RENCANA PEMBELAJARAN 31
Hargailah Penghormatan untuk Berdoa!
“Semoga Engkau menerima doaku seperti kemenyan yang disediakan dengan teliti.”—MZM. 141:2.
LAGU 47 Berdoalah kepada Yehuwa Setiap Hari
PENGENALAN *
1. Bagaimanakah kita patut memandang peluang untuk berdoa kepada Yehuwa?
KITA diberi penghormatan yang besar untuk menghampiri Pencipta langit dan bumi dalam doa. Fikirkan hal ini: Kita dapat mencurahkan isi hati kita kepada Yehuwa pada bila-bila masa dan dalam apa-apa bahasa. Lagipun kita tidak perlu membuat janji temu untuk berdoa kepada-Nya. Kita dapat berdoa dari hospital atau penjara, dan kita yakin Yehuwa akan mendengar doa kita. Tidakkah kita bersyukur kerana diberi penghormatan ini?
2. Bagaimanakah Raja Daud menunjukkan bahawa dia menghargai penghormatan untuk berdoa?
2 Raja Daud menghargai penghormatan untuk berdoa. Dia bernyanyi kepada Yehuwa, “Semoga Engkau menerima doaku seperti kemenyan yang disediakan dengan teliti.” (Mzm. 141:1, 2) Pada zaman Daud, kemenyan yang digunakan oleh para imam disediakan dengan teliti. (Kel. 30:34, 35) Daud menyamakan doanya dengan kemenyan. Hal ini menunjukkan bahawa dia ingin memikirkan dengan teliti apa yang hendak dikatakannya dalam doa. Kita juga ingin melakukan hal yang sama agar doa kita menyenangkan hati Yehuwa.
3. Apakah sepatutnya sikap kita semasa berdoa kepada Yehuwa, dan mengapa?
3 Semasa berdoa kepada Yehuwa, kita harus ingat bahawa kita bukannya sedang bercakap dengan rakan sebaya kita. Jadi semasa berdoa, kita harus menunjukkan hormat yang mendalam. Fikirkan penglihatan yang diterima oleh Yesaya, Yehezkiel, Daniel, dan Yohanes. Penglihatan mereka berbeza-beza, tetapi mempunyai satu persamaan: Mereka menggambarkan Yehuwa sebagai Raja yang mulia. Sebagai contoh, Yesaya “nampak Yehuwa duduk di atas takhta-Nya yang tinggi dan mulia.” (Yes. 6:1-3) Yehezkiel melihat Yehuwa duduk di atas kenderaan-Nya di syurga, yang dikelilingi “cahaya yang terang-benderang, seperti pelangi.” (Yeh. 1:26-28) Daniel nampak “Dia Yang Lanjut Usia” memakai pakaian putih, dan terdapat api yang keluar dari takhta-Nya. (Dan. 7:9, 10) Yohanes pula nampak Yehuwa duduk di atas takhta yang dikelilingi sebuah pelangi yang kelihatan seperti zamrud. (Why. 4:2-4) Semasa kita memikirkan betapa agung dan mulianya Yehuwa, kita diingatkan bahawa doa sememangnya peluang yang istimewa, dan kita harus menunjukkan hormat yang mendalam semasa berdoa. Jadi, apakah cara yang betul untuk berdoa?
“BEGINILAH CARANYA KAMU HARUS BERDOA”
4. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata pembukaan doa contoh Yesus di Matius 6:9, 10?
4 Baca Matius 6:9, 10. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengajar murid-muridnya cara untuk berdoa agar mendapat perkenan Tuhan. Selepas berkata “beginilah caranya kamu harus berdoa,” Yesus menyebut hal-hal penting yang berkaitan dengan kehendak Yehuwa. Dia menyebut tentang penyucian nama Yehuwa, kedatangan Kerajaan-Nya yang akan memusnahkan semua penentang Tuhan, dan berkat masa depan yang disediakan Yehuwa bagi bumi dan manusia. Dengan menyebut hal-hal itu dalam doa, kita menunjukkan bahawa kehendak Tuhan penting bagi kita.
5. Bolehkah kita berdoa tentang hal-hal peribadi?
5 Seterusnya, Yesus menunjukkan bahawa kita juga boleh berdoa tentang hal-hal peribadi. Contohnya, kita boleh meminta Yehuwa untuk memberi kita makanan yang kita perlukan setiap hari, mengampuni dosa kita, melindungi kita agar tidak terjerat oleh godaan, dan menyelamatkan kita daripada Si Jahat. (Mat. 6:11-13) Dengan meminta hal-hal ini, kita menunjukkan bahawa kita bergantung pada-Nya dan ingin menyenangkan hati-Nya.
6. Adakah kita hanya boleh berdoa tentang hal-hal yang disebut oleh Yesus dalam doa contohnya? Jelaskan.
6 Yesus tidak menyuruh para pengikutnya untuk menghafal bulat-bulat doa contohnya. Semasa Yesus berdoa pada masa yang lain, dia menyebut perkara lain yang penting baginya. (Mat. 26:39, 42; Yoh. 17:1-26) Begitu juga, kita boleh berdoa tentang apa sahaja yang penting bagi kita. Contohnya, semasa kita perlu membuat keputusan, kita boleh berdoa meminta kebijaksanaan dan pengertian. (Mzm. 119:33, 34) Jika kita diberi tugasan yang mencabar, kita boleh berdoa agar diberi keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya. (Ams. 2:6) Ibu bapa boleh berdoa untuk anak-anak mereka, dan anak-anak boleh berdoa untuk ibu bapa mereka. Selain itu, kita semua boleh dan patut berdoa untuk pelajar Bible kita dan orang di kawasan penyebaran kita. Selain membuat permohonan, apa lagi yang boleh kita sebut dalam doa kita?
7. Mengapakah kita patut memberikan pujian kepada Yehuwa semasa berdoa?
7 Semasa berdoa, kita juga patut memuji Yehuwa. Yehuwa paling layak menerima pujian kita. Mengapa? Kerana Dia “baik dan suka mengampuni.” Dia juga “penuh rahmat dan belas kasihan . . . tidak cepat murka, dan penuh dengan kasih setia dan kebenaran.” (Mzm. 86:5, 15) Sememangnya, kita mempunyai banyak sebab untuk memuji Yehuwa atas sifat-sifat-Nya yang mulia dan perbuatan-Nya yang mengagumkan.
8. Apakah sesetengah hal yang mendorong kita untuk bersyukur kepada Yehuwa? (Mazmur 104:12-15, 24)
8 Selain memuji Yehuwa semasa berdoa, kita juga terdorong untuk mengucapkan syukur atas segala pemberian-Nya. Sebagai contoh, kita boleh bersyukur kepada Tuhan atas bunga-bunga yang berwarna-warni, pelbagai jenis makanan yang sedap, dan sahabat baik yang dikasihi. Bapa kita yang pengasih memberi kita semua ini dan berkat-berkat lain kerana Dia ingin kita hidup gembira. (Baca Mazmur 104:12-15, 24.) Yang lebih penting, kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia memberi kita makanan rohani yang melimpah dan harapan masa depan yang menakjubkan.
9. Apakah yang dapat membantu kita supaya tidak lupa untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa? (1 Tesalonika 5:17, 18)
9 Kadangkala, kita mungkin lupa untuk bersyukur kepada Yehuwa atas segala sesuatu yang dilakukan-Nya untuk kita. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan? Kita boleh membuat senarai tentang permohonan kita kepada Yehuwa, dan dari masa ke masa, lihatlah bagaimana Yehuwa telah mengabulkan permohonan kita. Kemudian kita boleh berdoa untuk mengucapkan syukur kepada-Nya. (Baca 1 Tesalonika 5:17, 18.) Fikirkan hal ini, kita semua rasa gembira dan dihargai apabila orang lain mengucapkan terima kasih kepada kita. Dalam cara yang sama, apabila kita ingat untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa kerana menjawab doa kita, hal itu membuat Dia gembira. (Kol. 3:15) Tetapi terdapat satu lagi sebab penting untuk bersyukur kepada Tuhan kita. Apakah hal itu?
