Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Membuat Keputusan yang Selaras dengan Kehendak Yehuwa

Membuat Keputusan yang Selaras dengan Kehendak Yehuwa

SUATU pagi pada tahun 1984, saya meninggalkan rumah kami yang selesa di Caracas, Venezuela, dan bertolak ke tempat kerja saya. Sepanjang perjalanan, saya asyik berfikir tentang sebuah rencana dalam Menara Pengawal yang baru diterbitkan. Rencana itu adalah tentang bagaimana jiran kita memandang kita. Sambil melihat rumah jiran-jiran saya yang mewah, saya menanya diri, “Adakah jiran-jiran saya memandang saya sebagai pegawai bank yang berjaya? Atau adakah mereka memandang saya sebagai penginjil yang bekerja di bank untuk menyara keluarga?” Saya rasa saya tahu jawapannya, dan saya tidak suka akan jawapan itu. Jadi, saya memutuskan bahawa saya perlu melakukan sesuatu.

Saya lahir pada 19 Mei 1940 di bandar Amioûn, Lubnan. Beberapa tahun kemudian, keluarga saya berpindah ke bandar Tripoli. Saya dibesarkan dalam keluarga yang bahagia dan penyayang, yang mengenali dan mengasihi Yehuwa. Saya merupakan anak bongsu dan mempunyai tiga orang kakak dan seorang abang. Bagi ibu bapa saya, mencari wang bukanlah hal yang terpenting. Yang paling penting bagi keluarga saya ialah mempelajari Bible, menghadiri perjumpaan, dan membantu orang lain mengenali Tuhan.

Terdapat beberapa orang Kristian terurap di sidang kami. Salah seorang daripada mereka ialah Michel Aboud. Dia biasanya mengendalikan perjumpaan yang dahulunya dikenali sebagai pembelajaran buku sidang. Michel telah mempelajari kebenaran Bible di New York dan memulakan kerja penyebaran di Lubnan pada awal tahun 1920-an. Saya masih ingat bahawa dia sangat menghormati dan sangat rela membantu dua orang saudari muda yang merupakan lulusan Sekolah Gilead, iaitu Anne dan Gwen Beavor. Dua orang saudari itu telah menjadi sahabat baik keluarga kami. Puluhan tahun kemudian, saya sangat gembira semasa berjumpa dengan Anne di Amerika Syarikat. Beberapa lama selepas itu, saya berjumpa dengan Gwen di London, England. Ketika itu, Gwen sudah berkahwin dengan Wilfred Gooch, dan mereka berkhidmat di Bethel.

MENGINJIL DI LUBNAN

Semasa saya masih muda, bilangan Saksi di Lubnan tidak banyak. Namun, kami bersemangat menyebarkan mesej Bible meskipun menghadapi tentangan daripada beberapa pemimpin agama. Terdapat beberapa peristiwa yang masih segar dalam ingatan saya.

Pada suatu hari, saya dan Sana, iaitu kakak saya, sedang menginjil di sebuah apartmen. Tiba-tiba, seorang paderi muncul di tingkat kami sedang menginjil. Rasanya ada orang memberitahunya tentang kami. Paderi itu mula menghina kakak saya. Kemudian, dia bertindak ganas dengan menolak Sana sehingga Sana terjatuh dari tangga lalu tercedera. Ada orang nampak kejadian itu lalu menelefon pihak polis. Ada juga yang membantu merawat luka Sana. Setelah pihak polis tiba, mereka membawa paderi itu ke balai polis. Apabila pihak polis mendapati paderi itu membawa sepucuk pistol, ketua polis menanya dia, “Adakah kamu ini pemimpin agama atau ketua gengster?”

