Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 19

Menjunjung Kasih dan Keadilan Tuhan dalam Dunia yang Jahat

Menjunjung Kasih dan Keadilan Tuhan dalam Dunia yang Jahat

“Engkau bukanlah Tuhan yang suka akan kejahatan; tiada orang jahat yang boleh tinggal bersama-Mu.”​—MZM. 5:4.

LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita

PENGENALAN *

1-3. (a) Menurut Mazmur 5:4-6, apakah perasaan Yehuwa tentang kejahatan? (b) Mengapakah kita mengatakan bahawa penderaan seksual kanak-kanak ialah perbuatan yang melanggar “hukum Kristus”?

TUHAN YEHUWA membenci segala kejahatan. (Baca Mazmur 5:4-6.) Maka, Dia pasti sangat membenci penderaan seksual kanak-kanak! Sebagai Saksi-Saksi-Nya, kita juga membenci perbuatan keji tersebut dan tidak menerima perbuatan sebegini dalam sidang.​—Rm. 12:9; Ibr. 12:15, 16.

2 Apa sahaja perbuatan mendera kanak-kanak memang melanggar “hukum Kristus”! (Gal. 6:2) Mengapakah kita berkata demikian? Rencana sebelumnya telah menunjukkan bahawa hukum Kristus, yang merangkumi segala ajaran dan teladannya, ialah hukum yang berdasarkan kasih dan yang mementingkan keadilan. Orang Kristian sejati yang mematuhi hukum ini akan melayan kanak-kanak dengan cara yang membuat mereka berasa selamat dan benar-benar disayangi. Tetapi orang yang mendera kanak-kanak secara seksual bersifat mementingkan diri, dan perbuatan jahat mereka membuat kanak-kanak berasa terancam dan tidak dikasihi.

3 Sedihnya, masalah penderaan seksual kanak-kanak terjadi di serata dunia, dan masalah ini bahkan mempengaruhi orang Kristian sejati. Mengapa? Kini, “orang jahat dan penyamar” semakin bertambah, dan ada antara mereka yang mencuba menyelinap ke dalam sidang. (2 Tim. 3:13) Selain itu, sesetengah orang yang menyertai sidang telah menyerah kepada nafsu berdosa lalu melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Sekarang, mari kita bincangkan sebabnya perbuatan itu ialah dosa yang amat berat. Kemudian, kita akan mempelajari bagaimana para penatua menangani kes salah laku yang serius, termasuk penderaan seksual kanak-kanak. * Selepas itu, kita akan membincangkan cara ibu bapa dapat melindungi anak-anak mereka.

DOSA YANG AMAT BERAT

4-5. Mengapakah penderaan seksual kanak-kanak merupakan dosa terhadap mangsa?

4 Penderaan seksual kanak-kanak membawa kesan buruk yang berpanjangan. Perbuatan itu bukan sahaja melukai mangsa, malah menyakiti orang yang mengasihi mangsa, seperti ahli keluarga dan saudara saudari Kristian mereka. Sememangnya, penderaan seksual kanak-kanak merupakan dosa yang amat serius.

5 Berdosa terhadap mangsa. * Menyakiti orang lain dan membuat mereka menderita ialah perbuatan berdosa. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan memahami bahawa seseorang yang mendera kanak-kanak secara seksual menyakiti mereka dalam cara yang kejam. Dia mengkhianati seorang anak yang percaya kepadanya dan membuat anak itu berasa terancam. Kanak-kanak mesti dilindungi daripada perbuatan keji ini, dan mangsa-mangsa perlu diberi bantuan dan kelegaan.​—1 Tes. 5:14.

6-7. Mengapakah penderaan seksual kanak-kanak merupakan dosa terhadap sidang dan pihak berkuasa?

