Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Mengizinkan Yehuwa Mengarahkan Haluan Hidup Saya

Mengizinkan Yehuwa Mengarahkan Haluan Hidup Saya

SEMASA remaja, saya pilih haluan hidup sendiri. Saya memilih kerjaya sekular yang saya sangat suka, tetapi Yehuwa menjemput saya untuk mengikut haluan hidup yang berbeza. Dia berjanji, “Aku akan memberimu pengertian dan mengajarmu jalan yang harus ditempuh.” (Mzm. 32:8) Dengan mengizinkan Yehuwa untuk membimbing hidup saya, saya menikmati kerjaya rohani dan banyak berkat, termasuk peluang untuk berkhidmat selama 52 tahun di Afrika.

DARI BLACK COUNTRY KE AFRIKA

Saya lahir di England pada tahun 1935, dan tinggal di Darlaston yang terletak di Black Country. Tempat itu dinamakan Black Country kerana terdapat banyak kilang yang mengeluarkan asap hitam. Semasa saya berumur empat tahun, ibu bapa saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa saya kira-kira 14 tahun, saya mula yakin bahawa inilah kebenaran, dan saya dibaptis pada tahun 1952, semasa saya berumur 16 tahun.

Sekitar masa itu, saya mula bekerja sebagai pelatih dalam sebuah kilang besar yang menghasilkan peralatan tangan dan barang ganti kenderaan. Saya dilatih untuk menjadi setiausaha syarikat, dan saya sangat suka kerja itu.

Kemudian, saya perlu membuat keputusan yang susah semasa penyelia lawatan kami menjemput saya untuk mengendalikan Pembelajaran Buku Sidang di sidang saya di Willenhall. Pada masa itu, saya menghadiri perjumpaan di dua sidang. Pada hari biasa, saya menghadiri perjumpaan dekat tempat kerja saya di Bromsgrove, yang terletak kira-kira 32 kilometer dari rumah saya. Pada hujung minggu pula, saya akan pulang ke rumah ibu bapa saya dan menghadiri perjumpaan di Willenhall.

Saya ingin menyokong organisasi Yehuwa, jadi saya menerima jemputan penyelia lawatan itu dan meninggalkan kerjaya yang amat saya sukai. Oleh sebab saya membiarkan Yehuwa membimbing haluan hidup saya, saya dapat menikmati kehidupan yang bermakna, dan saya tidak pernah menyesal.

Di Sidang Bromsgrove, saya berkenalan dengan seorang saudari yang cantik dan berfikiran rohani. Namanya Anne. Kami berkahwin pada tahun 1957 dan menceburi khidmat perintis biasa, perintis khas, kerja lawatan, dan khidmat Bethel. Hidup saya sangat bahagia bersama Anne.

Pada tahun 1966, kami sangat teruja kerana dapat menghadiri kelas Gilead ke-42. Kemudian, kami ditugaskan ke Malawi, sebuah negara Afrika yang dikenali kerana penduduknya yang ramah mesra. Namun, kami tidak sangka bahawa layanan mesra mereka terhadap kami tidak akan tahan lama.

BERKHIDMAT DI MALAWI PADA MASA YANG MENCABAR

Kaiser Jeep yang kami gunakan untuk kerja lawatan di Malawi

Kami tiba di Malawi pada 1 Februari 1967 dan menghadiri kursus bahasa yang intensif selama sebulan. Kemudian, kami memulakan kerja distrik dengan memandu kereta Kaiser Jeep. Ada orang fikir kereta ini dapat dipandu di mana-mana sahaja, termasuk meredah sungai, tetapi sebenarnya kereta ini hanya dapat menyeberangi air yang cetek. Kadangkala kami perlu tinggal di dalam pondok yang dibuat daripada lumpur, dan kami perlu memasang kanvas di bawah bumbung supaya air tidak masuk semasa musim hujan. Semua ini agak mencabar, tetapi kami sangat menikmatinya.

