Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 49

Pembangkitan—Harapan yang Pasti Tercapai!

Pembangkitan—Harapan yang Pasti Tercapai!

Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang.”​—KIS. 24:15.

LAGU 151 Dia Akan Memanggil

PENGENALAN *

1-2. Apakah harapan yang dimiliki para penyembah Yehuwa?

HARAPAN sangat penting. Sesetengah orang berharap untuk mempunyai perkahwinan yang bahagia, mempunyai anak-anak yang sihat, atau sembuh daripada penyakit yang serius. Sebagai orang Kristian, kita mungkin mengharapkan hal yang sama, tetapi kita mempunyai harapan yang lebih unggul. Kita mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya dan berjumpa semula dengan orang tersayang yang sudah meninggal.

2 Rasul Paulus berkata, “Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” (Kis. 24:15) Sebenarnya, Paulus bukanlah orang pertama yang bercakap tentang harapan pembangkitan. Ayub juga pernah meluahkan keyakinannya bahawa Tuhan akan mengingatnya dan membangkitkannya.​—Ayb. 14:7-10, 12-15.

3. Apakah manfaatnya jika kita mengkaji 1 Korintus bab 15?

3 “Pembangkitan orang mati” merupakan sebahagian daripada “ajaran asas” kepercayaan Kristian. (Ibr. 6:1, 2) Paulus telah membincangkan harapan pembangkitan di 1 Korintus bab 15, dan apa yang ditulisnya telah menguatkan iman orang Kristian abad pertama. Jika kita mengkaji apa yang ditulisnya, keyakinan kita terhadap harapan pembangkitan juga akan bertambah kuat, tidak kira berapa lama kita sudah mempercayai harapan itu.

4. Apakah yang memberi kita jaminan bahawa akan ada pembangkitan?

4 Pembangkitan Yesus Kristus merupakan jaminan bahawa jika orang tersayang kita meninggal, mereka akan dibangkitkan. Pembangkitan Yesus merupakan sebahagian daripada “berita baik” yang dikhabarkan oleh Paulus kepada orang Kristian di Korintus. (1 Kor. 15:1, 2) Paulus juga menyatakan bahawa jika seorang Kristian tidak percaya bahawa Yesus telah dibangkitkan, imannya sia-sia sahaja. (1 Kor. 15:17) Sesungguhnya, kepercayaan bahawa Yesus sudah dibangkitkan merupakan asas kepada harapan pembangkitan.

5-6. Mengapakah kata-kata di 1 Korintus 15:3, 4 begitu penting bagi kita?

5 Semasa Paulus menulis tentang pembangkitan, dia menyebut tiga kebenaran: (1) “Kristus telah mati untuk dosa kita.” (2) Dia “dimakamkan.” (3) Dia “dibangkitkan pada hari ketiga seperti yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci.”​—Baca 1 Korintus 15:3, 4.

6 Mengapakah kematian, pemakaman, dan pembangkitan Yesus begitu penting bagi kita? Nabi Yesaya menubuatkan bahawa Mesias akan “dilenyapkan dari negeri orang hidup” dan “dikuburkan bersama orang jahat.” Bukan itu sahaja, Yesaya menyatakan bahawa Mesias akan “menanggung dosa banyak orang.” Yesus telah berbuat demikian dengan mengorbankan nyawanya sebagai tebusan. (Yes. 53:8, 9, 12; Mat. 20:28; Rm. 5:8) Maka kematian, pemakaman, dan pembangkitan Yesus merupakan jaminan untuk harapan kita. Kita mempunyai asas yang kukuh untuk percaya bahawa kita akan dibebaskan daripada dosa dan kematian dan berjumpa semula dengan orang tersayang yang sudah meninggal.

DIBUKTIKAN OLEH BANYAK SAKSI

7-8. Mengapakah orang Kristian dapat yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan?

7 Untuk yakin sepenuhnya bahawa pembangkitan pasti berlaku, pertama-tamanya kita perlu percaya bahawa Yesus sudah dibangkitkan. Apakah bukti yang meyakinkan kita bahawa Yehuwa sudah membangkitkan Yesus?