Pada peristiwa yang lain, sidang kami menyewa bas untuk pergi menginjil di sebuah pekan yang terpencil. Semasa kami sedang menikmati kerja penyebaran, paderi di situ mendengar tentang kegiatan kami dan mengumpulkan banyak orang untuk menyerang kami. Mereka melayan kami dengan kasar dan bahkan membaling batu ke arah kami. Bapa saya telah cedera, dan saya masih ingat mukanya yang berlumuran darah. Semasa dia berjalan kembali ke bas bersama ibu saya, kami semua sangat risau dan mengikutnya dari belakang. Namun, saya tidak akan melupakan apa yang dikatakan ibu saya sambil merawat luka bapa saya. Dia berkata, “Yehuwa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.”

Pernah sekali, semasa kami balik ke kampung untuk melawat saudara-mara kami, kami berjumpa dengan seorang uskup di rumah datuk saya. Pemimpin agama yang berpangkat tinggi itu tahu bahawa ibu bapa saya ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun saya hanya berumur enam tahun pada masa itu, uskup itu cuba memalukan saya dengan berkata, “Kenapa kamu belum baptis?” Saya menjawab bahawa saya masih kecil, dan untuk dibaptis saya perlu lebih mengenali Bible dan membina iman yang kuat. Uskup itu tidak menyukai jawapan saya lalu memberitahu datuk saya bahawa saya bersikap biadap.

Sebenarnya, pengalaman-pengalaman buruk seperti ini jarang berlaku. Orang Lubnan secara amnya sangat mesra dan suka menerima tetamu. Jadi, kami dapat bercakap dengan banyak orang tentang Bible dan mengadakan banyak pembelajaran Bible.

MEMUTUSKAN UNTUK BERPINDAH KE NEGARA LAIN

Semasa saya masih bersekolah, seorang saudara muda dari Venezuela melawat Lubnan dan menghadiri perjumpaan di sidang kami. Di situlah dia mengenali kakak saya, Wafa. Mereka mula berdating, dan tidak lama kemudian, mereka berkahwin dan berpindah ke Venezuela. Dalam suratnya kepada kami, Wafa merayu kepada bapa saya agar seluruh keluarga kami berpindah ke Venezuela kerana dia sangat merindui kami. Akhirnya, dia berjaya memujuk kami untuk berpindah!

Kami tiba di Venezuela pada tahun 1953 dan menetap di Caracas, berdekatan istana presiden. Masa itu saya masih seorang budak, jadi saya berasa sangat teruja semasa melihat kereta mewah presiden lalu berdekatan kawasan kami. Namun, tidak mudah bagi ibu bapa saya untuk menyesuaikan diri dengan tempat tinggal, bahasa, budaya, makanan, dan cuaca di negara itu. Apabila mereka baru mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu, sesuatu yang buruk telah berlaku.

Kiri ke kanan: Bapa saya. Ibu saya. Saya pada tahun 1953 semasa keluarga kami berpindah ke Venezuela

DITIMPA TRAGEDI

Bapa saya telah jatuh sakit. Kami berasa sangat hairan kerana selama ini dia seorang yang kuat, sihat, dan tidak pernah menghidap penyakit yang serius. Rupa-rupanya dia menghidap kanser pankreas. Sedihnya, seminggu selepas pembedahannya, dia telah meninggal.

Kami sangat terkejut kerana tidak sangka bapa saya akan meninggal. Hati kami hancur berkecai, dan kesedihan kami sukar digambarkan dengan kata-kata. Masa itu, saya baru berumur 13 tahun, dan untuk suatu ketika, ibu saya berasa susah untuk menerima hakikat bahawa suaminya sudah tiada. Namun, kami kemudiannya sedar bahawa kami perlu meneruskan kehidupan kami, dan Yehuwa telah membantu kami untuk bertabah. Semasa saya tamat sekolah menengah di Caracas pada umur 16 tahun, saya sangat ingin bekerja untuk menyara keluarga saya.