6 Berdosa terhadap sidang. Seseorang dalam sidang yang mendera kanak-kanak secara seksual akan menyebabkan nama baik sidang dicela. (Mat. 5:16; 1 Ptr. 2:12) Hal itu sungguh tidak adil bagi jutaan orang Kristian lain yang setia, yang “berjuang dengan bersungguh-sungguh” untuk memuliakan Yehuwa! (Yud. 3) Maka, kita tidak membenarkan orang jahat yang enggan bertaubat terus berada dalam sidang.

7 Berdosa terhadap pihak berkuasa. Orang Kristian harus “taat kepada pihak berkuasa” dan mematuhi undang-undang negara. (Rm. 13:1) Seseorang dalam sidang yang melanggar undang-undang dan melakukan jenayah seperti penderaan seksual kanak-kanak, telah berdosa terhadap pihak berkuasa. (Bandingkan Kisah 25:8.) Meskipun para penatua tidak berhak menguatkuasakan undang-undang negara, mereka tidak akan melindungi seorang pesalah daripada hukuman pihak berkuasa. (Rm. 13:4) Orang itu akan menuai apa yang ditanamnya.​—Gal. 6:7.

8. Apakah pandangan Yehuwa tentang dosa yang dilakukan terhadap orang lain?

8 Yang terpenting, penderaan seksual kanak-kanak ialah dosa terhadap Tuhan. (Mzm. 51:4) Seseorang yang berdosa terhadap orang lain juga berdosa terhadap Yehuwa. Fikirkan satu contoh dalam Hukum Musa. Menurut Hukum itu, orang yang merompak atau menipu orang lain sebenarnya ‘tidak setia terhadap Yehuwa.’ (Im. 6:2-4) Seseorang dalam sidang yang mendera kanak-kanak secara seksual telah menipu seorang anak yang percaya kepadanya dan meragut kesejahteraan anak tersebut. Pesalah itu tidak setia kepada Yehuwa dan menyebabkan nama Tuhan dicela dengan teruk. Sesungguhnya, penderaan seksual kanak-kanak merupakan perbuatan yang terkutuk dan dosa yang besar terhadap Tuhan.

9. Selama bertahun-tahun, apakah maklumat yang disediakan oleh organisasi Yehuwa? Mengapakah organisasi Tuhan sering mengkaji semula arahan tentang cara mengendalikan kes penderaan seksual kanak-kanak?

9 Selama bertahun-tahun, organisasi Yehuwa telah menyediakan banyak maklumat daripada Bible tentang penderaan seksual kanak-kanak. Contohnya, terdapat rencana Menara Pengawal dan Sedarlah! yang membincangkan bagaimana mangsa dapat menangani parut emosi, bagaimana orang lain dapat membantu dan menggalakkan mereka, dan bagaimana ibu bapa dapat melindungi anak-anak sendiri. Para penatua juga diberi arahan terperinci yang berdasarkan Bible tentang cara mengendalikan kes penderaan seksual kanak-kanak. Organisasi Tuhan sering mengkaji semula arahan yang diberikan berkenaan hal ini. Apakah tujuannya? Untuk memastikan agar para penatua sentiasa mematuhi hukum Kristus semasa mengendalikan kes sebegini.

MENANGANI KES SALAH LAKU YANG SERIUS

10-12. (a) Semasa menangani kes salah laku yang serius, para penatua berusaha melakukan apa? Apakah keutamaan mereka? (b) Menurut Yakobus 5:14, 15, apakah yang ingin dilakukan oleh para penatua?

10 Semasa menangani kes salah laku yang serius, para penatua akan berusaha mematuhi hukum Kristus. Maksudnya, mereka akan melayan kawanan dengan penuh kasih dan melakukan apa yang adil dan benar di mata Tuhan. Oleh itu, semasa para penatua mendapat tahu tentang salah laku yang serius, apakah keutamaan mereka? Mereka ingin memelihara nama baik Tuhan. Itulah hal yang terpenting. (Im. 22:31, 32; Mat. 6:9) Mereka juga ingin menjaga kerohanian saudara saudari dan memberikan bantuan kepada mangsa.