8 Terdapat banyak orang yang menyaksikan dengan mata mereka sendiri bahawa Yesus sudah dibangkitkan. (1 Kor. 15:5-7) Orang pertama yang disebut oleh Paulus ialah Rasul Petrus, atau Kefas. Sekumpulan murid Yesus juga menyatakan bahawa Petrus telah melihat Yesus setelah Yesus dibangkitkan. (Luk. 24:33, 34) Selain itu, para rasul melihat Yesus setelah dia dibangkitkan. Kemudian Kristus juga “menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus.” Barangkali itulah peristiwa yang disebut di Matius 28:16-20. Yesus juga “menampakkan diri kepada Yakobus,” iaitu adik tirinya. Sebelum itu, Yakobus tidak percaya bahawa dia ialah Mesias. (Yoh. 7:5) Tetapi setelah melihat Yesus yang dibangkitkan, Yakobus beriman kepadanya. Paulus menulis suratnya sekitar tahun 55 M. Pada masa itu, ramai orang yang melihat Yesus setelah dia dibangkitkan, masih hidup. Oleh itu, sesiapa yang meragui pembangkitan Yesus dapat bertanya kepada mereka.

9. Bagaimanakah catatan di Kisah 9:3-5 juga membuktikan bahawa Yesus sudah dibangkitkan?

9 Kemudian, Yesus menampakkan diri kepada Paulus sendiri. (1 Kor. 15:8) Semasa Paulus, atau Saulus, dalam perjalanan ke Damsyik, dia mendengar suara Yesus dari syurga dan melihat cahaya kemuliaannya. (Baca Kisah 9:3-5.) Pengalaman Paulus merupakan satu lagi bukti bahawa Yesus benar-benar sudah dibangkitkan.​—Kis. 26:12-15.

10. Apakah yang dilakukan Paulus setelah dia yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan?

10 Pengalaman Paulus pasti memberikan kesan yang lebih mendalam kepada sesetengah orang kerana dia pernah menganiaya orang Kristian. Sebaik sahaja dia yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan, Paulus bekerja keras untuk meyakinkan orang lain bahawa Yesus sudah hidup semula. Dia sanggup dipukul, dipenjarakan, dan mengalami nahas kapal laut, untuk menyebarkan kebenaran ini. (1 Kor. 15:9-11; 2 Kor. 11:23-27) Paulus begitu yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan sehingga dia rela mati demi mempertahankan kepercayaannya. Setelah meneliti pengalaman orang Kristian abad pertama, tidakkah anda diyakinkan bahawa Yesus memang sudah dibangkitkan? Tidakkah pengalaman mereka menguatkan iman anda terhadap harapan pembangkitan?

MEMBETULKAN PANDANGAN YANG SALAH

11. Mengapakah sesetengah orang Kristian di Korintus mempunyai pandangan yang salah tentang pembangkitan?

11 Sesetengah orang Kristian di Korintus mempunyai pandangan yang salah tentang pembangkitan. Mereka bahkan berkata bahawa “orang mati tidak akan dibangkitkan.” (1 Kor. 15:12) Mengapakah mereka berfikir begitu? Mereka mungkin dipengaruhi oleh ahli falsafah dari Atena yang menganggap bahawa pembangkitan Yesus ialah ajaran yang bodoh. (Kis. 17:18, 31, 32) Yang lain pula mungkin berfikir bahawa pembangkitan akan berlaku secara kiasan. Mereka menganggap bahawa seseorang “mati” kerana berdosa, tetapi “hidup semula” apabila menjadi orang Kristian. Tidak kira apa alasan mereka, jika mereka tidak mempercayai pembangkitan, iman mereka sia-sia sahaja. Jika Tuhan tidak membangkitkan Yesus, maksudnya tebusan tidak dibayar dan semua orang masih berdosa. Jadi orang yang menolak ajaran pembangkitan tidak memiliki harapan.​—1 Kor. 15:13-19; Ibr. 9:12, 14.

