Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 30

Teruslah Memperdalam Kasih Anda

Teruslah Memperdalam Kasih Anda

“Aku terus berdoa agar kasih kamu akan semakin bertambah.”​—FLP. 1:9.

LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu

PENGENALAN a

1. Apakah kebenaran yang anda pelajari semasa mula belajar Bible?

 FIKIRKAN kembali perasaan anda semasa anda mula belajar Bible. Anda mungkin sangat gembira setelah mengetahui bahawa Tuhan mempunyai nama. Anda juga berasa lega setelah mengetahui bahawa Tuhan tidak menyeksa orang dalam api neraka. Anda mungkin teruja semasa belajar tentang harapan pembangkitan dan tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan orang tersayang yang dibangkitkan di bumi firdaus.

2. Selain mempelajari kebenaran Bible, apakah kemajuan lain yang telah anda buat? (Efesus 5:1, 2)

2 Semakin banyak anda belajar tentang Firman Tuhan, semakin dalam kasih anda kepada Yehuwa. Kasih itu mendorong anda untuk menerapkan apa yang anda pelajari. Anda mula membuat keputusan yang lebih baik kerana keputusan anda berdasarkan prinsip Bible. Sikap dan kelakuan anda juga menjadi semakin baik kerana anda ingin menyenangkan hati Tuhan. Sepertimana seorang anak kecil meniru teladan ibu bapanya yang pengasih, anda juga meniru teladan Tuhan.​—Baca Efesus 5:1, 2.

3. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?

3 Kita boleh memikirkan soalan-soalan ini: “Adakah kasih saya terhadap Yehuwa lebih mendalam berbanding masanya saya baru menjadi orang Kristian? Selepas dibaptis, adakah saya mengikut teladan Yehuwa dengan lebih baik, terutamanya dalam soal menunjukkan kasih kepada rakan seiman saya?” Jika “kasih yang [anda] miliki pada mulanya” sudah mendingin, janganlah tawar hati. Hal yang sama pernah berlaku kepada orang Kristian pada abad pertama, tetapi Yesus tidak berputus asa terhadap mereka. Sudah tentu, dia juga tidak berputus asa terhadap kita. (Why. 2:4, 7) Dia tahu bahawa kasih kita dapat dimarakkan semula.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara kita dapat terus memperdalam kasih kita kepada Yehuwa dan orang lain. Kemudian, kita akan melihat berkat yang akan kita dan orang lain raih apabila kasih kita semakin bertumbuh.

MEMPERDALAM KASIH ANDA KEPADA YEHUWA

5-6. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Rasul Paulus semasa menjalankan kerja penyebaran? Apakah yang mendorongnya untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa?

5 Rasul Paulus menikmati khidmatnya kepada Yehuwa, tetapi dia perlu mengatasi banyak cabaran. Paulus sering kali membuat perjalanan yang jauh, dan hal itu tidak mudah dilakukan pada masa itu. Kadangkala, Paulus “menghadapi bahaya kerana sungai-sungai” dan “diancam perompak.” Dia juga pernah dianiaya oleh para penentang. (2 Kor. 11:23-27) Selain itu, rakan seiman Paulus tidak selalunya menghargai usahanya untuk membantu mereka.​—2 Kor. 10:10; Flp. 4:15.

6 Apakah yang membantu Paulus terus berkhidmat kepada Yehuwa? Paulus mempelajari banyak tentang keperibadian Yehuwa daripada Ayat-Ayat Suci dan daripada pengalamannya sendiri. Hasilnya, dia diyakinkan bahawa Tuhan Yehuwa mengasihinya, dan hal itu mendorongnya untuk mengasihi Yehuwa secara mendalam. (Rm. 8:38, 39; Ef. 2:4, 5) Kasih itu menggerakkan Paulus untuk terus ‘menolong umat suci Yehuwa.’​—Ibr. 6:10.

7. Apakah satu cara untuk memperdalam kasih kita kepada Yehuwa?

7 Kita dapat memperdalam kasih kita kepada Tuhan dengan rajin mengkaji Firman-Nya. Semasa membaca Bible, cuba fikirkan apa yang dapat anda pelajari tentang Yehuwa. Renungkan soalan-soalan seperti, “Bagaimanakah kisah ini menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi saya? Daripada kisah ini, apakah sebab-sebabnya saya patut mengasihi Yehuwa?”

8. Bagaimanakah doa dapat memperdalam kasih kita kepada Tuhan?

8 Satu lagi cara kita dapat memperdalam kasih kita kepada Yehuwa adalah dengan berdoa kepada-Nya setiap hari dan memberitahu-Nya perasaan kita. (Mzm. 25:4, 5) Apabila kita melihat Yehuwa menjawab doa kita, kita akan semakin mengasihi-Nya. (1 Yoh. 3:21, 22) Khanh, seorang saudari di Asia, berkata, “Pada mulanya, saya mengasihi Yehuwa kerana apa yang telah saya belajar tentang-Nya. Tetapi apabila saya melihat cara Dia menjawab doa saya, kasih saya terhadap-Nya menjadi semakin dalam. Hal itu mendorong saya untuk melakukan hal-hal yang menyenangkan hati-Nya.” b