Kakak saya Sana dan suaminya Rubén telah banyak membantu saya maju secara rohani

Kemudian, kakak saya Sana telah mengahwini Rubén Araujo, seorang lulusan Sekolah Gilead yang kembali ke Venezuela. Selepas itu, mereka berpindah ke New York. Apabila keluarga saya memutuskan untuk menghantar saya ke universiti, saya telah memilih untuk menuntut di sebuah universiti di New York dan tinggal bersama kakak dan abang ipar saya. Sepanjang masa saya tinggal bersama mereka, mereka telah banyak membantu saya untuk membuat kemajuan rohani. Selain itu, sidang bahasa Sepanyol kami di Brooklyn mempunyai banyak saudara yang matang, seperti Milton Henschel dan Frederick Franz. Saya sangat gembira kerana dapat mengenali dua orang saudara ini yang berkhidmat di Bethel Brooklyn.

Semasa saya dibaptis pada tahun 1957

Menjelang akhir tahun pertama saya di universiti, saya mula memikirkan hala tuju hidup saya. Sebenarnya, saya sudah membaca dan merenungkan rencana-rencana dalam majalah Menara Pengawal yang mengatakan bahawa orang Kristian perlu memiliki matlamat rohani. Selain itu, saya dapat melihat betapa gembiranya para perintis dan ahli Bethel di sidang kami, dan saya mahu menjadi seperti mereka. Namun, saya belum lagi dibaptis pada masa itu. Jadi, setelah menyedari pentingnya membaktikan diri kepada Yehuwa, saya mengambil langkah itu lalu dibaptis pada 30 Mac 1957.

KEPUTUSAN YANG PENTING

Setelah dibaptis, saya berfikir untuk menyertai khidmat sepenuh masa. Saya benar-benar ingin menjadi perintis. Namun, saya juga tahu bahawa keputusan itu tidak mudah kerana saya tidak dapat belajar di universiti dan merintis pada masa yang sama. Saya dan keluarga saya di Venezuela menulis banyak surat kepada satu sama lain untuk membincangkan situasi ini. Akhirnya, saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya telah memutuskan untuk menamatkan pengajian saya dan pulang ke Venezuela untuk merintis.

Saya kembali ke Caracas pada Jun 1957. Namun, saya dapat melihat bahawa keluarga saya memerlukan bantuan dari segi kewangan. Jadi, bagaimanakah saya dapat membantu mereka? Saya telah ditawarkan pekerjaan di bank, tetapi saya sangat ingin merintis. Lagipun, itulah sebabnya saya kembali ke Venezuela. Saya bertekad untuk melakukan kedua-duanya. Jadi selama beberapa tahun, saya bekerja sepenuh masa di bank sambil merintis. Saya sangat sibuk tetapi juga sangat gembira!

Sukacita saya telah bertambah semasa saya mengenali dan mengahwini Sylvia, seorang saudari Jerman yang berpindah ke Venezuela bersama ibu bapanya. Sylvia ialah seorang saudari yang cantik, yang sangat mengasihi Yehuwa. Kami telah mendapat seorang anak lelaki, iaitu Michel (Mike), dan seorang anak perempuan, iaitu Samira. Pada masa yang sama, saya mengajak ibu saya untuk tinggal bersama kami supaya saya dapat menjaganya. Disebabkan tanggungjawab keluarga, saya perlu berhenti merintis, tetapi semangat perintis saya tetap membara. Saya dan Sylvia masih mencari peluang untuk menjadi perintis sokongan pada masa cuti.

SATU LAGI KEPUTUSAN YANG PENTING

Pengalaman yang disebut di awal rencana ini berlaku semasa anak-anak saya masih bersekolah. Ketika itu, hidup saya sangat selesa dan saya ialah seorang pegawai bank yang disegani ramai. Namun, saya mahu dipandang sebagai seorang hamba Yehuwa. Jadi, saya asyik berfikir tentang apa yang harus saya lakukan. Saya dan isteri saya telah duduk berbincang tentang keperluan kewangan kami. Jika saya berhenti bekerja di bank, saya akan dibayar sejumlah wang yang besar sebagai penghargaan atas khidmat saya. Memandangkan kami tiada hutang, kami berfikir bahawa jika kami menyederhanakan kehidupan kami, kami akan mempunyai wang yang cukup untuk menampung kehidupan kami buat masa yang agak lama.