12. Menurut 1 Petrus 3:18, 22, apakah perbezaan antara pembangkitan Yesus dengan pembangkitan yang berlaku sebelumnya?

12 Paulus telah menyaksikan dengan matanya sendiri bahawa “Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian.” Pembangkitan Kristus lebih unggul daripada pembangkitan yang berlaku sebelumnya kerana orang yang dibangkitkan sebelum Yesus akhirnya mati semula. Namun, Paulus juga menyatakan bahawa dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian, Yesuslah “orang pertama yang dibangkitkan.” Mengapakah Paulus berkata begitu? Hal ini demikian kerana Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan sebagai makhluk roh dan manusia pertama yang dibangkitkan ke syurga.​—1 Kor. 15:20; Kis. 26:23; baca 1 Petrus 3:18, 22.

‘ORANG YANG AKAN DIHIDUPKAN’

13. Bagaimanakah kematian satu orang dapat membawa kehidupan kepada jutaan orang?

13 Bagaimanakah kematian satu orang dapat membawa kehidupan kepada jutaan orang? Perhatikan jawapan Paulus. Dia menulis, “Sebagaimana kematian datang melalui satu orang, begitu juga orang mati dibangkitkan melalui satu orang.” Oleh sebab Adam mengingkari Tuhan dan berdosa, dia membawa kematian kepada dirinya dan keturunannya sampai hari ini. Begitu juga, oleh sebab Tuhan membangkitkan Anak-Nya Kristus, orang mati dapat dibangkitkan. Ya, “Sebagaimana semua orang mati kerana Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.”​—1 Kor. 15:21, 22.

14. Adakah Adam akan dibangkitkan? Jelaskan.

14 Semasa Paulus menulis, “Semua orang mati kerana Adam,” siapakah yang dimaksudkannya? Dia memaksudkan keturunan Adam yang akan mati kerana mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan daripada Adam. (Rm. 5:12) Namun Adam tidak tergolong antara orang yang akan dihidupkan. Dia tidak akan meraih manfaat daripada tebusan Kristus, kerana dia ialah orang sempurna yang sengaja mengingkari Tuhan. Oleh itu, Adam akan mati selama-lamanya seperti yang akan berlaku kepada “kambing” dalam perumpamaan Yesus.​—Mat. 25:31-33, 46; Ibr. 5:9.

Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan ke syurga (Lihat perenggan 15-16) *

15. Siapakah yang tergolong dalam “semua orang” yang akan dihidupkan?

15 Siapakah yang dimaksudkan oleh Paulus semasa dia menulis, “Semua orang akan dihidupkan kerana Kristus”? (1 Kor. 15:22) Suratnya ditujukan kepada orang Kristian terurap di Korintus yang akan dibangkitkan ke syurga. Jadi mereka juga tergolong dalam “semua orang” yang akan dihidupkan. Mereka “telah disucikan untuk bersatu dengan Kristus Yesus” dan “dipanggil oleh Tuhan untuk menjadi umat suci-Nya.” Dalam surat yang sama, Paulus menyebut tentang “pengikut Kristus yang sudah tidur dalam kematian.” (1 Kor. 1:2; 15:18; 2 Kor. 5:17) Dalam sepucuk surat yang lain, Paulus menulis bahawa pengikut Kristus yang ‘sudah mati seperti dia, juga pasti akan dibangkitkan seperti dia.’ (Rm. 6:3-5) Ya, sebagaimana Yesus dibangkitkan sebagai roh dan pergi ke syurga, semua pengikutnya yang terurap akan dibangkitkan dalam cara yang sama.

16. Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus semasa dia menggambarkan Yesus sebagai “orang pertama yang dibangkitkan”?

16 Paulus menulis bahawa Kristus ialah “orang pertama yang dibangkitkan” dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian. Biarpun terdapat orang lain seperti Lazarus yang dibangkitkan sebelumnya, Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan sebagai makhluk roh dan diberi kehidupan kekal. Dengan menggambarkan Yesus sebagai orang pertama yang dibangkitkan dalam cara sebegini, Paulus menunjukkan bahawa orang lain juga akan dibangkitkan ke syurga. Maksudnya, pada kemudian hari, para rasul dan pengikut Kristus yang terurap akan dibangkitkan seperti Yesus.

