tanda geram atau marah, [pendosa itu] mungkin tidak mahu mendengar nasihatnya atau bahkan enggan bertaubat.”
9-10. Bagaimanakah para penatua dapat membantu si pendosa untuk memikirkan apa yang melemahkan hubungannya dengan Yehuwa sehingga membuatnya berdosa?
9 Para penatua cuba menentukan apa yang telah membuat pendosa itu melakukan dosa. Sebagai contoh, adakah dia beransur-ansur menjadi lemah secara rohani kerana mengabaikan pembelajaran peribadi atau tidak keluar menginjil? Adakah dia jarang berdoa kepada Yehuwa, atau adakah doanya tidak lagi ikhlas? Adakah dia tidak melawan keinginannya yang salah? Adakah dia memilih hiburan atau pergaulan yang buruk? Bagaimanakah pilihannya dalam hal-hal ini telah mempengaruhi hatinya? Adakah dia sedar bahawa pilihan dan perbuatannya telah membuat Yehuwa sedih?
10 Dengan menanyakan soalan-soalan ini, para penatua dapat membantu si pendosa untuk memikirkan apa yang melemahkan hubungannya dengan Yehuwa sehingga membuatnya berdosa. Namun mereka tidak akan menanyakan butiran peribadi yang tidak diperlukan. (Ams. 20:5) Selain itu, seperti yang dilakukan oleh Nabi Natan, mereka mungkin menggunakan contoh atau perumpamaan untuk membantunya sedar betapa berat dosa yang dilakukannya. Barangkali, semasa kali pertama para penatua berjumpa dengan pendosa itu, dia akan mula menyesali haluan buruknya dan bahkan bertaubat.
11. Bagaimanakah Yesus melayan pendosa?
11 Para penatua berusaha meniru teladan Yesus. Semasa berjumpa dengan Saulus dari Tarsus, Yesus menanyanya soalan berikut: “Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?” Dengan itu, Yesus telah bantu Saulus sedar bahawa perbuatannya itu salah. (Kis. 9:3-6) Mengenai “Izebel” b pula, Yesus kata, “Aku memberi dia masa untuk bertaubat.”—Why. 2:20, 21.
12-13. Bagaimanakah para penatua memberi seorang pendosa masa untuk bertaubat? (Lihat juga gambar.)
12 Seperti Yesus, para penatua tidak akan terburu-buru menyimpulkan bahawa seorang pendosa tidak mungkin bertaubat. Ada pendosa yang bertaubat pada kali pertama jawatankuasa penatua berjumpa dengan mereka, manakala yang lain memerlukan lebih banyak masa. Maka para penatua mungkin mengaturkan untuk bertemu dengan seorang pendosa lebih daripada sekali. Barangkali, selepas pertemuan yang pertama, pendosa itu akan memikirkan nasihat yang diberikan jawatankuasa penatua, lalu berdoa kepada Yehuwa dengan rendah hati untuk memohon maaf. (Mzm. 32:5; 38:18) Semasa pertemuan yang kedua, sikapnya mungkin sudah berubah.
13 Agar dapat membantu seorang pendosa untuk bertaubat, para penatua berusaha menunjukkan empati dan kebaikan hati. Mereka berdoa agar Yehuwa memberkati usaha mereka, dan berharap agar pendosa itu sedar dan bertaubat.—2 Tim. 2:25, 26.
14. Siapakah yang harus dipuji semasa seorang pendosa bertaubat, dan mengapa?
14 Semasa seorang pendosa bertaubat, kita bersukacita! (Luk. 15:7, 10) Siapakah yang harus dipuji? Rasul Paulus menulis, “Barangkali Tuhan akan mengizinkan orang sebegini untuk bertaubat.” (2 Tim. 2:25) Nota pembelajaran bagi ayat ini menyatakan, “Memandangkan Yehuwalah yang membantu seorang pendosa untuk mengubah sikap dan pemikirannya, Dialah yang harus dipuji, bukannya manusia. Paulus memberitahu kita hasilnya apabila seorang pendosa bertaubat. Pendosa itu mendapat pengetahuan yang lebih tepat tentang kebenaran, sedar bahawa perbuatannya salah, dan dapat melepaskan diri daripada perangkap Syaitan.—2Ti 2:26.”
15. Bagaimanakah para penatua dapat terus membantu pendosa yang bertaubat?
15 Jika seorang pendosa bertaubat, para penatua akan terus mengunjunginya supaya dia dapat dibantu untuk melawan jerat Syaitan dan meluruskan jalan hidupnya. (Ibr. 12:12, 13) Sudah tentu, para penatua tidak akan memberitahu orang lain apa yang telah dilakukannya. Namun, mereka perlu memberitahu sidang sesetengah hal. Apakah hal itu?
