Pembaptisan—Syarat bagi Orang Kristian
“Pembaptisan . . . menyelamatkan kamu.”—1 PTR. 3:21.
1, 2. (a) Apakah reaksi sesetengah ibu bapa Kristian semasa anak mereka ingin dibaptis? (b) Mengapakah calon pembaptisan ditanya sama ada mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa atau tidak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
SAMBIL dilihat oleh ibu bapanya, seorang gadis yang bernama Maria berdiri bersama calon pembaptisan yang lain. Dengan suara yang lantang, dia menjawab dua soalan yang diajukan penceramah. Selepas itu, dia telah dibaptis.
2 Ibu bapa Maria berasa bangga dengan keputusannya untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Namun sebelum itu, ibu Maria tertanya-tanya, “Adakah Maria terlalu muda? Adakah dia faham bahawa pembaptisan itu sangat serius? Patutkah dia tunggu beberapa tahun lagi?” Banyak ibu bapa terfikir soalan sebegini semasa anak mereka meluahkan keinginan untuk dibaptis. (Pkh. 5:5) Sebenarnya, reaksi itu tidak menghairankan, kerana pembaktian dan pembaptisan ialah langkah yang terpenting dalam kehidupan orang Kristian. —Lihat kotak “ Sudahkah Anda Membaktikan Diri kepada Yehuwa?”
3, 4. (a) Bagaimanakah Rasul Petrus menggambarkan pentingnya pembaptisan? (b) Mengapakah pembaptisan dapat disamakan dengan pembinaan bahtera pada zaman Nuh?
3 Rasul Petrus mengaitkan pembaptisan dengan pembinaan bahtera Nuh. Dia menulis, “Peristiwa itu melambangkan pembaptisan yang kini menyelamatkan kamu.” (Baca 1 Petrus 3:20, 21.) Bahtera merupakan bukti yang dapat dilihat bahawa Nuh ingin melakukan kehendak Tuhan dengan sepenuh hati. Nuh telah melaksanakan tugasnya dengan setia, dan kerana imannya, Nuh dan keluarganya diselamatkan semasa Banjir. Apakah kaitan semua itu dengan pembaptisan?
4 Melalui bahtera, orang lain dapat melihat iman Nuh. Begitu juga, melalui pembaptisan, orang lain dapat melihat bahawa seseorang beriman kepada tebusan Kristus dan membaktikan diri kepada Yehuwa. Seperti Nuh, orang Kristian yang telah membaktikan diri mentaati Tuhan dan terus melakukan kerja yang diamanahkan oleh-Nya. Sebagaimana Nuh diselamatkan semasa Banjir, orang Kristian terbaptis yang tetap setia akan diselamatkan semasa dunia jahat ini berakhir. (Mrk. 13:10; Why. 7:9, 10) Itulah sebabnya pembaktian dan pembaptisan begitu penting. Orang yang berlambat-lambat untuk dibaptis mungkin akan kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya.
5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
5 Memandangkan pembaptisan ialah hal yang begitu serius, mari kita fikirkan tiga soalan ini: Apakah yang dikatakan Bible tentang pembaptisan? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum seseorang
dibaptis? Mengapakah kita harus ingat pentingnya pembaptisan semasa mengajar anak atau pelajar Bible kita?CATATAN BIBLE TENTANG PEMBAPTISAN
6, 7. (a) Apakah maksud pembaptisan Yohanes? (b) Apakah pembaptisan terpenting yang dilakukan oleh Yohanes?
6 Pembaptisan pertama yang dicatat dalam Bible dilakukan oleh Yohanes Pembaptis. (Mat. 3:1-6) Orang yang dibaptisnya menunjukkan bahawa mereka bertaubat atas perbuatan mereka yang melanggar Hukum Musa. Namun pembaptisan terpenting yang dilakukan Yohanes tidak ada kaitan dengan pertaubatan. Yohanes diberi penghormatan besar untuk membaptis Yesus, Anak Tuhan yang sempurna. (Mat. 3:13-17) Yesus tidak berdosa, jadi dia tidak perlu bertaubat. (1 Ptr. 2:22) Pembaptisan Yesus menunjukkan bahawa dia mempersembahkan dirinya untuk melakukan kehendak Tuhan.—Ibr. 10:7.
7 Semasa Yesus menginjil di bumi, murid-muridnya juga membaptis orang. (Yoh. 3:22; 4:1, 2) Pembaptisan yang dilakukan mereka mempunyai tujuan yang sama dengan pembaptisan Yohanes, iaitu untuk orang yang bertaubat atas perbuatan mereka yang melanggar Hukum Musa. Namun, selepas Yesus mati dan dibangkitkan, para pengikutnya dibaptis untuk sebab yang berbeza.