11 Jika pesalah itu merupakan seorang dalam sidang, para penatua ingin membantunya pulih secara rohani. (Baca Yakobus 5:14, 15.) Jika seorang Kristian menyerah kepada nafsu jahat lalu melakukan dosa yang serius, dia sudah jatuh sakit secara rohani. Maksudnya, hubungan orang itu dengan Yehuwa sudah terjejas. * Sebagai doktor rohani, para penatua berusaha “menyembuhkan orang sakit itu,” iaitu pesalah tersebut. Mereka ingin menggunakan nasihat Bible untuk membantunya berbaik semula dengan Tuhan, tetapi dia mesti bertaubat dengan ikhlas.​—Kis. 3:19; 2 Kor. 2:5-10.

12 Jelaslah, para penatua memikul tanggungjawab yang berat. Mereka ingin menjaga kawanan Tuhan dengan sebaik-baiknya. (1 Ptr. 5:1-3) Mereka juga mahu saudara saudari berasa selamat dalam sidang. Jadi, mereka akan segera bertindak semasa mendapat laporan tentang salah laku yang serius, termasuk penderaan seksual kanak-kanak. Apakah tindakan yang akan diambil? Perhatikan soalan-soalan pada permulaan  perenggan 13,  15, dan  17.

13-14. Jika undang-undang menyatakan bahawa tuduhan tentang penderaan seksual kanak-kanak harus dilaporkan kepada pihak berkuasa, adakah para penatua akan mematuhinya? Jelaskan.

 13 Jika undang-undang menyatakan bahawa tuduhan tentang penderaan seksual kanak-kanak harus dilaporkan kepada pihak berkuasa, adakah para penatua akan mematuhinya? Ya. Para penatua berusaha mematuhi undang-undang negara berkenaan hal ini. (Rm. 13:1) Peraturan sedemikian tidak bercanggah dengan hukum Tuhan. (Kis. 5:28, 29) Maka, jika terdapat tuduhan tentang penderaan seksual kanak-kanak, mereka akan segera menghubungi pejabat cawangan untuk mengetahui cara mematuhi undang-undang tempatan.

14 Para penatua akan memberitahu mangsa, ibu bapa mangsa, dan orang yang tahu tentang kejadian itu, bahawa mereka berhak melaporkan tuduhan tentang penderaan kepada pihak berkuasa. Namun, bagaimana pula jika yang tertuduh itu ialah seseorang dalam sidang? Sekiranya hal itu diketahui masyarakat umum, patutkah orang Kristian yang membuat laporan itu berasa bahawa laporannya telah menyebabkan nama Tuhan dicela? Tidak. Pesalah itulah yang membuat nama Tuhan dicela.

15-16. (a) Menurut 1 Timotius 5:19, mengapakah sekurang-kurangnya dua orang saksi diperlukan sebelum para penatua membentuk jawatankuasa pengadilan? (b) Apakah yang dilakukan penatua apabila seseorang dalam sidang dituduh mendera kanak-kanak secara seksual?

 15 Dalam sidang, sebelum penatua membentuk jawatankuasa pengadilan, mengapakah keterangan sekurang-kurangnya dua orang saksi diperlukan? Langkah ini selaras dengan piawaian keadilan dalam Bible. Jika yang tertuduh tidak mengakui kesalahannya, dua orang saksi diperlukan untuk memberikan keterangan, barulah penatua dapat membentuk jawatankuasa pengadilan. (Ul. 19:15; Mat. 18:16; baca 1 Timotius 5:19.) Namun, jika tidak ada keterangan daripada dua orang saksi, bolehkah penatua atau orang lain membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang kes penderaan? Boleh, kerana penderaan merupakan jenayah yang melanggar undang-undang negara.

