Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 30

Sebuah Nubuat yang Berkaitan dengan Anda

Sebuah Nubuat yang Berkaitan dengan Anda

“Aku akan membuat engkau dan wanita itu bermusuhan.”​—KEJ. 3:15.

LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!

PENGENALAN *

1. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa tidak lama selepas Adam dan Hawa berdosa? (Kejadian 3:15)

 TIDAK lama selepas Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa memberikan harapan kepada keturunan mereka menerusi sebuah nubuat yang penting. Nubuat itu dicatatkan di Kejadian 3:15.​—Baca.

2. Mengapakah nubuat di Kejadian 3:15 begitu istimewa?

2 Nubuat ini muncul dalam buku pertama Bible. Walaupun begitu, semua buku yang lain dalam Bible berkait rapat dengannya. Sebagaimana tulang belakang buku menggabungkan helaian-helaian kertas menjadi senaskhah buku, kata-kata di Kejadian 3:15 menggabungkan setiap buku dalam Bible menjadi satu mesej utama, iaitu seorang Penyelamat akan diutus untuk membinasakan Iblis dan semua pengikutnya. * Semasa hal itu berlaku, orang yang mengasihi Yehuwa akan sangat bersukacita!

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan menjawab soalan-soalan berikut tentang nubuat di Kejadian 3:15: Siapakah watak-watak dalam nubuat ini? Bagaimanakah nubuat ini menjadi kenyataan? Apakah manfaat yang kita raih sekarang daripada nubuat ini?

SIAPAKAH WATAK-WATAK DALAM NUBUAT INI?

4. Siapakah “ular” yang disebut di Kejadian 3:14, 15, dan bagaimanakah kita mengetahuinya?

4 Kejadian 3:14, 15 menyebut tentang ular, keturunan ular, wanita, dan keturunan wanita. Bible membantu kita mengenal pasti siapa mereka. * Mula-mula mari kita lihat siapa “ular” itu. Binatang yang sebenar tidak mungkin memahami apa yang dikatakan oleh Yehuwa di Taman Eden. Jadi, semasa Yehuwa mengumumkan penghakiman-Nya, Dia pasti sedang bercakap dengan satu makhluk yang berakal. Siapakah itu? Wahyu 12:9 jelas menunjukkan bahawa “ular tua” itu ialah Syaitan Si Iblis. Jika begitu, siapakah keturunan ular?

ULAR

Syaitan Si Iblis, yang digambarkan sebagai “ular tua” di Wahyu 12:9 (Lihat perenggan 4)

5. Keturunan ular merangkumi siapa?

5 Ada kalanya, Bible menggunakan perkataan keturunan untuk menggambarkan orang yang meniru seseorang sehingga memiliki fikiran dan kelakuan yang sangat mirip dengannya. Jadi, keturunan ular merangkumi makhluk-makhluk roh dan manusia yang meniru Syaitan. Mereka memberontak terhadap Tuhan Yehuwa dan menentang umat-Nya. Para malaikat pada zaman Nuh yang meninggalkan tugas mereka di syurga dan manusia jahat yang berkelakuan seperti bapa mereka Iblis, semuanya merupakan keturunan ular.​—Kej. 6:1, 2; Yoh. 8:44; 1 Yoh. 5:19; Yud. 6.

KETURUNAN ULAR

Roh-roh jahat dan manusia yang memberontak terhadap Tuhan Yehuwa dan menentang umat-Nya (Lihat perenggan 5)

6. Mengapakah kita boleh pasti bahawa “wanita itu” bukanlah Hawa?

6 Sekarang, mari kita bincang siapa wanita itu. Dia bukanlah Hawa. Mengapa? Perhatikan satu sebab. Nubuat itu menyatakan bahawa keturunan wanita itu akan “meremukkan” kepala ular. Seperti yang dibincangkan tadi, ular itu ialah malaikat jahat yang dipanggil Syaitan. Semua keturunan Hawa pula merupakan manusia yang tidak sempurna. Jadi, tiada seorang pun antara mereka yang cukup berkuasa untuk meremukkan kepala Syaitan. Jika begitu, bagaimanakah Syaitan akan dilenyapkan?

