Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Semoga Tuhan Menjayakan Segala Rancanganmu

Semoga Tuhan Menjayakan Segala Rancanganmu

‘Carilah kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.’​—MZM. 37:4.

LAGU: 135, 81

1. Apakah keputusan yang harus dibuat oleh kaum muda mengenai masa depan mereka, namun mengapakah mereka tidak perlu terlalu risau? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

“RANCANGLAH perjalanan anda sebelum bertolak.” Anak-anak muda, anda mungkin setuju bahawa nasihat itu bijak. Kehidupan kita umpama perjalanan, dan masa untuk merancang “perjalanan” itu adalah semasa anda masih muda. Hal itu tidak mudah. Seorang gadis bernama Heather berkata, “Saya takut membuat pilihan yang akan mempengaruhi seumur hidup saya.” Namun, usahlah risau, kerana Yehuwa berfirman, ‘Jangan cemas kerana Akulah Tuhan kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu.’​—Yes. 41:10.

2. Bagaimanakah anda tahu bahawa Yehuwa ingin anda merancang untuk masa depan yang bahagia?

2 Yehuwa menggalakkan anda untuk merancang masa depan dengan bijak. (Pkh. 12:1; Mat. 6:20) Dia ingin anda hidup bahagia, dan hal itu ternyata melalui segala ciptaan-Nya yang indah dipandang, merdu didengar, dan enak dirasa. Fikirkan juga bagaimana Yehuwa menjaga kita dan mengajar kita haluan hidup yang terbaik. Kepada orang yang menolak nasihat-Nya, Yehuwa berfirman, “Kamu sengaja tidak mahu taat kepada-Ku . . . Sesungguhnya, [hamba-hamba-Ku] akan gembira, tetapi kamu akan dihina. Mereka akan menyanyi dengan gembira.” (Yes. 65:12-14) Ya, keputusan kita yang bijak akan memuliakan Yehuwa.​—Ams. 27:11.

RANCANGAN YANG MEMBAWA KEBAHAGIAAN

3. Apakah rancangan hidup yang disyorkan oleh Yehuwa?

3 Apakah rancangan hidup yang disyorkan oleh Yehuwa? Untuk hidup bahagia, anda perlu mengenal Tuhan dan berkhidmat kepada-Nya dengan setia, kerana itulah tujuan manusia diciptakan. (Mzm. 128:1; Mat. 5:3) Kita sangat berbeza daripada binatang. Binatang akan puas jika dapat makan, minum, dan beranak. Tetapi Tuhan ingin kita mendapat kebahagiaan dengan merancang hal-hal lain. Pencipta kita ialah “Tuhan yang penuh dengan kasih” dan “Tuhan yang gembira.” (2 Kor. 13:11; 1 Tim. 1:11) Memandangkan kita diciptakan menurut gambaran-Nya, kita akan bahagia jika kita meniru sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:27) Ayat Bible yang berbunyi, “lebih berbahagia memberi daripada menerima” merupakan kebenaran asas kehidupan. (Kis. 20:35) Oleh itu, Yehuwa ingin anda merancang masa depan berdasarkan kasih untuk Dia dan orang lain.​—Baca Matius 22:36-39.

4, 5. Apakah yang membuat Yesus bahagia?

4 Yesus merupakan teladan yang sempurna bagi kaum muda. Semasa dia kecil, dia pasti berseronok dan bermain. Bible menyatakan bahawa ada “waktu untuk tertawa” dan “waktu untuk menari.” (Pkh. 3:4) Yesus juga menghampiri Yehuwa dengan mengkaji Bible. Semasa dia berumur 12 tahun, guru-guru di Rumah Tuhan “kagum dengan daya pemahaman dan jawapannya.”​—Luk. 2:42, 46, 47.

5 Selepas Yesus menjadi dewasa, dia hidup bahagia kerana dia ‘suka melakukan kehendak Tuhan,’ seperti yang dinyatakan di Mazmur 40:9. Misalnya, dia “mengisytiharkan berita baik kepada orang miskin . . . dan mengumumkan kepada orang buta bahawa penglihatan mereka akan dipulihkan.” (Luk. 4:18) Yesus suka mengajar orang tentang Tuhan. (Baca Lukas 10:21.) Pernah sekali, selepas mengajar seorang wanita tentang ibadat sejati, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.” (Yoh. 4:31-34) Seperti Yesus, anda juga dapat bahagia dengan menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain.

6. Apakah manfaatnya jika anda membincangkan rancangan anda dengan orang Kristian yang berpengalaman?

6 Banyak orang Kristian gembira kerana merintis semasa muda. Bincanglah rancangan anda dengan mereka, kerana “rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat.” (Ams. 15:22) Mereka mungkin akan memberitahu anda bahawa khidmat sepenuh masa merupakan pendidikan yang membawa manfaat seumur hidup. Setelah diajar oleh Bapanya di syurga, Yesus terus dididik semasa menginjil di bumi. Contohnya, dia telah belajar bahawa menyebarkan berita baik dan memelihara kesetiaan di bawah cubaan akan mendatangkan sukacita. (Baca Yesaya 50:4; Ibr. 5:8; 12:2) Mengapakah khidmat sepenuh masa dapat membuat anda bahagia?