Pada bulan April, masalah mula timbul di Malawi. Saya mendengar ucapan Presiden Malawi, iaitu Dr. Hastings Banda, di radio. Dia mendakwa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak membayar cukai dan mencampuri urusan politik. Sudah tentu hal itu tidak benar. Kami semua tahu bahawa dia tidak suka Saksi kerana mereka berpendirian neutral dan enggan membeli kad parti politik.

Pada bulan September, kami membaca laporan surat khabar yang menyatakan bahawa Presiden menuduh saudara saudari menyebabkan masalah di merata tempat. Dia mengumumkan di sebuah konvensyen politik bahawa pihak kerajaan akan bertindak dengan cepat untuk mengharamkan Saksi-Saksi Yehuwa di Malawi. Hal itu telah berlaku pada 20 Oktober 1967. Sejurus selepas itu, pihak polis dan pegawai imigresen datang untuk menutup pejabat cawangan dan mengusir semua mubaligh.

Ditangkap dan diusir dari Malawi pada tahun 1967 bersama sepasang mubaligh yang lain, iaitu Jack dan Linda Johansson

Selepas dipenjarakan selama tiga hari, kami dihantar ke Mauritius, sebuah negara jajahan Britain. Namun pihak berkuasa Mauritius tidak membenarkan kami untuk tinggal di situ sebagai mubaligh. Jadi, kami ditugaskan ke Rhodesia (kini Zimbabwe). Setibanya di situ, kami berjumpa dengan seorang pegawai imigresen yang garang, yang enggan membenarkan kami memasuki Zimbabwe. Dia berkata, “Kamu hanya datang ke sini kerana Malawi dan Mauritius enggan menerima kamu.” Mendengar kata-kata itu, Anne mula menangis dan saya pula terfikir untuk pulang ke England. Rasanya tiada negara yang mengalu-alukan kedatangan kami! Akhirnya, pihak imigresen membenarkan kami untuk bermalam di pejabat cawangan Zimbabwe dengan syarat kami mesti melaporkan diri di ibu pejabat imigresen pada keesokan hari. Kami sangat penat, tetapi kami yakin Yehuwa akan membantu kami. Keesokan harinya, kami dibenarkan untuk tinggal di Zimbabwe sebagai pelawat. Perubahan itu memang tidak disangkakan, dan saya tidak akan lupa perasaan saya pada hari itu. Jelaslah, Yehuwa sedang membimbing haluan hidup kami.

TUGASAN BAHARU​—MEMBANTU MALAWI DARI ZIMBABWE

Bersama Anne di Bethel Zimbabwe, 1968

Di pejabat cawangan Zimbabwe, saya ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran untuk menjaga kerja di Malawi dan Mozambique. Saudara saudari di Malawi pada masa itu dianiaya dengan teruk. Sebahagian daripada kerja saya merangkumi menterjemahkan laporan yang dihantar oleh penyelia litar di Malawi. Pada suatu malam, semasa saya sedang menyiapkan sebuah laporan, saya menangis semasa membaca tentang penganiayaan kejam yang dialami oleh saudara saudari saya di sana. * Pada masa yang sama, saya sangat tersentuh dengan kesetiaan, iman, dan ketabahan mereka.​—2 Kor. 6:4, 5.

Kami melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk menyediakan makanan rohani bagi saudara saudari yang masih tinggal di Malawi, dan juga bagi mereka yang telah melarikan diri ke Mozambique. Kumpulan penterjemahan bahasa Chichewa, iaitu bahasa yang paling banyak dituturkan di Malawi, telah berpindah ke ladang besar seorang saudara di Zimbabwe. Saudara itu menyediakan tempat tinggal dan pejabat supaya mereka dapat terus menterjemahkan bahan bacaan Bible.

Kami mengaturkan supaya para penyelia litar di Malawi dapat menghadiri konvensyen distrik bahasa Chichewa setiap tahun di Zimbabwe. Selepas konvensyen, mereka diberi rangka ceramah supaya mereka dapat mengongsi maklumatnya dengan saudara saudari dalam perjalanan pulang ke Malawi. Pada satu tahun semasa mereka datang ke Zimbabwe, kami sempat mengadakan Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik supaya kami dapat menggalakkan para penyelia litar yang berani ini.

