RENCANA PEMBELAJARAN 48
Anda Dapat Menghadapi Cabaran Hidup dengan Yakin
“‘Tabahkanlah hatimu, . . . Aku menyertai kamu semua,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.”—HAG. 2:4.
LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”
PENGENALAN a
1-2. Apakah persamaan antara cabaran yang kita hadapi hari ini dengan cabaran yang dihadapi oleh orang Yahudi yang kembali ke Yerusalem? (Lihat juga kotak “ Zaman Hagai, Zakharia, dan Ezra.”)
ADAKAH anda ada kalanya berasa risau tentang masa depan? Barangkali anda kehilangan kerja dan tidak tahu bagaimana anda dapat menyara keluarga. Atau anda mungkin risau tentang keselamatan keluarga anda kerana menghadapi keadaan politik yang tidak stabil, penganiayaan, atau tentangan semasa menginjil. Jika anda menghadapi mana-mana masalah ini, anda pasti dapat meraih manfaat daripada maklumat tentang bagaimana Yehuwa membantu orang Israel kuno semasa mereka menghadapi masalah yang serupa.
2 Orang Yahudi perlu sangat beriman untuk meninggalkan kehidupan yang selesa di Babilon lalu membuat perjalanan yang jauh ke sebuah negara yang tidak dikenali oleh kebanyakan daripada mereka. Tidak lama selepas mereka sampai di Yerusalem, mereka menghadapi masalah kewangan, keadaan politik yang tidak stabil, dan tentangan. Maka, ada dalam kalangan mereka yang berasa susah untuk bertumpu kepada kerja membina semula Rumah Yehuwa. Itulah sebabnya sekitar tahun 520 SM, Yehuwa mengutus dua orang nabi-Nya, iaitu Hagai dan Zakharia, untuk menyemarakkan semula semangat umat-Nya. (Hag. 1:1; Za. 1:1) Seperti yang akan kita lihat, galakan yang diberikan oleh nabi-nabi ini sangat berkesan. Namun sekitar 50 tahun kemudian, orang Yahudi mula hilang semangat lagi. Ezra, seorang penyalin hukum yang mahir, telah pergi ke Yerusalem dari Babilon untuk menggalakkan mereka agar mengutamakan penyembahan kepada Tuhan.—Ezr. 7:1, 6.
3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan? (Amsal 22:19)
3 Sepertimana nubuat Hagai dan Zakharia membantu umat Tuhan masa lalu untuk terus yakin pada Yehuwa semasa menghadapi tentangan, nubuat mereka juga dapat membantu kita hari ini untuk yakin akan sokongan Tuhan semasa kita menghadapi cabaran hidup. (Baca Amsal 22:19.) Dalam rencana ini, kita akan mengkaji nubuat Hagai dan Zakharia serta meneliti teladan Ezra. Kita juga akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan berikut: Bagaimanakah cabaran yang dihadapi oleh orang Yahudi yang pulang ke Yerusalem mempengaruhi mereka? Mengapakah kita patut mengutamakan kehendak Tuhan semasa menghadapi cabaran? Bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa semasa menghadapi kesusahan?
BAGAIMANA CABARAN HIDUP MEMPENGARUHI SEMANGAT ORANG YAHUDI
4-5. Apakah yang mungkin melemahkan semangat orang Yahudi untuk membina semula Rumah Tuhan?
4 Ada banyak kerja yang menantikan orang Yahudi yang pulang ke Yerusalem. Tanpa membuang masa, mereka membina semula mazbah Yehuwa dan meletakkan asas bagi Rumah Tuhan. (Ezr. 3:1-3, 10) Namun tidak lama kemudian, tumpuan mereka mula hilang. Mengapa? Selain membuat kerja di Rumah Tuhan, mereka juga perlu membina rumah sendiri, bercucuk tanam, dan menyara keluarga. (Ezr. 2:68, 70) Tambahan lagi, mereka menghadapi tentangan daripada musuh mereka yang berkomplot untuk menghentikan projek membina semula Rumah Tuhan.—Ezr. 4:1-5.
