RENCANA PEMBELAJARAN 1
LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu
Muliakanlah Yehuwa
AYAT TAHUNAN 2025: “Muliakanlah Yehuwa kerana nama-Nya yang gemilang.”—MZM. 96:8.
FOKUS
Mengetahui bagaimana kita dapat memberi Yehuwa kemuliaan yang layak diterima-Nya.
1. Ramai orang hari ini suka bertumpu kepada apa?
RAMAI orang hari ini suka bertumpu kepada diri sendiri. Contohnya di media sosial, mereka sanggup melakukan bermacam-macam hal untuk menarik perhatian kepada diri sendiri atau pencapaian mereka. Hanya segelintir orang yang mahu memuliakan Tuhan Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan maksud memuliakan Yehuwa dan apa yang mendorong kita untuk berbuat demikian. Kita juga akan membincangkan bagaimana kita dapat memuliakan Tuhan dan bagaimana Dia sendiri akan memuliakan nama-Nya pada masa depan.
MAKSUD MEMULIAKAN YEHUWA
2. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kemuliaan-Nya di Gunung Sinai? (Lihat juga gambar.)
2 Apakah maksud “kemuliaan”? Dalam Bible, perkataan “kemuliaan” menggambarkan apa-apa yang membuat seseorang dikagumi. Yehuwa menunjukkan kemuliaan-Nya yang besar tidak lama selepas Dia membebaskan bangsa Israel daripada perhambaan di Mesir. Bayangkan keadaannya: Jutaan orang Israel berkumpul di kaki Gunung Sinai untuk menghadap Tuhan mereka. Seluruh gunung diliputi dengan awan yang tebal. Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat berlaku, dan api yang besar bernyala-nyala di atas gunung. Ada guruh, kilat, dan bunyi trompet yang kuat sekali. (Kel. 19:16-18; 24:17; Mzm. 68:8) Orang Israel pasti sangat kagum semasa melihat Yehuwa menunjukkan kemuliaan-Nya.
3. Bagaimanakah manusia dapat memberi Yehuwa kemuliaan?
3 Bagaimana pula dengan manusia? Dapatkah kita memberi Yehuwa kemuliaan? Ya! Satu cara kita berbuat demikian adalah dengan memberitahu orang lain tentang kuasa dan sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan. Kita juga dapat memuliakan Tuhan dengan memuji-Nya atas segala hal yang dapat kita lakukan dengan bantuan-Nya. (Yes. 26:12) Perhatikan bagaimana Raja Daud memuliakan Yehuwa. Semasa berdoa di hadapan umat Israel, dia berkata, “Ya Yehuwa, Engkaulah Tuhan yang agung, perkasa, mulia, unggul, dan mengagumkan! Segala sesuatu di langit dan di bumi ialah milik-Mu.” Selepas Daud selesai berdoa, seluruh umat Israel “memuji Yehuwa.”—1 Taw. 29:11, 20.
4. Bagaimanakah Yesus memuliakan Yehuwa?
4 Semasa Yesus di bumi, dia memuliakan Yehuwa dengan mengakui bahawa Yehuwalah yang memberinya kuasa untuk melakukan mukjizat. (Mrk. 5:18-20) Yesus juga memuliakan Yehuwa melalui ajarannya dan cara dia melayan orang lain. Pernah sekali, semasa Yesus mengajar di rumah ibadat, seorang wanita yang telah dirasuk roh jahat selama 18 tahun juga berada di situ. Roh jahat itu menyebabkannya bongkok dan langsung tidak dapat berdiri tegak. Yesus mengasihani wanita itu lalu menghampirinya dan berkata dengan lembut, “Hai wanita, kamu disembuhkan daripada penyakitmu.” Kemudian Yesus meletakkan tangannya ke atas wanita itu, lalu wanita itu segera berdiri tegak dan “mula memuliakan Tuhan.” (Luk. 13:10-13) Wanita itu memuliakan Yehuwa kerana Yehuwa telah menyembuhkannya. Kita juga ada sebab yang baik untuk memuliakan Yehuwa.
MENGAPAKAH KITA MAHU MEMULIAKAN YEHUWA?
