RENCANA PEMBELAJARAN 29
Sokonglah Yesus, Pemimpin Kita!
“Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.”—MAT. 28:18.
LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita
PENGENALAN *
1. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa hari ini?
HARI ini, Tuhan menghendaki agar berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan ke seluruh bumi. (Mrk. 13:10; 1 Tim. 2:3, 4) Kerja ini begitu penting bagi Yehuwa sehingga Dia melantik Anak-Nya untuk memimpin kerja ini. Kita yakin bahawa di bawah pimpinan Yesus, kerja penyebaran akan dilaksanakan seperti yang dikehendaki Yehuwa sebelum akhir tiba.—Mat. 24:14.
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yesus menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani dan mengaturkan para pengikutnya untuk melakukan kempen kerja penyebaran yang paling besar dalam sejarah manusia. (Mat. 24:45) Kita juga akan bincang bagaimana setiap seorang daripada kita dapat menyokong Yesus dan hamba yang setia.
YESUS MEMIMPIN KERJA PENYEBARAN
3. Apakah kuasa yang diberikan kepada Yesus?
3 Apakah yang meyakinkan kita bahawa Yesus sedang memimpin kerja penyebaran? Tidak lama sebelum dia kembali ke syurga, Yesus berjumpa dengan para pengikutnya yang setia di atas sebuah gunung di Galilea. Di situ, dia memberitahu mereka, “Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.” Perhatikan apa yang dikatakannya selepas itu: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.” (Mat. 28:18, 19) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia telah diberikan kuasa untuk memimpin kerja penyebaran.
4. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yesus masih sedang memimpin kerja penyebaran?
4 Yesus berkata bahawa murid-muridnya akan menginjil kepada “semua bangsa” dan membantu mereka untuk menjadi pengikutnya. Yesus juga berkata bahawa dia akan menyertai para pengikutnya “sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Kata-kata Yesus jelas menunjukkan bahawa dia akan terus memimpin kerja penyebaran sehingga zaman kita.
5. Bagaimanakah kita dapat membantu memenuhi nubuat di Mazmur 110:3?
5 Yesus tidak risau bahawa dia mungkin tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk menginjil semasa penghujung sistem ini. Sebaliknya, dia tahu bahawa nubuat ini dalam buku Mazmur akan menjadi kenyataan: “Pada hari Tuanku memimpin tentera untuk berperang, rakyat akan menolong dengan sukarela.” (Mzm. 110:3) Jadi, jika anda menyertai kerja penyebaran, anda sedang menyokong Yesus dan hamba yang setia, dan anda juga sedang membantu memenuhi nubuat dalam buku Mazmur itu. Walaupun kerja penyebaran sedang giat berlangsung, terdapat cabaran yang dihadapi para penginjil.
6. Apakah satu cabaran yang dihadapi para penginjil?
6 Satu cabaran yang dihadapi para penginjil ialah tentangan. Golongan murtad, pemimpin agama, dan ahli politik, telah memberi banyak orang tanggapan yang salah tentang kerja kita. Jika saudara-mara, kenalan, dan rakan sekerja kita mempercayai maklumat palsu itu, mereka mungkin menyuruh kita untuk berhenti menyembah Yehuwa dan berhenti menginjil. Di sesetengah negara, para penentang mungkin menggertak, mengugut, menangkap, dan bahkan memenjarakan saudara saudari kita. Hal ini tidak menghairankan kerana Yesus sudah menubuatkan, “Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana namaku.” (Mat. 24:9) Sebenarnya, kebencian yang kita hadapi membuktikan bahawa kita mendapat perkenan Yehuwa. (Mat. 5:11, 12) Walaupun Syaitan merupakan dalang di sebalik semua tentangan ini, dia tidak dapat mengalahkan Yesus. Dengan adanya sokongan Yesus, berita baik sedang dikhabarkan kepada orang daripada semua bangsa. Perhatikan buktinya.
7. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa nubuat di Wahyu 14:6, 7 sedang menjadi kenyataan?
7 Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh para penginjil ialah perbezaan bahasa. Namun, dalam buku Wahyu, Yesus menubuatkan bahawa masalah ini akan diatasi pada zaman kita. (Baca Wahyu 14:6, 7) Bagaimana? Kita sedang menyampaikan mesej tentang Kerajaan Tuhan kepada seberapa banyak orang yang mungkin. Contohnya, orang dari serata dunia hari ini dapat membaca bahan bacaan Bible di jw.org, yang tersedia dalam lebih daripada 1,000 bahasa! Selain itu, kebenaran telah diberikan untuk menterjemahkan bahan utama kita untuk menjadikan orang murid Yesus, iaitu buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, ke dalam lebih daripada 700 bahasa! Bukan itu sahaja, makanan rohani juga telah disediakan dalam bentuk video bagi orang pekak dan bahan bacaan bahasa Braille bagi orang buta. Ya, nubuat Bible sedang menjadi kenyataan! Orang daripada “semua bangsa dan bahasa” sedang mempelajari “bahasa yang murni,” iaitu kebenaran Bible. (Za. 8:23; Zef. 3:9) Semua ini dapat berlaku kerana pimpinan Yesus Kristus yang cekap.
