RENCANA PEMBELAJARAN 28
LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia
Dapatkah Anda Membezakan Kebenaran daripada Kepalsuan?
“Hendaklah kamu berdiri teguh dengan mengikatkan kebenaran pada pinggang kamu seperti tali pinggang.”—EF. 6:14.
FOKUS
Belajar untuk mengenal pasti perbezaan antara kebenaran yang diajarkan Yehuwa daripada kepalsuan yang disebarkan oleh Syaitan dan para penentang kita.
1. Apakah perasaan anda terhadap kebenaran?
UMAT Tuhan mengasihi kebenaran dalam Bible. Kebenaran itulah yang menjadi asas kepercayaan kita. (Rm. 10:17) Kita percaya bahawa Yehuwa telah menggunakan sidang Kristian sebagai “tiang dan penunjang kebenaran.” (1 Tim. 3:15) Kita juga sudi tunduk kepada “mereka yang mengambil pimpinan” semasa mereka menjelaskan kebenaran Bible dan memberikan arahan yang membantu kita melakukan kehendak Tuhan.—Ibr. 13:17.
2. Menurut Yakobus 5:19, apakah yang mungkin berlaku kepada kita selepas kita belajar kebenaran?
2 Namun selepas kita menerima kebenaran dan sedar bahawa kita harus mengikut bimbingan daripada organisasi Tuhan, kita masih mungkin disesatkan. (Baca Yakobus 5:19.) Syaitan mahu kita hilang keyakinan terhadap Bible dan arahan daripada organisasi Tuhan.—Ef. 4:14.
3. Mengapakah kita perlu berpegang teguh pada kebenaran? (Efesus 6:13, 14)
3 Baca Efesus 6:13, 14. Tidak lama lagi, Syaitan akan menggunakan tipu daya untuk menyesatkan bangsa-bangsa supaya mereka melawan Yehuwa. (Why. 16:13, 14) Dia juga akan menggandakan usahanya untuk memperdaya umat Yehuwa. (Why. 12:9) Oleh itu, kita mesti belajar untuk mengenal pasti perbezaan antara kebenaran dengan kepalsuan, dan untuk patuh kepada kebenaran. (Rm. 6:17; 1 Ptr. 1:22) Hal itu akan menentukan hidup mati kita semasa kesengsaraan besar!
4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
4 Dalam rencana ini, kita akan bincang dua sifat yang akan membantu kita mengenal pasti kebenaran daripada Bible dan menerima arahan daripada organisasi Tuhan. Kemudian, kita akan membincangkan tiga cara kita dapat terus berpegang pada kebenaran.
SIFAT YANG DIPERLUKAN UNTUK MENGENAL PASTI KEBENARAN
5. Bagaimanakah rasa takut akan Yehuwa membantu kita mengenal pasti kebenaran?
5 Rasa takut akan Yehuwa. Takut akan Yehuwa bermaksud kita begitu mengasihi-Nya sehingga tidak mahu melakukan apa-apa yang tidak disukai-Nya. Oleh itu, kita akan belajar untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah, dan apa yang benar daripada apa yang palsu, supaya dapat menggembirakan hati-Nya. (Ams. 2:3-6; Ibr. 5:14) Kita sama sekali tidak akan membiarkan rasa takut akan manusia menjadi lebih kuat daripada kasih kita kepada Yehuwa, kerana apa yang disukai manusia biasanya dibenci oleh Yehuwa.
6. Apakah yang dilakukan oleh 10 orang pengintip Israel kerana takut akan manusia?
6 Jika kita lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Tuhan, kita mungkin tersimpang daripada kebenaran. Perhatikan contoh 12 orang pemimpin suku Israel yang menjadi pengintip di Tanah yang Dijanjikan. Sepuluh daripada mereka lebih takut kepada orang Kanaan daripada takut kepada Yehuwa. Oleh itu, mereka memberitahu orang Israel, “Kita tidak mampu melawan orang di sana, kerana mereka lebih kuat daripada kita.” (Bil. 13:27-31) Dari sudut pandangan manusia, orang Kanaan memang lebih kuat daripada orang Israel. Tetapi 10 orang pengintip itu lupa bahawa Yehuwa mampu membantu mereka. Jika mereka bertumpu kepada kehendak Yehuwa dan merenungkan apa yang dilakukan-Nya bagi mereka tidak lama sebelum itu, mereka akan sedar bahawa orang Kanaan langsung tidak dapat menandingi Yehuwa. Yosua dan Kaleb pula berbeza. Mereka menginginkan perkenan Yehuwa. Mereka berkata kepada orang Israel, “Jika Yehuwa berkenan kepada kita, Dia pasti akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu.”—Bil. 14:6-9.
