Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 28

Elakkan Persaingan—Pupuklah Kedamaian

Elakkan Persaingan—Pupuklah Kedamaian

“Janganlah kita menjadi sombong, saling membangkitkan persaingan, dan iri hati terhadap satu sama lain.”​—GAL. 5:26.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah sikap suka bersaing dapat mempengaruhi seseorang?

RAMAI orang dalam dunia sekarang dipengaruhi sikap suka bersaing. Sebagai contoh, seorang ahli perniagaan mungkin menggunakan taktik kotor untuk mendahului pesaing yang lain. Seorang ahli sukan mungkin sengaja mencederakan pemain di pihak lawan supaya dia dapat menang. Seorang pelajar yang ingin memasuki universiti yang terkemuka mungkin menipu semasa menduduki ujian kemasukan universiti. Sebagai orang Kristian, kita tahu bahawa perbuatan ini salah kerana “terhasil daripada keinginan yang berdosa.” (Gal. 5:19-21) Namun, mungkinkah seorang penyembah Yehuwa membangkitkan semangat persaingan dalam sidang tanpa menyedarinya? Kita harus memikirkan soalan itu kerana semangat persaingan dapat menjejaskan perpaduan sidang.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sikap-sikap buruk yang mungkin menyebabkan kita ingin bersaing dengan saudara saudari kita. Kita juga akan mengkaji teladan lelaki dan wanita setia dalam Bible yang enggan dipengaruhi sikap suka bersaing. Mula-mula, mari kita membincangkan bagaimana kita dapat memeriksa niat hati kita.

PERIKSA NIAT HATI ANDA

3. Apakah soalan-soalan yang patut kita fikirkan?

3 Dari masa ke masa, periksalah niat hati anda. Tanyalah diri, “Adakah saya berasa diri sendiri bernilai hanya jika saya lebih baik daripada orang lain? Adakah saya bekerja keras dalam sidang kerana ingin menjadi yang terbaik atau menjadi lebih baik daripada saudara saudari tertentu? Atau adakah saya bekerja keras kerana ingin memberikan yang terbaik kepada Yehuwa?” Mengapakah soalan-soalan ini penting? Perhatikan apa yang dinyatakan dalam Firman Tuhan.

4. Seperti yang dinyatakan di Galatia 6:3, 4, mengapakah kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain?

4 Bible menasihati kita agar tidak membandingkan diri dengan orang lain. (Baca Galatia 6:3, 4.) Mengapa? Jika kita berasa kita lebih hebat daripada orang lain, kita mungkin akan menjadi sombong. Namun, jika kita berasa bahawa orang lain lebih hebat daripada kita, kita mungkin akan berasa tawar hati. Kedua-dua fikiran ini tidak sihat. (Rm. 12:3) Katerina, * seorang saudari dari Greece, berkata, “Dahulu, saya selalu membandingkan diri dengan orang yang nampaknya lebih cantik, lebih mahir menginjil, dan lebih pandai mencari kawan. Akibatnya, saya berasa diri tidak berguna.” Ya, kita mesti ingat bahawa Yehuwa memimpin kita kepada-Nya, bukan kerana kita memiliki rupa yang menawan, mahir berkata-kata, atau disukai ramai, tetapi kerana kita mengasihi-Nya dan sudi mentaati Anak-Nya.​—Yoh. 6:44; 1 Kor. 1:26-31.

5. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Saudara Hyun?

5 Satu lagi soalan yang dapat kita fikirkan ialah: “Adakah saya dikenali sebagai seorang yang suka berdamai? Atau adakah saya sering menimbulkan pertelingkahan?” Perhatikan pengalaman Saudara Hyun, seorang penatua di Korea Selatan. Untuk suatu masa, dia memandang mereka yang mempunyai tanggungjawab dalam sidang sebagai pesaing. Dia berkata, “Saya selalu mencari kesilapan mereka dan sering tidak setuju dengan kata-kata mereka.” Apakah akibatnya? Hyun mengaku, “Sikap saya menyebabkan perpecahan dalam sidang.” Beberapa orang kawan Hyun telah membantunya untuk menyedari masalahnya. Hyun telah membuat perubahan yang diperlukan, dan kini dia seorang penatua yang baik. Jika kita mendapati bahawa kita cenderung bersaing dengan orang lain dan bukannya memelihara kedamaian, kita mesti segera berubah.