Menyampaikan ceramah bahasa Chichewa semasa konvensyen Chichewa/​Shona di Zimbabwe

Pada Februari 1975, saya melawat Saksi-Saksi dari Malawi yang telah melarikan diri ke kem-kem di Mozambique. Para saudara di sana mengikut perkembangan terkini organisasi Yehuwa, termasuk aturan untuk mempunyai badan penatua di sidang. Para penatua baharu mengaturkan banyak aktiviti rohani, termasuk memberikan ceramah umum, membincangkan ayat harian dan Menara Pengawal, dan bahkan mengadakan perhimpunan. Mereka mengaturkan kem seperti konvensyen yang ada bahagian pembersihan, pengedaran makanan, dan keselamatan. Dengan adanya berkat Yehuwa, para saudara yang setia ini melakukan banyak kerja yang baik, dan saya sangat digalakkan.

Pada lewat tahun 1970-an, pejabat cawangan di Zambia mula menjaga kerja di Malawi. Walaupun begitu, saya dan rakan seiman lain sering berfikir tentang saudara saudari kami di Malawi dan berdoa untuk mereka. Sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe, saya pernah berjumpa dengan wakil ibu pejabat beberapa kali bersama saudara-saudara dari Afrika Selatan, Malawi, dan Zambia. Setiap kali kami berjumpa, kami akan bertanya, “Apa lagi yang dapat kita lakukan untuk membantu saudara saudari di Malawi?”

Seraya masa berlalu, penganiayaan terhadap Saksi pun berkurang. Saudara saudari yang telah melarikan diri ke luar negara mula kembali ke Malawi, manakala rakan seiman yang masih berada di Malawi tidak lagi dianiaya dengan begitu teruk. Negara-negara di sekeliling Malawi juga mula mengizinkan Saksi-Saksi Yehuwa untuk menginjil dan mengadakan perjumpaan, dan tidak lagi menyekat kegiatan mereka. Pada tahun 1991, kerja kami di Mozambique tidak lagi diharamkan. Namun kami tertanya-tanya, “Bilakah hal itu akan berlaku di Malawi?”

KEMBALI KE MALAWI

Akhirnya keadaan politik di Malawi berubah. Pada tahun 1993, kerajaan tidak lagi melarang kerja Saksi-Saksi Yehuwa. Tidak lama kemudian, semasa saya berbual dengan seorang mubaligh, dia tanya saya, “Adakah kamu akan pulang ke Malawi?” Pada masa itu, saya berumur 59 tahun, jadi saya jawab, “Tidaklah. Saya sudah terlalu tua.” Tetapi pada keesokan harinya, saya terima faks daripada Badan Pimpinan yang menjemput kami untuk kembali ke Malawi.

Kami sangat gembira di Zimbabwe. Kami suka tugasan kami dan ada banyak kawan yang sangat baik. Jadi keputusan untuk meninggalkan tempat ini sangat susah bagi kami. Tetapi Badan Pimpinan sangat baik hati dan memberitahu kami bahawa kami boleh terus tinggal di Zimbabwe jika kami mahu. Namun, saya terfikir tentang bagaimana Abraham dan Sara mematuhi perintah Yehuwa dan meninggalkan rumah mereka yang selesa semasa mereka sudah tua.​—Kej. 12:1-5.

Daripada memilih haluan hidup sendiri, kami memutuskan untuk mengikut arahan organisasi Yehuwa. Kami kembali ke Malawi pada 1 Februari 1995, genap 28 tahun selepas kali pertama kami menjejakkan kaki di Malawi. Saya dan dua orang saudara yang lain membentuk Jawatankuasa Cawangan Malawi, dan tidak lama kemudian kami sibuk mengaturkan kerja Saksi-Saksi Yehuwa di sana.

YEHUWA MENYEBABKANNYA BERTUMBUH

Kami bersukacita kerana dapat melihat bagaimana Yehuwa memberkati kerja penyebaran di Malawi. Bilangan penyiar bertambah dengan mendadak daripada kira-kira 30,000 orang pada tahun 1993 kepada lebih daripada 42,000 orang pada tahun 1998. * Kemudian, Badan Pimpinan meluluskan rancangan untuk membina pejabat cawangan baharu bagi menjaga keperluan di kawasan penyebaran Malawi. Kami membeli 30 ekar tanah di Lilongwe, dan saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa pembinaan.