5. Mengapakah kita menghormati Yehuwa?
5 Kita memuliakan Yehuwa kerana kita sangat menghormati-Nya. Kita mempunyai banyak sebab untuk menghormati Yehuwa. Sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia mempunyai kuasa yang tidak terbatas. (Mzm. 96:4-7) Kebijaksanaan-Nya jelas kelihatan daripada segala yang diciptakan-Nya. Dia ialah Sumber kehidupan dan memberi kita apa yang diperlukan untuk terus hidup. (Why. 4:11) Dia setia. (Why. 15:4) Dia dapat melaksanakan segala yang diingini-Nya, dan Dia sentiasa menunaikan janji-Nya. (Yos. 23:14) Itulah sebabnya Nabi Yeremia berkata tentang Yehuwa, “Antara semua orang bijaksana daripada bangsa-bangsa dan di dalam semua kerajaan mereka, tiada sesiapa pun yang setanding dengan-Mu”! (Yer. 10:6, 7) Sememangnya kita mempunyai banyak sebab untuk menghormati Yehuwa. Namun, kita juga mengasihi-Nya. Mengapa?
6. Mengapakah kita mengasihi Yehuwa?
6 Kita memuliakan Yehuwa kerana kita sangat mengasihi-Nya. Kita mengasihi Yehuwa kerana Dia mempunyai banyak sifat yang baik. Dia pengasih dan berbelas kasihan. (Mzm. 103:13; Yes. 49:15) Oleh sebab Dia bersifat empati, Dia dapat memahami perasaan kita dan menyelami penderitaan kita. (Za. 2:8) Dia juga Tuhan yang mudah didekati dan mahu kita menjadi sahabat-Nya. (Mzm. 25:14; Kis. 17:27) Dia rendah hati dan sanggup “membongkokkan diri untuk melihat langit dan bumi. Dia mengangkat orang lemah dari debu.” (Mzm. 113:6, 7) Ya, kita ada banyak sebab untuk memuliakan Yehuwa!—Mzm. 86:12.
7. Kita diberi penghormatan besar untuk melakukan apa?
7 Kita memuliakan Yehuwa kerana kita mahu orang lain mengenali-Nya. Banyak orang tidak tahu kebenaran tentang Yehuwa. Mengapa? Kerana Syaitan telah membutakan minda mereka dengan menyebarkan dusta tentang Yehuwa. (2 Kor. 4:4) Syaitan membuat orang percaya bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang suka membalas dendam, tidak prihatin, dan menyebabkan banyak penderitaan di dunia. Namun kita tahu semua itu dusta belaka! Maka kita mempunyai penghormatan besar untuk membela nama Yehuwa dan memuliakan-Nya. (Yes. 43:10) Mazmur 96 mengajar kita cara untuk memuliakan Yehuwa. Sekarang kita akan membincangkan beberapa ayat dalam mazmur ini. Semasa kita berbuat demikian, fikirkanlah cara anda dapat memuliakan Yehuwa.
BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MEMULIAKAN YEHUWA?
8. Apakah satu cara kita dapat memuliakan Yehuwa? (Mazmur 96:1-3)
8 Baca Mazmur 96:1-3. Kita dapat memuliakan Yehuwa melalui kata-kata kita. Dalam ayat-ayat ini, umat Yehuwa dijemput untuk ‘bernyanyi kepada Yehuwa, memuji nama-Nya, mengumumkan berita baik tentang penyelamatan-Nya, dan menghebahkan kemuliaan-Nya kepada bangsa-bangsa.’ Inilah sesetengah cara kita dapat memuliakan Bapa kita yang di syurga. Orang Yahudi yang setia dan orang Kristian pada abad pertama tidak teragak-agak untuk membela reputasi Yehuwa. Mereka juga memberitahu orang lain tentang semua hal baik yang telah Tuhan lakukan demi mereka. (Dan. 3:16-18; Kis. 4:29) Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan mereka?
9-10. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Angelena? (Lihat juga gambar.)