7. Bagaimanakah kita dapat memperdalam rasa takut kita kepada Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
7 Untuk memperdalam rasa takut kita kepada Yehuwa, kita harus berfikir tentang apa yang akan menyenangkan hati Yehuwa setiap kali kita membuat keputusan. (Mzm. 16:8) Semasa membaca Bible, tanyalah diri, “Jika saya dalam situasi itu, apakah keputusan yang akan saya buat?” Sebagai contoh, bayangkan anda sedang mendengar laporan negatif yang dibawa oleh 10 orang pengintip Israel. Adakah anda akan mempercayai kata-kata mereka dan mula takut akan manusia, atau adakah kasih anda kepada Yehuwa akan menggerakkan anda untuk menyenangkan hati-Nya? Apa yang dikatakan oleh Yosua dan Kaleb memang benar, tetapi kebanyakan orang Israel pada masa itu tidak mempercayainya. Akibatnya, mereka tidak dapat masuk ke Tanah yang Dijanjikan.—Bil. 14:10, 22, 23.
8. Apakah sifat yang mesti kita terus pupuk, dan mengapa?
8 Kerendahan hati. Yehuwa mengajarkan kebenaran kepada orang yang rendah hati. (Mat. 11:25) Semasa kita baru belajar kebenaran, kita bersikap rendah hati dan sudi menerima bantuan. (Kis. 8:30, 31) Tetapi kita perlu berusaha untuk terus bersikap rendah hati. Jika kita menjadi sombong, kita mungkin menganggap pandangan kita sama pentingnya dengan prinsip Bible atau arahan organisasi Yehuwa.
9. Bagaimanakah kita dapat terus bersikap rendah hati?
9 Untuk terus bersikap rendah hati, kita perlu ingat bahawa kita hanya seperti debu berbanding Yehuwa. (Mzm. 8:3, 4) Kita juga boleh berdoa agar Yehuwa bantu kita terus bersikap rendah hati dan sudi diajar. Yehuwa akan membantu kita agar menganggap pandangan-Nya, yang dinyatakan menerusi Bible dan organisasi-Nya, lebih penting daripada pandangan kita sendiri. Semasa membaca Bible, carilah bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi orang yang rendah hati dan membenci orang yang sombong dan angkuh. Berusahalah lebih keras untuk bersikap rendah hati, terutamanya jika anda diberi kekuasaan atau tugasan yang istimewa dalam organisasi Yehuwa.
BAGAIMANA KITA DAPAT BERPEGANG TEGUH PADA KEBENARAN
10. Yehuwa menggunakan siapa untuk memberikan arahan kepada umat-Nya?
10 Kekalkan keyakinan terhadap arahan yang diberikan oleh organisasi Yehuwa. Pada zaman Israel kuno, Yehuwa menggunakan Musa dan Yosua untuk menyampaikan arahan kepada umat-Nya. (Yos. 1:16, 17) Orang Israel diberkati semasa mereka menerima Musa dan Yosua sebagai wakil Tuhan Yehuwa. Ratusan tahun kemudian, semasa sidang Kristian ditubuhkan, Yehuwa memberikan arahan melalui 12 orang rasul. (Kis. 8:14, 15) Kemudian, Yehuwa juga berbuat demikian menerusi penatua lain di Yerusalem. Apabila umat Yehuwa mengikut arahan yang diberikan oleh lelaki yang setia ini, iman mereka “semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.” (Kis. 16:4, 5) Pada zaman moden, kita juga diberkati semasa kita mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa. Apakah perasaan Yehuwa jika kita enggan mengikut arahan daripada wakil yang dilantik-Nya? Perhatikan apa yang berlaku semasa orang Israel dalam perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan.
11. Apakah yang berlaku kepada mereka yang mencabar kedudukan Musa sebagai wakil Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
11 Dalam perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan, beberapa orang pemimpin Israel mencabar kedudukan Musa sebagai wakil Yehuwa. Mereka berkata, “Segenap umat ini suci dan Yehuwa menyertai kami semua.” (Bil. 16:1-3) Memang benar, Yehuwa menganggap segenap umat-Nya suci, tetapi Dia telah memilih Musa untuk mengambil pimpinan. (Bil. 16:28) Jadi, orang yang sedang mengkritik Musa sebenarnya sedang mengkritik Yehuwa. Bagi mereka, kehendak Yehuwa tidak penting. Mereka hanya mahu menjadi lebih berkuasa dan terkemuka. Akibatnya, Yehuwa membinasakan para pemberontak dan ribuan orang yang menyokong mereka. (Bil. 16:30-35, 41, 49) Hari ini, Yehuwa juga tidak senang hati dengan orang yang tidak mahu mengikut arahan daripada organisasi-Nya.
12. Mengapakah kita dapat terus mempercayai organisasi Yehuwa?
12 Mengapakah kita dapat terus mempercayai organisasi Yehuwa? Semasa para saudara yang mengambil pimpinan melihat bukti yang jelas bahawa pemahaman Bible tertentu atau cara kita berkhidmat kepada Yehuwa perlu diubah, mereka tidak teragak-agak untuk membuat perubahan. (Ams. 4:18) Bagi mereka, hal yang terpenting ialah menyenangkan hati Yehuwa. Semasa membuat keputusan, mereka berusaha sedaya upaya untuk mengikut bimbingan Bible. Itulah standard atau piawaian yang harus dipatuhi oleh semua penyembah Yehuwa.