8. Apakah hasil yang diperoleh daripada kerja penyebaran kita setakat ini?
8 Hari ini, lebih daripada 8,000,000 orang di 240 negara dan kawasan menyertai organisasi Yehuwa. Selain itu, lebih daripada 100,000 orang dibaptis setiap tahun! Lebih penting lagi, murid-murid Yesus yang baharu ini sedang mengenakan “keperibadian baharu,” iaitu sifat-sifat murni. (Kol. 3:8-10) Ramai daripada mereka tidak lagi bersikap ganas dan berprasangka, menghentikan gaya hidup yang tidak bermoral, dan tidak lagi dipengaruhi semangat patriotik. Nubuat di Yesaya 2:4 sedang menjadi kenyataan: ‘Mereka tidak belajar berperang lagi.’ Apabila kita berusaha keras untuk mengenakan keperibadian baharu, orang lain akan tertarik kepada organisasi Tuhan, dan kita membuktikan bahawa kita sedang mengikut teladan pemimpin kita, Kristus Yesus. (Yoh. 13:35; 1 Ptr. 2:12) Mengapakah semua itu dapat berlaku? Kerana Yesus sedang membantu kita.
YESUS MELANTIK HAMBA YANG SETIA
9. Menurut Matius 24:45-47, apakah yang dinubuatkan Yesus tentang hari-hari terakhir?
9 Baca Matius 24:45-47. Yesus menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, dia akan melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani. Maksudnya, hamba itu akan sangat sibuk pada zaman kita. Hal itu memang berlaku! Pemimpin kita telah menggunakan sekumpulan kecil saudara terurap untuk menyediakan “makanan [rohani] pada masa yang sesuai.” Saudara-saudara ini tidak menganggap diri sebagai tuan yang berkuasa atas iman orang lain. (2 Kor. 1:24) Sebaliknya, mereka sedar bahawa Yesus Kristuslah “pemimpin dan pemerintah” umatnya.—Yes. 55:4.
10. Bahan bacaan manakah dalam gambar ini yang membantu anda menempuh jalan yang menuju kehidupan kekal?
10 Sejak tahun 1919, hamba yang setia telah menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan, dan bahan bacaan itu telah membantu orang yang berminat untuk mempelajari kebenaran Bible buat kali pertama. Pada tahun 1921, hamba yang setia menyediakan buku The Harp of God untuk membantu orang yang berminat mempelajari ajaran asas Bible. Seraya masa berlalu, bahan bacaan lain telah disediakan. Bahan bacaan manakah yang membantu anda mengenali dan mengasihi Bapa Yehuwa? Adakah “Let God Be True,” The Truth That Leads to Eternal Life, You Can Live Forever in Paradise on Earth, Knowledge That Leads to Everlasting Life, Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, Apakah yang Diajarkan Bible?, atau Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, iaitu bahan bacaan terkini kita? Semua bahan bacaan ini disediakan tepat pada masanya untuk membantu kita menjadikan orang murid Yesus.
11. Mengapakah kita semua memerlukan makanan rohani?
11 Pengetahuan Bible yang mendalam sangat penting, bukan sahaja untuk orang yang baharu, tetapi juga untuk kita semua. Rasul Paulus menulis, “Orang matang memakan makanan yang keras.” Paulus juga menyatakan bahawa jika kita mengamalkan apa yang dipelajari, kita dapat “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibr. 5:14) Dalam dunia sekarang, standard moral kebanyakan orang semakin runtuh. Jadi kita mungkin berasa susah untuk mengikut standard Yehuwa. Namun, Yesus memastikan bahawa kita mendapat kekuatan yang diperlukan melalui makanan rohani yang disediakan berdasarkan Firman Tuhan, iaitu Bible. Di bawah arahan Yesus, hamba yang setia menyediakan dan mengedarkan makanan rohani ini.
