RENCANA PEMBELAJARAN 2
“Ubahlah Fikiran Kamu”
“Ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.”—RM. 12:2.
LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu
PENGENALAN a
1-2. Selepas dibaptis, apakah yang mesti kita terus lakukan? Jelaskan.
SEBERAPA kerapkah anda membersihkan rumah anda? Sebelum berpindah, anda mungkin telah membuat kerja pembersihan secara besar-besaran. Namun, bagaimana pula jika anda tidak lagi membersihkan rumah anda? Dalam masa yang singkat, rumah anda akan penuh dengan habuk dan kotoran. Jika anda mahu rumah anda kemas, anda perlu membersihkannya secara tetap.
2 Begitu juga dengan fikiran dan keperibadian kita. Sebelum dibaptis, kita sudah berusaha keras untuk membuat perubahan yang diperlukan dan “menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga.” (2 Kor. 7:1) Namun, selepas dibaptis, kita perlu mengikut nasihat Rasul Paulus untuk ‘terus membaharui cara kita berfikir.’ (Ef. 4:23) Mengapakah kita perlu terus berbuat demikian? Kerana habuk dan kotoran dunia ini dapat mencemari kita dalam masa yang singkat. Untuk mengelakkan hal itu daripada berlaku dan tetap diterima oleh Yehuwa, kita mesti sentiasa memeriksa fikiran, keperibadian, dan keinginan kita.
TERUS ‘MENGUBAH FIKIRAN KAMU’
3. Apakah maksud ungkapan ‘mengubah fikiran kamu’? (Roma 12:2)
3 Apakah yang harus kita lakukan untuk mengubah fikiran kita? (Baca Roma 12:2.) Dalam bahasa Yunani, ungkapan “ubahlah fikiran kamu” juga boleh diterjemahkan sebagai “melakukan kerja pengubahsuaian atas minda kamu.” Maka kita tidak boleh sekadar menghiasi kehidupan kita dengan beberapa perbuatan yang baik. Sebaliknya, kita harus memeriksa hati kita dan melakukan apa-apa sahaja perubahan yang diperlukan untuk menyelaraskan kehidupan kita dengan piawaian Yehuwa. Hal ini tidak boleh dilakukan sekali sahaja, tetapi usaha yang berterusan diperlukan.
4. Apakah yang dapat kita lakukan supaya fikiran kita tidak dibentuk oleh sistem dunia ini?
4 Apabila kita menjadi sempurna nanti, kita akan sentiasa menyenangkan hati Yehuwa dalam segala yang kita lakukan. Sebelum hari itu tiba, kita perlu berusaha keras untuk menyenangkan hati Yehuwa. Di Roma 12:2, Paulus berkata bahawa jika kita ingin mengetahui kehendak Tuhan bagi kita, kita perlu mengubah fikiran kita. Daripada membiarkan sistem dunia ini membentuk kita, kita perlu memeriksa diri untuk melihat sama ada matlamat atau keputusan kita dipengaruhi oleh fikiran Tuhan atau fikiran dunia ini.
5. Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya untuk mengetahui sama ada kita betul-betul percaya hari Yehuwa sudah dekat atau tidak? (Lihat gambar.)
5 Fikirkan contoh ini. Yehuwa mahu kita “sentiasa mengingat akan kehadiran hari Yehuwa.” (2 Ptr. 3:12) Untuk mengetahui fikiran kita terhadap hal ini, kita boleh tanya diri, “Adakah cara hidup saya menunjukkan bahawa saya sedar akhir sudah sangat dekat? Adakah keputusan saya dalam soal pendidikan dan pekerjaan menunjukkan bahawa ibadat kepada Yehuwa ialah keutamaan hidup saya? Adakah saya beriman bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan saya dan keluarga saya? Atau, adakah saya selalu risau tentang wang dan harta?” Apabila kita berusaha untuk hidup selaras dengan kehendak Yehuwa, Dia pasti sangat gembira.—Mat. 6:25-27, 33; Flp. 4:12, 13.