5 Orang Yahudi yang pulang ke Yerusalem juga menghadapi masalah ekonomi dan keadaan politik yang tidak stabil. Pada masa itu, Yerusalem berada di bawah kuasa Empayar Persia. Selepas Raja Kores dari Persia meninggal pada tahun 530 SM, dia digantikan oleh Cambyses. Cambyses mahu menakluki Mesir, maka dalam perjalanan ke Mesir, barangkali askar-askarnya telah meminta makanan, air, dan tempat tinggal daripada orang Israel. Hal ini pasti menyusahkan lagi hidup orang Israel. Pada awal pemerintahan Darius I, iaitu pengganti Cambyses, terdapat banyak masalah politik dan pemberontakan yang berlaku. Semua hal ini pasti membuat orang Yahudi risau tentang bagaimana mereka dapat menjaga keperluan keluarga sendiri. Oleh itu, sesetengah daripada mereka berasa bahawa itu bukanlah masanya untuk membina semula Rumah Yehuwa.—Hag. 1:2.
6. Menurut Zakharia 4:6, 7, apakah cabaran lain yang dihadapi oleh orang Yahudi, dan bagaimanakah Zakharia meyakinkan mereka?
6 Baca Zakharia 4:6, 7. Selain menghadapi masalah ekonomi dan politik, orang Yahudi juga perlu berdepan dengan penganiayaan. Pada tahun 522 SM, musuh mereka berjaya memujuk kerajaan Persia untuk mengharamkan kerja pembinaan semula Rumah Tuhan. Tetapi Zakharia meyakinkan orang Yahudi bahawa Yehuwa akan menggunakan kuasa suci-Nya untuk menyingkirkan apa-apa halangan yang timbul. Pada tahun 520 SM, Raja Darius mengizinkan orang Yahudi untuk membina semula Rumah Tuhan, dan bahkan memberi mereka wang serta mengarahkan gabenor tempatan untuk menyokong mereka.—Ezr. 6:1, 6-10.
7. Bagaimanakah Yehuwa memberkati orang Yahudi yang mengutamakan kehendak-Nya?
7 Melalui Hagai dan Zakharia, Yehuwa berjanji kepada umat-Nya bahawa Dia akan memberkati mereka jika mereka mengutamakan kerja pembinaan semula Rumah-Nya. (Hag. 1:8, 13, 14; Za. 1:3, 16) Selepas digalakkan oleh para nabi, orang Yahudi menyambung kerja pembinaan Rumah Tuhan pada tahun 520 SM, dan kerja itu siap dilakukan dalam masa kurang daripada lima tahun. Oleh sebab orang Yahudi mengutamakan kehendak Tuhan biarpun menghadapi cabaran hidup, Yehuwa bukan sahaja memberkati mereka dari segi kebendaan, tetapi juga dari segi rohani. Hasilnya, mereka menyembah Yehuwa dengan sukacita.—Ezr. 6:14-16, 22.
TERUS MENGUTAMAKAN KEHENDAK TUHAN
8. Bagaimanakah kata-kata di Hagai 2:4 membantu kita terus mengutamakan kehendak Tuhan? (Lihat juga nota kaki.)
8 Oleh sebab kesengsaraan besar semakin mendekat, penting bagi kita untuk ingat bahawa kerja penyebaran harus dilakukan dengan perasaan mendesak. (Mrk. 13:10) Namun, kita mungkin berasa susah untuk mengutamakan kehendak Yehuwa jika kita menghadapi masalah kewangan atau jika kerja penyebaran ditentang. Apakah yang dapat membantu kita mengutamakan Kerajaan Tuhan? Jika kita terus yakin bahawa “Yehuwa, ketua angkatan syurga” b berada di pihak kita, kita tidak akan berasa takut. Yehuwa akan menyokong kita selagi kita terus mengutamakan Kerajaan-Nya dan bukannya mengutamakan kepentingan sendiri.—Baca Hagai 2:4.
9-10. Bagaimanakah sepasang suami isteri merasai kebenaran kata-kata Yesus yang tercatat di Matius 6:33?