8. (a) Setelah Yesus dibangkitkan, apakah perintah yang diberikannya kepada para pengikutnya? (b) Mengapakah orang Kristian harus dibaptis?
8 Pada tahun 33 M, setelah Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang lelaki, wanita, dan mungkin kanak-kanak juga. Barangkali pada masa itulah dia berkata, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Mat. 28:19, 20; 1 Kor. 15:6) Yesus telah mengarahkan para pengikutnya untuk menjadikan orang muridnya. Dia juga menyatakan bahawa sesiapa yang ingin ‘memikul kuk’ sebagai muridnya perlu dibaptis. (Mat. 11:29, 30) Orang yang ingin menyenangkan hati Tuhan mesti mengakui dan menerima peranan Yesus dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa, barulah dia boleh dibaptis. Itulah satu-satunya pembaptisan dalam air yang diterima oleh Tuhan. Terdapat banyak catatan Bible yang membuktikan bahawa murid-murid baharu Kristus pada abad pertama memahami pentingnya pembaptisan dan mengambil langkah itu tanpa berlengah-lengah.—Kis. 2:41; 9:18; 16:14, 15, 32, 33.
JANGAN BERLAMBAT-LAMBAT
9, 10. Apakah yang kita pelajari tentang pembaptisan daripada seorang lelaki Etiopia dan Rasul Paulus?
9 Baca Kisah 8:35, 36. Fikirkan lelaki Etiopia yang baru sahaja beribadat di Yerusalem dan sedang dalam perjalanan pulang. Malaikat Yehuwa menyuruh Filipus untuk mendekati lelaki itu dan memberitahunya “berita baik tentang Yesus.” Apakah reaksi lelaki itu? Dia sangat menghargai kebenaran yang dipelajarinya dan ingin bertindak selaras dengan aturan Yehuwa. Oleh itu, dia segera dibaptis.
10 Contoh kedua adalah tentang seorang lelaki berbangsa Yahudi. Walaupun bangsa itu sudah dibaktikan kepada Yehuwa, mereka kemudiannya kehilangan hubungan istimewa mereka dengan-Nya. Lelaki itu menganiaya orang Kristian kerana menyangka bahawa orang Yahudi masih diterima Tuhan. Tetapi Yesus Kristus sendiri Kis. 9:17, 18; Gal. 1:14) Anda pasti kenal lelaki Yahudi itu; dialah Rasul Paulus. Namun cuba fikirkan tindakannya: Sebaik sahaja dia memahami kebenaran tentang peranan Yesus dalam tujuan Tuhan, dia segera dibaptis.—Baca Kisah 22:12-16.
menampakkan diri dan memberikan kesaksian kepada lelaki itu. Apakah reaksinya setelah mengenali haluan yang lebih unggul? Dia rela menerima bantuan daripada Ananias, seorang murid Kristus, lalu dibaptis. (11. (a) Apakah yang mendorong pelajar Bible untuk dibaptis? (b) Apakah perasaan kita semasa melihat orang dibaptis?
11 Hari ini, pelajar Bible yang beriman dan benar-benar menghargai kebenaran, baik yang tua mahupun yang muda, akan memiliki keinginan untuk membaktikan diri dan dibaptis. Di setiap perhimpunan dan konvensyen, ceramah pembaptisan merupakan acara yang istimewa. Saksi-Saksi Yehuwa bersukacita apabila seorang pelajar Bible menerima kebenaran dan terus maju sehingga dibaptis. Ibu bapa Kristian juga sangat gembira semasa melihat anak mereka dibaptis. Pada tahun aktiviti penyebaran 2017, lebih daripada 284,000 orang menunjukkan bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa dengan dibaptis. (Kis. 13:48) Jelaslah, mereka tahu bahawa orang Kristian perlu dibaptis. Namun, apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum dibaptis?
12. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum seseorang dibaptis?
12 Sebelum dibaptis, pelajar Bible perlu memupuk iman berdasarkan pengetahuan yang tepat tentang Tuhan, tujuan-Nya, dan aturan-Nya untuk menyelamatkan manusia. (1 Tim. 2:3-6) Iman itu akan mendorong pelajar tersebut untuk menolak hal yang dibenci Tuhan dan hidup selaras dengan kehendak Tuhan. (Kis. 3:19) Sudah pasti, jika kelakuan seseorang membuatnya tidak layak memasuki Kerajaan Tuhan, pembaktiannya juga tidak akan diterima Tuhan. (1 Kor. 6:9, 10) Namun, sekadar mematuhi piawaian moral Yehuwa tidak cukup. Untuk mengutamakan apa yang benar, seseorang juga perlu menghadiri perjumpaan, menginjil, dan membantu orang lain menjadi murid Yesus. Itulah kerja yang wajib dijalankan oleh pengikut Kristus yang sejati. (Kis. 1:8) Setelah mengambil semua langkah itu, barulah pelajar Bible itu dapat membaktikan diri kepada Yehuwa menerusi doa peribadi dan kemudiannya dibaptis di khalayak ramai.