13. Apakah itu “piawaian kata-kata sihat,” dan apakah yang harus kita lakukan agar diberkati?
13 “Teruslah berpegang pada piawaian kata-kata sihat.” (2 Tim. 1:13) “Piawaian kata-kata sihat” merujuk kepada ajaran Bible. (Yoh. 17:17) Ajaran sedemikian merupakan asas kepercayaan kita. Organisasi Yehuwa mengajar kita untuk berpegang pada piawaian itu. Selagi kita berbuat demikian, kita akan diberkati.
14. Bagaimanakah sesetengah orang Kristian tidak lagi berpegang teguh pada “piawaian kata-kata sihat”?
14 Apakah yang mungkin berlaku jika kita tidak terus berpegang pada “piawaian kata-kata sihat”? Perhatikan apa yang berlaku kepada orang Kristian di Tesalonika pada abad pertama. Terdapat khabar angin yang tersebar dalam kalangan mereka bahawa hari Yehuwa sudah tiba. Khabar angin itu nampaknya berpunca daripada sepucuk surat yang kononnya ditulis oleh Paulus. Ada antara mereka mempercayai khabar angin itu lalu menyebarkannya tanpa usul periksa. Jika mereka ingat apa yang diajarkan oleh Paulus semasa dia bersama mereka, mereka tidak akan tertipu. (2 Tes. 2:1-5) Maka, Paulus mengingatkan mereka agar tidak mempercayai apa sahaja yang mereka dengar. Kemudian, untuk membantu mereka pada masa depan, Paulus mengakhiri suratnya yang kedua dengan kata-kata ini: “Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri. Beginilah caranya aku menulis, dan gaya tulisan ini menjadi tanda pengenal dalam setiap suratku.”—2 Tes. 3:17.
15. Bagaimanakah kita dapat melindungi diri daripada maklumat palsu yang nampaknya benar? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
15 Apakah yang dapat kita belajar daripada nasihat Paulus kepada orang Kristian di Tesalonika? Jika kita mendengar sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Bible, atau jika kita mendengar khabar angin yang sensasi, kita harus berhati-hati. Dahulu di Kesatuan Soviet, musuh kita pernah menyebarkan sepucuk surat yang kononnya berasal daripada ibu pejabat sedunia. Surat itu menggalakkan saudara-saudara untuk menubuhkan organisasi sendiri. Walaupun surat itu nampaknya berasal daripada ibu pejabat sedunia, saudara-saudara tidak tertipu. Mereka sedar bahawa kandungannya bercanggah dengan apa yang sudah mereka belajar. Hari ini, musuh kita mungkin menggunakan teknologi untuk mengelirukan dan memecahbelahkan kita. Untuk melindungi diri sendiri, kita harus membandingkan apa yang kita baca dan dengar dengan kebenaran yang sudah kita ketahui.—2 Tes. 2:2; 1 Yoh. 4:1.
16. Menurut Roma 16:17, 18, apakah yang harus kita lakukan jika seseorang menyebarkan maklumat palsu yang bercanggahan dengan kebenaran?
16 Tetap bersatu dengan mereka yang setia kepada Yehuwa. Tuhan mahu kita menyembah-Nya dengan bersatu padu. Kita akan bersatu selagi kita berpegang teguh pada kebenaran. Mereka yang menyebarkan maklumat palsu yang bercanggahan dengan kebenaran akan menyebabkan perpecahan. Maka Tuhan mengingatkan kita, “Jauhkanlah diri kamu daripada mereka.” Jika kita tidak berbuat demikian, kita mungkin menjauhi kebenaran.—Baca Roma 16:17, 18.
17. Apakah manfaat yang kita raih jika kita mengenal pasti dan berpegang teguh pada kebenaran?
17 Jika kita mengenali dan berpegang teguh pada kebenaran, iman kita dan hubungan kita dengan Yehuwa akan terpelihara. (Ef. 4:15, 16) Kita tidak akan disesatkan oleh ajaran dan maklumat palsu Syaitan, dan Yehuwa akan melindungi kita semasa kesengsaraan besar. Maka, teruslah berpegang pada apa yang benar, dan “Tuhan kedamaian akan menyertai kamu.”—Flp. 4:8, 9.
LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!
a KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula yang menunjukkan apa yang berlaku di Kesatuan Soviet puluhan tahun lalu. Saudara-saudara menerima sepucuk surat yang nampaknya berasal daripada ibu pejabat sedunia, tetapi sebenarnya disebarkan oleh musuh. Pada zaman moden, musuh mungkin menggunakan Internet untuk menyebarkan maklumat palsu tentang organisasi Yehuwa.