MENJADIKAN ORANG MURID YESUS​—KERJA YANG TERBAIK

7. Mengapakah banyak orang muda menikmati kerja menjadikan orang pengikut Kristus?

7 Yesus menyuruh kita ‘menjadikan orang pengikutnya dan mengajar mereka.’ (Mat. 28:19, 20) Kerja itu akan memuliakan Tuhan dan memberi anda kepuasan yang besar. Untuk melakukan apa-apa kerja, anda perlu masa untuk menjadi mahir. Saudara Timothy yang merintis semasa remaja berkata, “Saya suka berkhidmat sepenuh masa untuk Yehuwa, kerana itulah cara saya menunjukkan kasih kepada-Nya. Pada mulanya saya tiada pelajar Bible, tetapi setelah berpindah ke kawasan lain, saya mendapat beberapa orang pelajar dalam masa sebulan. Seorang pelajar saya mula menghadiri perjumpaan. Selepas dilatih selama dua bulan di Sekolah Bible untuk Saudara Bujang, * saya ditugaskan ke kawasan baharu dan dapat memulakan empat pembelajaran Bible. Saya suka mengajar orang, kerana saya nampak kuasa suci Tuhan mengubah mereka.”​—1 Tes. 2:19.

8. Bagaimanakah sesetengah orang muda meningkatkan usaha untuk menjadikan orang murid Yesus?

8 Sesetengah orang muda telah belajar bahasa asing. Jacob dari Amerika Utara menulis, “Semasa saya berumur tujuh tahun, saya ada banyak rakan kelas berbangsa Vietnam. Saya ingin beritahu mereka tentang Yehuwa, jadi saya merancang untuk belajar bahasa mereka. Saya membandingkan Menara Pengawal bahasa Inggeris dan bahasa Vietnam, dan mencari kawan di sidang bahasa Vietnam. Saya mula merintis pada usia 18 tahun. Kemudian, saya menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Bujang. Latihan itu amat berguna bagi saya sebagai perintis dan satu-satunya penatua di kumpulan bahasa Vietnam. Banyak orang Vietnam kagum kerana saya tahu bahasa mereka. Mereka menjemput saya masuk ke rumah, dan mereka biasanya sudi belajar Bible. Ada juga yang telah dibaptis.”​—Bandingkan Kisah 2:7, 8.

9. Mengapakah kerja menjadikan orang murid Yesus merupakan pendidikan yang bernilai?

9 Kerja menjadikan orang murid Yesus merupakan pendidikan yang bernilai. Melaluinya, anda akan belajar tabiat bekerja dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Anda juga akan menjadi lebih yakin dan tahu cara menyampaikan maksud tanpa menyinggung perasaan orang. (Ams. 21:5; 2 Tim. 2:24, nota kaki) Selain itu, kerja ini membawa sukacita yang besar kerana anda akan lebih mahir menggunakan Bible untuk mempertahankan iman anda. Anda juga akan belajar cara untuk bekerjasama dengan Yehuwa.​—1 Kor. 3:9.

10. Bagaimanakah anda dapat meraih sukacita biarpun kawasan penyebaran anda kurang berhasil?

10 Biarpun orang di kawasan anda kurang berminat, anda masih dapat menikmati kerja penyebaran. Kerja itu memerlukan semangat pasukan dan melibatkan seluruh sidang. Walaupun hanya seorang penyiar yang menjumpai individu yang kemudiannya dibaptis, semua penyiar telah menyertai kerja mencari, dan mereka semua dapat bersukacita. Brandon, yang telah merintis selama sembilan tahun di kawasan yang kurang berhasil, berkata, “Saya suka menginjil kerana itulah perintah Yehuwa. Saya mula merintis selepas tamat sekolah. Saya gembira untuk menggalakkan saudara-saudara muda di sidang dan melihat mereka maju secara rohani. Selepas menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Bujang, saya menerima tugasan baharu. Saya tidak pernah menemui orang yang membuat kemajuan sehingga dibaptis, tetapi orang lain pernah. Saya gembira kerana telah merancang untuk menginjil sepenuh masa.”​—Pkh. 11:6.

BERKAT YANG TIDAK DISANGKA

11. Apakah khidmat suci yang dinikmati banyak orang muda?

11 Terdapat banyak peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Contohnya, banyak orang muda menawarkan diri untuk membantu membina ratusan Dewan Perjumpaan. Projek pembinaan sebegini merupakan khidmat suci yang memuliakan Tuhan dan memberi anda peluang untuk menikmati pergaulan bersama rakan sekerja. Anda juga akan belajar mengutamakan keselamatan, bekerja dengan rajin, dan bekerjasama dengan para penyelia.