7. Bagaimanakah Wahyu 12:1, 2, 5, dan 10 membantu kita memahami siapa wanita yang disebut Kejadian 3:15?

7 Buku terakhir dalam Bible membantu kita memahami siapa wanita yang disebut di Kejadian 3:15. (Baca Wahyu 12:1, 2, 5, 10.) Wanita ini bukan manusia biasa! Bulan ada di bawah kakinya dan di atas kepalanya ada sebuah mahkota yang terdiri daripada 12 buah bintang. Wanita ini juga melahirkan seorang anak yang luar biasa, iaitu Kerajaan Tuhan. Memandangkan Kerajaan Tuhan terletak di syurga, wanita ini pasti berada di syurga. Maka wanita ini melambangkan bahagian organisasi Yehuwa di syurga yang terdiri daripada makhluk roh yang setia.​—Gal. 4:26.

WANITA ITU

Bahagian organisasi Yehuwa di syurga, yang terdiri daripada makhluk roh yang setia (Lihat perenggan 7)

8. Siapakah bahagian utama keturunan wanita itu, dan bilakah dia diberi peranan itu? (Kejadian 22:15-18)

8 Firman Tuhan juga membantu kita mengenal pasti identiti bahagian utama keturunan wanita itu. Dia harus berasal daripada keluarga Abraham. (Baca Kejadian 22:15-18.) Tepat seperti yang dinubuatkan, Yesus merupakan keturunan Abraham. (Luk. 3:23, 34) Namun, keturunan wanita itu haruslah lebih berkuasa daripada manusia biasa kerana dia akan menghancurkan Syaitan Si Iblis. Semasa Yesus berumur kira-kira 30 tahun, dia diurapi kuasa suci Tuhan dan menjadi bahagian utama keturunan wanita itu. (Gal. 3:16) Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, Tuhan “memberinya kemuliaan dan penghormatan” dan memberinya “kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi,” termasuk kuasa “untuk menghancurkan perbuatan Iblis.”​—Ibr. 2:7; Mat. 28:18; 1 Yoh. 3:8.

KETURUNAN WANITA

Yesus Kristus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya (Lihat perenggan 8-9)

9-10. (a) Siapa lagi yang menjadi sebahagian daripada keturunan wanita itu, dan bilakah mereka diberi peranan itu? (b) Apakah yang akan kita bincangkan seterusnya?

9 Selain Yesus, terdapat orang lain yang akan menjadi sebahagian daripada keturunan wanita itu. Rasul Paulus membantu kita mengenal pasti identiti mereka. Dia menulis kepada orang Kristian terurap berbangsa Yahudi dan bukan Yahudi, “Jika kamu milik Kristus, kamu sememangnya keturunan Abraham, dan kamu ialah pewaris kepada apa yang telah dijanjikan.” (Gal. 3:28, 29) Semasa Yehuwa mengurapi seorang Kristian dengan kuasa suci-Nya, orang tersebut menjadi sebahagian daripada keturunan wanita itu. Maka keturunan wanita itu terdiri daripada Yesus Kristus dan 144,000 orang yang akan memerintah bersamanya. (Why. 14:1) Mereka semua berfikir dan bertindak seperti Bapa mereka, Yehuwa.

10 Setakat ini kita telah mengenal pasti identiti watak-watak yang disebut di Kejadian 3:15. Sekarang kita akan membincangkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa secara beransur-ansur agar nubuat ini menjadi kenyataan. Kemudian, kita akan membincangkan manfaat yang dapat kita raih daripada nubuat ini.

BAGAIMANAKAH NUBUAT ITU MENJADI KENYATAAN?