“DITEGUR DI HADAPAN UMUM”
16. Menurut 1 Timotius 5:20, apakah yang dimaksudkan oleh Paulus semasa dia menulis bahawa seorang pendosa perlu “ditegur di hadapan umum”?
16 Baca 1 Timotius 5:20. Paulus memberitahu Timotius bahawa “orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa” harus “ditegur di hadapan umum.” Adakah Paulus bermaksud pengumuman perlu dibuat kepada seluruh sidang tentang hal itu? Tidak semestinya. Sebaliknya, Paulus memaksudkan orang yang sudah tahu tentang dosa orang itu. Mereka mungkin menyaksikan perbuatannya dengan mata sendiri atau mendengar pengakuannya. Dalam keadaan sebegini, para penatua akan berjumpa dengan mereka secara peribadi dan memberitahu mereka bahawa kes itu sudah ditangani dan pendosa itu sudah ditegur.
17. Jika dosa seseorang sudah atau akan diketahui banyak orang dalam sidang, apakah pengumuman yang perlu dibuat? Mengapa?
17 Dalam sesetengah situasi, perbuatan salah itu mungkin sudah atau akan diketahui banyak orang dalam sidang. Jika begitu, seorang penatua akan mengumumkan kepada seluruh sidang bahawa pendosa itu sudah ditegur. Apabila seorang pendosa “ditegur di hadapan umum” dalam cara sebegini, hal itu akan menjadi “amaran kepada orang lain” supaya tidak jatuh ke dalam dosa.
18. Bagaimanakah para penatua akan menangani kes salah laku yang melibatkan penyiar terbaptis yang di bawah umur? (Lihat juga gambar.)
18 Bagaimana pula dengan kes salah laku yang melibatkan penyiar terbaptis yang di bawah umur 18 tahun? Badan penatua akan mengaturkan dua orang penatua untuk berjumpa dengan anak itu bersama ibu bapanya yang merupakan Saksi. c Tujuan dua orang penatua itu adalah untuk mengetahui langkah-langkah yang telah diambil oleh ibu bapa untuk membantu anak itu bertaubat. Jika anak itu mempunyai sikap yang baik dan sudi mengikut nasihat ibu bapanya, dua orang penatua itu mungkin memutuskan bahawa anak itu dan ibu bapanya tidak perlu bertemu dengan jawatankuasa penatua. Hal ini demikian kerana Tuhan telah memberi ibu bapa tanggungjawab untuk membetulkan anak-anak mereka dengan penuh kasih. (Ul. 6:6, 7; Ams. 6:20; 22:6; Ef. 6:2-4) Dari masa ke masa, penatua akan menanya ibu bapa tentang keadaan anak itu untuk memastikan bahawa dia sedang mendapat bantuan yang diperlukan. Bagaimana pula jika anak itu enggan bertaubat dan terus berbuat salah? Jika demikian, jawatankuasa penatua akan berjumpa dengannya bersama ibu bapanya yang merupakan Saksi.
“YEHUWA BERBELAS KASIHAN DAN MEMPUNYAI KASIH YANG MENDALAM”
19. Bagaimanakah para penatua berusaha meniru teladan Yehuwa semasa membantu pendosa?
19 Para penatua dalam jawatankuasa bertanggungjawab kepada Yehuwa untuk memastikan sidang tetap bersih. (1 Kor. 5:7) Mereka juga mahu melakukan apa sahaja yang mampu untuk membantu seorang pendosa bertaubat. Oleh itu, para penatua akan tetap bersikap positif dan berharap agar pendosa itu mengubah haluan buruknya. Mengapa? Mereka mahu meniru teladan Yehuwa yang “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Perhatikan bagaimana Rasul Yohanes berbuat demikian. Dia menulis, “Anak-anak yang dikasihi, aku menulis kepada kamu tentang hal-hal ini supaya kamu tidak berbuat dosa. Namun jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.”—1 Yoh. 2:1.
20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana terakhir bagi majalah ini?
20 Sedihnya, sesetengah orang Kristian yang melakukan dosa serius enggan bertaubat. Jika begitu, mereka harus dikeluarkan daripada sidang. Bagaimanakah para penatua menangani kes sebegini? Kita akan membincangkan soalan ini dalam rencana terakhir bagi majalah ini.
LAGU 103 Gembala—Kurniaan Tuhan
a Dahulu, tiga orang penatua yang menangani kes salah laku dipanggil jawatankuasa pengadilan. Namun, tugas mereka bukan sekadar mengadili pendosa. Oleh itu, mulai sekarang, istilah “jawatankuasa pengadilan” tidak lagi digunakan.
b “Izebel” mungkin merujuk kepada seorang atau sekumpulan wanita yang menjadi pengaruh buruk dalam sidang.
c Maklumat ini juga ditujukan kepada penjaga sah atau orang lain yang bertanggungjawab menjaga anak yang di bawah umur itu.