6. Apakah yang harus kita terus lakukan?
6 Kita harus terus memeriksa fikiran kita dan cepat membuat perubahan yang diperlukan. Paulus memberitahu sidang di Korintus, “Teruslah menguji diri kamu sendiri untuk mengetahui sama ada iman kamu teguh atau tidak, dan teruslah memeriksa keadaan kamu yang sebenarnya.” (2 Kor. 13:5) Untuk mempunyai ‘iman yang teguh,’ sekadar menghadiri perjumpaan dan menginjil dari masa ke masa tidak mencukupi. Hal ini juga merangkumi pemikiran, kecenderungan, dan niat hati kita. Maka kita harus terus membaca Firman Tuhan dan menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Yehuwa, lalu mengubah kehidupan kita agar menyenangkan hati-Nya.—1 Kor. 2:14-16.
“MENGENAKAN KEPERIBADIAN BAHARU”
7. Menurut Efesus 4:31, 32, apa lagi yang perlu kita lakukan, dan mengapakah hal itu mungkin mencabar?
7 Baca Efesus 4:31, 32. Selain mengubah fikiran kita, kita juga perlu “mengenakan keperibadian baharu.” (Ef. 4:24) Untuk berbuat demikian, kita perlu berusaha dengan gigih. Contohnya, kita perlu bekerja keras untuk membuang perasaan dendam yang membara, kemarahan, dan perasaan berang. Mengapakah hal ini mungkin mencabar? Kerana sesetengah sikap buruk mungkin sudah berurat berakar. Misalnya, Bible berkata bahawa sesetengah orang “cepat marah” dan “cenderung murka.” (Ams. 29:22) Untuk mengubah sikap-sikap sebegini, kita memerlukan usaha yang berterusan, bahkan selepas dibaptis. Perhatikan pengalaman berikut.
8-9. Bagaimanakah pengalaman Stephen menunjukkan bahawa usaha yang berterusan diperlukan untuk membuang keperibadian lama?
8 Seorang saudara yang bernama Stephen berasa susah untuk mengawal kemarahannya. Dia berkata, “Bahkan selepas dibaptis, saya masih cepat naik marah. Pernah sekali semasa menginjil dari rumah ke rumah, saya mengejar seorang pencuri yang mengambil radio kereta saya. Apabila saya semakin menghampirinya, dia membuang radio itu dan melarikan diri. Semasa saya menceritakan kepada saudara saudari lain bagaimana saya mendapat kembali radio saya, seorang penatua menanya saya, ‘Stephen, kalau kamu berjaya menangkapnya, apa kamu akan buat?’ Soalan itu membuat saya berfikir panjang dan mendorong saya untuk terus berusaha menjadi orang yang mencintai kedamaian.” b
9 Seperti Stephen, kadangkala sikap buruk kita akan timbul secara tiba-tiba, bahkan selepas kita fikir kita sudah berjaya mengawalnya. Jika hal itu berlaku kepada anda, janganlah tawar hati dan janganlah buat kesimpulan bahawa anda tidak dapat menjadi seorang Kristian yang baik. Rasul Paulus juga mengaku, “Apabila aku mahu melakukan apa yang baik, apa yang jahat ada padaku.” (Rm. 7:21-23) Semua orang Kristian tidak sempurna, dan kita perlu bergelut dengan sikap-sikap buruk yang asyik timbul seperti habuk yang balik-balik mengotori rumah kita. Jadi kita harus terus berjuang untuk membuang sikap yang buruk. Bagaimana?
10. Bagaimanakah kita dapat melawan keperibadian yang buruk? (1 Yohanes 5:14, 15)
10 Berdoalah kepada Yehuwa tentang keperibadian buruk yang ingin anda lawan. Yakinlah bahawa Yehuwa akan mendengar doa anda dan membantu anda. (Baca 1 Yohanes 5:14, 15.) Walaupun Yehuwa tidak menghilangkan keperibadian buruk itu secara mukjizat, Dia dapat memberi anda kekuatan supaya anda dapat mengawalnya. (1 Ptr. 5:10) Pada masa yang sama, bertindaklah selaras dengan doa anda dengan menjauhi hal-hal yang dapat memarakkan keperibadian buruk itu. Sebagai contoh, elakkan wayang, rancangan televisyen, atau buku cerita yang membuat keperibadian buruk itu kelihatan seperti hal yang baik. Selain itu, janganlah biarkan keinginan yang salah bermain di fikiran anda.—Flp. 4:8; Kol. 3:2.