MATLAMAT UNTUK PELAJAR BIBLE
13. Semasa mengajar orang, mengapakah kita mesti ingat bahawa pembaptisan ialah syarat yang harus dipenuhi oleh orang Kristian?
13 Semasa kita membantu anak-anak dan pelajar Bible untuk mengambil beberapa langkah itu, ingatlah bahawa sesiapa yang ingin menjadi pengikut Kristus yang sejati mesti dibaptis. Maka, pada waktu yang sesuai, kita tidak akan teragak-agak untuk memberitahu mereka pentingnya pembaktian dan pembaptisan. Ya, kita mahu anak-anak dan pelajar Bible kita terus maju sehingga dibaptis!
14. Mengapakah kita tidak patut mendesak orang untuk dibaptis?
14 Sudah tentu, guru Bible, ibu bapa, atau ahli sidang, tidak patut mendesak sesiapa pun untuk dibaptis. Yehuwa tidak memaksa orang untuk menyembah-Nya. (1 Yoh. 4:8) Semasa kita mengajar, kita patut menekankan pentingnya menjalin hubungan peribadi dengan Tuhan. Apabila seorang pelajar benar-benar menghargai kebenaran dan ingin memikul tanggungjawab sebagai murid Kristus, dia akan didorong untuk dibaptis.—2 Kor. 5:14, 15.
15, 16. (a) Adakah orang perlu dibaptis pada umur tertentu? Jelaskan. (b) Mengapakah pelajar Bible yang pernah dibaptis dalam agama lain masih perlu dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa?
15 Tiada had umur untuk dibaptis. Setiap pelajar bertumbuh dan menjadi matang pada kadar yang berbeza. Ramai orang dibaptis semasa mereka muda, dan mereka tetap setia kepada Yehuwa. Yang lain mengenali kebenaran Bible lalu dibaptis setelah lanjut usia. Ada yang bahkan mengambil langkah itu semasa berusia lebih daripada 100 tahun!
16 Seorang wanita tua bertanya kepada guru Biblenya jika dia perlu dibaptis sekali lagi, kerana dia pernah dibaptis dalam beberapa agama. Namun, setelah mengkaji beberapa ayat Bible tentang hal itu bersama gurunya, dia faham bahawa dia perlu dibaptis lagi. Oleh itu, walaupun umurnya hampir mencecah 80 tahun, dia telah dibaptis tidak lama kemudian. Ya, pembaptisan yang diterima Yehuwa haruslah dibuat berdasarkan pengetahuan yang tepat tentang kehendak-Nya. Oleh itu, biarpun seseorang pernah dibaptis dalam agama lain, dia mesti dibaptis lagi.—Baca Kisah 19:3-5.
17. Apakah yang patut direnungkan pada hari pembaptisan?
17 Hari pembaptisan memang saat yang amat menggembirakan. Hari itu juga merupakan masa untuk merenungkan erti pembaktian dan pembaptisan secara mendalam. Kita perlu berusaha keras untuk menunaikan ikrar pembaktian kita. Itulah sebabnya Yesus mengatakan bahawa orang yang menjadi muridnya seperti memikul kuk. Ya, setelah membaktikan diri dan dibaptis, orang Kristian “tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka dan yang sudah dibangkitkan.”—2 Kor. 5:15; Mat. 16:24.
18. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
18 Sesungguhnya, pembaktian dan pembaptisan ialah langkah yang sangat serius. Itulah sebabnya ibu Maria terfikir tentang soalan-soalan yang dinyatakan pada awal rencana ini. Jika anda seorang ibu atau bapa, anda mungkin pernah tertanya-tanya, “Sudahkah anak saya bersedia untuk dibaptis? Adakah dia mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membaktikan diri kepada Tuhan? Haruskah dia mendapat pendidikan dan kerja sekular dahulu? Bagaimanakah jika anak saya melakukan dosa serius selepas dibaptis?” Kita akan mengupas soalan-soalan itu dalam rencana seterusnya dan membincangkan bagaimana ibu bapa Kristian dapat memupuk pandangan yang seimbang terhadap pembaptisan.