MENJAUHI SIKAP SOMBONG DAN IRI HATI

6. Menurut Galatia 5:26, apakah sikap-sikap buruk yang dapat memarakkan semangat suka bersaing?

6 Baca Galatia 5:26. Apakah sikap-sikap buruk yang dapat memarakkan semangat suka bersaing? Pertama, sikap sombong. Seseorang yang sombong akan mementingkan diri. Kedua, sikap iri hati. Orang yang iri hati bukan sahaja menginginkan apa yang dimiliki oleh orang lain, tetapi juga ingin orang lain kehilangan apa yang dimiliki mereka. Dalam kata lain, seseorang yang iri hati terhadap orang lain sebenarnya membenci orang itu. Kita tentu tidak mahu dijangkiti sikap-sikap buruk ini!

7. Mengapakah sikap sombong dan iri hati berbahaya? Berikan contoh.

7 Sikap sombong dan iri hati dapat disamakan dengan bendasing yang mencemari bahan bakar yang digunakan dalam sebuah kapal terbang. Pada mulanya, kapal terbang itu mungkin masih dapat berlepas. Namun sebelum kapal terbang itu sempat mendarat, bendasing itu akan menyebabkan saluran minyak enjin tersumbat lalu enjin akan kehilangan kuasa. Akibatnya, kapal terbang itu akan terhempas. Begitu juga, seseorang yang hatinya dicemari sikap sombong dan iri hati masih dapat menyembah Yehuwa untuk suatu ketika. Tetapi lambat laun, dia akan “terhempas” secara rohani. (Ams. 16:18) Dia akan berhenti menyembah Yehuwa dan membawa masalah kepada dirinya dan orang lain. Jadi, bagaimanakah kita dapat menjauhi sikap sombong dan iri hati?

8. Bagaimanakah kita dapat melawan sikap sombong?

8 Kita dapat melawan sikap sombong dengan menerapkan nasihat Rasul Paulus kepada sidang Filipi: “Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.” (Flp. 2:3) Jika kita menganggap orang lain lebih baik daripada kita, kita tidak akan bersaing dengan mereka yang lebih berbakat atau berkebolehan daripada kita. Sebaliknya, kita akan tumpang gembira untuk mereka, terutamanya jika mereka menggunakan bakat mereka untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan memuji-Nya. Pada masa yang sama, jika saudara atau saudari yang berbakat menerapkan nasihat Paulus, mereka akan berfokus kepada sifat-sifat baik kita. Dengan ini, kita semua dapat memupuk kedamaian dan perpaduan dalam sidang.

9. Bagaimanakah kita dapat melawan sikap iri hati?

9 Kita dapat melawan sikap iri hati dengan memupuk kerendahan hati dan menyedari keterbatasan sendiri. Dengan itu, kita tidak akan cuba membuktikan bahawa kita lebih mahir atau lebih berkebolehan daripada orang lain. Sebaliknya, kita akan cuba belajar daripada orang yang lebih mahir. Contohnya, jika seorang saudara di sidang kita mahir memberikan ceramah umum, kita boleh bertanya kepadanya bagaimana dia menyediakan ceramahnya. Jika seorang saudari pandai memasak, kita boleh meminta petua memasak daripadanya. Jika seorang pemuda Kristian berasa susah untuk mencari kawan, dia boleh meminta nasihat daripada seseorang yang pandai mencari kawan. Dengan melakukan hal-hal ini, kita dapat meningkatkan kemahiran kita dan mengelak daripada bersikap iri hati.

BELAJAR DARIPADA WATAK-WATAK BIBLE

Oleh sebab Gideon rendah hati, dia dapat berdamai dengan orang daripada suku Efraim (Lihat perenggan 10-12)

10. Apakah cabaran yang dihadapi Gideon?

10 Perhatikan apa yang berlaku antara Gideon daripada suku Manasye dengan orang daripada suku Efraim. Dengan bantuan Yehuwa, Gideon dan 300 orang askarnya telah meraih kemenangan yang besar atas musuh mereka, dan hal itu boleh menyebabkan mereka menjadi sombong. Selepas itu, orang daripada suku Efraim pergi menemui Gideon, bukan untuk memujinya, tetapi untuk bergaduh dengannya. Nampaknya maruah mereka tercalar kerana pada mulanya, Gideon tidak menjemput mereka untuk melawan musuh Tuhan. Mereka begitu mengutamakan maruah suku mereka sehingga mereka lupa akan hal yang lebih penting, iaitu Gideon telah memuliakan nama Yehuwa dan melindungi umat-Nya.​—Hak. 8:1.