9 Perhatikan pengalaman Angelena, a seorang saudari yang tinggal di Amerika Syarikat. Dengan berani, dia mempertahankan nama Yehuwa di tempat kerjanya. Oleh sebab dia pekerja yang baharu, dia dijemput untuk memperkenalkan diri kepada orang lain. Maka, Angelena menyediakan beberapa foto untuk menunjukkan betapa gembiranya kehidupannya sebagai Saksi. Namun, seorang rakan sekerja yang memperkenalkan diri sebelum giliran Angelena memberitahu orang lain bahawa dia dibesarkan sebagai Saksi dan mula mengolok-olokkan kepercayaan Saksi. Angelena berkata, “Jantung saya berdegup kencang. Tetapi saya fikir, ‘Adakah saya akan biarkan orang ini berbohong tentang Yehuwa? Atau adakah saya akan membela Tuhan saya?’”
10 Sebelum giliran Angelena bercakap, dia mengucapkan doa yang singkat dalam hatinya. Kemudian dia berkata kepada rakan sekerja itu dengan sopan, “Seperti kamu, saya dibesarkan sebagai Saksi, dan sampai hari ini, saya masih seorang Saksi.” Suasana ketika itu memang tegang, tetapi Angelena tetap bertenang semasa mengongsi foto daripada acara rohani yang pernah dihadirinya, dan dia menjelaskan kepercayaannya dengan hormat. (1 Ptr. 3:15) Apakah hasilnya? Selepas Angelena selesai bercakap, sikap rakan sekerjanya itu sudah berubah. Dia bahkan mengaku bahawa dia ada pengalaman manis bersama Saksi-Saksi Yehuwa semasa kecil. Angelena berkata, “Kita harus membela nama Yehuwa. Itulah penghormatan bagi kita.” Kita juga diberi penghormatan untuk memuji dan memuliakan Yehuwa bahkan semasa orang lain mencela-Nya.
11. Sejak dahulu lagi, bagaimanakah penyembah Yehuwa menerapkan prinsip di Mazmur 96:8?
11 Baca Mazmur 96:8. Kita dapat menggunakan harta milik kita untuk memuliakan Yehuwa. Itulah yang dilakukan oleh penyembah Yehuwa sejak dahulu lagi. (Ams. 3:9) Contohnya, orang Israel memberikan sumbangan untuk menyokong kerja membina dan menjaga Rumah Tuhan. (2 Raj. 12:4, 5; 1 Taw. 29:3-9) Murid-murid Yesus “menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.” (Luk. 8:1-3) Orang Kristian pada abad pertama juga menghantar wang untuk membantu rakan seiman mereka yang ditimpa kebuluran. (Kis. 11:27-29) Hari ini, kita juga dapat memuliakan Yehuwa melalui sumbangan kita.
12. Bagaimanakah sumbangan kita dapat memuliakan Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
12 Perhatikan satu pengalaman yang menunjukkan bagaimana sumbangan kita memuliakan Yehuwa. Pada tahun 2020, akibat kemarau yang berpanjangan di Zimbabwe, jutaan orang hampir mati kebuluran, termasuk seorang saudari yang bernama Prisca. Meskipun begitu, Prisca tetap keluar menginjil setiap hari Rabu dan Jumaat, bahkan semasa musim membajak. Apabila jiran-jirannya mentertawakannya dan berkata, “Kamu akan mati kelaparan,” Prisca akan menjawab dengan yakin, “Yehuwa tidak pernah mengabaikan penyembah-Nya.” Tidak lama kemudian, dia menerima barang-barang bantuan daripada organisasi kita yang disediakan dengan adanya sumbangan daripada saudara saudari. Jiran-jiran Prisca sangat kagum lalu memberitahunya, “Tuhan memang tidak mengabaikan kamu. Kami mahu belajar lebih banyak tentang-Nya.” Hasilnya, tujuh orang jirannya mula menghadiri perjumpaan.