BERSYUKUR KEPADA YEHUWA KERANA MENGUTUS ANAK KESAYANGAN-NYA
10. Menurut 1 Petrus 2:21, mengapakah kita patut bersyukur kepada Yehuwa kerana mengutus Yesus ke bumi?
10 Baca 1 Petrus 2:21. Kita patut bersyukur kepada Yehuwa kerana mengutus Anak kesayangan-Nya ke bumi untuk mengajar kita. Dengan mengkaji kehidupan Yesus, kita dapat lebih mengenali Yehuwa dan mengetahui cara untuk menyenangkan hati-Nya. Selain itu, jika kita beriman kepada korban tebusan Kristus, kita dapat menjadi sahabat akrab Yehuwa dan menikmati hubungan yang damai dengan-Nya.—Rm. 5:1.
11. Mengapakah kita berdoa atas nama Yesus?
11 Kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana kita dapat berdoa kepada-Nya melalui Anak-Nya. Hal ini kerana Yehuwa menggunakan Yesus untuk mengabulkan permintaan kita. Yehuwa mendengar dan menjawab doa yang disampaikan melalui nama Yesus. Yesus menjelaskan, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta atas namaku, supaya Bapa dimuliakan melalui Anak.”—Yoh. 14:13, 14.
12. Apakah satu lagi sebab untuk bersyukur kepada Yehuwa kerana mengutus Anak-Nya?
12 Yehuwa mengampuni dosa kita atas dasar korban tebusan Yesus. Bible menggambarkan Yesus sebagai imam agung kita yang “duduk di sebelah kanan takhta Tuhan Yang Agung di syurga.” (Ibr. 8:1) Semasa kita berdosa, “kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.” (1 Yoh. 2:1) Tidakkah anda bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi kita Imam Agung yang memahami kelemahan kita dan yang “merayu bagi pihak kita”? (Rm. 8:34; Ibr. 4:15) Kita ialah manusia yang tidak sempurna, jadi tanpa korban tebusan Yesus, tidak mungkin kita dapat berdoa kepada Yehuwa. Setelah merenungkan segala manfaat yang kita terima melalui korban tebusan Yesus, kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yehuwa kerana mengurniakan Anak kesayangan-Nya!
BERDOA UNTUK SAUDARA SAUDARI ANDA
13. Pada malam sebelum kematiannya, bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih kepada para pengikutnya?
13 Pada malam sebelum kematiannya, Yesus mengucapkan doa yang panjang untuk para pengikutnya. Dalam doanya, dia meminta Bapanya “untuk melindungi mereka daripada Si Jahat.” (Yoh. 17:15) Alangkah pengasihnya Yesus! Walaupun dia bakal menghadapi cabaran yang besar, dia masih mengambil berat terhadap para rasulnya.
14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengasihi saudara saudari kita?
14 Seperti Yesus, kita tidak hanya berdoa tentang keperluan diri sendiri. Sebaliknya, kita juga berdoa secara kerap untuk saudara saudari kita. Dengan berbuat demikian, kita sedang mematuhi perintah Yesus untuk saling mengasihi, dan kita juga menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita sangat mengasihi rakan seiman kita. (Yoh. 13:34) Ingatlah, apabila kita berdoa untuk saudara saudari kita, kita bukannya sedang membuang masa. Firman Tuhan menyatakan, “Doa yang sungguh-sungguh daripada orang yang melakukan apa yang benar sangat berkesan.”—Yak. 5:16.
15. Mengapakah kita patut berdoa bagi rakan seiman?
15 Rakan seiman kita menghadapi banyak cubaan. Jadi, kita dapat meminta Yehuwa membantu mereka tabah menghadapi penyakit, bencana alam, perang, penganiayaan, atau masalah lain. Kita juga dapat berdoa bagi saudara saudari yang rela membuat pengorbanan untuk membantu rakan seiman yang menghadapi kesusahan. Jika anda kenal saudara saudari yang menghadapi masalah, anda dapat menyebut nama mereka dalam doa peribadi anda. Apabila kita meminta Yehuwa membantu saudara saudari kita bertabah, kita sedang menunjukkan kasih sejati.
16. Mengapakah kita patut berdoa untuk mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kita?
16 Mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang sangat menghargai doa orang lain untuk mereka, dan doa sebegini dapat membantu mereka. Rasul Paulus juga menghargai doa orang lain untuknya. Dia menulis, “Berdoalah untukku juga, supaya aku tahu apa yang harus aku katakan apabila aku membuka mulutku. Dengan demikian, aku dapat bercakap dengan berani semasa mengisytiharkan rahsia suci tentang berita baik.” (Ef. 6:19) Hari ini, terdapat banyak saudara yang mengambil pimpinan dalam kalangan kita. Kita menunjukkan kasih kepada mereka dengan meminta Yehuwa untuk memberkati kerja keras mereka.
SEMASA MEWAKILI ORANG LAIN DALAM DOA
17-18. Bilakah kita mungkin diminta untuk mewakili orang lain dalam doa? Apakah yang harus kita ingat?
17 Ada kalanya, kita mungkin dijemput untuk mewakili orang lain dalam doa. Contohnya, seorang saudari yang mengendalikan pembelajaran Bible mungkin meminta saudari yang menemaninya untuk mengucapkan doa. Jika saudari yang menemaninya itu tidak berapa mengenali pelajar Bible itu, dia mungkin memilih untuk mengucapkan doa penutupan bagi pembelajaran Bible. Dengan itu, dia dapat mengucapkan doa yang lebih sesuai dengan keperluan pelajar itu.
18 Seorang saudara mungkin dijemput untuk berdoa semasa perjumpaan sebelum aktiviti penyebaran atau perjumpaan sidang. Para saudara yang diberi penghormatan itu harus memastikan agar doa mereka sesuai dengan perjumpaan yang sedang diadakan. Mereka tidak patut menggunakan doa untuk menasihati sidang atau membuat pengumuman. Bagi kebanyakan perjumpaan, lima minit diperuntukkan untuk lagu dan doa. Jadi, saudara yang berdoa tidak perlu mengucapkan ‘doa yang panjang,’ terutamanya pada permulaan perjumpaan.—Mat. 6:7.
JADIKAN DOA KEUTAMAAN HIDUP ANDA
19. Apakah yang dapat membantu kita bersedia menghadapi hari penghakiman Yehuwa?
19 Apabila hari penghakiman Yehuwa semakin dekat, doa harus menjadi semakin penting dalam kehidupan kita. Yesus berkata, “Teruslah berjaga-jaga dan sentiasalah merayu kepada Tuhan agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku.” (Luk. 21:36) Ya, apabila kita selalu berdoa, kita dapat terus berjaga-jaga secara rohani dan bersedia menghadapi hari penghakiman Yehuwa.
20. Apakah yang harus kita lakukan supaya doa kita menjadi seperti kemenyan yang wangi?
20 Apakah yang telah kita bincangkan dalam rencana ini? Kita sangat menghargai penghormatan untuk berdoa. Hal terpenting yang patut kita sebutkan dalam doa ialah hal-hal yang berkaitan dengan kehendak Yehuwa. Kita juga patut bersyukur kepada Yehuwa atas Anak-Nya dan Kerajaan-Nya. Selain itu, kita boleh berdoa tentang keperluan fizikal dan rohani kita, dan berdoa untuk rakan seiman kita. Apabila kita berfikir dengan teliti apa yang hendak kita katakan dalam doa, kita menunjukkan bahawa kita menghargai peluang untuk berdoa. Dengan berbuat demikian, doa kita akan menjadi seperti kemenyan yang wangi, yang diperkenankan Yehuwa.—Ams. 15:8.
LAGU 45 Renungan Hatiku
^ Kita sangat menghargai peluang untuk menghampiri Yehuwa melalui doa. Kita mahu doa kita menyenangkan hati-Nya seperti kemenyan yang harum. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat kita katakan semasa berdoa. Kita juga akan lihat beberapa hal yang perlu kita ingat semasa mewakili orang lain dalam doa.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang suami berdoa bersama isterinya tentang keselamatan anak mereka yang di sekolah, kesihatan bapa mereka yang di hospital, dan kemajuan rohani pelajar Bible.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara muda bersyukur kepada Yehuwa atas korban tebusan Yesus, bumi kita yang indah, dan makanan yang berkhasiat.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari berdoa agar Yehuwa memberkati Badan Pimpinan dan membantu rakan seiman yang dianiaya dan dilanda bencana.