17. Bilakah pengikut Kristus yang terurap akan dibangkitkan ke syurga?

17 Semasa Paulus menulis suratnya kepada orang Kristian di Korintus, pembangkitan ke syurga belum lagi berlaku. Paulus menyatakan bahawa hal itu akan berlaku pada kemudian hari. Dia menulis, “Setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah orang yang pertama, kemudian mereka yang menjadi milik Kristus akan dibangkitkan semasa kehadirannya.” (1 Kor. 15:23; 1 Tes. 4:15, 16) Maksudnya, para rasul dan orang Kristian terurap yang sudah meninggal perlu menunggu sehingga ‘kehadiran’ Kristus untuk dibangkitkan ke syurga dan bersatu dengan Yesus. Sebenarnya kita sedang hidup pada masa kehadiran Kristus yang dinubuatkan itu.

HARAPAN KITA PASTI TERCAPAI!

18. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa pembangkitan lain akan berlaku selepas pembangkitan ke syurga? (b) Menurut 1 Korintus 15:24-26, apakah yang akan berlaku di syurga?

18 Bagaimana pula dengan semua orang Kristian yang tidak diberi harapan untuk hidup di syurga bersama Kristus? Mereka juga diberi harapan pembangkitan. Bible menyatakan bahawa Paulus dan orang lain yang dibangkitkan ke syurga diberi “pembangkitan yang lebih awal.” (Flp. 3:11) Kata-kata ini menunjukkan bahawa terdapat pembangkitan lain yang akan berlaku selepas pembangkitan ke syurga. Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan Ayub tentang masa depannya. (Ayb. 14:15) Orang Kristian terurap akan berada di syurga bersama Yesus semasa dia melenyapkan semua kerajaan dan kuasa. Yesus juga akan melenyapkan “musuh terakhir,” iaitu kematian. Ya, semua orang yang dibangkitkan ke syurga tidak akan mati lagi. Bagaimana pula dengan orang Kristian yang lain?​—Baca 1 Korintus 15:24-26.

19. Apakah harapan yang menantikan orang Kristian yang tidak akan dibangkitkan ke syurga?

19 Apakah harapan yang menantikan orang Kristian yang tidak akan dibangkitkan ke syurga? Jawapannya terdapat dalam kata-kata Paulus, “Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” (Kis. 24:15) Orang yang tidak baik tentu tidak akan pergi ke syurga. Jadi kata-kata Paulus menunjukkan bahawa pembangkitan akan berlaku di bumi pada masa depan.

Jika kita mempercayai harapan pembangkitan, kita dapat menantikan masa depan dengan yakin (Lihat perenggan 20) *

20. Bagaimanakah harapan anda telah diteguhkan?

20 Ya, kita yakin bahawa Tuhan akan membangkitkan orang mati. Semasa Kristus dan kaum terurap ‘memerintah sebagai raja selama 1,000 tahun,’ orang mati akan dibangkitkan di bumi dan berpeluang untuk hidup di bumi buat selama-lamanya. (Why. 20:6) Harapan ini dapat melegakan hati anda semasa orang tersayang anda meninggal. Jika anda meninggal sebelum Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, percayalah bahawa anda juga memiliki harapan pembangkitan. Sesungguhnya ‘harapan pembangkitan tidak akan mengecewakan kita.’ (Rm. 5:5) Harapan ini dapat menguatkan kita sekarang dan membolehkan kita menyembah Tuhan dengan sukacita. Namun, terdapat hal lain yang dapat kita pelajari daripada 1 Korintus bab 15. Rencana seterusnya akan membincangkan hal-hal itu.

LAGU 147 Kehidupan Abadi Dijanjikan

^ per. 5 Satu Korintus bab 15 membincangkan topik pembangkitan. Mengapakah ajaran pembangkitan begitu penting bagi kita? Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yesus sudah dibangkitkan? Rencana ini akan menjawab dua soalan tersebut dan soalan lain tentang pembangkitan.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan ke syurga. (Kis. 1:9) Murid-murid Yesus yang akan dibangkitkan ke syurga termasuk Tomas, Yakobus, Lidia, Yohanes, Maria, dan Paulus.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara kehilangan isterinya yang sudah menyembah Yehuwa bersamanya untuk masa yang panjang. Dia yakin bahawa isterinya akan dibangkitkan, dan dia terus menyembah Yehuwa dengan setia.