9 Perhatikan contoh Oleg dan Irina, c sepasang suami isteri yang merintis bersama-sama. Selepas berpindah untuk membantu sidang di tempat lain, keadaan ekonomi di negara mereka merosot, dan mereka hilang sumber pendapatan. Biarpun mereka tiada kerja yang tetap untuk hampir setahun, mereka sentiasa merasai bantuan dan sokongan Yehuwa. Mereka juga merasai bantuan daripada rakan seiman. Apakah yang membantu mereka untuk menghadapi cabaran? Mereka tetap mengutamakan kerja penyebaran semasa mencari kerja. Oleg, yang pada mulanya berasa murung, berkata, “Terus sibuk menginjil membantu kami untuk bertumpu kepada apa yang paling penting dalam kehidupan.”
10 Pada suatu hari, apabila mereka pulang dari menginjil, mereka nampak dua beg yang berisi barang keperluan rumah. Kemudian mereka mendapat tahu bahawa salah seorang kawan mereka telah membuat perjalanan sejauh kira-kira 160 kilometer untuk menghantar barang-barang itu. Oleg berkata, “Pada hari itu, kami sekali lagi merasai bantuan Yehuwa dan bantuan sidang. Kami yakin bahawa Yehuwa tidak akan melupakan hamba-hamba-Nya, tidak kira betapa besarnya cabaran yang mereka hadapi.”—Mat. 6:33.
11. Apakah hasilnya jika kita tetap mengutamakan kehendak Tuhan?
11 Yehuwa mahu kita terus bertumpu kepada kerja menyelamatkan orang dan menjadikan mereka pengikut Yesus. Seperti yang dibincangkan di perenggan 7, Hagai menggesa umat Tuhan untuk menyambung kerja pembinaan Rumah Tuhan. Biarpun projek itu sudah lama terbengkalai, mereka harus melakukannya dengan bersemangat, seolah-olah mereka sedang meletakkan asas Rumah Tuhan sekali lagi. Jika mereka berbuat demikian, Yehuwa berjanji Dia “akan memberkati” mereka. (Hag. 2:18, 19) Kita juga boleh yakin bahawa Yehuwa akan memberkati usaha kita jika kita mengutamakan kerja yang diberikan oleh-Nya.
MEMBINA KEYAKINAN KEPADA YEHUWA
12. Mengapakah Ezra dan orang Yahudi yang ingin kembali memerlukan iman yang kuat?
12 Pada tahun 468 SM, Ezra membuat perjalanan bersama kumpulan kedua orang Yahudi untuk pulang ke Yerusalem dari Babilon. Untuk membuat perjalanan itu, mereka memerlukan iman yang kuat. Mengapa? Mereka mungkin menjadi sasaran perompak kerana mereka membawa pulang banyak emas dan perak yang telah didermakan. (Ezr. 7:12-16; 8:31) Tambahan lagi, kota Yerusalem tidak selamat kerana tidak banyak orang tinggal di situ. Lagipun tembok dan pintu gerbangnya perlu diperbaiki. Apakah yang kita belajar daripada contoh Ezra tentang membina keyakinan kepada Yehuwa?
13. Bagaimanakah Ezra membina keyakinan kepada Yehuwa? (Lihat juga nota kaki.)
13 Ezra pernah melihat bagaimana Yehuwa menyokong umat-Nya semasa mereka menghadapi kesusahan. Pada tahun 484 SM, Ezra mungkin tinggal di Babilon ketika Raja Ahasweros mengeluarkan perintah untuk menghapuskan orang Yahudi di seluruh Empayar Persia. (Est. 3:7, 13-15) Pada masa itu, nyawa Ezra dan orang Yahudi yang lain dalam bahaya! Oleh itu, orang Yahudi “di setiap wilayah” berpuasa dan menangis. Sudah pasti, mereka juga berdoa kepada Yehuwa dan meminta bimbingan-Nya. (Est. 4:3) Akhirnya yang dibunuh itu, bukanlah mereka, tetapi musuh yang ingin membunuh mereka! (Est. 9:1, 2) Sudah tentu, apa yang berlaku pada masa itu membantu Ezra menghadapi cubaan lain pada masa depan dan menguatkan keyakinannya bahawa Yehuwa mampu melindungi umat-Nya. d