16 Apabila para penatua mendapat tahu bahawa seseorang dalam sidang dituduh mendera kanak-kanak secara seksual, mereka akan berusaha mematuhi undang-undang negara tentang hal itu. Kemudian, mereka menentukan berdasarkan Bible sama ada jawatankuasa pengadilan perlu dibentuk atau tidak setelah melakukan siasatan. Mula-mulanya, penatua akan bertanya kepada yang tertuduh sama ada dia memang melakukan perbuatan itu atau tidak. Jika dia menafikan tuduhan tersebut, penatua akan mendengar keterangan saksi-saksi. Jawatankuasa pengadilan akan dibentuk sekiranya terdapat keterangan sekurang-kurangnya daripada dua orang, iaitu orang yang menuduh (mangsa sendiri atau seorang saksi), dan seorang lagi yang dapat mengesahkan tuduhan itu atau mengesahkan bahawa yang tertuduh pernah mendera kanak-kanak lain secara seksual. * Jika tiada saksi yang kedua, hal itu tidak bermaksud tuduhan tersebut tidak benar. Biarpun tuduhan itu tidak dapat disahkan oleh dua orang saksi, para penatua sedar bahawa yang tertuduh mungkin telah melakukan dosa serius yang melukai orang lain. Maka, para penatua akan terus memberikan sokongan kepada orang yang dilukai dan berwaspada terhadap yang tertuduh agar dapat melindungi sidang.​—Kis. 20:28.

17-18. Jelaskan peranan jawatankuasa pengadilan.

 17 Apakah peranan jawatankuasa pengadilan? Mereka memutuskan sama ada seseorang yang bersalah boleh terus menjadi anggota sidang atau tidak. Jawatankuasa itu tidak memutuskan sama ada dia patut dihukum oleh pihak berkuasa atau tidak. Memandangkan orang yang melakukan penderaan itu telah melanggar undang-undang negara, para penatua akan membiarkan pihak berkuasa mengendalikan kes jenayah tersebut.​—Rm. 13:2-4; Tit. 3:1.

18 Penatua yang menjadi ahli jawatankuasa pengadilan hanya mengurus hal ibadat. Mereka akan menggunakan prinsip Bible untuk menentukan sama ada seseorang pesalah sudah bertaubat atau tidak. Jika dia enggan bertaubat, dia akan disingkirkan, lalu sidang akan dimaklumkan tentang penyingkirannya. (1 Kor. 5:11-13) Jika dia bertaubat, dia masih boleh diterima dalam sidang, tetapi para penatua akan memberitahunya bahawa untuk jangka masa yang panjang atau bahkan seumur hidupnya, dia tidak akan diberi apa-apa tugas atau tanggungjawab dalam sidang. Untuk melindungi kanak-kanak yang lain, para penatua mungkin memberitahu ibu bapa di sidang secara peribadi untuk berjaga-jaga semasa anak kecil mereka bersama orang tersebut. Semasa berbuat demikian, para penatua tidak akan mendedahkan identiti mangsa.

CARA MELINDUNGI ANAK-ANAK ANDA

Ibu bapa mengajar anak-anak tentang seks dengan menggunakan maklumat daripada organisasi Tuhan. Dengan berbuat demikian, mereka melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa penderaan seks. (Lihat perenggan 19-22)

19-22. Bagaimanakah ibu bapa dapat melindungi anak-anak sendiri? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

19 Siapakah yang diberi tanggungjawab utama untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual? Ibu bapa. * Anak-anak anda merupakan “warisan yang dikurniakan oleh Yehuwa.” (Mzm. 127:3) Memandangkan Yehuwa telah memberi anda tanggungjawab untuk melindungi anak-anak anda, bagaimanakah anda dapat melaksanakan tugas itu dengan baik?

