Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

Tirulah Sikap Yesus yang Rela Berkorban

Tirulah Sikap Yesus yang Rela Berkorban

“Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—KIS. 20:35.

LAGU 17 “Aku Rela”

PENGENALAN *

1. Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh umat Yehuwa?

BIBLE sudah lama menubuatkan bahawa umat Tuhan akan berkhidmat “dengan sukarela” kepada Yehuwa di bawah bimbingan Yesus. (Mzm. 110:3) Nubuat itu sedang menjadi kenyataan pada hari ini. Setiap tahun, umat Yehuwa menggunakan berjuta-juta jam untuk menginjil dan melakukannya tanpa dibayar. Selain itu, mereka meluangkan masa untuk membantu rakan seiman mereka dari segi fizikal, emosi, dan rohani. Para saudara yang terlantik juga sudi meluangkan banyak masa untuk membuat persiapan bagi bahagian perjumpaan dan membuat kunjungan penggembalaan. Apakah yang mendorong umat Tuhan untuk melakukan semua ini? Kasih kepada Yehuwa dan orang lain.​—Mat. 22:37-39.

2. Menurut Roma 15:1-3, apakah teladan yang diberikan oleh Yesus?

2 Yesus sentiasa mengutamakan kepentingan orang lain. Jika kita berusaha meniru teladannya, kita akan meraih manfaat. (Baca Roma 15:1-3.) Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kis. 20:35.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji beberapa pengorbanan yang dilakukan oleh Yesus untuk membantu orang lain dan bagaimana kita dapat meniru teladannya. Kita juga akan membincangkan bagaimana kita dapat menguatkan keinginan kita untuk membantu orang lain.

MENIRU TELADAN YESUS

Walaupun Yesus berasa penat, apakah reaksinya semasa orang ramai datang kepadanya? (Lihat perenggan 4)

4. Bagaimanakah Yesus mendahulukan kepentingan orang lain?

4Yesus membantu orang lain bahkan semasa dia penat. Fikirkan reaksi Yesus semasa orang ramai datang berjumpa dengannya di sebuah gunung yang mungkin terletak berhampiran Kapernaum. Sebelum itu, Yesus telah berdoa sepanjang malam, jadi dia pasti berasa sangat penat. Namun, semasa dia melihat orang ramai itu, dia berasa kasihan kerana ada antara mereka yang miskin dan sakit. Maka, dia bukan saja menyembuhkan mereka, tetapi juga menyampaikan salah sebuah ceramah yang paling menggalakkan dalam sejarah, iaitu Ceramah Di Atas Gunung.​—Luk. 6:12-20.

Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Yesus yang rela berkorban dalam kehidupan kita? (Lihat perenggan 5)

5. Semasa ketua keluarga berasa penat, bagaimanakah mereka dapat meniru sikap Yesus yang rela berkorban?

5Cara ketua keluarga berusaha meniru teladan Yesus. Bayangkan situasi ini: Setelah bekerja sehari suntuk, seorang ketua keluarga pulang ke rumahnya. Dia sangat letih dan terasa ingin membatalkan malam penyembahan keluarga untuk hari itu. Namun, dia merayu kepada Yehuwa untuk memberinya kekuatan. Yehuwa telah menjawab doanya dan dia dapat mengadakan penyembahan keluarga seperti yang dijadualkan. Pada malam itu, anak-anaknya telah mempelajari sesuatu yang penting, iaitu bagi ibu bapa mereka, menyembah Yehuwa merupakan hal yang terpenting dalam hidup.

6. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa Yesus sudi meluangkan masa untuk orang lain walaupun dia perlu bersendirian.

6Yesus sudi meluangkan masa untuk orang lain walaupun dia perlu bersendirian. Bayangkan perasaan Yesus apabila dia mendapat tahu bahawa kawannya, Yohanes Pembaptis telah dibunuh. Yesus pasti berasa sangat sedih. Bible berkata, “Apabila Yesus mendengar [tentang kematian Yohanes], dia beredar dari sana. Dia menaiki sebuah perahu, lalu pergi ke suatu tempat yang terpencil supaya dia dapat bersendirian.” (Mat. 14:10-13) Ramai antara kita pun ingin bersendirian semasa bersedih, begitu juga dengan Yesus. Namun, hasrat Yesus tidak tercapai. Semasa dia tiba di tempat yang terpencil itu, dia mendapati bahawa orang ramai sudah tiba di situ terlebih dahulu. Apakah reaksi Yesus? Dia memikirkan keperluan mereka dan “berasa kasihan terhadap mereka.” Dia sedar bahawa mereka memerlukan bantuan secara rohani dan dia segera membantu mereka. Maka, “dia mula mengajarkan [bukan sedikit, tetapi] banyak perkara kepada mereka.”​—Mrk. 6:31-34; Luk. 9:10, 11.

7-8. Bagaimanakah para penatua dapat meniru Yesus semasa rakan seiman mereka memerlukan bantuan? Berikan contoh.

7Cara penatua yang pengasih meniru teladan Yesus. Kita sangat menghargai usaha dan pengorbanan para penatua demi kita. Sebahagian besar kerja mereka tidak diketahui oleh saudara saudari. Contohnya, jika berlakunya kecemasan, ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital akan segera membantu saudara saudari. Selalunya, kecemasan seperti ini berlaku pada waktu tengah malam. Namun, para penatua sanggup mendahulukan rakan seiman yang ditimpa kesusahan kerana mereka dan keluarga mereka mengasihani saudara saudari mereka.

8 Para penatua juga membantu dalam kerja pembinaan Dewan Perjumpaan dan bangunan teokratik lain serta membantu mangsa bencana. Fikirkan juga penatua dalam sidang kita, yang meluangkan banyak masa untuk mengajar dan menggalakkan kita. Para saudara ini dan ahli keluarga mereka memang patut dipuji, dan kita berdoa agar Yehuwa memberkati sikap yang mereka tunjukkan. Sudah tentu, para penatua juga perlu seimbang. Mereka tidak patut meluangkan terlalu banyak masa dalam hal-hal sidang sehingga mengabaikan keluarga mereka.

CARA MEMUPUK SIKAP RELA BERKORBAN

9. Menurut Filipi 2:4, 5, apakah sikap yang harus dipupuk oleh semua orang Kristian?

9 Baca Filipi 2:4, 5. Bukan semua daripada kita ialah penatua, tetapi kita semua dapat meniru teladan Yesus dan memupuk sikap rela berkorban. Bible berkata bahawa Yesus “menjadi seperti seorang hamba.” (Flp. 2:7) Fikirkan maksud kata-kata itu. Seorang hamba yang baik akan sentiasa mencari peluang untuk menyenangkan hati tuannya. Kita merupakan hamba Yehuwa dan kita ingin berkhidmat untuk saudara saudari kita. Jadi, bagaimanakah kita dapat berkhidmat untuk Yehuwa dan saudara saudari kita dengan lebih baik lagi? Perhatikan cadangan-cadangan berikut.

10. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?

10Periksa sikap kita. Tanyalah diri, “Adakah saya sudi membuat pengorbanan untuk membantu orang lain? Sebagai contoh, jika saya diminta untuk melawat seorang saudara yang tua di pusat penjagaan atau membawa seorang saudari yang lanjut usia ke perjumpaan, apakah reaksi saya? Semasa bantuan diperlukan untuk membersihkan dewan konvensyen atau menyelenggarakan Dewan Perjumpaan, adakah saya segera menawarkan diri?” Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita telah berjanji bahawa kita akan menggunakan semua milik kita untuk berkhidmat kepada-Nya. Yehuwa ingin kita menggunakan masa, tenaga, dan harta milik kita, untuk membantu orang lain. Jadi apabila kita rela berbuat demikian, Yehuwa pasti berasa sangat gembira. Namun, jika kita mendapati bahawa sikap kita dalam hal ini perlu diperbaiki, apakah yang dapat kita lakukan?

11. Bagaimanakah doa dapat membantu kita memupuk sikap rela berkorban?

11Berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Apakah yang harus anda lakukan jika anda mendapati bahawa anda perlu menunjukkan sikap rela berkorban dengan lebih baik lagi, tetapi anda tidak mempunyai keinginan untuk melakukannya? Berdoalah kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Beritahulah Dia dengan jujur perasaan anda, dan mintalah Dia untuk memberi anda “keinginan dan kekuatan untuk bertindak.”​—Flp. 2:13.

12. Bagaimanakah saudara muda yang sudah dibaptis dapat membantu organisasi Yehuwa?

12 Jika anda seorang saudara muda yang sudah dibaptis, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda memiliki keinginan untuk melakukan lebih banyak kerja dalam sidang. Di sesetengah negara, bilangan penatua lebih banyak daripada pembantu sidang, dan ada ramai pembantu sidang yang sudah tua. Organisasi Yehuwa semakin berkembang, jadi kita memerlukan lebih banyak saudara yang muda untuk membantu saudara saudari. Jika anda sudi berkhidmat di mana sahaja yang memerlukan bantuan, anda pasti berasa gembira. Mengapa? Hal ini kerana anda akan menyenangkan hati Yehuwa, mengukir nama yang baik, dan berasa puas kerana dapat membantu orang lain.

Orang Kristian dari Yudea menyeberangi Sungai Yordan dan melarikan diri ke Kota Pella. Orang Kristian yang tiba di situ lebih awal mengedarkan makanan kepada rakan seiman mereka yang baru tiba (Lihat perenggan 13)

13-14. Apakah bantuan yang dapat kita berikan kepada saudara saudari kita? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

13Peka terhadap keperluan orang lain. Rasul Paulus menasihati orang Kristian berbangsa Ibrani, “Janganlah lupa untuk berbuat baik dan untuk mengongsi apa yang kamu miliki dengan orang lain, kerana korban-korban sebegitu menyenangkan hati Tuhan.” (Ibr. 13:16) Nasihat itu memang bijak. Tidak lama selepas menerima surat Paulus, orang Kristian di Yudea perlu meninggalkan rumah, perniagaan, dan saudara-mara mereka yang tidak seiman, lalu “melarikan diri ke kawasan pergunungan.” (Mat. 24:16) Pada masa itu, mereka tentu perlu membantu satu sama lain. Jika sebelum itu mereka sudah pun mengikut nasihat Paulus untuk saling membantu, mereka akan berasa lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat baharu.

14 Saudara saudari kita mungkin tidak selalu memberitahu kita tentang keperluan mereka. Contohnya, seorang saudara yang isterinya telah meninggal mungkin memerlukan bantuan dari segi makanan, pengangkutan, atau membuat kerja rumah. Dia mungkin tidak meminta bantuan kerana tidak mahu menyusahkan kita. Namun, jika kita menawarkan bantuan sebelum dia memintanya, dia mungkin akan sangat menghargainya. Janganlah kita menganggap bahawa orang lain akan membantunya, atau berfikir bahawa dia sendiri akan meminta bantuan jika dia memerlukannya. Tanyalah diri, “Jika saya berada dalam situasinya, apakah bantuan yang saya perlukan?”

15. Apakah yang harus kita lakukan jika kita mahu membantu orang lain?

15Mudah didekati. Sudah pasti anda mengenal saudara saudari dalam sidang anda yang selalu bersedia untuk membantu orang lain. Mereka sangat sudi membantu, dan mereka tidak membuat orang berasa bahawa hal itu membebankan. Kita tentu ingin meniru teladan mereka, bukan? Alan, seorang penatua yang berusia 40-an, ingin menjadi seorang yang mudah didekati. Semasa merenungkan contoh Yesus, Alan berkata, “Walaupun Yesus sangat sibuk, orang daripada pelbagai lapisan umur berasa mudah untuk mendekatinya dan tidak segan untuk meminta bantuannya. Mereka tahu bahawa Yesus sangat mengambil berat tentang mereka. Saya mahu menjadi seperti Yesus dan dikenali sebagai seorang yang mudah didekati, ramah, dan penyayang.”

16. Bagaimanakah kata-kata di Mazmur 119:59, 60 dapat membantu kita meniru teladan Yesus dengan teliti?

16 Jika kita tidak dapat meniru teladan Yesus dengan sempurna, janganlah tawar hati. (Yak. 3:2) Seorang pelajar tidak dapat meniru hasil seni gurunya dengan sempurna. Namun, jika dia belajar daripada kesilapannya dan terus berusaha meniru gurunya dengan teliti, dia pasti dapat membuat kemajuan. Begitu juga, jika kita menerapkan apa yang kita pelajari daripada Bible dan memperbaiki kelemahan kita, kita juga dapat meniru teladan Yesus dengan teliti.​—Baca Mazmur 119:59, 60.

SIKAP RELA BERKORBAN MEMBAWA MANFAAT

Para penatua yang meniru sikap Yesus yang rela berkorban dapat menjadi teladan yang baik untuk orang muda (Lihat perenggan 17) *

17-18. Apakah manfaatnya jika kita meniru sikap rela berkorban Yesus?

17 Apabila kita rela berkorban untuk membantu orang lain, hal itu dapat mendorong orang lain untuk menunjukkan sikap yang sama. Tim, seorang penatua, berkata, “Beberapa orang saudara di sidang saya telah menjadi pembantu sidang semasa mereka sangat muda. Salah satu sebab mereka membuat kemajuan ini adalah kerana mereka meniru sikap rela berkorban yang mereka perhatikan pada orang lain. Usaha dan pengorbanan mereka sangat berharga bagi sidang dan para penatua.”

18 Dunia ini penuh dengan orang yang mementingkan diri, tetapi umat Yehuwa sangat berbeza daripada mereka. Hati kita tersentuh kerana sikap Yesus yang rela berkorban, dan kita terdorong untuk meniru teladannya. Kita memang tidak dapat meniru teladannya dengan sempurna, tetapi kita dapat “mengikut jejaknya dengan teliti.” (1 Ptr. 2:21) Jika kita berusaha untuk berbuat demikian, kita akan bersukacita kerana kita menyenangkan hati Yehuwa.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

^ per. 5 Yesus selalu mendahulukan kepentingan orang lain. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara-cara untuk meniru teladannya. Kita juga akan melihat manfaat yang akan kita raih jika kita meniru sikap Yesus yang rela berkorban.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Danny, seorang saudara muda, melihat kasih yang ditunjukkan oleh dua orang penatua yang melawat bapanya di hospital. Teladan dua orang penatua itu telah mendorong Danny untuk mencari peluang untuk membantu orang lain di sidang. Ben, seorang lagi saudara muda, melihat Danny mengambil berat terhadap orang lain. Teladan Danny telah mendorong Ben untuk membantu membersihkan Dewan Perjumpaan.