14. Apakah yang dipelajari seorang saudari setelah melihat bagaimana Yehuwa telah menjaganya?
14 Apabila kita melihat bagaimana Yehuwa menjaga kita sekarang, keyakinan kita terhadap-Nya akan bertambah kuat. Perhatikan contoh Saudari Anastasia yang tinggal di Eropah Timur. Dia terpaksa berhenti kerja kerana ingin tetap neutral. Dia berkata, “Inilah kali pertama dalam hidup, saya langsung tiada duit.” Dia menambah, “Saya menyerahkan semua masalah saya ke dalam tangan Yehuwa dan telah melihat bagaimana Yehuwa menjaga saya dengan baik. Jika saya hilang kerja lagi pada masa depan, saya tidak akan takut. Kalau Bapa saya yang di syurga dapat jaga saya hari ini, Dia pasti dapat jaga saya pada masa depan.”
15. Apakah yang membantu Ezra mengekalkan keyakinannya terhadap Yehuwa? (Ezra 7:27, 28)
15 Ezra telah merasai bantuan Yehuwa dalam hidupnya sendiri. Semasa merenungkan bagaimana Yehuwa telah menjaganya banyak kali, hal itu membantu Ezra mengekalkan keyakinannya terhadap Yehuwa. Perhatikan ungkapan “Yehuwa, Tuhanku, menyertaiku.” (Baca Ezra 7:27, 28.) Sebanyak enam kali, Ezra menggunakan ungkapan yang hampir sama dalam buku yang ditulisnya.—Ezr. 7:6, 9; 8:18, 22, 31.
16. Bagaimanakah kita dapat melihat dengan jelas bantuan Yehuwa dalam hidup kita? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
16 Jika kita mahu melihat dengan jelas bagaimana Yehuwa membantu kita menghadapi cabaran, kita perlu memberi Yehuwa peluang untuk bertindak bagi kita. Contohnya, jika kita mengerahkan keberanian untuk meminta cuti daripada majikan untuk menghadiri konvensyen, atau untuk mengubah jadual kerja supaya kita dapat menghadiri semua perjumpaan, hasilnya mungkin di luar jangkaan kita. Apabila kita melihat bagaimana Yehuwa membantu kita, keyakinan kita terhadap-Nya akan dikuatkan.
17. Bagaimanakah Ezra menunjukkan kerendahan hati semasa menghadapi masalah? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
17 Ezra berdoa kepada Yehuwa dengan rendah hati untuk meminta bantuan. Setiap kali Ezra berasa risau tentang tanggungjawabnya, dia berdoa kepada Yehuwa dengan rendah hati. (Ezr. 8:21-23; 9:3-5) Oleh sebab Ezra bergantung pada Yehuwa, orang di sekelilingnya terdorong untuk menyokongnya dan meniru imannya. (Ezr. 10:1-4) Seperti Ezra, apabila kita berasa risau tentang keperluan atau keselamatan keluarga kita, kita harus berdoa kepada Yehuwa dengan yakin.
18. Apakah yang dapat menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa?
18 Jika kita bergantung pada bimbingan Yehuwa dengan rendah hati dan menerima bantuan rakan seiman, keyakinan kita terhadap Yehuwa akan dikuatkan. Perhatikan contoh Erika, yang mempunyai tiga orang anak. Erika tetap yakin bahawa Yehuwa akan menjaganya, bahkan semasa menghadapi cubaan yang berat. Dalam masa yang singkat, dia telah kehilangan suaminya dan anaknya yang belum lahir. Mengenang kembali apa yang berlaku kepadanya, dia berkata, “Yehuwa dapat membantu kita dalam cara yang tidak kita jangkakan. Cara Yehuwa membantu kita sangat menakjubkan. Saya telah melihat bagaimana Yehuwa menjawab banyak doa saya melalui kata-kata dan perbuatan rakan seiman. Jika saya meluahkan isi hati kepada kawan-kawan, lebih senang bagi mereka untuk membantu saya.”