Keputusan itu memang tidak mudah, tetapi dengan adanya sokongan penuh daripada isteri dan ibu saya, saya memutuskan untuk menjadi perintis semula. Namun, semasa saya sedang berasa teruja kerana bakal menyertai khidmat sepenuh masa lagi, kami mendapat satu berita yang tidak dijangkakan.

KEJUTAN ISTIMEWA!

Gabriel, iaitu anak ketiga kami, merupakan kejutan yang istimewa

Suatu hari, doktor kami mengesahkan bahawa Sylvia telah mengandung. Berita itu memang satu kejutan istimewa yang membuat kami sangat gembira! Namun, saya juga terfikir tentang bagaimana hal ini akan mempengaruhi keputusan saya untuk menjadi perintis. Tidak lama kemudian, kami mempersiapkan hati dan minda kami dan menantikan kelahiran bayi kami. Tetapi apakah yang akan berlaku kepada rancangan saya untuk merintis?

Setelah membincangkan matlamat kami, kami memutuskan untuk mengikut rancangan yang asal. Anak kami, Gabriel, telah lahir pada April 1985, dan saya telah meletakkan jawatan di bank dan merintis semula pada Jun 1985. Kemudian, saya diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan di Venezuela. Namun, lokasi pejabat cawangan terletak kira-kira 80 kilometer dari Caracas. Jadi, saya perlu membuat perjalanan ke situ dua atau tiga hari seminggu untuk berkhidmat di pejabat cawangan.

BERPINDAH LAGI

Memandangkan pejabat cawangan terletak di La Victoria, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke sana supaya kami dapat tinggal lebih dekat dengan Bethel. Hal ini melibatkan perubahan yang besar, tetapi saya sangat kagum dan menghargai sikap positif yang ditunjukkan oleh keluarga saya. Sebagai contoh, kakak saya Baha sudi menjaga ibu kami. Ketika itu, Mike sudah berkahwin, tetapi Samira dan Gabriel masih tinggal bersama kami. Maka untuk berpindah ke La Victoria, mereka perlu meninggalkan kawan-kawan mereka di Caracas. Selain itu, isteri saya Sylvia, yang sudah biasa hidup di kota besar, perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan di pekan kecil. Tambahan lagi, kami semua perlu tinggal di rumah yang lebih kecil. Ya, berpindah dari Caracas ke La Victoria melibatkan perubahan yang besar.

Namun, keadaan kami berubah lagi. Gabriel telah berkahwin, dan Samira tidak perlu tinggal bersama kami lagi. Pada tahun 2007, Sylvia dan saya dijemput untuk menyertai keluarga Bethel dan kami terus berkhidmat di Bethel sehingga hari ini. Mike, anak sulung kami, berkhidmat sebagai penatua dan merintis bersama dengan isterinya, Monica. Gabriel juga berkhidmat sebagai penatua dan dia tinggal di Itali bersama dengan isterinya, Ambra. Samira pula merintis sambil berkhidmat sebagai pekerja sukarela luar Bethel.

Kiri ke kanan: Bersama isteri saya Sylvia di pejabat cawangan Venezuela. Mike, anak sulung kami, bersama Monica. Samira, anak perempuan kami. Gabriel, anak kami, bersama Ambra

SAYA TIDAK MENYESALI KEPUTUSAN SAYA

Saya telah membuat banyak keputusan yang penting dalam kehidupan saya, namun saya tidak menyesali keputusan saya. Jika perlu, saya akan membuat keputusan yang sama lagi. Saya sangat menghargai pelbagai peluang yang saya miliki untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Selama ini, saya telah belajar pentingnya memelihara persahabatan yang erat dengan Yehuwa, dan saya telah melihat bahawa tidak kira semasa kita perlu membuat keputusan yang besar atau kecil, Dia dapat memberi kita kesejahteraan “yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Flp. 4:6, 7) Saya dan Sylvia menikmati khidmat kami di Bethel, dan kami berasa bahawa kami telah diberkati kerana membuat keputusan yang selaras dengan kehendak Yehuwa.