MEMPERDALAM KASIH ANDA KEPADA ORANG LAIN

9. Bagaimanakah kata-kata Paulus menunjukkan bahawa Timotius berusaha untuk memperdalam kasihnya kepada orang lain?

9 Beberapa tahun selepas dia menjadi orang Kristian, Paulus bertemu dengan Timotius, seorang pemuda yang mengasihi Yehuwa dan orang lain. Paulus memberitahu sidang di Filipi, “[Timotius] benar-benar mengambil berat tentang kamu semua, dan aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya.” (Flp. 2:20) Bagi Paulus, yang penting bukanlah kebolehan Timotius dalam memberikan ceramah atau mengaturkan hal sidang, tetapi kasihnya terhadap saudara saudarinya. Sudah pasti, sidang-sidang menantikan kedatangan Timotius.​—1 Kor. 4:17.

10. Bagaimanakah Anna dan suaminya menunjukkan kasih kepada saudara saudari?

10 Kita ingin mencari peluang untuk membantu saudara saudari kita. (Ibr. 13:16) Perhatikan pengalaman Anna, yang disebut dalam rencana sebelumnya. Selepas ribut yang dahsyat melanda, dia dan suaminya melawat sebuah keluarga Saksi dan mendapati bahawa bumbung rumah mereka sudah roboh. Akibatnya, semua pakaian keluarga itu menjadi kotor. Anna berkata, “Kami mengambil pakaian mereka, membasuhnya, menyeterikanya, melipatnya, dan menghantarnya pulang kepada mereka. Bagi kami itu hal kecil saja, tetapi perbuatan itu membolehkan kami menjadi sahabat rapat sampai hari ini.” Kasih Anna dan suaminya mendorong mereka untuk memberikan bantuan yang praktikal.​—1 Yoh. 3:17, 18.

11. (a) Apakah perasaan orang lain apabila kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka? (b) Menurut Amsal 19:17, apakah perasaan Yehuwa apabila kita menunjukkan kasih?

11 Apabila kita baik hati dan menunjukkan kasih kepada orang lain, mereka dapat melihat bahawa kita sedang meniru pemikiran dan perbuatan Yehuwa. Kita bahkan mungkin tidak tahu bahawa mereka sangat menghargai kebaikan hati kita. Khanh, yang disebut sebelum ini, sangat menghargai bantuan yang diberikan kepadanya semasa dia masih muda. Dia berkata, “Saudari-saudari membawa saya keluar untuk menginjil. Mereka mengambil saya dari rumah, menjemput saya untuk makan, dan menghantar saya pulang. Sekarang barulah saya sedar bahawa mereka perlu mencurahkan banyak usaha untuk melakukan semua itu, dan mereka melakukannya kerana didorong oleh kasih.” Sudah tentu, bukan semua orang akan mengucapkan terima kasih atas apa yang kita lakukan untuk mereka. Tentang orang yang telah membantunya, Khanh berkata, “Saya berharap saya dapat membalas kebaikan hati yang ditunjukkan oleh saudara saudari, tetapi saya tidak tahu di mana mereka semua tinggal sekarang. Namun, Yehuwa tahu dan saya berdoa bahawa Yehuwa akan membalas kebaikan mereka terhadap saya.” Memang betul kata-kata Khanh. Yehuwa memperhatikan bahkan perbuatan kita yang paling kecil untuk membantu orang lain. Dia memandang usaha kita sebagai pengorbanan yang berharga dan menganggapnya seperti memberikan pinjaman kepada-Nya.​—Baca Amsal 19:17.

Apabila seseorang membuat kemajuan rohani, dia akan memikirkan cara untuk membantu orang lain (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah saudara-saudara dapat menunjukkan kasih kepada sidang? (Lihat juga gambar.)

12 Jika anda seorang saudara, bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih kepada orang lain dan berusaha membantu mereka? Seorang saudara muda yang bernama Jordan menanya seorang penatua bagaimana dia dapat melakukan lebih banyak kerja dalam sidang. Penatua itu memujinya atas kemajuannya dan memberinya beberapa cadangan, seperti tiba awal di Dewan Perjumpaan untuk bersalam dengan orang lain, memberikan komen di perjumpaan, menginjil secara tetap dengan kumpulan aktiviti penyebarannya, dan mencari cara untuk membantu orang lain. Dengan mengikut nasihat penatua itu, Jordan bukan sahaja mempelajari kemahiran baharu, tetapi kasihnya untuk saudara saudari juga bertambah dalam. Jordan belajar bahawa seorang saudara harus mula membantu saudara saudari sebelum menjadi pembantu sidang, dan terus berbuat demikian selepas dilantik.​—1 Tim. 3:8-10, 13.