TERUS YAKIN PADA YEHUWA SAMPAI AKHIR
19-20. Apakah yang kita belajar daripada orang Yahudi yang tidak dapat pulang ke Yerusalem?
19 Kita juga dapat belajar daripada orang Yahudi yang tidak dapat pulang ke Yerusalem. Ada antara mereka yang tidak dapat pulang kerana sudah tua, sakit, atau situasi keluarga mereka tidak mengizinkannya. Walaupun begitu, mereka gembira untuk menyokong orang Yahudi yang pulang ke Yerusalem dengan memberi mereka sumbangan bagi Rumah Tuhan. (Ezr. 1:5, 6) Nampaknya, kira-kira 19 tahun selepas kumpulan pertama orang Yahudi kembali ke Yerusalem, orang Yahudi yang tinggal di Babilon masih menghantar hadiah atau sumbangan.—Za. 6:10.
20 Jika apa yang dapat kita lakukan untuk Yehuwa adalah terhad, kita dapat yakin bahawa Yehuwa menghargai usaha kita untuk menyenangkan hati-Nya. Bagaimanakah kita tahu? Pada zaman Zakharia, Yehuwa meminta nabi-Nya untuk membuat “sebuah mahkota” daripada emas dan perak yang dihantar oleh orang Yahudi yang tinggal di Babilon. (Za. 6:11) Tujuan mahkota ini adalah untuk “memperingati” sumbangan orang Yahudi yang tinggal di Babilon. (Za. 6:14) Jadi kita boleh yakin bahawa Yehuwa tidak akan melupakan usaha yang kita curahkan untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati pada masa kesusahan.—Ibr. 6:10.
21. Apakah yang dapat membantu kita menghadapi masa depan dengan yakin?
21 Sepanjang hari-hari terakhir, kita akan terus menghadapi kesusahan, dan kesusahan yang kita hadapi bahkan mungkin menjadi lebih teruk pada masa depan. (2 Tim. 3:1, 13) Namun, kita tidak perlu berasa terlalu risau. Kita mahu ingat kata-kata Yehuwa kepada umat-Nya pada zaman Hagai, “Aku menyertai kamu semua . . . Maka janganlah berasa takut.” (Hag. 2:4, 5) Kita juga dapat yakin bahawa Yehuwa akan terus menyertai kita selagi kita melakukan yang terbaik untuk-Nya. Dengan menerapkan apa yang kita belajar daripada nubuat Hagai dan Zakharia serta daripada teladan Ezra, kita dapat mengekalkan keyakinan kita kepada Yehuwa, tidak kira apa cabaran yang bakal kita hadapi.
LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!
a Rencana ini akan membantu menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa semasa kita menghadapi masalah ekonomi, keadaan politik yang tidak stabil, atau tentangan semasa menginjil.
b Ungkapan “Yehuwa, ketua angkatan syurga” muncul sebanyak 14 kali dalam buku Hagai. Ungkapan ini mengingatkan orang Yahudi dan mengingatkan kita bahawa Yehuwa mempunyai kuasa yang tidak terhad, dan Dia berkuasa ke atas para malaikat yang bagaikan askar di syurga.—Mzm. 103:20, 21.
c Sesetengah nama telah diubah.
d Ezra merupakan penyalin hukum Yehuwa yang mahir. Oleh itu, dia juga memiliki keyakinan yang kuat terhadap Firman Yehuwa, bahkan sebelum dia pulang ke Yerusalem.—2 Taw. 36:22, 23; Ezr. 7:6, 9, 10; Yer. 29:14.
e KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara meminta cuti daripada majikannya supaya dapat menghadiri konvensyen, tetapi majikannya menolak. Dia berdoa meminta bantuan dan bimbingan Yehuwa lalu menghadap majikannya sekali lagi. Dia menunjukkan surat jemputan konvensyen kepada majikannya dan menjelaskan pentingnya ajaran Bible. Majikannya berasa kagum dan mempertimbangkan semula keputusannya.