11. Apakah yang dapat kita lakukan untuk terus mengenakan keperibadian baharu?
11 Setelah membuang keperibadian lama, anda perlu mengenakan keperibadian baharu. Bagaimana? Setiap kali anda belajar tentang sifat Yehuwa, berusahalah untuk meniru-Nya. (Ef. 5:1, 2) Contohnya, semasa membaca kisah Bible tentang bagaimana Yehuwa rela mengampuni kita, tanyalah diri, “Adakah saya sudi memaafkan orang lain?” Semasa membaca tentang bagaimana Yehuwa berbelas kasihan terhadap orang yang ditimpa kesusahan, tanyalah diri, “Adakah saya menunjukkan bahawa saya mengasihi rakan seiman yang menghadapi kesusahan melalui kata-kata dan perbuatan saya?” Apabila anda berusaha mengenakan keperibadian baharu, anda sedang mengubah fikiran anda. Semasa berbuat demikian, bersabarlah dengan diri sendiri.
12. Bagaimanakah Bible mengubah keperibadian Stephen?
12 Stephen yang disebut tadi berjaya mengenakan keperibadian baharu secara beransur-ansur. Dia berkata, “Sejak dibaptis, saya menghadapi beberapa situasi yang menguji kawalan diri saya. Saya telah belajar untuk beredar jika ada orang buat saya marah, atau menggunakan cara lain untuk meredakan situasi yang tegang. Banyak orang, termasuk isteri saya, memuji saya kerana dapat bertenang semasa menghadapi situasi sebegini. Saya pun tidak sangka saya dapat melakukannya! Saya dapat berubah bukan kerana usaha saya sendiri, tetapi kerana Bible memang mempunyai kuasa untuk mengubah hidup orang.”
TERUS MELAWAN KEINGINAN YANG SALAH
13. Apakah yang dapat membantu kita melawan keinginan yang salah? (Galatia 5:16)
13 Baca Galatia 5:16. Kita perlu bergelut untuk melakukan apa yang betul. Namun, Yehuwa membantu kita menerusi kuasa suci-Nya. Semasa kita mengkaji Bible, kita sedang menerima bimbingan kuasa suci Tuhan. Kita juga menerima kuasa suci Tuhan semasa kita menghadiri perjumpaan. Di perjumpaan, kita dapat meluangkan masa dengan saudara saudari yang juga sedang bergelut untuk melakukan apa yang betul, dan teladan mereka dapat menggalakkan kita. (Ibr. 10:24, 25; 13:7) Selain itu, apabila kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dan merayu agar Yehuwa membantu kita mengatasi kelemahan kita, Dia akan menguatkan kita menerusi kuasa suci-Nya. Apabila kita mengkaji Bible, menghadiri perjumpaan, dan berdoa, keinginan salah kita tidak akan hilang secara mukjizat. Namun, dengan melakukan hal-hal ini, kita akan dikuatkan supaya tidak menuruti keinginan yang salah. Galatia 5:16 menyatakan bahawa orang yang hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, “tidak akan menurut keinginan yang berdosa.”
14. Mengapakah penting untuk terus memupuk keinginan yang betul?
14 Setelah kita mula melakukan kegiatan-kegiatan rohani, kita perlu mengekalkan rutin itu dan terus memupuk keinginan yang betul. Mengapa? Kerana kita ada satu musuh yang tidak akan tidur, iaitu godaan. Biarpun kita sudah dibaptis, kita mungkin masih tertarik kepada hal-hal yang patut kita jauhi seperti berjudi, minum berlebihan, atau pornografi. (Ef. 5:3, 4) Seorang saudara muda mengaku, “Salah satu godaan yang paling susah bagi saya ialah saya tertarik kepada orang yang sama jantina. Saya fikir lambat laun perasaan itu akan hilang. Tetapi sampai sekarang saya masih bergelut dengannya.” Apakah yang dapat membantu anda semasa berdepan dengan godaan yang sangat susah dilawan?