11. Bagaimanakah Gideon menjawab orang daripada suku Efraim?

11 Dengan rendah hati, Gideon menjawab orang daripada suku Efraim, “Pencapaian aku tidak dapat menandingi pencapaian kamu.” Kemudian, dia memberitahu mereka secara spesifik bagaimana Yehuwa telah membantu mereka untuk melakukan hal-hal yang luar biasa. Setelah mendengar kata-kata Gideon, “redalah kemarahan mereka.” (Hak. 8:2, 3) Ya, Gideon sudi merendahkan dirinya demi memelihara kedamaian dalam kalangan umat Tuhan.

12. Apakah yang kita pelajari daripada kisah Gideon dan orang daripada suku Efraim?

12 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini? Contoh orang daripada suku Efraim mengajar kita supaya tidak lebih mementingkan maruah diri daripada memuliakan Yehuwa. Ketua keluarga dan penatua pula dapat belajar sesuatu daripada Gideon. Jika seseorang tersinggung dengan apa yang anda lakukan, cubalah memahami pandangannya dan pujilah dia atas pencapaiannya yang baik. Untuk berbuat demikian, anda perlu rendah hati, terutamanya jika orang itu yang jelas bersalah. Namun, ingatlah bahawa menjaga kedamaian jauh lebih penting daripada menjaga air muka diri sendiri.

Oleh sebab Hana percaya Yehuwa akan membantunya, dia berasa tenang semula (Lihat perenggan 13-14)

13. Apakah cabaran yang dihadapi Hana, dan bagaimanakah dia mengatasinya?

13 Sekarang, fikirkan contoh Hana pula. Suaminya ialah seorang lelaki Lewi yang bernama Elkana. Elkana sangat mengasihi Hana, tetapi dia mempunyai seorang lagi isteri yang bernama Penina. Elkana lebih menyayangi Hana daripada menyayangi Penina. Meskipun begitu, Hana mandul sedangkan Penina mempunyai anak. Oleh itu, Penina “terus-menerus mencemuh Hana untuk menyakiti hatinya.” Akibatnya, Hana begitu sedih sehingga dia “menangis dan tidak mahu makan.” (1 Sam. 1:2, 6, 7) Namun, Bible tidak menyatakan bahawa Hana cuba membalas dendam. Sebaliknya, dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan percaya bahawa Dia pasti membantunya. Adakah sikap Penina terhadap Hana berubah selepas itu? Bible tidak memberitahu kita. Namun, kita tahu bahawa Hana telah mendapat semula dan memelihara ketenangannya kerana Bible menyatakan bahawa “mukanya tidak sedih lagi.”​—1 Sam. 1:10, 18.

14. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Hana?

14 Apakah yang kita pelajari daripada contoh Hana? Jika seseorang ingin bersaing dengan anda, ingatlah bahawa anda mampu mengawal reaksi anda. Anda boleh memilih untuk tidak bersaing dengan orang itu. Daripada membalas kejahatan dengan kejahatan, cubalah berdamai dengan orang itu. (Rm. 12:17-21) Walaupun dia enggan berubah, anda masih dapat tetap tenang dan gembira.

Oleh sebab Apolos dan Paulus sedar bahawa Yehuwalah yang memberkati kerja mereka, mereka tidak bersaing antara satu sama lain (Lihat perenggan 15-18)

15. Apakah persamaan antara Apolos dengan Paulus?

15 Akhir sekali, mari kita belajar daripada contoh Apolos dan Paulus. Mereka berdua sangat mengenali Ayat-Ayat Suci. Mereka merupakan guru yang mahir dan dikenali ramai. Selain itu, mereka telah membantu ramai orang menjadi pengikut Yesus. Namun, mereka tidak bersaing antara satu sama lain.