20 Pertama, didiklah diri anda. Kenalilah sifat-sifat orang yang mendera kanak-kanak secara seksual dan cara mereka memperdaya kanak-kanak. Berwaspadalah terhadap keadaan atau orang yang berbahaya. (Ams. 22:3; 24:3) Ingatlah bahawa penjahat sebegini sering kali merupakan orang yang dikenali dan dipercayai oleh anak.

21 Kedua, jalinlah komunikasi yang baik dengan anak anda. (Ul. 6:6, 7) Hal itu juga bermaksud anda perlu mendengar dengan teliti. (Yak. 1:19) Ingatlah bahawa kanak-kanak biasanya tidak ingin memberitahu orang lain bahawa mereka telah didera. Mereka mungkin takut orang lain tidak mempercayai mereka, atau mereka telah diugut oleh orang yang mendera mereka. Jika anda mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anak-anak anda, tanyalah soalan dengan lemah lembut dan dengarlah jawapan mereka dengan sabar.

22 Ketiga, didiklah anak-anak anda. Ajarlah mereka tentang seks, sesuai dengan umur mereka. Beritahulah mereka apa yang harus dikatakan dan dilakukan sekiranya ada orang ingin menyentuh mereka dengan cara yang tidak senonoh. Gunakanlah maklumat yang disediakan oleh organisasi Tuhan untuk melindungi anak-anak anda.​—Lihat kotak “ Didiklah Diri Anda dan Anak-Anak Anda.”

23. Bagaimanakah kita memandang penderaan seksual kanak-kanak? Apakah soalan yang akan dijawab dalam rencana seterusnya?

23 Saksi-Saksi Yehuwa memandang penderaan seksual kanak-kanak sebagai dosa yang jijik dan jenayah yang kejam. Sidang-sidang Kristian mematuhi hukum Kristus dan tidak akan melindungi pesalah daripada menanggung akibat dosa mereka. Namun, bagaimanakah kita dapat membantu orang yang menjadi mangsa penderaan seksual? Rencana seterusnya akan menjawab soalan itu.

LAGU 103 Gembala​—Kurniaan Tuhan

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan cara untuk melindungi anak-anak daripada penderaan seksual. Kita akan mengetahui cara para penatua melindungi sidang dan cara ibu bapa dapat melindungi anak-anak mereka.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Penderaan seksual kanak-kanak terjadi apabila orang dewasa melakukan sesuatu yang tidak senonoh kepada kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seks sendiri. Orang itu mungkin bersetubuh dengan anak tersebut, melakukan seks oral atau dubur (anal) dengannya, meraba alat kelamin, payudara, atau punggungnya, atau melakukan perbuatan tidak bermoral yang lain. Walaupun kebanyakan mangsa ialah kanak-kanak perempuan, ramai budak lelaki juga didera. Kebanyakan orang yang mendera kanak-kanak secara seksual merupakan kaum lelaki, tetapi sesetengah kaum wanita juga berbuat demikian.

^ per. 5 MAKSUD UNGKAPAN: Dalam rencana ini dan rencana berikutnya, perkataan “mangsa” merujuk kepada seseorang yang pernah didera secara seksual semasa kecil. Perkataan ini menunjukkan bahawa orang yang didera itu tidak bersalah. Sebaliknya, orang lain telah mengambil kesempatan terhadapnya dan melukainya secara fizikal dan emosi.

^ per. 11 Seseorang yang melakukan dosa serius kerana lemah secara rohani, masih bertanggungjawab sepenuhnya atas pilihan dan tindakannya. Dia akan diadili oleh Yehuwa atas perbuatannya.​—Rm. 14:12.

^ per. 16 Seorang anak tidak akan disuruh berdepan dengan yang tertuduh. Ibu, bapa, atau seseorang yang dipercayai anak itu, boleh memberitahu para penatua keterangannya. Dengan itu, luka emosi anak tersebut tidak akan bertambah parah.

^ per. 19 Maklumat dalam rencana ini juga disediakan untuk penjaga sah atau orang lain yang bertanggungjawab membesarkan anak.