15. Mengapakah kita digalakkan setelah mengetahui bahawa keinginan yang salah “merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia”? (Lihat gambar.)
15 Semasa bergelut dengan keinginan salah yang susah dilawan, ingatlah bahawa anda tidak berjuang seorang diri. Bible kata, “Semua godaan yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia.” (1 Kor. 10:13a) Kata-kata itu ditujukan kepada lelaki dan wanita Kristian di Korintus. Sebelum dibaptis, ada antara mereka berzina, mengadakan hubungan sejenis, dan merupakan pemabuk. (1 Kor. 6:9-11) Walaupun mereka semua diurapi, mereka masih tidak sempurna. Jadi dari masa ke masa, mereka perlu melawan keinginan yang salah. Bagaimanakah pengalaman mereka dapat menggalakkan kita? Ingatlah, tidak kira apa keinginan salah yang perlu anda lawan, ada orang sudah berjaya mengatasinya. Maka anda dapat berdiri teguh “kerana [anda] tahu bahawa semua saudara seiman di dunia sedang mengalami penderitaan yang sama.”—1 Ptr. 5:9.
16. Apakah bahaya yang harus kita elakkan, dan mengapa?
16 Janganlah berfikir bahawa tiada sesiapa yang dapat memahami pergelutan anda. Fikiran sebegitu berbahaya kerana dapat membuat anda percaya bahawa anda tidak mampu mengubah situasi anda dan hanya dapat menuruti keinginan yang salah. Tetapi Bible berkata, “Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.” (1 Kor. 10:13b) Jadi, biarpun godaan yang kita hadapi sangat kuat, dengan bantuan Yehuwa, kita dapat melawannya. Kita tidak perlu tunduk kepada godaan itu.
17. Walaupun kita tidak dapat menghalang keinginan yang salah daripada timbul dalam hati kita, apakah yang dapat kita lakukan?
17 Sebagai manusia yang tidak sempurna, anda tidak dapat menghalang semua keinginan yang salah daripada timbul dalam hati anda. Namun anda dapat menghalaunya dengan segera, sebagaimana Yusuf segera melarikan diri daripada isteri Potifar. (Kej. 39:12) Ingatlah, anda tidak perlu dikuasai oleh keinginan yang salah!
TERUSLAH BERUSAHA
18-19. Apakah soalan yang boleh kita tanya semasa kita berusaha mengubah fikiran kita?
18 Untuk mengubah fikiran kita, kita perlu terus berusaha memastikan fikiran dan tindakan kita menyenangkan hati Yehuwa. Maka kita boleh sering menanya diri, “Adakah kelakuan saya menunjukkan bahawa saya sedar akhir sudah sangat dekat? Adakah saya mengenakan keperibadian baharu dengan lebih baik berbanding dahulu? Adakah saya membiarkan kuasa suci Yehuwa membimbing hidup saya supaya saya dapat melawan keinginan yang salah?”
19 Semasa memeriksa diri, janganlah mengharapkan kesempurnaan, tetapi perhatikan sejauh mana anda sudah membuat kemajuan. Jika anda mendapati ada hal-hal yang perlu anda perbaiki, janganlah tawar hati. Sebaliknya, ikutlah nasihat di Filipi 3:16 yang kata, “Tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.” Dengan itu, Yehuwa pasti memberkati usaha anda untuk terus mengubah fikiran anda.
LAGU 36 Jagalah Hatimu
a Rasul Paulus menasihati orang Kristian untuk tidak dibentuk oleh sistem dunia ini. Nasihat ini juga berguna untuk kita. Kita perlu memastikan agar dunia jahat ini tidak mempengaruhi kita. Untuk berbuat demikian, kita perlu membetulkan fikiran kita sebaik sahaja kita sedar bahawa fikiran kita tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Kita akan belajar cara untuk melakukannya dalam rencana ini.
b Lihat rencana “Kehidupan Saya Makin Hari Makin Teruk” dalam Menara Pengawal terbitan 1 Julai 2015.
c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara muda sedang berfikir sama ada dia mahu mengejar pendidikan tinggi atau menceburi khidmat sepenuh masa.