11. Bagaimanakah ‘tumit keturunan wanita itu’ dicederakan?

11 Nubuat di Kejadian 3:15 menyatakan bahawa ular akan ‘mencederakan tumit’ keturunan wanita itu. Nubuat tersebut menjadi kenyataan semasa Syaitan menggerakkan orang Yahudi dan orang Roma untuk menjatuhkan hukuman mati atas Anak Tuhan. (Luk. 23:13, 20-24) Apabila tumit seseorang cedera, dia akan susah bergerak atau tidak dapat berjalan buat suatu ketika. Begitu juga, Yesus tidak dapat melakukan apa-apa selama tiga hari selepas dia dihukum mati.​—Mat. 16:21.

12. Bilakah dan bagaimanakah kepala ular akan diremukkan?

12 Agar nubuat di Kejadian 3:15 menjadi kenyataan, Yesus tidak boleh terus berada dalam kuburan. Mengapa? Menurut nubuat yang sama, keturunan wanita itu akan meremukkan kepala ular. Hal ini bermaksud bahawa luka di tumit Yesus akan sembuh. Hal itu memang berlaku! Tiga hari selepas Yesus dibunuh, dia dibangkitkan dalam tubuh roh yang tidak dapat mati. Pada masa yang ditetapkan oleh Tuhan, Yesus akan membinasakan Syaitan. (Ibr. 2:14) Semua musuh Tuhan, iaitu keturunan ular, juga akan dibinasakan oleh Yesus dan orang yang memerintah bersamanya.​—Why. 17:14; 20:4, 10. *

APAKAH MANFAAT YANG KITA RAIH SEKARANG DARIPADA NUBUAT INI?

13. Apakah manfaat yang kita raih sekarang daripada nubuat ini?

13 Sebagai hamba Tuhan, anda sedang meraih manfaat daripada nubuat ini. Semasa Yesus di bumi, dia mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Jadi melalui teladannya, kita dapat mengenali dan mengasihi Tuhan Yehuwa. Kita juga meraih manfaat daripada ajaran Yesus dan cara dia memimpin sidang Kristian. Dia telah mengajar kita cara hidup yang menyenangkan hati Yehuwa. Selain itu, kita semua dapat meraih manfaat daripada kematian Yesus, iaitu semasa tumitnya dicederakan. Bagaimana? Selepas Yesus dibangkitkan, dia mempersembahkan nilai darahnya sebagai korban yang sempurna untuk “membersihkan kita daripada semua dosa.”​—1 Yoh. 1:7.

14. Adakah nubuat di Kejadian bab 3 akan menjadi kenyataan dalam masa yang singkat? Jelaskan.

14 Daripada kata-kata Tuhan Yehuwa di Taman Eden, kita tahu bahawa nubuat di Kejadian bab 3 tidak akan menjadi kenyataan dengan serta-merta. Mengapa? Masa diperlukan bagi wanita untuk menghasilkan keturunan yang dijanjikan, bagi Si Iblis untuk mengumpulkan pengikut-pengikutnya, dan bagi permusuhan untuk terbentuk antara keturunan mereka. Kita meraih manfaat setelah memahami nubuat ini kerana kita sudah tahu bahawa dunia Syaitan akan membenci penyembah Yehuwa. Yesus juga mengingatkan murid-muridnya tentang hal yang sama. (Mrk. 13:13; Yoh. 17:14) Permusuhan yang dinubuatkan ini telah menjadi semakin ketara, terutamanya semenjak 100 tahun yang lalu. Bagaimana?

15. Mengapakah dunia semakin membenci umat Tuhan? Namun, mengapakah kita tidak perlu berasa takut terhadap Syaitan?

15 Sejurus selepas Yesus menjadi Raja di syurga pada tahun 1914, Syaitan telah dibuang ke bumi, dan sejak itu dia menunggu masanya dia dibinasakan. (Why. 12:9, 12) Namun dia tidak hanya menunggu sambil berpeluk tubuh. Sebaliknya, dia berasa sangat marah dan melampiaskan kemarahannya terhadap umat Tuhan. (Why. 12:13, 17) Itulah sebabnya dunia semakin membenci umat Tuhan. Tetapi kita tidak perlu takut terhadap Syaitan dan para pengikutnya. Mengapa? Semua yang berlaku sekarang sedang memenuhi nubuat di Kejadian 3:15. Memandangkan sebahagian besar daripada nubuat itu sudah menjadi kenyataan, kita boleh memiliki keyakinan yang sama seperti Rasul Paulus yang menulis, “Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?”—Rm. 8:31.

