Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sebarkan Berita Baik Mengenai Kebaikan Tuhan yang Unggul

Sebarkan Berita Baik Mengenai Kebaikan Tuhan yang Unggul

“Memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.”​—KIS. 20:24.

LAGU: 101, 84

1, 2. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia menghargai kebaikan hati Tuhan yang unggul?

 RASUL PAULUS dapat berkata, “Kebaikan hati [Tuhan] yang ditunjukkan kepadaku tidak sia-sia.” (Baca 1 Korintus 15:9, 10.) Paulus berasa dia tidak layak menerima belas kasihan Tuhan kerana dia pernah menganiaya orang Kristian.

2 Pada akhir hayatnya, Paulus menulis: “Aku bersyukur kepada Tuan kita, Kristus Yesus, yang memberi aku kuasa, kerana dia menganggap aku setia dan memberi aku suatu tugas suci.” (1 Tim. 1:12-14) Apakah “tugas suci” itu? Paulus menulis, “Aku tidak menganggap nyawaku penting, asalkan aku dapat berlari dalam perlumbaan ini sampai ke akhir dan menyelesaikan kerja suci yang aku terima daripada Tuan Yesus, iaitu untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.”​—Kis. 20:24.

3. Apakah tugas istimewa yang diberikan kepada Paulus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Bagaimanakah “berita baik” yang digambarkan oleh Paulus menyerlahkan kebaikan hati Yehuwa yang unggul? Dia menulis, “Kamu sudah mendengar bahawa aku telah diberikan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga, supaya aku menolong kamu meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (Ef. 3:1, 2) Paulus ditugaskan untuk menyebarkan berita baik kepada orang bukan Yahudi supaya mereka juga dapat menjadi sebahagian daripada Kerajaan Mesias yang diperintah oleh Yesus. (Baca Efesus 3:5-8.) Paulus menjalankan tugasnya dengan bersemangat lalu membuktikan bahawa kebaikan hati Tuhan yang ditunjukkan kepadanya “tidak sia-sia.” Paulus menjadi teladan baik bagi orang Kristian sekarang.

ADAKAH ANDA DIDORONG OLEH KEBAIKAN HATI TUHAN YANG UNGGUL?

4, 5. “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan” adalah sama dengan “berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.” Mengapa?

4 Pada hari-hari terakhir, umat Yehuwa diperintah untuk menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Mesej yang kita sebarkan ini juga merupakan “berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.” Hal ini kerana semua berkat yang diterima menerusi Kerajaan Tuhan merupakan hasil daripada kebaikan hati Yehuwa. (Ef. 1:3) Paulus menunjukkan bahawa dia menghargai kebaikan hati Yehuwa yang unggul dengan menginjil dengan bersemangat. Adakah kita juga berbuat demikian?​—Baca Roma 1:14-16.

5 Dalam rencana sebelumnya, kita belajar bagaimana kita sebagai pendosa dapat meraih manfaat daripada kebaikan hati Yehuwa yang unggul dalam banyak cara. Maka, kita bertanggungjawab untuk memberitahu semua orang tentang cara Yehuwa menunjukkan kasih-Nya dan cara mereka dapat meraih manfaat daripadanya. Bagaimanakah kita dapat membantu orang untuk menunjukkan penghargaan terhadap kebaikan hati Tuhan yang unggul?

SEBARKAN BERITA BAIK TENTANG KORBAN TEBUSAN

6, 7. Apabila menjelaskan tebusan kepada orang, bagaimanakah hal ini menunjukkan bahawa kita menyebarkan berita baik tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul?

6 Dalam dunia sekarang, ramai orang tidak berasa bersalah apabila melakukan dosa. Maka, mereka tidak memahami mengapa manusia memerlukan tebusan. Walaupun demikian, ramai orang menyedari bahawa cara hidup mereka tidak mendatangkan kebahagiaan. Apabila mereka berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa, baru mereka mula faham apa itu dosa, bagaimana dosa mempengaruhi kita, dan cara untuk diselamatkan daripada dosa. Orang yang berhati jujur berasa lega apabila mempelajari bahawa Yehuwa mengutus Anak-Nya ke bumi untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. Yehuwa melakukan hal ini kerana kasih dan kebaikan hati-Nya yang agung.​—1 Yoh. 4:9, 10.

7 Mengenai Anak Tuhan, Paulus berkata, “Melalui Anak-Nya, kita ditebus dan dibebaskan. Ya, melalui darah [Yesus], dosa kita diampunkan. Betapa agungnya kebaikan hati Tuhan!” (Ef. 1:7) Korban tebusan Kristus ialah bukti yang terbesar kasih Tuhan kepada kita dan menunjukkan betapa unggulnya kebaikan hati-Nya. Kita lega hati mengetahui bahawa jika kita beriman terhadap korban tebusan, dosa kita akan diampunkan dan kita memperoleh hati nurani yang bersih! (Ibr. 9:14) Hal ini sememangnya berita baik untuk dikongsi kepada orang.

MEMBANTU ORANG MENJADI SAHABAT TUHAN

8. Mengapakah manusia berdosa perlu berbaik semula dengan Tuhan?

8 Jika orang tidak beriman kepada tebusan Yesus, mereka seperti musuh Tuhan. Maka, kita bertanggungjawab untuk memberitahu orang bahawa mereka boleh menikmati hubungan baik dengan Pencipta. Rasul Yohanes menulis, “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal, tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan. Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.” (Yoh. 3:36) Kita gembira kerana tebusan Yesus membolehkan kita berbaik semula dengan Tuhan. Paulus berkata, “Kamu pernah terasing daripada Tuhan dan menjadi musuh-Nya, kerana fikiran kamu tertumpu pada perbuatan yang jahat. Namun, Tuhan kini berbaik semula dengan kamu menerusi kematian dia yang mengorbankan tubuhnya.”​—Kol. 1:21, 22.

9, 10. (a) Apakah tugas yang diberikan Yesus kepada saudara terurapnya? (b) Bagaimanakah “biri-biri lain” membantu kaum terurap?

9 Kristus telah memberi saudara terurapnya “tugas untuk membantu orang lain berbaik semula dengan [Tuhan].” Paulus berkata, “Semua ini dilakukan oleh Tuhan. Melalui Kristus, Tuhan membolehkan kita berbaik semula dengan-Nya. Dia juga memberi kita tugas untuk membantu orang lain berbaik semula dengan-Nya. Maksudnya ialah, melalui Kristus, Tuhan membolehkan orang di dunia berbaik semula dengan-Nya. Dia tidak memperhitungkan kesalahan mereka, dan Dia telah mengamanahkan kita tugas untuk memberitahu orang lain bahawa mereka dapat berbaik semula dengan-Nya. Demikianlah kita menjadi duta yang berkhidmat bagi pihak Kristus, seolah-olah Tuhan memohon kepada orang melalui kita. Kita merayu kepada orang bagi pihak Kristus, ‘Tolonglah berbaik semula dengan Tuhan.’”​—2 Kor. 5:18-20.

10 “Biri-biri lain” gembira untuk membantu kaum terurap dalam tugas mereka. (Yoh. 10:16) “Biri-biri lain” diutus oleh Kristus untuk mengajar orang kebenaran dan membantu orang memupuk hubungan peribadi dengan Yehuwa. Tugas yang penting ini merupakan sebahagian daripada menyebarkan berita baik tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul.

SEBARKAN BERITA BAIK TENTANG PENDENGAR DOA

11, 12. Apabila orang belajar bahawa mereka dapat berdoa kepada Yehuwa, mengapakah hal ini berita baik bagi mereka?

11 Banyak orang berdoa kerana hal itu menenangkan mereka, tetapi mereka tidak percaya bahawa Tuhan mendengar doa mereka. Mereka harus tahu bahawa Yehuwa “mengabulkan doa.” Pemazmur Daud menulis, “Engkau mengabulkan doa. Semua orang akan datang kepada-Mu kerana mereka berdosa. Dosa-dosa kami terlalu berat bagi kami, tetapi Engkau mengampunkan dosa kami.”—Mzm. 65:3, 4.

12 Yesus memberitahu pengikutnya, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.” (Yoh. 14:14) Hal ini bermaksud bahawa kita boleh berdoa tentang “apa sahaja” yang selaras dengan kehendak Yehuwa. Yohanes berkata, “Inilah keyakinan kita terhadap Tuhan: Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.” (1 Yoh. 5:14) Betapa bagusnya untuk mengajar orang bahawa doa bukan hanya membantu kita secara emosi, tetapi merupakan cara untuk ‘menghadap Tuhan yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul’! (Ibr. 4:16) Dengan mengajar mereka cara berdoa yang betul, dan berdoa kepada Individu yang betul, serta berdoa tentang perkara yang betul, kita dapat membantu mereka menghampiri Yehuwa dan berasa lega semasa menghadapi kesusahan.​—Mzm. 4:1; 145:18.

KEBAIKAN HATI YANG UNGGUL DI SISTEM DUNIA BARU

13, 14. (a) Apakah peluang istimewa yang dinikmati kaum terurap pada masa depan? (b) Apakah yang akan dilaksanakan oleh kaum terurap untuk manusia?