Banyak berkat menantikan pekhidmat sepenuh masa (Lihat perenggan 11-13)

12. Apakah peluang khidmat lain yang terbuka kepada perintis?

12 Kevin berkata, “Sejak kecil, saya ingin berkhidmat sepenuh masa. Akhirnya saya mula merintis semasa berumur 19 tahun. Saya bekerja separuh masa untuk seorang saudara dan belajar untuk memasang bumbung, tingkap, dan pintu. Kemudian saya menyertai pasukan bantuan bencana selama dua tahun untuk membina semula Dewan Perjumpaan dan rumah saudara saudari. Semasa saya dengar tentang keperluan di Afrika Selatan, saya memohon untuk pergi ke situ. Di Afrika, saya berpindah dari satu projek ke projek pembinaan yang lain dalam beberapa minggu. Kumpulan pembinaan kami seperti keluarga. Kami bekerja, mengkaji Bible, dan tinggal bersama-sama. Saya juga suka menginjil bersama penyiar tempatan setiap minggu. Rancangan yang dibuat semasa saya kecil telah membawa sukacita yang tidak disangka.”

13. Mengapakah kerja Bethel membawa sukacita?

13 Sesetengah orang yang berkhidmat sepenuh masa kini berkhidmat di Bethel. Kerja Bethel membawa sukacita kerana segala yang dilakukan di situ adalah untuk Yehuwa. Keluarga Bethel membantu menghasilkan makanan rohani. Dustin berkata, “Semasa berumur sembilan tahun, saya bermatlamat untuk berkhidmat sepenuh masa. Selepas tamat sekolah, saya mula merintis, dan dijemput ke Bethel satu tahun setengah kemudian. Di situ saya belajar guna mesin cetak dan memprogramkan komputer. Saya juga gembira kerana dapat dengar laporan terkini tentang kerja penyebaran sedunia. Saya suka bekerja di Bethel kerana kerja kami membantu orang mendekati Yehuwa.”

APAKAH RANCANGAN MASA DEPAN ANDA?

14. Bagaimanakah anda dapat merancang untuk berkhidmat sepenuh masa?

14 Bagaimanakah anda dapat merancang untuk berkhidmat sepenuh masa? Sifat-sifat rohani ialah kunci untuk berjaya dalam khidmat anda. Maka, kajilah Bible dengan tekun, renungkanlah maksudnya, dan carilah peluang untuk memberikan komen yang bermakna di perjumpaan. Semasa di bangku sekolah, berlatihlah untuk menjadi penginjil yang lebih mahir. Belajarlah untuk mengambil berat terhadap orang lain dengan menanyakan pendapat mereka dan mendengar jawapan mereka. Anda juga dapat menawarkan diri untuk membantu sidang, seperti membersihkan atau menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Yehuwa suka menggunakan orang yang rendah hati dan rela membantu. (Baca Mazmur 110:3; Kis. 6:1-3) Paulus menjemput Timotius untuk berkhidmat sebagai mubaligh setelah mendengar laporan yang baik daripada saudara-saudara.​—Kis. 16:1-5.

15. Bagaimanakah anda dapat merancang untuk mencari nafkah?

15 Pekhidmat sepenuh masa biasanya perlu mencari nafkah. (Kis. 18:2, 3) Mungkin anda dapat mengikuti kursus pendek yang membolehkan anda bekerja separuh masa. Semasa merancang, tanyalah penyelia litar dan perintis di litar anda tentang kerja yang sesuai untuk perintis. Kemudian, ‘serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.’​—Ams. 16:3; 20:18.

16. Apakah manfaat berkhidmat sepenuh masa semasa muda?

16 Yakinlah bahawa Yehuwa ingin anda “berpegang teguh” pada masa depan yang bahagia. (Baca 1 Timotius 6:18, 19.) Khidmat sepenuh masa membolehkan anda bergaul dengan pekhidmat sepenuh masa yang lain dan membantu anda menjadi matang. Banyak orang yang berkhidmat sepenuh masa semasa muda telah menikmati perkahwinan yang lebih bahagia. Biasanya, mereka yang merintis semasa bujang dapat terus merintis sebagai suami isteri.​—Rm. 16:3, 4.

17, 18. Bagaimanakah keinginan hati anda harus mempengaruhi rancangan anda?

17 Mazmur 20:5 menyatakan, “Semoga [Yehuwa] memberi kamu keinginanmu dan menjayakan segala rancanganmu.” Maka, renungkanlah hal-hal yang dilakukan Yehuwa sekarang dan sumbangan yang dapat anda berikan. Semasa merancang kehidupan anda, biarlah keinginan untuk menyenangkan hati Tuhan membimbing anda.

18 Khidmat sepenuh masa membawa kepuasan yang besar kerana cara hidup itu memuliakan Tuhan. Ya, ‘carilah kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.’​—Mzm. 37:4.

^ per. 7 Digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil.