Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 49

Pengajaran daripada Buku Imamat tentang Cara Melayan Orang Lain

Pengajaran daripada Buku Imamat tentang Cara Melayan Orang Lain

“Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”​—IM. 19:18.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang telah kita bincangkan dalam rencana sebelumnya? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

DALAM rencana sebelumnya, kita telah membincangkan beberapa nasihat daripada Imamat bab 19. Contohnya di ayat 3, Yehuwa menyuruh orang Israel menghormati ibu bapa mereka. Kita telah membincangkan cara untuk mengikut nasihat itu, iaitu dengan menjaga keperluan fizikal, emosi, dan rohani ibu bapa kita. Di ayat yang sama, orang Israel diingatkan untuk mematuhi hukum Sabat. Kita telah belajar bahawa biarpun kita tidak perlu mematuhi hukum Sabat, kita boleh mengikut prinsip di sebalik hukum itu dengan menetapkan masa setiap hari untuk kegiatan rohani. Apabila kita berbuat demikian, kita sedang berusaha untuk menjadi suci, seperti yang dinasihatkan di Imamat 19:2 dan 1 Petrus 1:15.

2 Dalam rencana ini, kita akan meneruskan perbincangan tentang Imamat bab 19. Kita akan belajar cara untuk bertimbang rasa terhadap orang yang kurang upaya, cara untuk berlaku jujur dalam urus niaga, dan cara untuk mengasihi orang lain. Dengan itu, kita dapat meniru Tuhan kita yang suci.

BERTIMBANG RASA TERHADAP MEREKA YANG KURANG UPAYA

Menurut Imamat 19:14, bagaimanakah kita patut melayan orang yang pekak atau buta? (Lihat perenggan 3-5) *

3-4. Menurut Imamat 19:14, bagaimanakah orang Israel harus melayan orang pekak dan orang buta?

3 Baca Imamat 19:14. Yehuwa menghendaki orang Israel bertimbang rasa terhadap orang yang kurang upaya. Sebagai contoh, mereka tidak boleh mengutuk seseorang yang pekak. Perbuatan mengutuk mungkin merangkumi perbuatan mengugut atau menyumpahi orang itu. Perbuatan sebegini sangat jahat kerana orang pekak itu tidak dapat mendengar apa yang dikatakan dan tidak dapat membela diri.

4 Ayat 14 juga menyatakan bahawa orang Israel dilarang ‘meletakkan batu sandungan di hadapan orang buta.’ Sebuah buku rujukan menyatakan, “Pada zaman kuno, [orang yang kurang upaya] di Timur Tengah sering ditindas dan dilayan dengan kejam.” Orang yang tidak berhati perut mungkin meletakkan sesuatu di depan seorang yang buta untuk mencederakannya atau mentertawakannya. Perbuatan yang sungguh kejam! Jadi, melalui perintah di ayat 14, Yehuwa mengajar umat-Nya bahawa mereka harus berbelas kasihan terhadap orang yang kurang upaya.

5. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan terhadap orang yang kurang upaya?

5 Yesus mengasihani orang yang kurang upaya. Setelah melakukan mukjizat untuk membantu mereka, Yesus menyuruh orang memberitahu Yohanes Pembaptis, “Orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, [dan] orang mati dibangkitkan.” Mukjizat-mukjizat yang dilakukan Yesus telah mendorong ramai orang untuk memuji Tuhan. (Luk. 7:20-22; 18:43) Orang Kristian ingin meniru teladan Yesus dan berbelas kasihan terhadap orang yang kurang upaya. Jadi, kita akan melayan orang sebegini dengan baik hati, bertimbang rasa, dan sabar. Memang benar, Yehuwa tidak memberi kita kuasa untuk melakukan mukjizat. Namun, Dia memberi kita penghormatan untuk mengongsi berita baik dengan orang yang buta secara fizikal atau rohani. Maka, kita ingin memberitahu mereka bahawa manusia akan menikmati kesihatan jasmani dan rohani yang sempurna di bumi firdaus nanti. (Luk. 4:18) Berita baik ini sudah pun mendorong ramai orang untuk memuji Tuhan.

BERLAKU JUJUR DALAM URUS NIAGA

6. Bagaimanakah Imamat bab 19 membantu kita lebih memahami Sepuluh Hukum?

6 Sesetengah ayat dalam Imamat bab 19 dapat membantu kita lebih memahami Sepuluh Hukum. Misalnya, perintah kelapan dalam Sepuluh Hukum menyatakan, “Jangan mencuri.” (Kel. 20:15) Seseorang mungkin berfikir bahawa jika dia tidak mengambil barang milik orang lain, dia sudah mematuhi perintah itu. Namun, dia mungkin mencuri dalam cara-cara yang lain.

7. Bagaimanakah seorang peniaga mungkin melanggar perintah “jangan mencuri”?

7 Seorang peniaga mungkin berfikir bahawa dia tidak mencuri kerana dia tidak pernah mengambil barang milik orang lain. Namun, dia mungkin “mencuri” semasa berniaga. Di Imamat 19:35, 36, Yehuwa berfirman, “Jangan menipu orang dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah. Kamu harus menggunakan alat pengukur dan alat penimbang yang tepat. Kamu juga harus menggunakan alat penyukat yang tepat, sama ada untuk menyukat cecair atau bahan kering.” Jika seorang peniaga menggunakan timbangan atau sukatan yang tidak tepat agar dapat menipu pelanggannya, dia sudah mencuri daripada mereka. Terdapat ayat-ayat lain dalam Imamat bab 19 yang menjelaskan hal ini.

Setelah merenungkan Imamat 19:11-13, apakah yang boleh difikirkan oleh orang Kristian yang memiliki perniagaan? (Lihat perenggan 8-10) *

8. Bagaimanakah Imamat 19:11-13 membantu orang Israel memahami prinsip di sebalik perintah kelapan dalam Sepuluh Hukum? Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip itu?

8 Baca Imamat 19:11-13. Imamat 19:11 menyatakan, “Jangan mencuri, . . . dan jangan memperlakukan orang lain secara tidak jujur.” Ayat itu mengaitkan perbuatan mencuri dengan berlaku tidak jujur dalam urus niaga. Dalam kata lain, jika seseorang menipu semasa berniaga, dia sedang mencuri. Jadi, dengan adanya butiran dalam Imamat 19:11-13, orang Israel dapat memahami prinsip di sebalik perintah kelapan dalam Sepuluh Hukum dan cara untuk mengamalkan prinsip itu dalam kehidupan seharian mereka. Bagaimanakah kita juga dapat menerapkan prinsip itu? Kita boleh memikirkan pandangan Yehuwa terhadap perbuatan mencuri atau perbuatan yang tidak jujur. Kemudian, kita boleh menanya diri, “Setelah merenungkan Imamat 19:11-13, adakah apa-apa dalam kehidupan saya yang perlu diubah, contohnya cara saya berniaga atau bekerja?”

9. Bagaimanakah perintah di Imamat 19:13 melindungi pekerja?

9 Terdapat satu lagi cara orang Kristian yang berniaga dapat berlaku jujur. Di hujung Imamat 19:13 terdapat perintah ini: “Jangan menahan upah pekerja kamu sampai keesokan hari.” Di negeri Israel, kebanyakan orang bekerja di ladang, dan pekerja upahan akan dibayar gaji setiap hari selepas mereka habis bekerja. Mengenai mereka, Yehuwa menjelaskan, “Dia miskin dan dia memerlukan upah itu untuk menyara hidupnya.” (Ul. 24:14, 15; Mat. 20:8) Jadi, jika seseorang menahan gaji pekerjanya, pekerja itu tidak akan ada wang untuk membeli makanan bagi keluarganya untuk hari itu.

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Imamat 19:13?

10 Dewasa ini, terdapat pekerja yang dibayar gaji setiap hari, atau yang dibayar sekali atau dua kali sebulan. Tidak kira apa keadaannya, prinsip di Imamat 19:13 masih boleh diterapkan. Sesetengah majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja mereka dengan membayar gaji yang terlampau rendah. Mereka tahu pekerja mereka tidak akan mencari pekerjaan lain kerana sudah terdesak dan tiada pilihan. Majikan sebegini sebenarnya sudah ‘menahan upah pekerja mereka.’ Orang Kristian yang merupakan majikan tentu ingin melayan pekerja mereka dengan adil. Sekarang, mari kita melihat satu lagi pengajaran daripada Imamat bab 19.

MENGASIHI ORANG LAIN SEPERTI MENGASIHI DIRI SENDIRI

11-12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa perintah di Imamat 19:17, 18 sangat penting?

11 Daripada Imamat 19:17, 18, kita dapat lihat bahawa Tuhan bukan sahaja ingin kita mengelak daripada berbuat jahat terhadap orang lain. (Baca.) Perhatikan perintah ini: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.” Orang Kristian yang ingin menggembirakan hati Tuhan mesti melakukan hal ini.

12 Yesus menunjukkan bahawa perintah di Imamat 19:18 sangat penting. Pernah sekali, seorang Farisi menanya dia, “Dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?” Yesus menjawab bahawa “hukum pertama dan hukum yang terpenting” adalah untuk mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, segenap jiwa, dan segenap akal. Kemudian, semasa menyebut hukum yang kedua terpenting, Yesus memetik Imamat 19:18 dan berkata, “Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’” (Mat. 22:35-40) Terdapat banyak cara untuk menunjukkan kasih kepada orang lain, tetapi mari kita perhatikan satu cara yang dinyatakan di Imamat bab 19.

13. Bagaimanakah Yusuf bertindak selaras dengan nasihat di Imamat 19:18?

13 Salah satu cara untuk menunjukkan kasih kepada orang lain adalah dengan mengikut nasihat di Imamat 19:18 yang berbunyi, “Jangan balas dendam dan jangan menaruh dendam.” Kita mungkin kenal akan orang yang berdendam selama bertahun-tahun terhadap rakan sekerja, rakan sekolah, saudara-mara, atau ahli keluarga mereka. Sepuluh orang abang Yusuf pun menaruh dendam terhadap Yusuf. Mereka begitu membencinya sehingga berbuat jahat terhadapnya. (Kej. 37:2-8, 25-28) Meskipun begitu, Yusuf tidak menyimpan dendam. Semasa dia diberi kedudukan tinggi dan dapat membalas kejahatan abang-abangnya, dia memilih untuk berbelas kasihan terhadap mereka. Tindakan Yusuf memang selaras dengan nasihat di Imamat 19:18.​—Kej. 50:19-21.

14. Mengapakah kita masih patut mematuhi prinsip di Imamat 19:18?

14 Yusuf memilih untuk mengampuni dan tidak berdendam atau membalas dendam. Itulah yang harus dilakukan oleh orang Kristian yang ingin menggembirakan Tuhan. Dalam contoh doa yang diajarkan oleh Yesus, dia juga menggesa kita agar mengampuni orang yang berdosa terhadap kita. (Mat. 6:9, 12) Rasul Paulus juga memberikan nasihat yang sama kepada rakan seimannya. Dia berkata, “Hai saudara-saudara yang dikasihi, janganlah membalas dendam.” (Rm. 12:19) Dia juga menggalakkan mereka, “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung.” (Kol. 3:13) Jelaslah, prinsip-prinsip Yehuwa tidak berubah dengan peredaran masa. Jadi, kita masih patut mematuhi prinsip di Imamat 19:18 pada zaman ini.

Kita tidak patut asyik menyentuh luka di badan kita. Begitu juga, kita tidak patut asyik berfikir tentang bagaimana orang lain melukai perasaan kita. Sebaliknya, kita harus cuba melupakan peristiwa itu (Lihat perenggan 15) *

15. Mengapakah kita harus mengampuni orang lain dan tidak mengungkit peristiwa yang sudah berlaku? Jelaskan dengan memberikan contoh.

15 Fikirkan contoh ini. Perasaan yang terluka boleh disamakan dengan luka di badan. Ada luka yang kecil, dan ada luka yang besar. Misalnya, semasa memotong sayur, kita mungkin terhiris jari kita. Luka itu mungkin menyakitkan tetapi tidak parah. Beberapa lama kemudian, luka itu akan sembuh dan kita mungkin tidak lagi ingat di mana luka itu. Begitu juga, orang lain mungkin mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti kita, tetapi perkara itu tidak serius dan seperti luka yang kecil. Dalam keadaan sedemikian, kita mungkin berasa mudah untuk memaafkan mereka. Bagaimana pula jika kita ada luka yang agak dalam? Luka itu mungkin perlu dijahit dan dibalut. Sekiranya kita asyik sentuh atau menggaru luka itu, luka itu akan menjadi lebih parah. Begitu juga, jika berlakunya sesuatu yang menyebabkan luka yang dalam di hati seseorang, dia mungkin asyik mengungkit peristiwa itu dan selalu berfikir tentang perasaannya yang terluka. Namun, jika dia menyimpan dendam, dia hanya merugikan dirinya sendiri. Bukankah lebih baik jika dia mengikut nasihat di Imamat 19:18?

16. Menurut Imamat 19:33, 34, bagaimanakah orang Israel harus melayan orang asing? Apakah pengajarannya bagi kita?

16 Semasa Yehuwa menyuruh orang Israel mengasihi orang lain, Dia tidak bermaksud mereka hanya patut mengasihi orang yang sebangsa dengan mereka. Perhatikan apa yang dinyatakan di Imamat 19:33, 34. (Baca.) Ayat-ayat itu jelas menyatakan bahawa orang Israel juga mesti mengasihi orang asing sepertimana mereka mengasihi diri sendiri, dan memperlakukan orang asing sepertimana mereka memperlakukan orang sendiri. Misalnya, orang Israel harus membenarkan orang asing dan orang miskin memungut sisa tuaian untuk menyara hidup. (Im. 19:9, 10) Orang Kristian zaman ini juga patut mematuhi prinsip tentang mengasihi orang asing. (Luk. 10:30-37) Bagaimana? Terdapat berjuta-juta pendatang asing di serata dunia, dan ada antara mereka yang mungkin tinggal berdekatan kita. Jadi, kita harus menghormati dan menjaga maruah mereka, tidak kira mereka ialah lelaki, wanita, atau kanak-kanak.

KERJA PENTING YANG TIDAK DISEBUT DI IMAMAT BAB 19

17-18. (a) Imamat 19:2 dan 1 Petrus 1:15 menggalakkan kita untuk melakukan apa? (b) Apakah kerja penting yang disebut oleh Rasul Petrus?

17 Imamat 19:2 dan 1 Petrus 1:15 menggesa umat Tuhan agar menjadi suci. Sebenarnya, Imamat bab 19 menyebut banyak perkara yang perlu kita lakukan atau elakkan agar dapat menerima perkenan Yehuwa, dan kita hanya sempat membincangkan beberapa perkara itu dalam dua rencana ini. * Daripada Kitab Yunani Kristian, kita belajar bahawa Yehuwa mahu kita mematuhi prinsip-prinsip daripada buku Imamat dalam kehidupan kita. Namun, Rasul Petrus menyebut satu lagi perkara yang penting.

18 Kita mungkin sudah melakukan pelbagai kegiatan rohani dan sering berbuat baik terhadap orang lain. Namun, Petrus menyebut satu perkara penting yang harus kita lakukan. Sebelum menggalakkan kita untuk menjadi suci dalam segala tingkah laku kita, Petrus menulis, “Persiapkanlah minda kamu untuk melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.” (1 Ptr. 1:13, 15) Apakah kerja yang dimaksudkannya? Petrus berkata bahawa saudara-saudara Kristus yang terurap akan “‘mengisytiharkan kemuliaan’ Dia yang telah memanggil” mereka. (1 Ptr. 2:9) Itulah kerja yang diamanahkan kepada semua orang Kristian pada zaman ini. Ya, kerja menginjil dan mengajar orang ialah kerja yang terpenting dan yang membawa manfaat yang terbesar kepada orang lain. Sebagai umat suci Tuhan, kita berbesar hati untuk melakukan kerja ini secara tetap dan dengan bersungguh-sungguh! (Mrk. 13:10) Apabila kita berusaha untuk mengikut prinsip-prinsip dalam Imamat bab 19, kita membuktikan bahawa kita mengasihi Tuhan, mengasihi orang lain, dan ingin “menjadi suci” dalam segala tingkah laku kita.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

^ per. 5 Hukum Musa menyebut banyak perkara yang perlu dilakukan dan dielakkan. Sebagai orang Kristian, kita tidak perlu mematuhi Hukum itu, tetapi jika kita belajar tentang perintah-perintah itu, kita dapat menunjukkan kasih kepada orang lain dan menyenangkan hati Tuhan. Rencana ini akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada Imamat bab 19.

^ per. 17 Ayat-ayat lain dalam Imamat bab 19 yang tidak dibincangkan dalam dua rencana ini menyebut tentang sikap berat sebelah, memfitnah, memakan darah, mengamalkan ilmu sihir dan ilmu ramal, dan perbuatan seks yang tidak bermoral.​—Im. 19:15, 16, 26-29, 31.​—Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang Saksi membantu seorang saudara yang pekak untuk berkomunikasi dengan doktor.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang memiliki bisnes mengecat memberikan gaji kepada pekerjanya.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari dapat melupakan luka yang kecil, tetapi adakah dia akan memilih untuk melupakan luka yang lebih besar?