13. Bagaimanakah kasih mendorong seorang saudara yang bernama Christian untuk berkhidmat semula sebagai penatua?

13 Bagaimana pula jika anda pernah berkhidmat sebagai pembantu sidang atau penatua? Yehuwa tidak melupakan kerja yang pernah anda lakukan kerana anda didorong oleh kasih kepada-Nya dan saudara saudari. (1 Kor. 15:58) Dia juga memerhatikan kasih yang anda terus tunjukkan. Seorang saudara yang bernama Christian telah diberhentikan sebagai penatua. Pada masa itu, dia memang berasa kecewa, tetapi dia berkata, “Biarpun saya bukan lagi seorang penatua, saya membuat keputusan untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya kerana saya mengasihi-Nya.” Beberapa lama kemudian, dia dilantik semula sebagai penatua. Saudara Christian mengaku, “Saya teragak-agak untuk berkhidmat semula sebagai penatua. Tetapi memandangkan Yehuwa berbelas kasihan terhadap saya dan mengizinkan saya untuk berkhidmat semula sebagai penatua, saya akan melakukannya kerana mengasihi-Nya dan saudara saudari saya.”

14. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata seorang saudari dari Georgia?

14 Umat Yehuwa juga menunjukkan kasih kepada orang lain. (Mat. 22:37-39) Sebagai contoh, Elena, seorang saudari dari Georgia, berkata, “Pada mulanya, saya keluar menginjil hanya kerana saya mengasihi Yehuwa. Namun, seraya kasih saya kepada Yehuwa semakin bertambah, kasih saya kepada orang lain juga semakin bertambah. Saya cuba bayangkan masalah mereka dan memikirkan topik yang dapat menyentuh hati mereka. Apabila saya sering berbuat demikian, keinginan saya untuk membantu mereka menjadi semakin kuat.”​—Rm. 10:13-15.

BERKAT YANG DIRAIH KERANA MENUNJUKKAN KASIH

Apabila kita menunjukkan kasih, hal itu dapat membawa berkat kepada banyak orang (Lihat perenggan 15-16)

15-16. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, apakah hasilnya jika kita menunjukkan kasih kepada orang lain?

15 Apabila kita menunjukkan kasih kepada rakan seiman, bukan mereka sahaja yang meraih manfaat. Selepas pandemik COVID-19 bermula, seorang saudara yang bernama Paolo dan isterinya mengajar ramai saudari yang lanjut usia cara menggunakan alat elektronik mereka untuk memberikan kesaksian. Kerana bantuan mereka, seorang saudari yang berasa susah untuk menggunakan alat elektronik pada mulanya dapat menjemput saudara-maranya untuk menghadiri Peringatan. Hasilnya, 60 orang daripada mereka telah hadir melalui persidangan video! Saudari itu dan saudara-maranya telah meraih manfaat kerana usaha Paolo dan isterinya. Saudari itu kemudiannya menulis kepada Paolo, “Terima kasih kerana mengajar kami yang lanjut usia ini. Saya tidak akan lupakan keprihatinan Yehuwa dan usaha kamu.”

16 Pengalaman sebegini mengajar Paolo bahawa kasih lebih penting daripada pengetahuan atau bakat. Dia berkata, “Dulu, saya seorang penyelia litar. Sekarang, saudara saudari mungkin sudah lupa ceramah saya, tetapi mereka masih ingat bagaimana saya pernah membantu mereka.”

17. Siapa lagi yang meraih manfaat apabila kita menunjukkan kasih?

17 Apabila kita menunjukkan kasih kepada orang lain, kita sendiri akan meraih manfaat dalam cara yang tidak dijangkakan. Fikirkan pengalaman Jonathan, yang tinggal di New Zealand. Suatu petang hari Sabtu yang panas, dia nampak seorang perintis menginjil seorang diri. Maka Jonathan merancang untuk menginjil bersamanya setiap Sabtu petang. Dia berfikir bahawa dia sedang membantu perintis itu, tetapi tanpa disangkanya, dia sendiri yang dibantu. Dia berkata, “Pada masa itu, saya tidak suka menginjil. Namun, semasa saya mendengar cara perintis itu mengajar dan hasil baik yang diraihnya, saya semakin suka kerja penyebaran. Saya juga mendapat seorang kawan baik yang membantu saya maju secara rohani, menikmati kerja penyebaran, dan menghampiri Yehuwa.”

18. Apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan?

18 Yehuwa mahu kita memperdalam kasih kita untuk-Nya dan orang lain. Seperti yang sudah kita belajar, kita dapat menguatkan kasih kepada Yehuwa dengan membaca dan merenungkan Firman-Nya dan berdoa kepada-Nya secara tetap. Kita dapat menguatkan kasih kita kepada saudara saudari dengan menghulurkan bantuan kepada mereka. Seraya kasih kita bertumbuh, kita akan semakin menghampiri Yehuwa dan keluarga rohani kita, dan kita akan menikmati persahabatan ini buat selama-lamanya!

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

a Tidak kira kita baru mengenali kebenaran atau sudah lama menyembah Yehuwa, kita semua dapat terus membuat kemajuan. Rencana ini akan membincangkan satu perkara yang dapat kita usahakan, iaitu terus memperdalam kasih kita terhadap Yehuwa dan orang lain. Semasa merenungkan maklumat dalam rencana ini, fikirkan kemajuan yang sudah anda buat dan bagaimana anda dapat terus membuat kemajuan.

b Sesetengah nama telah diubah.