16-18. Apakah manfaat yang diraih oleh Curtis, Ursula, dan Jessica setelah memahami nubuat di Kejadian 3:15?

16 Janji Yehuwa di Kejadian 3:15 dapat membantu kita untuk menghadapi apa sahaja cabaran dengan berjaya. Curtis, yang berkhidmat sebagai mubaligh di Guam, berkata, “Kadangkala, saya perlu berdepan dengan masalah dan kekecewaan yang menguji kesetiaan saya kepada Yehuwa. Dengan merenungkan nubuat di Kejadian 3:15, saya dibantu untuk terus percaya kepada Bapa saya di syurga.” Curtis menantikan masanya Yehuwa mengakhiri semua cubaan kita.

17 Seorang saudari di Bavaria yang bernama Ursula berkata bahawa setelah memahami nubuat di Kejadian 3:15, dia diyakinkan bahawa Bible diilhami oleh Tuhan. Dia sangat kagum setelah melihat bagaimana semua nubuat yang lain berkaitan dengan nubuat ini. Dia juga berkata, “Setelah belajar bahawa Yehuwa segera mengambil tindakan untuk memberi kita harapan, saya lebih mengasihi-Nya.”

18 Jessica dari Micronesia berkata, “Semasa saya faham bahawa nubuat di Kejadian 3:15 sedang menjadi kenyataan, saya sedar bahawa saya sudah menemui kebenaran. Perasaan itu sukar dilupakan. Nubuat ini mengingatkan saya bahawa kehidupan kita sekarang bukanlah kehidupan yang sejati. Nubuat ini juga menguatkan keyakinan saya bahawa jika saya menyembah Yehuwa, saya akan menikmati kehidupan yang terbaik sekarang dan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.”

19. Mengapakah kita dapat yakin bahawa bahagian terakhir nubuat di Kejadian bab 3 pasti menjadi kenyataan?

19 Seperti yang telah kita pelajari, nubuat di Kejadian 3:15 sedang menjadi kenyataan. Yesus, iaitu bahagian utama keturunan wanita itu, sudah sembuh daripada luka di tumitnya. Kini, dia Raja yang berkuasa dan tidak dapat mati. Selain itu, hampir semua orang yang akan memerintah bersamanya sudah pun dipilih. Memandangkan bahagian pertama nubuat ini sudah menjadi kenyataan, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa bahagian terakhir nubuat ini pasti menjadi kenyataan. Ya, kepala ular pasti diremukkan. Apabila hal itu berlaku, manusia yang setia pasti berasa sangat gembira. Sementara menunggu masa itu tiba, janganlah putus asa. Yakinlah bahawa semua janji Tuhan pasti ditunaikan! Melalui keturunan wanita itu, Tuhan akan membawa berkat yang tidak terhingga kepada “semua bangsa di bumi.”​—Kej. 22:18.

LAGU 23 Yehuwa Sudah Memerintah

^ Kita tidak dapat memahami mesej Bible dengan sepenuhnya jika kita tidak memahami nubuat yang tercatat di Kejadian 3:15. Dengan mengkaji nubuat ini, kita dapat meneguhkan iman kita terhadap Yehuwa dan menguatkan keyakinan kita bahawa Dia akan mengotakan semua janji-Nya.

^ Lihat Lampiran B1, “Mesej dalam Bible,” dalam Terjemahan Dunia Baharu.

^ Lihat kotak “Watak-Watak dalam Nubuat di Kejadian 3:14, 15.”