13 Kebaikan hati Yehuwa yang unggul juga akan ditunjukkan di “sistem dunia yang akan datang.” Tuhan akan memberi 144,000 individu peluang istimewa untuk memerintah bersama Kristus di syurga. Paulus menulis, “Tuhan yang berlimpah-limpah dengan belas kasihan telah menunjukkan kasih-Nya yang mendalam terhadap kita dengan menghidupkan kita bersama Kristus, walaupun kita sudah mati kerana dosa. Kamu diselamatkan melalui kebaikan hati yang unggul. Memandangkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan telah menghidupkan kita bersamanya dan memberi kita tempat duduk di syurga bersamanya. Dengan demikian, dalam sistem dunia yang akan datang, kebaikan hati Tuhan yang tidak terhingga dinyatakan melalui hal-hal baik yang akan dilakukan-Nya bagi kita yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.”​—Ef. 2:4-7.

14 Memang sukar untuk membayangkan perkara menakjubkan yang disediakan Yehuwa bagi kaum terurap apabila mereka memerintah bersama Kristus di syurga. (Luk. 22:28-30; Flp. 3:20, 21; 1 Yoh. 3:2) Yehuwa akan menunjukkan ‘kebaikan hati-Nya yang tidak terhingga’ kepada kaum terurap. Mereka akan menjadi “Yerusalem Baru,” iaitu pengantin Kristus. (Why. 3:12; 17:14; 21:2, 9, 10) Mereka dan Yesus akan “menyembuhkan bangsa-bangsa” dengan membebaskan manusia daripada dosa dan kematian, serta membantu manusia mencapai kesempurnaan.​—Baca Wahyu 22:1, 2, 17.

15, 16. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada “biri-biri lain” pada masa depan?

15 Efesus 2:7 menyatakan bahawa kebaikan hati Tuhan yang unggul akan ditunjukkan “pada sistem yang akan datang.” Mereka yang hidup di dunia baru tentu akan menyaksikan “kebaikan hati Tuhan yang tidak terhingga.” (Luk. 18:29, 30) Salah satunya ialah pembangkitan manusia daripada “Kuburan.” (Ayb. 14:13-15, NW; Yoh. 5:28, 29) Lelaki dan wanita setia yang mati sebelum Yesus mati sebagai korban serta golongan “biri-biri lain” yang meninggal semasa hari-hari terakhir akan dibangkitkan dan dapat terus menyembah Yehuwa.

16 Berjuta-juta manusia yang mati tanpa mengetahui Tuhan juga akan dibangkitkan. Mereka akan diberi peluang untuk tunduk kepada pemerintahan Yehuwa. Yohanes menulis, “Aku nampak orang yang mati, baik orang yang berpangkat tinggi mahupun orang biasa, berdiri di hadapan takhta, dan kitab-kitab pun dibuka. Selepas itu, satu kitab yang lain dibuka, iaitu kitab kehidupan. Orang mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis dalam kitab-kitab itu. Laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya, begitu juga dengan Kuburan. Setiap orang dihakimi menurut perbuatan masing-masing.” (Why. 20:12, 13) Mereka yang dibangkitkan perlu belajar cara menerapkan prinsip Tuhan yang terkandung dalam Bible. Mereka juga perlu mengikut arahan baru dalam “kitab-kitab” mengenai syarat Yehuwa bagi mereka yang hidup di sistem dunia baru. Isi kandungan kitab-kitab itu merupakan satu lagi bukti kebaikan hati Tuhan yang unggul.

TERUS MENYEBARKAN BERITA BAIK

17. Apakah yang harus kita ingat semasa menyebar?

17 Sebelum akhir tiba, tugas kita adalah menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan! (Mrk. 13:10) Berita baik ini mencerminkan kebaikan hati Yehuwa yang unggul. Kita harus ingat akan hal ini semasa menyebar. Tujuan kita semasa menginjil adalah untuk memuliakan Yehuwa. Oleh itu, kita memberitahu orang bahawa berkat yang akan dinikmati di dunia baru hanya akan menjadi kenyataan kerana kebaikan hati Yehuwa.

Berkhidmat dengan penuh semangat sebagai “hamba baik yang menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul.”​—1 Ptr. 4:10 (Lihat perenggan 17-19)

18, 19. Bagaimanakah kita memuliakan kebaikan hati Yehuwa yang unggul?

18 Semasa menginjil, kita boleh menjelaskan kepada orang bahawa di bawah pemerintahan Kerajaan Mesias, manusia akan mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada korban tebusan dan beransur-ansur menjadi sempurna. Bible berkata, “Ciptaan dapat dibebaskan daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:21) Hal ini boleh terjadi kerana kebaikan hati Yehuwa yang unggul.

19 Kita berpeluang untuk memberitahu orang tentang janji yang menakjubkan di Wahyu 21:4, 5: “[Tuhan] akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.” Yehuwa yang berada di takhta memberitahu, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baru.” Dia menambah, “Tuliskanlah hal ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” Apabila kita menginjil dengan bersemangat, kita sebenarnya memuliakan kebaikan hati Yehuwa yang unggul!