16. Gambarkan keperibadian Apolos.

16 Apolos “lahir di Aleksandria,” yang merupakan pusat pendidikan yang terkenal pada abad pertama. Selain itu, dia seorang penceramah yang sangat mahir, dan dia “sangat memahami Ayat-Ayat Suci.” (Kis. 18:24) Jadi, semasa Apolos berkhidmat di Korintus, sesetengah orang Kristian di situ menyatakan bahawa mereka lebih menyukainya berbanding saudara-saudara lain, termasuk Paulus. (1 Kor. 1:12, 13) Adakah Apolos yang menyebabkan perpecahan itu? Tidak. Sebenarnya, tidak lama selepas Apolos meninggalkan Korintus, Paulus menggesanya untuk kembali ke situ. (1 Kor. 16:12) Paulus tentu tidak akan berbuat demikian jika Apolos telah menyebabkan perpecahan dalam sidang. Jelaslah, Apolos menggunakan kebolehannya untuk menyebarkan berita baik dan menguatkan saudara saudarinya. Dia juga seorang yang rendah hati. Sebagai contoh, Bible tidak menyatakan bahawa dia tersinggung semasa Priskila dan Akwila “menjelaskan jalan Tuhan dengan lebih tepat lagi kepadanya.”​—Kis. 18:24-28.

17. Bagaimanakah Paulus berusaha untuk mewujudkan kedamaian?

17 Paulus tahu akan pencapaian baik Apolos, tetapi dia tidak berasa tercabar. Sebaliknya, nasihatnya kepada sidang di Korintus menunjukkan bahawa dia rendah hati, menyedari keterbatasan diri, dan munasabah. Daripada meninggikan diri apabila sesetengah orang berkata, “Aku milik Paulus,” Paulus menghalakan semua pujian kepada Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus.​—1 Kor. 3:3-6.

18. Menurut 1 Korintus 4:6, 7, apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Apolos dan Paulus?

18 Apakah yang kita pelajari daripada teladan Apolos dan Paulus? Kita mungkin bekerja keras untuk Yehuwa dan mungkin membantu banyak orang maju sehingga dibaptis. Namun, kita perlu ingat bahawa apa sahaja kejayaan yang kita raih merupakan berkat Yehuwa. Contoh Apolos dan Paulus juga mengajar kita bahawa semakin banyak tanggungjawab kita dalam sidang, semakin besar peranan kita untuk menjaga kedamaian. Kita amat bersyukur apabila para saudara terlantik memberikan nasihat berdasarkan Firman Tuhan dan menghalakan perhatian, bukan kepada diri mereka, tetapi kepada teladan terbaik kita, Kristus Yesus. Hal ini demikian kerana usaha mereka menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang.​—Baca 1 Korintus 4:6, 7.

19. Apakah yang dapat kita masing-masing lakukan? (Lihat juga kotak “ Elakkan daripada Membangkitkan Persaingan.”)

19 Kita masing-masing mempunyai bakat dan kebolehan yang dikurniakan oleh Tuhan. Jadi, kita mahu menggunakannya “untuk berkhidmat kepada satu sama lain.” (1 Ptr. 4:10) Kita mungkin berasa bahawa apa yang dapat kita lakukan hanya perkara kecil. Namun, ingatlah bahawa sebagaimana sehelai baju dijadikan daripada banyak benang yang halus, perpaduan sidang terjalin dengan adanya banyak perbuatan baik yang kecil. Oleh itu, marilah kita berusaha keras untuk menyingkirkan apa-apa kecenderungan dalam hati kita untuk bersaing dengan saudara saudari kita. Semoga kita bertekad untuk melakukan apa sahaja yang terdaya untuk memelihara perpaduan dan kedamaian dalam sidang.​—Ef. 4:3.

LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’

^ per. 5 Sebuah tembikar yang mempunyai retakan akan mudah pecah. Begitu juga, sebuah sidang yang dipengaruhi sikap suka bersaing akan berpecah belah. Jika sebuah sidang tidak kuat dan tidak bersatu padu, saudara saudari tidak dapat menyembah Yehuwa dalam suasana yang damai. Rencana ini akan membincangkan mengapa kita patut mengelakkan sikap suka bersaing dan apa yang patut kita lakukan untuk memelihara kedamaian di sidang.

^ per. 4 Nama telah diubah.