12. Bagaimanakah kita memuliakan nama Tuhan seperti yang dilakukan oleh Yesus?
12 Seperti Yesus, kita memuliakan nama Tuhan. (Yoh. 17:6, 26) Misalnya, pada tahun 1931, kita mula menggunakan gelaran Saksi-Saksi Yehuwa, iaitu nama yang diambil daripada Bible. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa nama Tuhan sangat penting bagi kita dan bahawa kita ingin dikenali dengan nama Bapa kita yang di syurga. (Yes. 43:10-12) Sejak bulan Oktober pada tahun yang sama, nama Tuhan telah muncul pada muka depan setiap terbitan majalah Menara Pengawal. Selain itu, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya dalam Bible. Pandangan kita terhadap nama Tuhan sangat berbeza daripada gereja-gereja yang mengeluarkan nama Yehuwa daripada Bible mereka!
YESUS MENGATURKAN PARA PENGIKUTNYA
13. Apakah yang meyakinkan anda bahawa Yesus sedang menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” hari ini? (Yohanes 6:68)
13 Melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” Yesus mengaturkan para pengikutnya untuk membentuk sebuah organisasi yang menakjubkan di bumi bagi menjunjung ibadat sejati. Apakah perasaan anda terhadap organisasi ini? Anda mungkin memiliki perasaan yang sama seperti Rasul Petrus yang berkata kepada Yesus, “Kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.” (Yoh. 6:68) Fikirkan: Di manakah kita sekarang jika kita tidak menyertai organisasi Yehuwa? Melalui organisasi Tuhan, Yesus memastikan bahawa kita memiliki makanan rohani yang mencukupi. Dia juga melatih kita untuk menginjil dengan berkesan. Selain itu, dia membantu kita untuk mengenakan “keperibadian baharu” agar kita dapat menyenangkan hati Yehuwa.—Ef. 4:24.
14. Semasa pandemik COVID-19, apakah manfaat yang telah anda raih kerana berada dalam organisasi Yehuwa?
14 Yesus memberi kita arahan yang bijak dan bermanfaat sewaktu krisis melanda. Fikirkan apa yang berlaku semasa pandemik COVID-19 bermula. Ramai orang di dunia tidak pasti apa yang harus dilakukan, tetapi Yesus memastikan agar kita diberi arahan yang jelas untuk melindungi diri. Kita digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di kawasan awam dan mengekalkan jarak fizikal. Para penatua diingatkan untuk menghubungi saudara saudari di sidang dengan kerap dan memantau keperluan rohani dan fizikal mereka. (Yes. 32:1, 2) Kita juga menerima arahan dan galakan melalui berita terkini Badan Pimpinan.
15. Semasa pandemik, apakah arahan yang diberikan untuk mengadakan perjumpaan dan menginjil, dan apakah hasilnya?
15 Semasa pandemik, kita juga diberikan arahan yang jelas tentang cara mengadakan perjumpaan dan menginjil. Dalam masa yang singkat, kita mula menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen secara online. Selain itu, hampir semua kerja penyebaran kita dilakukan menerusi surat dan telefon. Yehuwa telah memberkati usaha kita. Banyak pejabat cawangan melaporkan peningkatan besar dalam jumlah penyiar. Ramai saudara saudari mempunyai pengalaman yang baik semasa menginjil sepanjang pandemik ini.—Lihat kotak “ Yehuwa Memberkati Kerja Penyebaran Kita.”
16. Kita dapat yakin akan hal apa?
16 Sesetengah orang mungkin berasa bahawa organisasi kita terlalu berhati-hati semasa pandemik ini. Namun terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa arahan yang kita terima memang bijak dan bermanfaat. (Mat. 11:19) Semasa kita merenungkan bagaimana Yesus memimpin umatnya dengan penuh kasih, kita diyakinkan bahawa tidak kira apa yang akan terjadi pada masa depan, Yehuwa dan Anak-Nya pasti menyertai kita.—Baca Ibrani 13:5, 6.
17. Apakah perasaan anda kerana dapat bekerja di bawah pimpinan Yesus?
17 Kita sangat bersyukur kerana dapat bekerja di bawah pimpinan Yesus. Kita menyertai sebuah organisasi yang tidak mengenal sempadan budaya, bangsa, dan bahasa. Kita juga mendapat makanan rohani yang berkhasiat dan dilatih untuk menginjil. Setiap seorang daripada kita juga dibantu untuk mengenakan keperibadian baharu dan belajar untuk mengasihi satu sama lain. Sesungguhnya, kita ada banyak sebab untuk berbangga dengan Yesus, pemimpin kita!
LAGU 16 Pujilah Yehuwa dan Anak yang Diurapi-Nya
^ Jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak sedang bergiat dalam kerja penyebaran. Adakah anda tergolong antara mereka? Jika ya, anda sedang bekerja di bawah pimpinan Tuan Yesus Kristus. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bukti yang menunjukkan bahawa Yesus sedang memimpin kerja penyebaran hari ini. Dengan merenungkan hal ini, kita akan dibantu untuk terus menyembah Yehuwa di bawah pimpinan Kristus.