Saudara Guy Pierce, seorang ahli Badan Pimpinan, telah memberikan ceramah pentahbisan untuk pejabat cawangan baharu pada Mei 2001. Lebih daripada 2,000 orang Saksi tempatan telah hadir, dan kebanyakan antara mereka sudah dibaptis untuk lebih daripada 40 tahun. Saudara saudari yang setia ini telah menghadapi penganiayaan yang teruk selama bertahun-tahun. Walaupun mereka miskin dari segi kebendaan, mereka kaya secara rohani. Mereka sangat gembira dapat melawat Bethel yang baharu. Di mana sahaja mereka pergi, mereka akan menyanyikan lagu rohani dalam gaya harmoni Afrika. Dalam seumur hidup saya, inilah peristiwa yang paling menyentuh hati saya, dan hal ini membuktikan bahawa Yehuwa pasti memberkati mereka yang menghadapi cabaran dengan tabah.

Selepas pejabat cawangan siap dibina, saya mula menerima tugasan untuk memberikan ceramah pentahbisan bagi Dewan Perjumpaan baharu. Kini, lebih banyak Dewan Perjumpaan mula dibina di Malawi dengan adanya program bantuan untuk negara dengan sumber terhad. Sebelum itu, sesetengah sidang mengadakan perjumpaan di dalam pondok yang diperbuat daripada pokok kayu putih. Pondok itu mempunyai bumbung yang dibuat daripada rumput kering dan bangku yang dibuat daripada lumpur. Tetapi sekarang mereka mempunyai relau sendiri untuk membuat bata, dan mereka dapat membina Dewan Perjumpaan yang cantik. Namun mereka masih suka guna bangku kerana mereka kata, “Jika kita guna bangku, selalunya ada tempat untuk muat satu orang lagi!”

Saya juga sangat gembira untuk melihat perkembangan rohani umat Yehuwa, terutamanya saudara muda di Afrika yang rela berkhidmat. Mereka cepat belajar dan meraih manfaat daripada pendidikan dan latihan organisasi kita. Oleh itu, mereka dapat memikul lebih banyak tanggungjawab di Bethel dan di sidang. Sidang juga dikuatkan dengan adanya banyak penyelia litar tempatan yang baharu, dan banyak antara mereka sudah berkahwin. Agar dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa, mereka memilih untuk tidak mempunyai anak biarpun menghadapi tekanan daripada orang lain dan ahli keluarga sendiri.

PUAS HATI DENGAN KEPUTUSAN SAYA

Bersama Anne di Bethel Britain

Selepas 52 tahun di Afrika, saya mengalami masalah kesihatan. Jadi Jawatankuasa Cawangan mencadangkan kepada Badan Pimpinan agar kami ditugaskan ke Britain, dan cadangan itu diluluskan. Kami berasa kecewa kerana terpaksa meninggalkan tugasan yang kami suka, tetapi keluarga Bethel di Britain menjaga kami dengan sangat baik.

Saya yakin bahawa mengizinkan Yehuwa untuk mengarahkan haluan hidup saya ialah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Jika saya bergantung pada pengertian diri sendiri, hidup saya sekarang pasti sangat berbeza. Dari mula lagi, Yehuwa sudah tahu apa yang saya perlu lakukan untuk ‘meluruskan jalan hidup saya.’ (Ams. 3:5, 6) Semasa muda, saya sangat kagum apabila melihat bagaimana syarikat besar beroperasi. Namun kerjaya dalam organisasi antarabangsa Yehuwa telah memberi saya kepuasan yang jauh lebih besar. Sampai sekarang, saya yakin bahawa berkhidmat kepada Yehuwa merupakan cara hidup yang terbaik!

^ Sejarah teokratik Malawi diterbitkan dalam Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1999 dalam bahasa Indonesia, ms. 148-223.

^ Kini Malawi mempunyai lebih daripada 100,000 orang penyiar.