13. Apakah yang harus kita lakukan untuk memuliakan Yehuwa? (Mazmur 96:9)
13 Baca Mazmur 96:9. Kita dapat memuliakan Yehuwa melalui kelakuan kita. Para imam harus bersih secara fizikal agar dapat berkhidmat di rumah Yehuwa. (Kel. 40:30-32) Namun bagi Yehuwa, kelakuan yang murni lebih penting daripada kebersihan fizikal. (Mzm. 24:3, 4; 1 Ptr. 1:15, 16) Maka kita harus berusaha keras untuk menanggalkan “keperibadian lama,” iaitu sikap dan amalan yang najis, dan mengenakan “keperibadian baharu,” iaitu pemikiran dan kelakuan yang mencerminkan sifat-sifat Yehuwa yang mulia. (Kol. 3:9, 10) Dengan bantuan Yehuwa, bahkan orang yang sangat ganas dan tidak bermoral pun dapat berubah dan mengenakan keperibadian baharu.
14. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Jack? (Lihat juga gambar.)
14 Perhatikan pengalaman Jack, seorang penjenayah yang begitu ganas dan berbahaya sehingga digelar Si Iblis. Jack telah dijatuhkan hukuman mati, tetapi sementara menunggu hukumannya dilaksanakan, dia bersetuju untuk belajar Bible dengan seorang saudara yang melawat penjaranya. Setelah belajar Bible, Jack menanggalkan keperibadian lamanya dan memenuhi syarat untuk dibaptis. Jack membuat perubahan yang begitu besar sehingga sesetengah pengawal penjara menitiskan air mata pada hari dia dihukum mati. Seorang pegawai di penjara itu berkata, “Dulu Jack ialah banduan yang paling jahat. Tetapi sekarang dia antara yang terbaik.” Seminggu selepas Jack dihukum mati, saudara-saudara yang mengendalikan perjumpaan di penjara setiap minggu nampak seorang banduan yang hadir buat kali pertama. Dia hadir kerana dia kagum melihat perubahan Jack dan ingin tahu bagaimana dia dapat menjadi penyembah Yehuwa. Pengalaman ini jelas menunjukkan bahawa kelakuan kita dapat memuliakan Yehuwa!—1 Ptr. 2:12.
BAGAIMANAKAH YEHUWA AKAN MEMULIAKAN NAMA-NYA TIDAK LAMA LAGI?
15. Tidak lama lagi, bagaimanakah Yehuwa akan menunjukkan kepada semua orang bahawa nama-Nya layak dimuliakan? (Mazmur 96:10-13)
15 Baca Mazmur 96:10-13. Ayat-ayat terakhir di Mazmur 96 menggambarkan Yehuwa sebagai Hakim dan Raja yang adil. Bagaimanakah Yehuwa akan memuliakan nama-Nya tidak lama lagi? Dia akan menghukum Babilon Besar kerana mencela nama-Nya yang suci. (Why. 17:5, 16; 19:1, 2) Pada masa itu, sesetengah orang yang menyaksikan kemusnahan Babilon Besar mungkin mula menyembah Yehuwa. Akhirnya, semasa Armagedon, Yehuwa akan memusnahkan seluruh sistem Syaitan yang jahat. Dia akan membinasakan semua orang yang menentang-Nya dan yang menghina nama-Nya, tetapi Dia akan menyelamatkan orang yang mengasihi dan mematuhi-Nya dan yang mahu memuliakan-Nya. (Mrk. 8:38; 2 Tes. 1:6-10) Selepas ujian terakhir yang akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, semua orang akan tahu bahawa nama Yehuwa layak dimuliakan. (Why. 20:7-10) Selepas itu, “sebagaimana lautan penuh dengan air, bumi juga akan penuh dengan pengetahuan tentang kemuliaan Yehuwa.”—Hab. 2:14.
16. Apakah tekad anda? (Lihat juga gambar.)
16 Bayangkan keadaannya semasa semua makhluk hidup memuliakan Yehuwa! Sementara menantikan masa itu tiba, semoga kita bertekad untuk menggunakan setiap kesempatan untuk memuliakan Tuhan kita. Untuk menekankan pentingnya berbuat demikian, Badan Pimpinan telah memilih Mazmur 96:8 sebagai ayat tahunan 2025: “Muliakanlah Yehuwa kerana nama-Nya yang gemilang.”
LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa
a Sesetengah nama telah diubah.